Review Buku Menggugat Demokrasi & Pemilu

www.ilmusunnah.com

menggugat-demokrasi-dan-pemilu-2

Demokrasi adalah sebahagian dari kerangka atau manhaj pemikiran, atau juga merupakaan sebuah ideologi yang dianut atau diimani oleh sebahagian kelompok manusia sebagai sebahagian dari aqidah dan kepercayaan. Dari demokrasi lahir suatu sistem politik yang terbina di atas prinsip kekuasaan rakyat. Iaitu dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat. Demokrasi diasaskan dari pemikiran falsafah Greek Kuno. Kata Plato, sumber kekuasaan bagi sistem demokrasi adalah rakyat.

Kata demokrasi adalah merujuk kepada perkataan Greek δημοκρατία (dimokratia) yang membawa maksud “pentadbiran oleh rakyat” terbina dari perkataan δήμος (dēmos), yang merujuk kepada “masyarakat atau rakyat” dan κράτος (kratos), “perundangan, atau penguasaan”. Ia mula dibentuk (diasaskan) kira-kira pada pertengahan abad ke 5 sebelum Masihi dalam sistem pentadbiran Greek.

Demokrasi menurut tulisan Robert A. Dahl adalah “Sistem politik yang memberi kepada rakyat jelata untuk membuat keputusan secara terbuka.” (lihat: Mazahib Fikriyah Mu’assirah oleh Muhammad Qutb, 1/178 – Dar As-Syuruq, 1984)

Secara ringkasnya, demokrasi adalah suatu sistem yang terbina dari suatu dasar ideologi di mana rakyat berkuasa terhadap pentadbiran yang dibentuk, dan padanya terdapat kerangka tunjang yang melandasi keberlangsungannya seperti jaminan hak asasi, kekuasaan rakyat, memenuhi kehendak rakyat (majoriti), dan lain-lain. Demikian asas demokrasi secara ringkas, kemudian darinya wujud pula pembahagian demokrasi kepada beberapa bentuk bersesuaian dengan corak pentadbiran sesebuah negara tetapi masih tetap tidak keluar dari kerangka asas tersebut dan tidak dapat lari dari pemantauan badan-badan berkuasa tertentu dari luar.

Pada hari ini, pemerintah mungkin dilantik melalui sistem demokrasi berpilihanraya. Politik yang terbentuk terikat dengan hak kebebasan bersuara atau suara ramai (majoriti). Inilah sebahagian bentuk dari wajah-wajah demokrasi. Ia merupakan sistem yang berasal dari kaum kuffar jahiliyyah. Bukan termasuk sebahagian dari Islam. Kaedah-kaedah yang dipraktikkan sistem demokrasi ini telah melahirkan banyak perbahasan dan kritikan dari kalangan ulama ahli sunnah wal-jama’ah kontemporari.

Demokrasi tidak akan dapat dipisahkan dengan adanya pilihan raya bagi menegakkan calon-calon dan suara-suara rakyat di parlimen. Di parlimen, mereka akan bersama-sama memperjuangkan suara dan aspirasi (kehendak) rakyat seraya mempertahankan perlembagaan.

Demokrasi di Negara Islam

Kalau dahulu di zaman-zaman awal Islam sehingga zaman-zaman sebelum masuknya demokrasi ke negara-negara Islam, politik Islam tetap utuh, teguh dan mampu bertahan walaupun padanya terkandung pelbagai pergolakkan, pemberontakan dan goncangan-goncangan politik. Kaum kafir lebih sukar untuk menguasai negara-negara Islam secara langsung melainkan dengan jalan peperangan.

Namun, setelah masuknya demokrasi ke negara-negara Islam, hampir tidak ada negara Islam yang aman dari kekacauan, perpecahan, dan pelbagai siri demontrasi jalanan kecuali negara-negara yang diselamatkan oleh Allah. Serangan pemikiran dengan berslogankan hak kebebasan asasi dan kebebasan bersuara terus disusupkan ke dalam negara-negara yang beramal dengan demokrasi sehingga membuat para rakyatnya sendiri sentiasa bangkit untuk menjatuhkan pemerintah dengan alasan kezaliman. Dan kebangkitan tersebut dihiasi dengan slogan-slogan yang memperdaya kononnya dilakukan secara aman, melalui peti undi, dan amalan domokratik. Perlembagaan negara-negara Islam turut ditambah dengan perjanjian syirik mempertahankan dan mendaulatkan ajaran-ajaran demokrasi. Kalau pun negara tampak aman pada zahirnya, namun pada dasarnya mereka telah dipaksa untuk mengimani slogan-slogan syirik berupa ajaran-ajaran demokrasi.

Sebelum era demokrasi, para rakyat dan ulamanya tidak pernah berfikir untuk menjatuhkan pemerintah atas alasan zalim, diktator, atau fasiq sebagaimana termasuk dalam kitab-kitab ahlus sunnah wal-jama’ah. Mereka tidak disibukkan dengan kekuasaan dan menukar pemerintah. Sebaliknya mereka tetap mentaati dalam hal-hal yang makruf dan menasihati pada hal-hal yang dinilai mungkar dan maksiat, kecuali bagi mereka yang terkesan dengan ideologi kepembangkangan dari kalangan bughah (pemberontak) atau khawarij.

Tetapi sebaik masuknya demokrasi ke negara-negara Islam, rakyat sentiasa dimomokkan dan diperkotak-katikkan untuk bangkit campur tangan dalam urusan pentadbiran, kepolitikan, pemerintahan, dan menukar pemerintah. Antaranya menurut mereka, pentadbiran negara adalah hak rakyat, wang negara adalah wang rakyat. Maka lahirlah banyaknya perpecahan melalui pembentukan pelbagai parti-parti politik atas nama perjuangan menuntut “hak”, “keadilan” dan melawan pemerintah yang zalim. Akhirnya, kesatuan umat Islam menjadi tersangat rapuh, kestabilan politik sentiasa terganggu, kewibawaan pemerintahan Islam menjadi luntur, dan musuh-musuh Islam (baik dari dalam mahupun luar) pun menjadi mudah untuk campur tangan dalam urusan kedaulatan negara baik terhadap rakyatnya mahupun terhadap institusi pemerintahannya.

Berlanjutan dari hal tersebut, banyak dari hal-ehwal agama Islam seperti urusan jihad, perundangan, hukum murtad, percukaian, mu’amalah yang syar’i terhadap kaum kafir, dan penegakkan syi’ar-syi’ar Islam mula digugat sama ada secara sedar atau tidak. Manakala doktrin-doktrin dan syi’ar-syi’ar musuh Islam mula berkembang dengan sangat pesat atas seruan kebebasan.

Antara Islam dan Demokrasi

Di antara tulisan yang baik dalam menjelaskan sistem demokrasi berpilihanraya dari sudut pandang Islam adalah buku berjudul Tanwiir Azh-Zhulumaat bi Kasyfi Mafaasid wa Syubuhaat Al-Intikhaabaat oleh Syaikh Abu Nashr Muhammad bin ‘Abdillah Al-Imam hafizahullah. Buku ini turut mendapat pengiktirafan daripada Asy-Syaikh Al-‘Allamah Al-Muhaddits Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah, tokoh ulama hadis Yaman yang merupakan guru kepada penulis kitab tersebut.

Kata Syaikh Muqbil rahimahullah pada kata pengantar buku ini:

“Buku ini adalah buku yang barakah di mana Syaikh Muhammad Al-Imam membuat bantahan ke atas para hizbiyyun (pentaksub parti-parti) dengan cara yang baik. Aku tidak melihat ada buku lain yang sama baik dalam kupasan perbahasannya. Semoga Allah membalas kebaikan kepada saudara kita, Asy-Syaikh Muhammad, dan memberinya taufiq agar bertambah bersemangat dan kuat dalam membela agama dan ahlus sunnah. Semoga Allah melindungi kita dan beliau dari segala keburukan.”

Dan alhamdulillah, kini buku yang baik ini telah pun diterjemahkan.

Pada hari ini, sebahagian manusia telah mula menjadikan hak kebebasan bersuara sebagai hukum atau dustur kehidupan. Bahkan ideologi ini telah mula diimani atau didukung oleh banyak orang di muka bumi ini sama ada per juzuknya, atau secara keseluruhannya, sedar atau tidak sedar, dan termasuk di dalamnya adalah sebahagian atau bahkan ramai dari kaum muslimin.

Mereka menetapkan hukum di dalam kehidupan beragama secara umum atau pada sebahagian dari juzuknya seperti dalam politik yang bertunjangkan suara majoriti dengan melalaikan hak-hak yang sepatutnya ditegakkan dari hak-hak Allah serta hak-hak sesama manusia menurut syari’at Islam. Seolah-olah demokrasi telah menjadi agama atau kepercayaan yang baru menggantikan syari’at Islam di sisi mereka. Nilai baik dan buruk mula ditimbang melalui perspektif suara kebanyakan dan pandangan akal mula mengambil alih peranan wahyu, sehingga akal dan suara-suara manusia diagungkan mendahului wahyu (agama).

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Sesiapa yang mencari agama selain dari Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 85)

Asas sejarah politik demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara dunia pada hari ini berasal dari tamadun Yunani Greek. Ia memiliki slogan, “Dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat” iaitu kekuasaan rakyat, dari rakyat, dan untuk rakyat. Sebaliknya, politik Islam secara umumnya adalah “Dari Allah, untuk Allah, kerana Allah.” Politik di dalam Islam adalah sebahagian dari agama yang syumul, dalam rangka menjalankan agama dan dengan tata cara yang tidak menyelisihi agama. Ia tidaklah dilaksanakan melainkan kerana mencari keredhaan Allah, sebagai wasilah mendekatkan diri kepada Allah, sebahagian bentuk amalan dalam rangka mentaati Allah, mencari kemaslahatan untuk agama dan masyarakat, tetapi bukan kerana mencari redha manusia atau menghidupkan hukum-hukum manusia yang menggantikan hukum-hukum Allah atau yang berlawan dengan hukum-hakam-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Maka demi Rabb-mu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (Muhammad Shalallahu ‘alaihi wa Sallam) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan taslim (tunduk dan patuh berserah diri).” (Surah An-Nisaa’, 4: 65)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyatakan berkenaan ayat ini dalam Tafsirnya:

“Allah Subhanahu wa Ta’ala bersumpah dengan diri-Nya yang Maha Mulia, bahawa seseorang tidaklah beriman sehingga dia berhukum kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam dalam setiap perkara. Hukum apa yang beliau putuskan, itulah kebenaran yang wajib untuk dipatuhi secara bersungguh-sungguh, zahir dan batin.”

Selain itu di ayat yang lain, Allah Subhanhu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

“Dan tidaklah patut bagi mereka yang mukmin dan tidak pula bagi yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka benar-benar dia telah sesat dengan sesat yang nyata.” (Surah Al-Ahdzaab, 33: 36)

Menurut Asy-Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafidzahullah di Kitab Tauhidnya:

“Orang yang meyakini bahawa selain petunjuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih sempurna dari petunjuk baginda, atau hukum yang lain lebih baik dari hukum beliau. Seperti orang yang mengutamakan hukum para thaghut di atas hukum Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mengutamakan hukum atau perundangan manusia di atas hukum Islam, maka dia kafir.” (Kitab Tauhid, 1/69 – Darul Haq, Cet. 13/3/2006)

Demokrasi berpilihanraya membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat untuk terlibat dalam pemilihan atau perlantikan pemimpin (atau wakil) bagi sesebuah negara Islam (berserta wilayah-wilayahnya). Sekaligus ia adalah pemberian hak membuat hukum dan perundangan secara bebas. Sehingga sesiapa sahaja sama ada yang muslim atau yang kafir, yang berilmu atau yang jahil, yang zalim atau yang adil, yang amanah atau yang khianat, yang soleh atau yang fasiq, yang berpendidikan atau sebaliknya, diberikan hak begitu sahaja untuk terlibat secara langsung melantik siapa sahaja pemimpin yang mereka cenderungi walaupun tidak didasari dengan ilmu yang betul, dan sebahagiannya hanya kecenderungan yang bersifat ketaksuban dan hawa nafsu.

Sedangkan Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ لَا يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُوا اللَّهَ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Katakanlah: “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu, maka bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal, agar kamu mendapat keberuntungan.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 100)

Sedangkan dalam Islam, menggubal atau menetapkan hukum sama ada di dalam berpolitik atau selain politik, ia perlu mendahulukan hak-hak Allah, dengan mematuhi hukum-hakam syari’at-Nya yang berpedomankan pada Al-Qur’an dan As-Sunnah, dan berdasarkan kemaslahatan yang tidak menyelisihi dustur besar ini. Itulah dustur (perlembagaan) dalam beragama sebagai seorang mukmin! Bukan mencari dustur-dustur lainnya dari suara-suara rakyat, parlimen, atau agama-agama kufur lainnya.

Menurut ‘Abdul Wahhab Khallaf rahimahullah (Wafat: 1357H):

Siyasah Asy-Syar’iyyah adalah proses pentadbiran yang selari dengan syara’, yang mana perjalanan urus-tadbirnya menjaga kepentingan rakyat melalui ruang lingkup daulah Islam dengan cara-cara yang dapat menjamin tercapainya kemaslahatan (kebaikan) umum, dapat menolak pelbagai bentuk kerugian, dan tidak melanggar syari’at Islam serta kaedah-kaedah asasinya, walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid.” (Siyasah Syar’iyah oleh ‘Abdul Wahhab Khallaf, m/s. 15. Madarikun Nadzar fii As-Siyasah oleh ‘Abdul Malik Ramadhani Al-Jazairi, m/s. 142-143)

Kata Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

فَالْمَقْصُودُ الْوَاجِبُ بِالْوِلَايَاتِ: إصْلَاحُ دِينِ الْخَلْقِ الَّذِي مَتَى فَاتَهُمْ خَسِرُوا خُسْرَانًا مُبِينًا وَلَمْ يَنْفَعْهُمْ مَا نَعِمُوا بِهِ فِي الدُّنْيَا؛ وَإِصْلَاحُ مَا لَا يَقُومُ الدِّينُ إلَّا بِهِ مِنْ أَمْرِ دُنْيَاهُمْ.

“Tujuan yang wajib dalam pemerintahan adalah memperbaiki keadaan agama manusia yang mana bila ianya diabaikan, maka mereka pasti akan mengalami kerugian yang besar dan tidak akan bermanfaat lagi apa-apa pun nikmat yang mereka nikmati di dunia ini. Dan keduanya adalah memperbaiki urusan dunia mereka yang dengannya agama menjadi tegak.” (As-Siyasah As-Syar’iyyah dalam Majmu’ Al-Fatawa oleh Ibn Taimiyyah, 28/262)

Allah Ta’ala berfirman:

شَرَعَ لَكُمْ مِنَ الدِّينِ مَا وَصَّى بِهِ نُوحًا وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ وَمَا وَصَّيْنَا بِهِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى وَعِيسَى أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ

“Allah telah mensyari’atkan bagi kalian tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepada engkau (wahai Muhammad) dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan ‘Isa (iaitu):

Tegakkanlah diin (agama) dan janganlah kalian berpecah-belah padanya.” (Surah Asy-Syuura, 42: 13)

Dari sini tampak jelas, tujuan dalam politik Islam itu adalah bagi menegakkan diin (yakni mentauhidkan Allah), yang dengan diin itu pula tertegaklah kemaslahatan bagi manusia (rakyat).

Dari itu dalam berpolitik, pemilihan pemimpin bukanlah perkara kecil dan remeh. Ia melibatkan kriteria kelayakan dan kemampuan yang benar-benar diakui untuk tugasnya menjaga agama dan urus tadbir masyarakat. Jadi, urusan kepimpinan tidak sebegitu mudah diperjudikan dan diserahkan kepada sesiapa sahaja bebas untuk membuat pilihan, untuk berkempen, untuk bersuara, atau apatah lagi untuk memerintah dan memutuskan atau menggubal hukum (perundangan).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَفَنَجْعَلُ الْمُسْلِمِينَ كَالْمُجْرِمِينَ (35) مَا لَكُمْ كَيْفَ تَحْكُمُونَ

“Maka adakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir). Atau adakah kamu (melakukan demikian): bagaimanakah kamu mengambil keputusan?” (Surah Al-Qalam, 68: 35-36)

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ

“Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, 39: 9)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ أَيَبْتَغُونَ عِنْدَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا

“(Yakni) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman rapat (sebagai penolong dan pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Adakah mereka ingin mencari Al-‘Izzah (kemuliaan) di sisi orang-orang kafir? Maka sesungguhnya kemuliaan itu adalah milik Allah seluruhnya.” (Surah An-Nisaa’, 4: 139)

Ingatlah, suara majoriti bukanlah penentu bagi sebuah kebenaran, apatah lagi sebagai yang memiliki hak mengatur hukam-hakam kehidupan beragama. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala menyebutkan di dalam Al-Qur’an:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka (dugaan akal) belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” (Surah Al-An’am, 6: 116)

Kebenaran tidak diukur dengan banyak atau sedikitnya orang berpegang padanya. Tetapi kebenaran itu diukur dengan dalil. Mana yang mengikuti atau bersesuaian dalil, itulah kebenaran walaupun sedikit pengikutnya.

Kebenaran itu ada pada Qolallaahu wa qolaarrasul, iaitu firman Allah dan sabda Nabi sebagaimana yang difahami oleh generasi awal umat Islam. Itulah kebenaran yang dipegang oleh orang yang beriman, iaitu umat yang bertauhid di mana pun ia berada di atas muka bumi ini.

Maka, ikutilah kupasan dan perbahasan ilmiyah selanjutnya berkaitan hukum demokrasi dan rinciannya dari sudut pandang Islam melalui buku ini. Bagaimana seharusnya kita bersikap terhadapnya. Benarkah kita telah terjerat di dalamnya sehingga tidak mampu keluar lagi? Dapatkan jawabannya di dalam risalah penuh ilmiyah ini. Banyak sekali penjelasan ilmiyah sekitar syubhat, kebathilan, kesesatan, dan kemungkaran-kemungkaran demokrasi berserta dengan penjelasan asal sejarah munculnya demokrasi di dunia. InsyaAllah semua ini akan dibentangkan melalui buku ini oleh Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdillah Al-Imam hafidzahullah.

Dan di antara kemungkaran atau kerosakan yang dibawa oleh demokrasi berpilihan-raya sebagaimana diungkapkan penulis (Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdillah Al-Imam) adalah:

1, Syirik kepada Allah dengan mempertuhankan suara orang ramai, mendahulukan suara majoriti walaupun bertentangan dengan agama Islam, memperjuangkan hak kebebasan bersuara, menganggap atau mengimani bahawa syari’at Allah tidak lengkap, mengajak masyarakat agar tunduk dengan perundangan jahiliyah,

2, memecah-belahkan hubungan sesama kaum muslimin dengan amalan berkelompok-kelompok (taksub kepartian), menghancurkan prinsip-prinsip aqidah al-wala’ wal bara’,

3, menyamaratakan kedudukan antara kaum muslimin dan kaum kafir, orang berilmu dan orang jahil,

4, menyemarakkan amalan demonstrasi seraya membuka pintu-pintu pemberontakan (kekacauan) atas alasan hak berhimpun dan demonstrasi aman,

5, merosakkan hubungan dan adab terhadap pemerintah yang diatur oleh Islam,

6, menyelisihi syari’at Islam dalam mengatur masyarakat, seperti dalam hal percukaian, pembahagian harta negara, dan penampakkan syi’ar-syi’ar keagamaan selain Islam secara terbuka,

7, menyuburkan amalan kepuakan (kepartian), membangkitkan rasa taksub terhadap parti masing-masing, menghidupkan semangat ashabiyyah,

8, membuka ruang kepada orang-orang jahil dan orang orang kafir untuk masuk campur dalam urusan kaum muslimin atas alasan hak asasi manusia,

9, membuka ruang kepada kaum kafir dan musuh-musuh Islam untuk menguasai kaum muslimin dan negara, bahkan sebahagian umat Islam turut terlibat dalam menyalurkan bantuan untuk orang-orang kafir disebabkan ketamakkan mereka terhadap kekuasaan,

10, sebuah sistem yang mahal belanjanya sekaligus menyuburkan pembaziran,

11, menyibukkan masyarakat ke dalam perkara yang bukan urusan mereka,

12, mementingkan kuantiti (bukan kualiti),

13, membuka ruang kepada orang-orang jahil dan orang-orang kafir menyebarkan ideologi mereka atas tiket kebebasan bersuara sebagaimana yang terkandung dalam dasar-dasar demokrasi,

14, menghidupkan jiwa pemberontakan dan kepembangkangan akibat bebasnya bersuara,

15, membuka fitnah kekuasaan dengan memupuk budaya meminta-minta jawatan, mengangkat diri, saling mengkritik, merendahkan orang lain, mengumpat dan menyuburkan budaya rasuah demi suatu kekuasaan,

16, membuka fitnah-fitnah berkaitan wanita dengan mengiktiraf keterlibatan kaum wanita dalam kepimpinan tertinggi, kempen, dan seumpamanya,

17, memupuk sikap toleransi pada agama-agama lain sehingga menjadikan kedudukan agama-agama lain setara dengan agama Islam,

18, rosaknya prinsip-prinsip keadilan yang dituntun oleh Islam,

19, menganggap Islam masih kurang sempurna sehingga memerlukan hukum-hakam yang lain yang menyelisihinya, seraya enggan dan merasa berat untuk menjadikan syari’at Islam sebagai pemutus hukum, cara pentadbiran, dan cara hidup.

Dan masih banyak lagi yang lainnya.

Di samping itu penulis juga turut menjawab banyak sekali syubhat-syubhat yang digunakan oleh para pencandu demokrasi dan pilihan raya untuk menghalalkannya. Asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdillah Al-Imam juga tidak lupa menutup bukunya ini dengan beberapa bentuk teguran dan nasihat-nasihat bermanfaat untuk orang yang ikhlas dalam mencari agama (kebenaran) khususnya para penuntut ilmu agar tidak disibukkan dengan demokrasi dan pilihan raya sebaliknya terus istiqomah menguasai ilmu-ilmu dari Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, kerana itulah yang akan menurunkan hidayah dan taufiq seraya bermanfaat untuk dunia dan akhirat mereka.

Wallaahu a’lam.

Dapatkan buku ini di, http://atsar.ilmusunnah.com/index.php?route=product/product&product_id=534

menggugat-demokrasi-dan-pemilu

Sebahagian orang yang jahil membuat tuduhan-tuduhan dusta terhadap salafi kononnya ada salafi membela kezaliman dan kemungkaran pemerintah, duduk di bawah ketiak pemerintah, dan mengaut kekayaan dari pemerintah. Sedangkan mereka sendirilah yang termasuk dalam tuduhan mereka tersebut ketika mana mereka saling tolong-menolong dalam membenarkan dan menyuburkan kezaliman pemerintah dalam bentuk dukungan terhadap sistem dan ideologi demokrasi. Dalam masa sama mereka menyeru rakyat untuk turut sama memperkukuhkan demokrasi sambil memperguna kesengsaraan rakyat, mempermainkan emosi rakyat, dan harta rakyat bagi mencapai cita-cita mereka.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest