Siapa Lelaki Dayyuts?

www.ilmusunnah.com

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:malu itu akhlak

ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِمُ الْجَنَّةَ: مُدْمِنُ الْخَمْرِ، وَالْعَاقُّ ، وَالدَّيُّوثُ “، الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ

“Tiga jenis orang yang diharamkan Syurga oleh Allah adalah pencandu Al-Khamr, anak yang derhaka pada ibu dan bapa, dan si dayyuts, iaitu yang membiarkan suatu yang keji (maksiat) dilakukan oleh ahli keluarganya.” (Musnad Ahmad, no. 5372. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dalam hadis yang lain dari Salim dari Ibn ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يَنْظُرُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ، وَالدَّيُّوثُ، وَثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ: الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمُدْمِنُ عَلَى الْخَمْرِ، وَالْمَنَّانُ بِمَا أَعْطَى

“Tiga jenis orang yang tidak akan dipandang (dengan pandangan kasih-sayang) oleh Allah ‘Azza wa Jalla pada hari Kiamat adalah:

Orang yang derhaka pada ibu bapanya, wanita yang menyerupai lelaki, dan si dayyuts.

Dan tiga jenis orang yang tidak masuk Syurga adalah:

Orang yang derhaka pada ibu dan bapanya, pencandu al-khamr, dan orang yang mengungkit-ungkit pemberian.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 2562. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Al-Imam Ibn Al-Atsir rahimahullah (Wafat: 606H):

تحرُمُ الْجَنَّةُ عَلَى الدَّيُّوثِ هُوَ الَّذِي لَا يَغَارُ عَلَى أهله

“Diharamkan Syurga ke atas para dayyuts, iaitu lelaki yang tidak punya rasa cemburu terhadap ahli keluarganya.” (An-Nihayah fii Gharibil Hadits wal Atsar, 2/147)

Berkata An-Nuhas (rahimahullah):

هُوَ أَنْ يَحْمِيَ الرَّجُلُ زَوْجَتَهُ وَغَيْرَهَا مِنْ قَرَابَتِهِ وَيَمْنَعَ أَنْ يَدْخُلَ عَلَيْهِنَّ أَوْ يَرَاهُنَّ غَيْرُ ذِي مَحْرَمٍ

“Dia (lelaki yang punya kecemburuan) adalah lelaki yang melindungi dan memelihara isterinya serta ahli keluarganya dari kemasukan dan penglihatan orang-orang (yakni lelaki) yang bukan mahramnya.” (Tuhfatul Ahwadzi oleh ‘Abdurrahman Al-Mubarakfuri, 9/357)

Kata Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):

و هو الذي يعلم بالفاحشة في أهله و يسكت و لا يغار و ورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة

“(Ad-Dayyuts), adalah lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan ahli keluarganya (atau isterinya), tetapi dia hanya sekadar mendiamkannya, tidak punya rasa cemburu (yakni tidak mengubahnya), dan termasuk dalam makna tersebut adalah siapa yang meletakkan tangannya ke atas seorang wanita yang tidak halal baginya dengan syahwat.” (Al-Kabaa’ir oleh Adz-Dzahabi, m/s. 50)

Beliau juga berkata:

فمن كان يظن بأهله الفاحشة و يتغافل لمحبته فيها أو لأن لها عليه دينا و هو عاجز أو صداقا ثقيلا أو له أطفال صغار فترفعه إلى القاضي و تطلب فرضهم فهو دون من يعرض عنه و لا خير فيمن لا غيرة له

“Siapa (dari kalangan suami) yang menyangka (tahu) isterinya melakukan perbuatan keji (maksiat dan kesalahan), namun dia menganggapnya remeh disebabkan oleh rasa cintanya terhadapnya, atau kerana dia memiliki hutang terhadap isterinya sehingga dia lemah ketika berdepan dengannya, atau kerana mahar yang memberatkannya, atau kerana dia memiliki anak-anak yang masih kecil yang memungkinkan menjadi sebab isterinya mengadukan kepada hakim lalu menjadi beban kepadanya (jika terjadi perpisahan), maka dia bukanlah lelaki yang baik sebagai suami. Dan tidak ada kebaikan bagi suami yang tidak memiliki ghirah (wibawa dan kecemburuan untuk memperbaiki keadaan).” (Al-Kaba’ir oleh Al-Imam Adz-Dzahabi, m/s. 137)

Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):

ومن المعلوم أن العاقل يشتد عليه أن الأجنبي يرى وجه زوجته وابنته ونحو ذلك

“Dan dari yang dimaklumi bahawa orang yang memiliki akal akan merasa berat seandainya ada lelaki ajnabi (lelaki asing yang bukan mahram) melihat wajah isteri, anak perempuannya, dan seumpamanya.” (Fathul Bari, 12/245)

Kata Al-Imam Al-Munawi rahimahullah:

فكأن الديوث ذلل حتى رأى المنكر بأهله فلا يغيره

“Seakan-akan dayyuts itu adalah kehinaan (bagi seorang lelaki) di kala dia melihat suatu yang mungkar pada ahli keluarganya, namun dia tidak menegahnya.” (Faidhul Qadir, 3/430)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest