Peranan dan Tanggungjawab Pemerintah Muslim

www.ilmusunnah.com

Sistem pemerintahan Islam mempunyai tujuan yang mulia dan agung. Ia bertujuan merealisasikan pengabdian manusia hanya semata-mata kepada Allah dan mengatur urusan manusia agar berada dalam kemaslahatan serta terhindar dari pelbagai bentuk kemudharatan.tolong_menolong

Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzaariyaat, 51: 56)

Dari itu, tanggungjawab terbesar bagi seorang muslim yang dibebankan dengan tugas kepimpinan adalah bagi merealisasikan dan memelihara hal ini.

Sebagai seorang pemimpin, pertamanya dia harus mengetahui kadar kekuasaan yang terbeban padanya adalah merupakan ujian dari Allah dan memahami kesan bahayanya pada dirinya. Sesiapa yang menunaikan haknya, maka dia akan diberi ganjaran berupa kebahagiaan dari sisi Allah, tetapi jika dia menyia-nyiakan hak tersebut, maka dia bakal berhadapan dengan ancaman azab Allah yang sangat besar.

Kata Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

فَالْمَقْصُودُ الْوَاجِبُ بِالْوِلَايَاتِ: إصْلَاحُ دِينِ الْخَلْقِ الَّذِي مَتَى فَاتَهُمْ خَسِرُوا خُسْرَانًا مُبِينًا وَلَمْ يَنْفَعْهُمْ مَا نَعِمُوا بِهِ فِي الدُّنْيَا؛ وَإِصْلَاحُ مَا لَا يَقُومُ الدِّينُ إلَّا بِهِ مِنْ أَمْرِ دُنْيَاهُمْ.

“Tujuan yang wajib dalam pemerintahan adalah memperbaiki keadaan agama manusia yang mana bila ianya diabaikan, maka mereka pasti akan mengalami kerugian yang besar dan tidak akan bermanfaat lagi apa-apa pun nikmat yang mereka nikmati di dunia ini. Dan keduanya adalah memperbaiki urusan dunia mereka yang dengannya agama menjadi tegak.” (As-Siyasah Asy-Syar’iyyah dalam Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 28/262)

Inilah dua dasar besar tanggungjawab seorang pemerintah.

Allah Ta’ala berfirman:

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ

“Allah telah mensyari’atkan bagi kalian tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada engkau (wahai Muhammad) dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan ‘Isa (iaitu):

Tegakkanlah diin (agama) dan janganlah kalian berpecah-belah padanya.” (Surah Asy-Syuura, 42: 13)

Ini merupakan kemuncak tujuan dari agama ini, sehingga tidaklah diutuskan para Nabi melainkan untuk menyerukan dan menegakkan agama tauhid ini kepada umat manusia. Dan tidaklah dijadikan seorang pemerintah dalam Islam, melainkan untuk melestarikan dan memelihara tujuan tersebut.

Dan hal inilah yang telah dicontohkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Apabila beliau mengirim surat atau mengutus seseorang (atau sekumpulan orang) sebagai wakil ke wilayah tertentu, masyarakat tertentu, atau kepada penguasa tertentu, maka perkara pertama yang beliau perintahkan (serukan atau dakwahkan) adalah bertauhid, kemudian solat, dan kemudian barulah yang lainnya. (lihat artikel: Menggali Hikmah dan Faedah Dari Surat Nabi Kepada Heracle)

Dan hal inilah yang telah meneguhkan beliau dan umat Islam ketika itu. Sebelum Madinah dipimpin oleh beliau, seruah-seruan tauhid telah lebih dulu disebarkan dengan baik sehingga orang-orang di Madinah menjadi lembut dan akhirnya menerima Islam. Sehingga akhirnya Madinah pun dipimpin oleh beliau lalu menjadilah ia sebagai kota Islam pertama. Dan ketika sesampainya beliau di Madinah, antara seruan dan syi’ar pertama yang beliau tegakkan adalah solat serta mengimarahkan masjid.

Sunnah besar inilah yang kemudian diteruskan oleh para khalifah setelahnya dalam pemerintahan mereka, khasnya dari khalifah Ar-Rasyidin. Tidaklah disyari’atkan jihad dalam Islam dan tidak pula ditegakkan jihad oleh mereka melainkan untuk menegakkan, menyebar-luaskan, memelihara, dan mempertahankan agama. Banyak misi-misi jihad ditegakkan dan banyak wilayah-wilayah dibuka dan dikuasai, semua tujuannya adalah untuk misi tauhid dan demi memelihara kesejahteraan umat manusia di atas jalan hidup yang lurus.

Di antara hikmah lain dari hal tersebut, jika pengabdian kepada Allah yang menjadi tujuan dan ianya berjaya diterapkan dengan baik, maka urusan setelahnya pasti akan menjadi lebih mudah, dan masyarakat pun akan lebih mudah untuk diatur. Apabila masyarakat mudah diatur, maka akan banyaklah kemaslahatan mampu diwujudkan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

“Seandainya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, sudah tentu Kami akan bukakan (limpahkan) untuk mereka keberkahan dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raaf, 7: 96)Politik_Islam_Takliq_Siyasah_Syar-iyyah_Ibnu_Taimiyah

Di ayat lain Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, 22: 41)

‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu pernah menulis kepada orang-orang bawahannya:

إنَّ أَهَمَّ أُمُورِكُمْ عِنْدِي الصَّلَاةُ؛ فَمَنْ حَافَظَ عَلَيْهَا وَحَفِظَهَا حَفِظَ دِينَهُ وَمَنْ ضَيَّعَهَا كَانَ لِمَا سِوَاهَا مِنْ عَمَلِهِ أَشَدَّ إضَاعَةٍ

“Sesungguhnya urusan kalian yang paling penting di sisiku adalah solat. Maka siapa yang memelihara dan menjaganya, nescaya dia menjaga agamanya. Dan siapa yang meremehkannya, maka terhadap urusan yang lainnya nescaya dia akan lebih meremehkannya.” (Al-Mudawwanah oleh Al-Imam Malik, 1/156. Majmu’ Al-Fatawa, 28/261)

Maka dengan demikian, urusan dan kemaslahatan yang lainnya diatur dan dibina adalah dengan tujuan merealisasikan pengabdian kepada Allah di atas agama yang benar.

Dan hal ini tidak dapat tidak mestilah ditegakkan dengan keadilan, amanah, kekuatan dan kemampuan, penyebaran dakwah yang hak, perundangan yang syar’i, perpaduan dan kesatuan, serta dukungan dan persefahaman dari ahli ilmu dan para rakyat secara umum.

Menegakkan Keadilan

Tujuan siyasah dan institusi pemerintahan dalam Islam adalah bagi merealisasikan keadilan dengan seluas-luasnya pada setiap lapangan yang mampu dicapai sama ada dalam tata kemasyarakatan, kehakiman dan pemutusan hukum, pentadbiran, pengurusan, mahupun hubungan diplomatik. Dan keadilan yang paling besar adalah menegakkan agama Allah, membenarkan apa yang benar, dan menegaskan kebathilan pada apa-apa yang bathil, dan sebesar-besar kebathilan adalah syirik.

Maka dengan itu, termasuk tanggungjawab paling penting sebagai seorang pemimpin adalah dia wajib menegakkan keadilan dan bertindak dengan penuh amanah pada setiap tindakannya, baik terhadap dirinya, masyarakat, mahupun agamanya. Dan hal ini ditegaskan dalam banyak dalil.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

“Wahai Dawud, sesungguhnya Kami menjadikan engkau khalifah (penguasa) di muka bumi, maka putuskanlah (urusan dan perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)

Di ayat yang lain Allah Ta’ala menegaskan:

قَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ

“Sesungguhnya Kami telah mengutus para Rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (timbangan keadilan) supaya manusia dapat menegakkan keadilan.” (Surah Al-Hadid, 57: 25)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan:

وهو الحق الذي تشهد به العقول الصحيحة المستقيمة المخالفة للآراء السقيمة

“Al-Haq (kebenaran) itulah sumber keadilan yang diakui oleh akal yang sihat lagi lurus (yang mustaqim). Dan lawannya adalah pelbagai pendapat serta pandangan yang tidak benar.”

Kemudian beliau menyambung:

الحق والعدل وهو: اتباع الرسل فيما أخبروا به، وطاعتهم فيما أمروا به، فإن الذي جاؤوا به هو الحق الذي ليس وراءه حق

“Yang dimaksudkan dengan melaksanakan kebenaran dan keadilan itu adalah membenarkan dan mengikuti apa yang telah disampaikan oleh para Rasul sekaligus mentaati segala apa yang diperintahkan oleh mereka. Sesungguhnya apa yang dibawa oleh para Rasul itu adalah kebenaran yang tidak dapat lagi dinafikan dan tidak ada kebenaran yang lain lagi selainnya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/27)

Dari sini dapat kita fahami bahawa hakikat keadilan itu tidak hanya sebatas pada aspek perekonomian, pengagihan harta, perundangan, dan pengurusan sebagaimana yang dimaklumi kebanyakan orang. Dan tidak pula dinamakan keadilan itu dengan membiarkan setiap manusia bebas bersuara, atau menuntut hak sama rata bagi setiap orang siapa pun jua, baik yang mukmin mahupun yang kafir. Tetapi yang dinamakan keadilan itu adalah apabila sesuatu hal itu ditegakkan (atau diputuskan) dengan neraca Al-Qur’an dan As-Sunnah dan pada apa yang membawa maslahah tanpa menyelisihi Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Keutamaan Pemimpin Yang Adil

Kemudian, terdapat banyak pula dalil-dalil yang menjelaskan tentang keutamaan pemimpin yang memimpin dengan keadilan, dan tidak kurang juga dengan hadis-hadis yang menjelaskan khabar ancaman untuk para pemerintah yang berlaku curang, zalim, dan tidak amanah.

Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ، عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ، وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ، الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا

“Sesungguhnya orang-orang yang adil di sisi Allah berada pada mimbar-mimbar dari cahaya di sebelah kanan Ar-Rahman ‘Azza wa Jalla dan kedua Tangan-Nya adalah kanan, iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga dan kepimpinan mereka.” (Shahih Muslim, no. 1827)

Seorang pemimpin yang adil kelak ketika hari Kiamat, dia akan termasuk dalam kalangan tujuh orang yang mendapat naungan Allah sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ

“Tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (ketika hari Kiamat) adalah (di antaranya) – 1. Pemimpin yang adil, 2. Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Rabbnya, 3. Seorang lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid, … (dan seterusnya).” (Shahih Al-Bukhari, no. 660, 1423. Muslim, no. 1031)

Manakala bagi pemimpin yang meninggalkan sikap adil dan betindak sewenang-wenangnya terhadap para pimpinannya, ketahuilah bahawa ancamannya sangatlah berat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi peringatan yang sangat keras untuk para pemimpin yang berkhianat pada amanah yang dibebankan atasnya, sebagaimana sabdanya:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٌ لِرَعِيَّتِهِ إِلّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba pun yang mendapat amanah daripada Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia meninggal pada hari meninggalnya dalam keadaan mengkhianati rakyatnya melainkan Allah mengharamkan Syurga atasnya.” (Shahih Muslim, no. 142. Dari hadis Ma’qil bin Yasar)

Dalam lafaz yang lain:

مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إِلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمْ الْجَنَّةَ

“Tidaklah seseorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak juga bersikap tulus membimbing mereka melainkan dia tidak akan masuk Syurga bersama rakyatnya.” (Shahih Muslim, no. 142)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan kepada Abu Dzarr radhiyallahu ‘anhu,

وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ، إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيْهَا

“… Sesungguhnya ia (jawatan kepimpinan) itu adalah amanah, dan ianya nanti pada hari Kiamat akan menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi siapa yang mengambilnya dengan haq (cara yang benar), dan menunaikan padanya hak-haknya.” (Shahih Muslim, no. 1825)

Dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah berdoa ke atas setiap pemimpin dengan doanya:

اللهُمَّ، مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ، فَاشْقُقْ عَلَيْهِ، وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ، فَارْفُقْ بِهِ

“Ya Allah, sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia, dan sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia mengasihi mereka, maka kasihilah dia.” (Shahih Muslim, no. 1828)

Maka hendaklah setiap yang bergelar pemimpin merenungi serta mampu merasa takut terhadap perkara ini.

Al-Imam Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata:

“Ini adalah peringatan keras terhadap para pemimpin yang berlaku khianat terhadap urusan umat Islam, sedangkan Allah Ta’ala telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengatur urusan mereka, menegakkan kemaslahatan agama dan dunia mereka. Jika seorang pemimpin berkhianat dan tidak bertanggungjawab terhadap apa yang telah diamanahkan kepadanya, tidak memberi nasihat, tidak memberikan maklumat yang perlu mereka ketahui, tidak membela dan tidak menghalang mereka dari sesuatu perkara yang salah, mengabaikan hak-hak mereka, tidak menegakkan hukum, tidak menjaga keamanan, tidak membantu mereka dari ancaman musuh-musuh Islam, tidak berlaku adil kepada mereka, maka pemimpin tersebut telah berlaku curang kepada mereka (rakyat).

Apa yang dikatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah peringatan (untuk para pemimpin) supaya tidak berlaku curang dan khianat terhadap urusan umat Islam kerana perkara tersebut merupakan dosa besar yang dapat membinasakan serta menjauhkannya dari Syurga. Wallahu a’lam.” (Syarh Shahih Muslim, 2/166)

Mengatur dan Memperbaiki Urusan Rakyat

Termasuk tanggungjawab dan peranan institusi pemerintahan sesebuah negara adalah bagi mewujudkan kesatuan dalam kalangan masyarakat, mengatur urusan masyarakat, mengelolakan dan mengagihkan harta dengan benar, menegakkan perundangan, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, mewujudkan kemaslahatan, dan menolak mafsadah (keburukan dan ketidak-tentuan).

Kata Asy-Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

يَجِبُ أَنْ يُعْرَفَ أَنَّ وِلَايَةَ أَمْرِ النَّاسِ مِنْ أَعْظَمِ وَاجِبَاتِ الدِّينِ؛ بَلْ لَا قِيَامَ لِلدِّينِ وَلَا لِلدُّنْيَا إلَّا بِهَا . فَإِنَّ بَنِي آدَمَ لَا تَتِمُّ مَصْلَحَتُهُمْ إلَّا بِالِاجْتِمَاعِ لِحَاجَةِ بَعْضِهِمْ إلَى بَعْضٍ وَلَا بُدَّ لَهُمْ عِنْدَ الِاجْتِمَاعِ مِنْ رَأْسٍ حَتَّى قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ { إذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ }

“Setiap orang perlu tahu bahawa mengatur urusan manusia merupakan kewajiban agama yang paling agung. Bahkan agama dan dunia tidak akan menjadi baik tanpa perkara ini, kerana manusia tidak akan dapat mewujudkan kemaslahatan (mengatur dan mengurus urusan) bagi diri mereka melainkan dengan bersatu-padu, mereka pasti saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Dan mereka tidak akan dapat membentuk kesatuan bagi mereka melainkan di bawah seorang pemimpin. Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Apabila telah keluar 3 orang dari kalian untuk safar (perjalanan jauh) maka lantiklah seorang dari kalangan kalian sebagai pemimpin.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/390)

Dan apabila seorang pemimpin mengabaikan aspek ini, sungguh dia telah menyia-nyiakan amanah yang dibebankan atasnya.

Dari hadis Ma’qil bin Yasar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً، فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ، إِلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ

“Tidaklah seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas orang-orang yang dipimpinnya, kemudian dia tidak menjaga mereka dengan nashihah (sikap tulus), melainkan dia tidak akan mencium aroma (wanginya) Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7150)

Dari hadis Abu Maryam Al-Azdi (‘Amr bin Murrah), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ، وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ، احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ، وَفَقْرِهِ

“Sesiapa yang diberi kekuasaan (untuk memimpin) oleh Allah ‘Azza wa Jalla suatu urusan dari urusan kaum muslimin, tetapi dia tidak peduli pada keperluan dan hajat mereka, dan tidak pula peduli kemiskinan mereka, maka Allah pun tidak akan peduli dengan keperluannya, permasalahannya, dan kemiskinannya.” (Sunan Abi Dawud, no. 2948. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam Abu Dawud rahimahullah (Wafat: 275H) meletakkan hadis ini pada bab:

بَابٌ فِيمَا يَلْزَمُ الْإِمَامُ مِنْ أَمْرِ الرَّعِيَّةِ وَالْحَجَبَةِ عَنْهُ

“Bab tanggungjawab pemimpin adalah mengurus dan melayani keperluan rakyatnya.”

Dalam bab yang sama, beliau meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أُوتِيكُمْ مِنْ شَيْءٍ وَمَا أَمْنَعُكُمُوهُ، إِنْ أَنَا إِلَّا خَازِنٌ أَضَعُ حَيْثُ أُمِرْتُ

“Apa-apa dari apa yang aku berikan kepada kalian (dari harta ghanimah, fa’i, dan seumpamanya) bukanlah atas dasar kehendak peribadi, tetapi tidak lain melainkan sebagai tanggungjawab dari seorang  penjaga (pemegang amanah) yang membahagikannya bersesuaian dengan apa yang diperintahkan (oleh Allah).” (Sunan Abi Dawud, no. 2949. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kemudian, Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menegaskan:

وَلِأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَوْجَبَ الْأَمْرَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَلَا يَتِمُّ ذَلِكَ إلَّا بِقُوَّةِ وَإِمَارَةٍ . وَكَذَلِكَ سَائِرُ مَا أَوْجَبَهُ مِنْ الْجِهَادِ وَالْعَدْلِ وَإِقَامَةِ الْحَجِّ وَالْجُمَعِ وَالْأَعْيَادِ وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ . وَإِقَامَةِ الْحُدُودِ لَا تَتِمُّ إلَّا بِالْقُوَّةِ وَالْإِمَارَةِ

“Dan kerana inilah Allah Ta’ala telah mewajibkan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan ianya tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan institusi pemerintahan. Dan demikianlah juga dengan hal-hal lain yang telah diwajibkan berupa jihad, penegakkan keadilan, perlaksanaan haji, solat Juma’at, perlaksanaan ‘Ied (hari raya), menolong orang-orang yang terzalimi, dan penegakkan hudud (perundangan) tidak akan berlangsung melainkan dengan kekuatan dan institusi pemerintahan.” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/390)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah menanggapi perkataan Ibnu Taimiyyah ini dengan catatannya:

Allaahu Akbar! Ini adalah benar. Semua ini adalah kebenaran. Tidak mungkin akan tertegak amar ma’ruf nahi mungkar, jihad, haji, solat Juma’at, dan hari-hari ‘Ied melainkan dengan adanya pemimpin yang diakui kepimpinannya dan ditaati dalam ketentuan-ketentuan syari’at. Jika itu tidak ada, maka siapa yang akan memerintahkan kepada yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran? Siapa yang akan menegakkan jihad dan hudud? Siapa yang akan menetapkan (atau mengisytiharkan) masuk dan tamatnya Ramadhan (puasa) dan yang lainnya? Jika manusia masing-masing berpegang dengan pendapatnya masing-masing, nescaya sebahagian mereka akan berpuasa manakala yang lainnya makan (tidak berpuasa), sebahagian mereka akan berhari-raya manakala sebahagian yang lain masih berpuasa. Maka wajib ada pemimpin bagi umat Islam (untuk mengatur urusan umat dan menyatukan mereka). Dalam apa pun keadaannya, perlu ada pemerintah!”

Maka dari penjelasan ini tampak sekali betapa pentingnya peranan seorang pemimpin bagi sesebuah negara dan betapa pentingnya mereka memainkan peranan mereka sebagai seorang pemimpin yang komited lagi bertanggungjawab.

Pemimpin Sebagai Benteng Bagi Agama, Negara, dan Rakyat

Sebagaimana telah disebutkan, pemerintah bertanggungjawab untuk menegakkan agama ini dengan mengajak masyarakatnya agar bertaqwa kepada Allah, menegakkan tauhid, dan mendirikan solat. Setelah itu dia bertanggungjawab untuk menegakkan jihad memerangi musuh-musuh Islam serta mempertahankan agama, negara, dan rakyatnya dari pelbagai ancaman sama ada dari luar mahupun dalaman, sama ada dengan ilmu (dakwah) mahupun kekuatan. Sekaligus mewujudkan perdamaian dan keamanan.

Dari hadis Mu’aadz bin Jabal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ، وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

“Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan kemuncaknya adalah jihad.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2616. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ، وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ، كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ، وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ

“Sesungguhnya seorang pemimpin itu adalah perisai (benteng), rakyat akan berperang di belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila dia memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka dia akan mendapat pahala. Tetapi jika dia memerintahkan dengan selain itu, maka dia akan mendapat akibat buruk hasil perbuatannya.” (Shahih Muslim, no. 1841)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

أي كالستر لأنه يمنع العدو من أذى المسلمين ويمنع الناس بعضهم من بعض ويحمي بيضة الإسلام ويتقيه الناس ويخافون سطوته ومعنى يقاتل من ورائه أي يقاتل معه الكفار والبغاة والخوارج وسائر أهل الفساد والظلم مطلقا

“Maksud menjadi perisai di sini adalah sebagai tabir yang menghalang musuh dari mengganggu umat Islam, juga menjaga perhubungan (perpaduan) dalam kalangan masyarakat, menjaga kehormatan Islam, menjadi yang ditakuti (dihormati) rakyatnya, dan mereka berlindung kepadanya. Berperang di belakangnya pula, maksudnya adalah berperang bersama pemimpin melawan orang-orang kafir, pembangkang (atau pemberontak), kaum khawarij, setiap orang yang melakukan kerosakan (ahli fasad), dan mereka yang melakukan kezaliman secara umum.” (Syarh Shahih Muslim, 12/230)

Al-Imam Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah (Wafat: 110H) menegaskan:

هم يلون من أمورنا خمساً: الجمعة، والجماعة، والعيد، والثغور، والحدود. والله لا يستقيم الدين إلا بهم، وإن جاروا وظلموا والله لما يصلح الله بهم أكثر مما يفسدون

“Mereka (yakni pemerintah) bertanggungjawab mengatur urusan kita dalam lima perkara paling asas; iaitu solat berjama’ah (atau Juma’at), al-jama’ah (kesatuan umat), ‘ied (hari raya), benteng pertahanan, dan al-hudud (perundangan). Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakkan dengan sebab mereka.” (Adab Al-Hasan Al-Bashri, m/s. 121. Jami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, m/s. 262)

Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar

Para pemerintah juga perlu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran berdasarkan perintah dan prinsip-prinsip syara’, membebaskan masyarakat dari kegiatan jenayah, serta membebaskan umat Islam dari gangguan orang-orang kafir dan orang-orang yang jahat.

Sebagaimana kata Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah:Amar_Makruf_Nahi_Mungkar_2

وَلِأَنَّ اللَّهَ تَعَالَى أَوْجَبَ الْأَمْرَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيَ عَنْ الْمُنْكَرِ وَلَا يَتِمُّ ذَلِكَ إلَّا بِقُوَّةِ وَإِمَارَةٍ وَكَذَلِكَ سَائِرُ مَا أَوْجَبَهُ مِنْ الْجِهَادِ وَالْعَدْلِ

“Dan kerana inilah Allah Ta’ala telah mewajibkan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan ianya tidak akan sempurna melainkan dengan kekuatan dan institusi pemerintahan. Dan demikianlah juga dengan hal-hal lain yang telah diwajibkan berupa jihad, penegakkan keadilan…” (Majmu’ Al-Fatawa, 28/390)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

“Kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 110)

Ayat ini asalnya diturunkan untuk sebaik-baik generasi kaum muslimin iaitu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya.

Jika masyarakat ini ingin dimuliakan dan menjadi kelompok atau masyarakat yang baik, maka mereka harus mengikuti para pendahulu mereka dari kalangan generasi yang pertamanya, iaitu generasi para sahabat ridhwanullaah ‘alaihim ajma’in, dan mereka adalah generasi yang menegakkan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan dengan ciri inilah mereka dikenal lagi digeruni oleh para musuh, sejarah mereka penuh wibawa dan kegemilangan.

Diriwayatkan dari satu hadis dari Durrah binti Abu Lahab, beliau berkata:

قَامَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ؟ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ النَّاسِ أَقْرَؤُهُمْ وَأَتْقَاهُمْ وَآمَرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ، وَأَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ، وَأَوْصَلُهُمْ لِلرَّحِمِ

“Pernah seorang lelaki berdiri kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang pada ketika itu Nabi sedang di atas mimbar. Lalu lelaki tersebut bertanya:

“Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik manusia?”

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sebaik-baik manusia adalah yang banyak bacaan (penguasaan) Al-Qur’annya, paling bertaqwa, yang melaksanakan dan menyeru kepada yang ma’ruf, melarang dari hal-hal yang mungkar, dan bersungguh-sungguh menyambung tali kekerabatan.” (Musnad Ahmad, no. 27434)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah membawakan sebuah kisah dalam kitabnya, Al-Bidayah wa An-Nihayah di mana pasukan Rom pernah mengalami kekalahan teruk dalam sebuah peperangan. Seorang panglimanya mempersoalkan tentang sebab-sebab kekalahan mereka, lalu dijawablah oleh anggota pasukannya:

“Kami kalah kerana mereka adalah kaum yang bangun di waktu malam untuk melaksanakan solat, mereka berpuasa di siang hari, mereka menunaikan janji, mereka menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran serta saling berpesan tentang kebaikan di atara satu sama lain.

Sedangkan kita tewas adalah kerana kita merupakan kaum yang meminum khamr, berzina, menyalahi janji, melakukan perbuatan haram, merampas hak orang lain, berbuat zalim, pemarah, melarang dari hal-hal yang diredhai Allah, dan kita membuat kerosakan di muka bumi.” (Al-Bidayah wa An-Nihayah, 9/150)

Selanjutnya, perlu kita fahami bahawa penyempurnaan atau kebanyakan dari hak amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah terletak di tangan penguasa khasnya dari sudut perundangan, kemampuan, dan kekuatan, manakala dari sudut ilmu dan hujah ianya ada di tangan para ulama (ahli ilmu).

Contohnya seperti penegakkan hukum had dan ta’zir, merobohkan kilang-kilang arak, menutup pusat-pusat perjudian, memenjarakan penjenayah, dan seumpamanya, maka kata muktamad berserta perlaksanaannya adalah terletak di tangan pemerintah, tidak boleh dilakukan oleh kalangan awam atau orang perorangan tanpa izin pemerintah.

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وَلَيْسَ لأحد أَن يزِيل النكر بِمَا هُوَ أنكر منهخ مثل أَن يقوم وَاحِد من النَّاس يُرِيد أَن يقطع يَد السَّارِق ويجلد الشَّارِب وَيُقِيم الْحُدُود لِأَنَّهُ لَو فعل ذَلِك لأفضى إِلَى الْهَرج وَالْفساد لِأَن كل وَاحِد يضْرب غَيره ويدعى أَنه اسْتحق ذَلِك فَهَذَا مِمَّا يَنْبَغِي أَن يقْتَصر فِيهِ على ولي الْأَمر

“Tidak setiap orang memiliki hak untuk menghilangkan kemungkaran dengan suatu tindakan yang lebih besar darinya, misalnya seperti salah seorang dari masyarakat ingin memotong tangan pencuri, menjatuhkan hukum sebat kepada peminum khamr, dan menegakkan hukum-hukum hadd. Sebab, jika dia melakukannya maka (tindakannya itu) hanya akan menjadi sebab timbulnya pembunuhan dan kerosakan yang lebih besar, kerana boleh jadi setiap orang akan memukul (atau saling membunuh) antara satu sama lain kerana setiap mereka merasa berhak atas tindakannya. Maka tindakan seperti ini (yakni menjatuhkan hukum hadd dan ta’zir) hanya terbeban pada bahu ulil amr (pemerintah)…”

Maka dari itu, di antara pemerintah dengan ahli ilmu hendaklah memiliki hubungan yang baik dan saling bekerjasama, demikian pula di antara rakyat dan pemerintah juga hendaklah saling bahu membahu, saling tolong-menolong, dan saling nasihat-menasihati dengan cara yang ma’ruf.

Pemerintah Perlu Bersedia Menerima Nasihat, Saranan, dan Teguran

Diriwayatkan bahawa ‘Umar radhiyallahu ‘anhu pernah berkata kepada rakyatnya:

أيتها الرعية إن لنا عليكم حقا النصيحة بالغيب، والمعاونة على الخير

“Wahai seluruh rakyat, bahawasanya kami memiliki hak ke atas kalian, iaitu diberi nasihat secara diam-diam (rahsia), dan dibantu dalam hal-hal kebaikan…” (Az-Zuhd oleh Hannad As-Sari, 2/602)adab menegur

Dalam suatu atsar yang lain disebutkan sebagaimana berikut:

وعن أبي قبيل عن معاوية بن أبي سفيان أنه صعد المنبر يوم الجمعة فقال عند خطبته:

إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن شئنا أعطيناه ومن شئنا منعناه فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثانية قال مثل ذلك فلم يجبه أحد فلما كان في الجمعة الثالثة قال مثل مقالته فقام إليه رجل ممن حضر المسجد فقال : كلا إنما المال مالنا والفيء فيئنا فمن حال بيننا وبينه حاكمناه إلى الله بأسيافنا فنزل معاوية فأرسل إلى الرجل فأدخله فقال القوم: هلك الرجل ثم دخل الناس فوجدوا الرجل معه على السرير فقال معاوية للناس:

إن هذا أحياني أحياه الله سمعت رسول الله صلى الله عليه و سلم يقول:

 سيكون بعدي أمراء يقولون ولا يرد عليهم يتقاحمون في النار كما تتقاحم القردة

 وإني تكلمت أول جمعة فلم يرد علي أحد فخشيت أن أكون منهم ثم تكلمت في الجمعة الثانية فلم يرد أحد فقلت في نفسي: إني من القوم ثم تكلمت في الجمعة الثالثة فقام هذا الرجل فرد علي فأحياني أحياه الله

Dari Abu Qobail, dari Mu’awiyah bahawasanya beliau (Muawiyah bin Abi Sufyan) menaiki mimbar pada hari Jumaat, beliau berkata dalam khutbahnya:

“Harta ini (harta kerajaan) adalah harta kami, dan harta fa’i (harta rampasan perang) juga harta kami. Kami beri kepada sesiapa yang kami mahu, dan kami tidak berikan kepada sesiapa yang kami mahu.”

Tiada seorang pun yang menjawabnya (atau membantah beliau).

Apabila tiba jumaat yang kedua, beliau mengucapkan perkara yang sama. Tiada siapa pun yang tampil menjawabnya. Pada juma’at yang ketiga beliau mengatakan perkara yang sama, lalu seorang lelaki yang hadir dalam masjid itu pun bangun dan berkata:

“Sama sekali tidak! Sesungguhnya harta tersebut adalah harta kami (rakyat) dan fa’i ini adalah fa’i kami (rakyat). Sesiapa yang menghalang kami dari harta tersebut, kami akan berhukum dengan hukum Allah menggunakan pedang-pedang kami.”

Lalu Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhu pun turun dari mimbar dan mengutus seseorang untuk memanggil lelaki itu.

Orang ramai berkata, “Habislah dia.”

Kemudian orang ramai masuk dan mendapati dia sedang duduk bersama Mu’awiyah di atas tempat duduknya (tempat tidur). Mu’awiyah berkata kepada orang ramai:

“Dia ini telah menghidupkanku, semoga Allah menghidupkannya. Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Akan ada pemimpin-pemimpin selepasku (yang melakukan kesalahan), mereka itu bercakap tiada siapa pun yang menjawab (menegur) mereka. Mereka itu terjun ke dalam neraka seperti kera terjun.”

(Kata Muawiyah lagi):

“Aku bercakap pada jumaat pertama, tiada siapa pun menjawabku, maka aku takut aku termasuk dalam kalangan mereka. Kemudian pada jumaat yang kedua, tiada siapapun menjawabku, maka aku pun berkata, “Aku termasuk dalam kalangan mereka (pemimpin yang dimaksudkan Rasulullah).” Aku bercakap pada jumaat ketiga, lelaki ini bangun menjawabku. Dia telah menghidupkanku (menyelamatkan aku), semoga Allah menghidupkannya.” (Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 925. Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ath-Thabrani dalam Al-Kabir dan Al-Ausath, dan oleh Abu Ya’la. Para perawinya tsiqah.” Majma’ Az-Zawa’id, no. 9199. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest