Sifat Wudhu’ Menurut Sunnah Rasulullah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Pengertian Wudhu’

Al-Wudhuu’ (أَلْوُضُوْءُ) menurut bahasa adalah dari kata Al-Wadhaa’ah, iaitu kebersihan (النظافة) dan kesegaran (النضارة). Apabila kata Al-Wudhuu’ dibaca dengan men-dhammahkan huruf wawnya, ia bermaksud al-fi’l (perbuatan berwudhu’). Dan apabila difat-hahkan wawnya: (أَلْوَضُوْءُ), maka ia bermaksud air untuk berwudhu’.

Wudhu’ menurut syara’ adalah: Menggunakan air (yang menyucikan) untuk membasuh anggota-anggota tertentu (dari anggota-anggota wudhu’) yang telah ditetapkan oleh syara’ untuk menghilangkan apa-apa yang menghalangi seseorang dari melaksanakan solat dan ibadah lainnya.

Berwudhu’ untuk disyari’atkan berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mendirikan solat maka basuhlah muka kamu dan tangan-tangan kamu hingga ke siku-siku kamu dan sapulah kepala kamu serta (basuhlah) kaki-kaki kamu sehingga ke kedua mata kaki.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Tidak sah solat seseorang tanpa bersuci atau berwudhu’ terlebih dahulu, sebagaimana perintah dan penjelasan dari hadis-hadis yang sahih:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَا وُضُوءَ لَهُ، وَلَا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Tiada solat bagi sesiapa yang tidak berwudhu’, dan tidak ada wudhu’ bagi sesiapa yang yang tidak menyebut nama Allah padanya.” (Musnad Ahmad, no. 9418, 16651, 23236, 27145, 27147. Abu Daud, no. 101, bab: Fii Tasmiyah ‘ala al-Wudhu’. Sunan Ibnu Majah, no. 394. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Dalam hadis yang lain daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ صَلاَةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

“Allah tidak menerima solat salah seorang di antara kamu apabila berhadas sampailah dia berwudhu’. (Shahih Al-Bukhari, no. 6954)

Dalam hadis yang lain daripada ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا أُمِرْتُ بِالْوُضُوءِ إِذَا قُمْتُ إِلَى الصَّلَاةِ

“Sesungguhnya aku diperintah berwudhu’ apabila aku hendak mendirikan solat.” (Sunan Abu Daud, no. 3760. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Para ulama telah ittifaq (sepakat) bahawa solat tidaklah sah tanpa thaharah (bersuci) jika dia mampu melakukannya. (Ibnul Mundzir, Al-Awsath, 1/107)

Beberapa Fadhilat Berwudhu’

1, Sebahagian Dari Iman

Diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَأُ الْمِيزَانَ، وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ تَمْلَآَنِ – أَوْ تَمْلَأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، وَالصَّلَاةُ نُورٌ، وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ، وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ، كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَايِعٌ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا

Bersuci adalah sebahagian dari iman, ucapan Alhamdulillah memenuhi al-miizaan (timbangan),  ucapan Subhanallaah wal-Hamdulillaah memenuhi antara langit dan bumi, solat adalah nuur (cahaya), sedekah adalah burhan (sebagai bukti), sabar adalah cahaya yang bersinar, dan al-Qur’an adalah hujah untuk (mendukung) engkau atau ke atas engkau. Setiap manusia keluar berusaha, dia menjual (mengabdikan) dirinya (kepada Allah) lalu dia bebas, atau binasa (kerana menjual dirinya kepada selain Allah).” (Shahih Muslim, no. 223)

2, Wudhu’ Yang Sempurna Menghapuskan Dosa-dosa kecil

Pengambilan wudhu’ yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimanya solat tetapi ianya juga dapat menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ – أَوِ الْمُؤْمِنُ – فَغَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ – أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ -، فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ -، فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلَاهُ مَعَ الْمَاءِ – أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ – حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ

“Apabila seseorang hamba muslim atau mu’min berwudhu’ maka ketika dia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat dengan kedua matanya bersama-sama air atau bersama titisan air yang terakhir. Maka apabila membasuh kedua tangannya, keluarlah dari kedua tangannya segala dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya segala dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama titisan air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwudhu’ dia pun bersih dari dosa-dosanya.” (Shahih Muslim, no. 244)

Hadis daripada ‘Utsman, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ هَكَذَا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَكَانَتْ صَلَاتُهُ وَمَشْيُهُ إِلَى الْمَسْجِدِ نَافِلَةً

“Sesiapa yang berwudhu’ seperti ini (seperti wudhu’nya Rasulullah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu, dan solat serta langkahnya menuju masjid akan dihitung sebagai naafilah (amal kebaikan).” (Shahih Muslim, no. 229)

Hadis daripada Abi Umamah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَوَضَّأَ الرَّجُلُ الْمُسْلِمُ خَرَجَتْ ذُنُوبُهُ مِنْ سَمْعِهِ وَبَصَرِهِ وَيَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ، فَإِنْ قَعَدَ قَعَدَ مَغْفُورًا لَهُ

“Apabila seseorang muslim berwudhu’, keluarlah dosa-dosanya dari dari pendengarannya, penglihatannya, tangannya, dan dari kakinya. Apabila ia duduk (kerana menanti solat), duduknya dikira dalam keadaan mendapat keampunan (dari dosa-dosanya).” (Musnad Ahmad, no. 22206. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

3, Wudhu’ Mengangkat Darjat Manusia

Hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللهُ بِهِ الْخَطَايَا، وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ؟ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ، وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ، وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ، فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ

“Mahukah kamu semua jika aku tunjukkan amalan yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan dan mengangkat darjat kalian? Mereka menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Iaitu menyempurnakan wudhu’ walaupun di saat-saat yang dibenci (seperti ketika musim sejuk, sedang sakit, atau seumpamanya – pent.), memperbanyakkan langkah menuju masjid, dan menanti waktu solat setelah solat. Maka itulah dia ar-ribaath (perjuangan dalam melakukan ketaatan).” (Shahih Muslim, no: 251)

4, Wudhu’ Membuka Pintu Ke Syurga

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ – أَوْ فَيُسْبِغُ – الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ

“Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu’, lalu dia menyampaikan atau meratakan wudhu’nya (secara sempurna), kemudian dia mengucapkan:

Asyhadu allaa ilaaha illallaah wa anna Muhammadan ‘Abdullah wa Rasuuluh…”

melainkan dibukalah untuknya pintu Syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (Shahih Muslim, no. 234)

5, Wudhu’ Memberi Cahaya Di Akhirat

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

تَبْلُغُ الْحِلْيَةُ مِنَ الْمُؤْمِنِ، حَيْثُ يَبْلُغُ الْوَضُوءُ

“Perhiasan-perhiasan (permata) seorang mu’min itu bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wudhu’.” (Shahih Muslim, no: 250)

6, Wudhu’ Dapat Membuka Ikatan Syaitan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلاَثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ، فَارْقُدْ فَإِنِ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ، انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ، فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلاَنَ

“Syaitan mengikatkan dengan tiga ikatan ke atas tengkuk kepala salah seorang dari kalian apabila kalian tidur. Syaitan memperketatkan setiap ikatan ke atas kalian sambil mengatakan, “Malam masih panjang, maka tidurlah lagi.” Tetapi apabila orang itu bangun lalu mengingat Allah (berdzikir), maka terlepaslah satu ikatan. Apabila dia berwudhu’, terlepaslah satu lagi ikatan. Apabila ia menunaikan solat, maka terlepaslah satu ikatan lagi, sehinggalah dia pun menjadi cergas lagi aktif dan jiwanya pun menjadi baik. Tetapi apabila dia tidak melakukannya, jiwanya pun menjadi buruk lagi bersifat pemalas.” (Shahih al-Bukhari, no. 1142, 3269)

Tata Cara Wudhu’ Berserta Sunnah-sunnahnya

Berikut adalah turutannya secara ringkasan umum terlebih dahulu, insyaAllah perinciannya akan dibentangkan di bawah:

1, Berniat wudhu’. (Wajib, termasuk syarat sah wudhu’)

2, Menyebut nama Allah (membaca “bismillaah”). (Sunnah yang dianjurkan)

3, Membasuh dua telapak tangan. (Sunnah)

4, Mengambil atau menciduk air dengan tangan kanan lalu berkumur-kumur seraya ber-istinsyaq (menghirup air ke dalam hidung), kemudian ber-istintsar (menghembuskannya). (Wajib)

5, Membasuh muka (seluruh wajah). (Wajib, termasuk rukun)

6, Membasuh dua tangan hingga ke siku serta meratakannya ke celah-celah jari. (Wajib, termasuk rukun)

7, Mengusap kepala dari bahagian depan (tempat batas tumbuhnya rambut) hingga ke tengkuk, kemudian tanpa melepaskannya, mengusap dari tengkuk ke depan tempat bermula, seraya mengusap telinga bahagian luar dan dalamnya. Ini dilakukan satu kali sahaja. (Wajib, termasuk rukun)

8, Membasuh dua kaki hingga ke buku lali (dua mata kaki) dan meratakannya ke celah-celah jari-jemari kaki. (Wajib, termasuk rukun)

9, Membaca doa-doa yang disunnahkan. (Sunnah)

10, Solat sunnah dua raka’at. (Sunnah)

Perincian Tata Cara dan Tertib Wudhu’

1, Berniat

Setiap amalan dituntut agar dimulakan dengan niat. Demikian juga dengan wudhu’. Niat adalah syarat sah wudhu’. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

“Sesungguhnya apa-apa amalan itu dengan niat, dan setiap orang hanya mendapatkan berdasarkan apa yang diniatkannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1)

Maksud niat ialah menyengajakan, kehendak atau tekad untuk berbuat, serta bersungguh-sungguh untuk mengerjakan sesuatu kerana menunaikan perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

مَحَلُّ النِّيَّةِ الْقَلْبُ دُونَ اللِّسَانِ، بِاتِّفَاقِ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ فِي جَمِيعِ الْعِبَادَاتِ: الصَّلَاةِ وَالطَّهَارَةِ وَالزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَالصِّيَامِ وَالْعِتْقِ وَالْجِهَادِ، وَغَيْرِ ذَلِكَ. وَلَوْ تَكَلَّمَ بِلِسَانِهِ بِخِلَافِ مَا نَوَى فِي قَلْبِهِ كَانَ الِاعْتِبَارُ بِمَا نَوَى بِقَلْبِهِ، لَا بِاللَّفْظِ، وَلَوْ تَكَلَّمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ تَحْصُلْ النِّيَّةُ فِي قَلْبِهِ لَمْ يُجْزِئْ ذَلِكَ بِاتِّفَاقِ أَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ.

“Niat itu tempatnya di hati berdasarkan ittifaq (kesepakatan) para ulama kaum muslimin bagi seluruh ibadah, bukan di lisan, sama ada pada solat, thaharah, zakat, haji, puasa, pembebasan hamba, jihad, dan selain dari itu semua. Jika diucapkan dengan lisannya tetapi berlainan dengan kehendak hatinya maka yang diambil kira adalah apa yang diniatkan oleh hatinya bukan lafaznya. Dan jika diucapkan niat dengan lisannya sedangkan berlainan dengan niat yang di hatinya maka ia tidak diterima menurut kesepakatan ulama kaum muslimin.” (Ibnu Taimiyah, Al-Fatawa al-Kubra, 1/88)

Maka, niat wudhu’ adalah kehendak dan tekad untuk menyucikan diri dari hadas, seraya disertakan dengan tindakan/amalan wudhu’. Niat tidak perlu dilafazkan, sebaliknya cukup dipahatkan di dalam hati diikuti dengan tindakan, dan Allah maha Tahu apa-apa yang ada di dalam hati para hamba-Nya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

أَلَا حِينَ يَسْتَغْشُونَ ثِيَابَهُمْ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

“Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati yang di dalam dada.” (Surah Huud, 11: 5)

2, Ber-Tasmiyah (membaca bismillah)

Iaitu membaca bismillah ketika hendak berwudhu’. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَا وُضُوءَ لَهُ، وَلَا وُضُوءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ

“Tiada solat bagi sesiapa yang tidak berwudhu’, dan tidak ada wudhu’ bagi sesiapa yang yang tidak menyebut nama Allah padanya.” (Musnad Ahmad, no. 9418, 16651, 23236, 27145, 27147. Abu Daud, no. 101, bab: Fii Tasmiyah ‘ala al-Wudhu’. Sunan Ibnu Majah, no. 394. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Walau bagaimanapun, hadis ini diperselisihkan kesahihannya oleh para ulama. Berdasarkan hadis ini dan dukungan dari hadis-hadis yang lain, sebahagian ulama mewajibkan mengucapkannya ketika hendak berwudhu’ sebagaimana zahir hadis, iaitu tidak ada wudhu’ tanpa menyebut nama Allah, dan sesiapa yang sengaja meninggalkannya maka wudhu’nya wajib diulang. Tasmiyah (membaca bismillah) ini ia diucapkan sebaik memasang niat.

Sebahagian ulama lainnya mengatakan ia bukanlah wajib tetapi sebaliknya hanya bersifat anjuran, termasuk sunnah, dan penyempurna kepada wudhu’. (Lihat: Sunan At-Tirmidzi, pada hadis no. 25. Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 1/174-175)

Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:

وَأُحِبُّ لِلرَّجُلِ أَنْ يسمى اللَّهَ عز وجل في ابْتِدَاءِ وُضُوئِهِ فَإِنْ سَهَا سَمَّى مَتَى ذَكَرَ وَإِنْ كان قبل أَنْ يُكْمِلَ الْوُضُوءَ وَإِنْ تَرَكَ التَّسْمِيَةَ نَاسِيًا أو عَامِدًا لم يَفْسُدْ وضوؤه إنْ شَاءَ اللَّهُ تَعَالَى

“Aku menyukai (menganjurkan) orang yang berwudhu’ agar mengucapkan bismillah di permulaan wudhu’nya, jika dia lupa mengucapkannya, maka bacalah ketika dia ingat walaupun ketika hampir selesai wudhu’nya. Dan jika dia meninggalkan tasmiyah (menyebut bismillah) dengan sebab lupa ataupun sengaja, maka itu tidaklah sampai merosakkan wudhu’nya, insyaAllahu Ta’ala.” (Al-Umm, 1/31)

Bahkan kalau melihat ke kitab-kitab hadis, kita akan menemui di setiap perbahasan wudhu’, pasti diletakkan bab “Membaca bismillah ketika hendak berwudhu’” yang menunjukkan adanya penegasan yang bersifat anjuran membaca bismillah di setiap kali hendak berwudhu’.

Dalam hadis yang lain, Anas radhiyallahu ‘anhu berkata:

طَلَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضُوءًا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ مَاءٌ؟» فَوَضَعَ يَدَهُ فِي الْمَاءِ وَيَقُولُ: تَوَضَّئُوا بِسْمِ اللَّهِ. فَرَأَيْتُ الْمَاءَ يَخْرُجُ مِنْ بَيْنِ أَصَابِعِهِ حَتَّى تَوَضَّئُوا مِنْ عِنْدِ آخِرِهِمْ قَالَ ثَابِتٌ: قُلْتُ لِأَنَسٍ: كَمْ تُرَاهُمْ؟ قَالَ: نَحْوًا مِنْ سَبْعِينَ

“Sebahagian sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mencari air untuk berwudhu’. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya:

“Adakah salah seorang di antara kamu memiliki air?” lalu beliau pun memasukkan tangannya ke dalam air dan bersabda:

Berwudhu’lah dengan menyebut nama Allah (membaca bismillah).” Aku (Anas) pun melihat air keluar dari celah-celah jari-jemari beliau hingga orang yang terakhir pun dapat berwudhu’. Tsabit bertanya kepada Anas, “Berapa jumlah sahabat yang engkau lihat?”

Anas jawab, “Kira-kira tujuh puluh orang.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 78. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 144. Shahih Ibnu Hibban, no. 6544. Turut dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)

3, Membasuh kedua telapak tangan

Ini adalah termasuk sebahagian dari sunnah-sunnah wudhu’ (bukan rukun atau wajib). Dalilnya, Humran maula ‘Utsman berkata, beliau melihat ‘Utsman membawa air di dalam bekas (untuk berwudhu’):

فَأَفْرَغَ عَلَى كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مِرَارٍ، فَغَسَلَهُمَا، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الإِنَاءِ، فَمَضْمَضَ، وَاسْتَنْشَقَ

“Lalu ‘Utsman pun menuangkannya ke telapak tangan tiga kali lalu membasuh keduanya, kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air lalu berkumur-kumur dan ber-istinsyaq, … (dan seterusnya..).” (Shahih Al-Bukhari, no. 159)

4, Berkumur-kumur, Istinsyaq, dan Istintsar

Istinsyaq adalah menghirup air ke dalam hidung (sedalam yang mampu), manakala istintsar adalah menghembuskannya dengan kuat.

Para ulama berbeza pendapat sama ada ia termasuk hal yang diwajibkan atau sekadar anjuran (mandub). Dan pendapat yang kuat adalah ia termasuk perkara yang wajib. Dan jika diteliti dari hadis-hadis menunjukkan Nabi tidak pernah meninggalkannya di saat berwudhu’ (walaupun ketika sedang berpuasa – pent.). (Lihat: Shahih fiqhus Sunnah, 1/113-114 – Al-Maktabah At-Taufiqiyah)

Bahkan terdapat hadis berbentuk perintah atau suruhan terhadapnya.

Caranya adalah memulakan dengan menceduk atau mengambil air dengan tangan kanan lalu berkumur-kumur serta ber-istinsyaq, lalu ber-istintsar dengan tangan kiri dalam satu tuangan atau cedokkan air yang sama. Jika mahu lakukan dua kali, maka diambil air yang baru. Demikian juga jika tiga kali.

Ini sebagaimana hadis daripada ‘Ali radhiyallahu ‘anhu:

فَأَدْخَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى فِي الْإِنَاءِ فَمَلَأَ فَمَهُ فَتَمَضْمَضَ وَاسْتَنْشَقَ وَاسْتَنْثَرَ بِيَدِهِ الْيُسْرَى، فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثًا

“… beliau memasukkan tangannya yang kanan (dengan cara menceduk dengan tangan kanan) ke dalam bekas air lalu memasukkan air ke mulut seraya berkumur-kumur dan ber-istinsyaq, lalu ber-istintsar (menghembuskannya) dengan tangannya yang kiri. Beliau melakukan demikian tiga kali.” (Al-Baihaqi, Sunan Al-Kubra, no. 221. Dengan sanad yang sahih)

Juga sebagaimana hadis ‘Abdullah B. Zaid dalam Shahih Muslim:

ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فَاسْتَخْرَجَهَا فَمَضْمَضَ، وَاسْتَنْشَقَ مِنْ كَفٍّ وَاحِدَةٍ فَفَعَلَ ذَلِكَ ثَلَاثًا

“… kemudian beliau mengambil air dengan tangannya lalu berkumur-kumur dan ber-istinsyaq dari satu telapak tangan, beliau melakukan demikian tiga kali.” (Shahih Muslim, no. 235)

Boleh juga berkumur-kumur dan istinsyaq sebanyak tiga kali dengan satu kali cedukkan air dengan tangannya. Dasarnya adalah hadis ‘Abdullah B. Zaid dalam Shahih Al-Bukhari:

ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ فِي التَّوْرِ، فَمَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ مِنْ غَرْفَةٍ وَاحِدَةٍ

 “… kemudian beliau memasukkan tangannya ke dalam bekas air lalu berkumur-kumur dan ber-istinsyar sebanyak tiga kali dari satu cedukkan air.” (Shahih Al-Bukhari, no. 199)

Boleh juga dengan cara berkumur-kumur tiga kali, kemudian ber-istinsyaq tiga kali dari satu cedukkan air yang sama. Dasarnya dari hadis ‘Ali radhiyallahu ‘anhu:

ثُمَّ أَدْخَلَ يَدَهُ الْيُمْنَى فِي الْإِنَاءِ فَمَضْمَضَ ثَلَاثًا وَاسْتَنْشَقَ ثَلَاثًا

“… kemudian beliau mengambil air di dalam bekas dengan tangannya yang kanan seraya berkumur-kumur tiga kali, dan beristinsyaq tiga kali.” (Sunan Abu Daud, no. 112. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

5 – Membasuh Muka Serta Mengusap-usap Janggut

Membasuh muka (seluruhnya) adalah wajib dan termasuk rukun. Wajah atau muka adalah suatu yang tampak apabila berhadapan. Batasnya adalah dari tempat tumbuhnya rambut bahagian atas dahi hingga ke bahagian paling bawah janggut atau dagu secara vertikal, serta dari telinga ke telinga berikutnya.

Membasuh muka (watau wajah) adalah salah satu rukun wudhu’ yang tidak sah wudhu’ tanpa melaksanakannya. Dalilnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah wajah kamu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Telah tsabit bahawa setiap yang meriwayatkan sifat wudhu’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, pasti menjelaskan membasuh wajah. (Lihat: Shahih Fiqhus Sunnah, 1/113)

Jika ada bulu di wajah seperti janggut, alis, atau misai yang tebal, maka disunnahkan agar menyela-nyela bulu tersebut dengan tangan ketika membasuh wajah.

Dalilnya adalah sebagaimana hadis dalam Sunan Abu Daud, daripada Anas:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا تَوَضَّأَ، أَخَذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَأَدْخَلَهُ تَحْتَ حَنَكِهِ فَخَلَّلَ بِهِ لِحْيَتَهُ، وَقَالَ: هَكَذَا أَمَرَنِي رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila berwudhu’, beliau mengambil sedikit air lalu memasukkannya di bawah dagunya yang dengannya beliau menyela-nyela janggutnya. Kemudian beliau bersabda:

“Beginilah aku diperintahkan oleh Rabb-ku ‘Azza wa Allah.” (Sunan Abu Daud, no. 145. Bab: Menyela-nyela janggut. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

6, Membasuh Kedua Tangan Hingga Ke Siku

Membasuh kedua tangan hingga ke siku (termasuk siku) adalah wajib dan termasuk rukun wudhu’. Dalilnya, firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ

“… (dan basuhlah) tangan-mu sampai ke siku.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Siku (مَرَافِقِ) ialah tempat percantuman antara hasta (lengan sebelah bawah) dengan lengan sebelah atas.

7, Mengusap Air Ke Seluruh Kepala

Para ulama sepakat bahawa mengusap kepala ketika berwudhu’ hukumnya wajib, termasuk rukun. Dalilnya, firman Allah Ta’ala:

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

“… Dan sapu/usap-lah kepalamu (seluruhnya).” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Cuma mereka (dari para ulama tersebut) berbeza pendapat tentang kadar sah usapan tersebut. Kerana asal maksud mengusap kepala (dari sudut bahasa) tidaklah bermaksud mesti seluruh kepala, boleh jadi hanya sebahagian juga sudah dianggap atau dikatakan sebagai mengusap.

Adapun yang tepat adalah disapu seluruhnya, sebagaimana perintah membasuh muka, maka muka dibasuh keseluruhannya. Kata Ibnu Burhan, “Sesiapa yang mengatakan huruf ba (ب) dalam ayat tersebut menunjukkan maksud hanya sebahagian (dari kepala), bererti ia telah mengatakan sesuatu yang tidak pernah dikenal oleh pakar bahasa.” (Shahih Fiqhus Sunnah, 1/118)

Demikian juga ayat perintah mengusap muka ketika tayammum:

فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ

“Dan usaplah wajah kalian.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6), yang menunjukkan diusap seluruhnya, bukan hanya sebahagian wajah.

Ini juga dapat difahami berdasarkan hadis Ibn al-Mughirah dari ayahnya (Al-Mughirah B. Syu’bah) ketika dalam sebuah perjalanan bahawa:

تَوَضَّأَ فَمَسَحَ بِنَاصِيَتِهِ، وَعَلَى الْعِمَامَةِ وَعَلَى الْخُفَّيْنِ

“Rasulullah berwudhu’, lalu kemudian beliau mengusap pada ubun-ubunnya dan di atas ‘imamahnya (serbannya) dan di atas khufnya (kasutnya).” (Shahih Muslim, no. 247)

Iaitu dari hadis ini, jika cukup hanya sekadar mengusap sebahagian kepala yang depan, sudah tentu Rasulullah tidak mengusap bahagian atas serbannya. Ini menunjukkan wajibnya mengusap seluruh kepala, sebagaimana wajibnya mengusap seluruh kaki jika tanpa berkasut.
Ini diperincikan lagi melalui contoh yang ditunjukkan dari sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Imam Al-Bukhari membuat bab di dalam Shahihnya:

بَابُ مَسْحِ الرَّأْسِ كُلِّهِ

“Bab mengusap seluruh kepala (ketika berwudhu’).”

Kemudian beliau berkata, “Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ

“… Dan sapu/usap-lah kepalamu.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

Ibnul Musayyib berkata, “Perempuan itu sama dengan lelaki dalam perkara mengusap kepala (ketika berwudhu’).” Imam Malik pernah ditanya, “Adakah cukup mengusap sebahagian kepala (atau rambut) sahaja?” Lalu beliau pun mengemukakan dalil hadis ‘Abdillah B. Zaid.”

Kemudian Imam Al-Bukhari pun mengemukakan hadisnya:

أَنَّ رَجُلًا، قَالَ لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ، وَهُوَ جَدُّ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى أَتَسْتَطِيعُ أَنْ تُرِيَنِي، كَيْفَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ؟ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ زَيْدٍ: نَعَمْ، فَدَعَا بِمَاءٍ، فَأَفْرَغَ عَلَى يَدَيْهِ فَغَسَلَ مَرَّتَيْنِ، ثُمَّ مَضْمَضَ وَاسْتَنْثَرَ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، ثُمَّ غَسَلَ يَدَيْهِ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ إِلَى المِرْفَقَيْنِ، ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَهُ بِيَدَيْهِ، فَأَقْبَلَ بِهِمَا وَأَدْبَرَ، بَدَأَ بِمُقَدَّمِ رَأْسِهِ حَتَّى ذَهَبَ بِهِمَا إِلَى قَفَاهُ، ثُمَّ رَدَّهُمَا إِلَى المَكَانِ الَّذِي بَدَأَ مِنْهُ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ

“Seorang lelaki berkata kepada ‘Abdillah B. Zaid dan beliau adalah datuk ‘Amru B. Yahya, “Bolehkah engkau tunjukkan kepada-ku bagaimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’?” Maka ‘Abdullah B. Zaid pun berkata, “Ya, boleh.” Maka ‘Abdullah meminta dibawakan air untuknya lalu beliau pun menuangkannya ke tangannya seraya membasuhnya dua kali, kemudian berkumur-kumur dan ber-istintsar tiga kali. Kemudian beliau membasuh wajahnya tiga kali. Kemudian beliau membasuh dua tangannya dua kali-dua kali hingga ke siku. Kemudian beliau mengusap kepalanya dengan dua tangannya dari bahagian depan ke bahagian belakang kepala, iaitu dimulakan mengusap tersebut dari depan kepalanya hingga ke bahagian tengkuknya lalu menarik (mengusap) hingga ke depan kembali (tempat dimulakan mengusap). Kemudian beliau membasuh dua kakinya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 185)

Dalam riwayat Ibnu Khuzaimah, ‘Abdullah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu berkata:

مسح رسول الله صلى الله عليه و سلم رأسه في وضوئه من ناصيته إلى قفاه ثم رد يديه إلى ناصيته ومسح رأسه كله

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengusap kepalanya ketika wudhu’nya dengan dua tagannya bermula pada ubun-ubun hingga ke tengkuknya kemudian mengembalikan semula usapan tersebut (dari tengkuknya) ke bahagian ubun-ubun dan begitulah beliau mengusap seluruh kepalanya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 157. Bab: Menyapu seluruh kepala ketika berwudhu’)

Kemudian, tidak pula ada hadis yang sahih daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang menjelaskan bahawa beliau hanya mengusap sebahagian kepala sahaja. (Malah ketika beliau berserban), beliau mengusap ubun-ubunnya (bahagian depan kepalanya) lalu beliau menyempurnakannya dengan mengusap bahagian atas serbannya.

Sebahagian ulama ada yang memahami mengusap kepala tersebut dimulakan dari bahagian belakang (aras tengkuk) menuju ke bahagian depan (ubun-ubun: tempat batas tumbuhnya rambut depan pada wajah menurut kebiasaan/kebanyakan manusia), lalu ditarik usapannya ke belakang kembali. Wallahu a’lam.

Adapun bagi wanita, tidak diketahui adanya dalil yang membezakan antara wanita dengan lelaki dalam praktik ini. Namun dibolehkan bagi wanita mengusap bahagian atas tudungnya. Jika ia mengusap bahagian depan kepalanya berserta atas tudungnya, maka itu lebih baik. (Lihat: Shahih Fiqhus Sunnah, 1/118)

Dan hal ini turut didukung dengan antaranya atsar daripada Ummu Salamah:

أَنَّهَا كَانَتْ تَمْسَحُ عَلَى الْخِمَارِ

“Bahawasanya beliau pernah mengusap di atas tudungnya (ketika berwudhu’).” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 223)

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H): “Jika seorang wanita merasa bimbang kerana suasana dingin atau yang seumpama dengannya, maka dia boleh mengusap di atas tudungnya ketika berwudhu’. Kerana Ummu Salamah pernah melakukannya. Dan hendaklah ketika dia mengusap tudungnya, dia juga mengusap sebahagian rambutnya. Adapun jika ianya dilakukan tanpa ada sebarang keperluan (kesulitan), para ulama berbeza pendapat dalam hal ini.” (Majmu’ Al-Fatawa, 21/218)

8, Mengusap Pada Kedua Telinga

Wajib mengusap dua telinga bersamaan dengan mengusap kepala, dan kedua telinga adalah termasuk bahagian dari kepala. Ini difahami dari hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

الْأُذُنَانِ مِنَ الرَّأْسِ

“Dua telinga adalah sebahagian dari kepala.” (Sunan Abu Daud, no. 134. At-Tirmidzi, no. 37. Diperselisihkan statusnya antara dha’if dan hasan)

Kata Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H) dalam Sunannya, “Hadis ini diamalkan di sisi sebahagian besar ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan generasi setelahnya. Menurut mereka, dua telinga adalah sebahagian dari kepala. Pendapat ini turut dipegang oleh Sufyan Ats-Tsauri, Ibnul Mubarak, Asy-Syafi’i, dan Ishaq.” (Sunan At-Tirmidzi, 1/53)

Juga sebagaimana kata Ibnu ‘Umar:

الْأُذُنَانِ مِنَ الرَّأْسِ

“Dua telinga adalah sebahagian dari kepala.” (Mushannaf ‘Abdirrozzaq, no. 24)

Dalam hadis ‘Abdullah B. ‘Amru menyebutkan bahawa ketika Rasulullah menunjukkan tata cara wudhu’, setelah Rasulullah membasuh tangannya:

ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ فَأَدْخَلَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّاحَتَيْنِ فِي أُذُنَيْهِ، وَمَسَحَ بِإِبْهَامَيْهِ عَلَى ظَاهِرِ أُذُنَيْهِ، وَبِالسَّبَّاحَتَيْنِ بَاطِنَ أُذُنَيْهِ

“Kemudian beliau mengusap kepalanya lalu memasukkan dua jari telunjuknya masing-masing ke dua telinganya masing-masing dan beliau mengusap dua telinganya (yang bahagian dalam) dengan dua jari telunjuknya masing-masing, dan dengan ibu jarinya mengusap bahagian luar telinganya masing-masing.” (Sunan Abu Daud, no. 135. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Kata Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H):

وَذَهَبَ أَكْثَرُ أَهْلِ الْعِلْمِ إِلَى أَنَّهُمَا مِنَ الرَّأْسِ يُمْسَحَانِ مَعَهُ، وَبِهِ قَالَ سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيِّبِ، وَعَطَاءٌ، وَحَسَنٌ، وَابْنُ سِيرِينَ، وَسَعِيدُ بْنُ جُبَيْرٍ، وَالنَّخَعِيُّ، وَهُوَ قَوْلُ الثَّوْرِيِّ، وَابْنُ الْمُبَارَكِ، وَمَالِكٌ، وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ، وَأَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ

“Dan mazhab (pendapat) kebanyakan (majoriti) ahli ilmu bahawa kepala dan telinga diusap dengan satu kali usapan air sahaja secara bersama. Pendapat ini dipegang oleh Sa’id Ibnul Musayyib, ‘Athaa’, Hasan, Ibnu Sirin, Sa’id Ibn Jubair, An-Nakha’i, juga qaul dari Ats-Tsauri, Ibnul Mubarak, Malik, Ash-habur Ra’yi, Ahmad, dan Ishaq.”

Kata Imam Ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182):

وهي أحاديث كثيرة عن علي وابن عباس والربيع وعثمان كلهم متفقون على أنه مسحهما مع الرأس مرة واحدة أي بماء واحد كما هو ظاهر لفظ مرة إذ لو كان يؤخذ للأذنين ماء جديد ما صدق أنه مسح رأسه وأذنيه مرة واحدة

“Dan padanya banyak hadis daripada ‘Ali, Ibnu ‘Abbas, Ar-Rabii’, dan ‘Utsman. Mereka semua sepakat bahawa mengusap dua telinga hanya sekali (di setiap kali wudhu’) bersamaan dengan mengusap kepala, iaitu dengan air yang sama, sebagaimana lafaz satu kali, kerana jika mengambil air baru (memisahkan antara mengusap kepala dengan telinga), maka tidak tepat dikatakan bahawa beliau mengusap kepala dan telinga satu kali.” (Subulus Salam, 1/49)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) dalam Bulughul Maram mengatakan:

عن عبد الله بن زيد أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم يَأْخُذُ لِأُذُنَيْهِ مَاءً خِلَافَ الْمَاءِ الَّذِي أَخَذَ لِرَأْسِهِ. أَخْرَجَهُ الْبَيْهَقِيُّ. وَهُوَ عِنْدَ مُسْلِمٍ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ بِلَفْظٍ: وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ بِمَاءٍ غَيْرَ فَضْلِ يَدَيْهِ, وَهُوَ الْمَحْفُوظُ.

“Bahawa ‘Abdullah B. Zaid B. ‘Aashim melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengambil air untuk kedua telinganya selain dari air yang telah digunakan untuk (mengusap) kepalanya.” (Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi). Sedangkan menurut Imam Muslim dari jalan riwayat ini adalah dengan lafaz, “Dan beliau (Nabi) mengusap kepalanya dengan air yang bukan dari sisa tangannya.” (Shahih Muslim, no. 236). Dan lafaz inilah yang mahfudz (terpelihara).” (Subulus Salam, 1/49: Kitab Ath-Thaharah, Bab Al-Wudhu’, no. 11)

Kemudian Ash-Shan’ani mengemukakan kesimpulan dalam rangka kompromi bahawa dibolehkan mengambil air yang baru selepas mengusap kepala bagi tujuan mengusap dua telinga jika tidak ada lagi tersisa basah di tangannya yang cukup untuk mengusap kedua telinga, maka boleh mengambil air yang baru. (Lihat: Subulus Salam, 1/49)

9, Membasuh Kedua Kaki Hingga Mata Kaki

Membasuh kedua kaki adalah wajib dan termasuk rukun wudhu’, dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

“… dan kakimu sampai ke kedua buku lali (mata kaki).” (Surah Al-Ma’idah, 5: 6)

Semua perawi yang meriwayatkan tata cara wudhu’ Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menunjukkan bahawa beliau mencuci kedua kaki hingga ke mata kaki. (Shahih Fiqih Sunnah, 1/119)

Dan kedua mata kaki, hendaklah turut dicuci/dibasuh. Dalam riwayat Muslim, ketika Abu Hurairah menunjukkan tata cara wudhu’:

ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَهُ الْيُمْنَى حَتَّى أَشْرَعَ فِي السَّاقِ

“… kemudian beliau membasuh kakinya yang kanan sehingga paras betis…” Lau sebaik selesai, beliau berkata:

“Demikianlah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’.” (Shahih Muslim, no. 246)

Kemudian, perlu diperhatikan bahawa perkataan yang digunakan adalah “ghasal/ghasl” (membasuh):

ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ ثَلاَثَ مِرَارٍ إِلَى الكَعْبَيْنِ

“Kemudian Mem-BASUH dua kakinya tiga kali hingga dua mata kaki…” Atau dalam hadis yang lain:

فَرَشَّ عَلَى رِجْلِهِ اليُمْنَى حَتَّى غَسَلَهَا

“Meratakan air ke kakinya yang kanan sehingga Mem-BASUH-nya…”

Iaitu bukan hanya sekadar cukup dengan “menyiram” atau sekadar “menjirus” air pada kaki sebagaimana diamalkan sebahagian orang, sebaliknya hendaklah ia diratakan dan dibasuh iaitu dengan cara mengusapnya dengan tangan lalu dipastikan air sampai ke celah-celah jari dengan cara mengusap atau menggosoknya.

Imam Al-Bukhari membuat bab dalam Shahihnya:

بَابُ غَسْلِ الرِّجْلَيْنِ، وَلاَ يَمْسَحُ عَلَى القَدَمَيْنِ

“Bab membasuh dua kaki, bukan mengusap di atas telapak kaki.”

Kemudian beliau mengemukakan hadis daripada ‘Abdullah B. ‘Amru, beliau berkata:

تَخَلَّفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنَّا فِي سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا، فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقْنَا العَصْرَ، فَجَعَلْنَا نَتَوَضَّأُ وَنَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ: وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا

“Dalam satu perjalanan safar kami, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tertinggal di belakang kami. Lalu beliau pun menyusul kami sementara kami telah melewatkan solat ‘Ashar. Lalu kami mula berwudhu’ dan mengusap kaki-kaki kami. Lalu beliau pun berteriak dengan suara yang tinggi:

“Celaka-lah tumit-tumit yang dimasukkan ke dalam api Neraka.” Beliau mengucapkannya dua atau tiga kali.” (Shahih Al-Bukhari, no. 163)

Dalam Shahih Muslim, hadis daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَجُلًا لَمْ يَغْسِلْ عَقِبَيْهِ فَقَالَ: وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat seorang lelaki yang tidak membasuh tumitnya ketika berwudhu’, lalu beliau pun berkata:

“Celaka bagi tumit-tumit dari Neraka.” (Shahih Muslim, no. 242)

Dalam riwayat Jaabir dalam Musnad Ahmad, beliau berkata:

رَأَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَوْمًا يَتَوَضَّئُونَ، فَلَمْ يَمَسَّ أَعْقَابَهُمُ الْمَاءُ، فَقَالَ: ” وَيْلٌ لِلْأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat suatu kaum berwudhu’ tetapi tidak mengusap tumit-tumit mereka dengan air, lalu beliau pun bersabda:

“Celaka bagi tumit-tumit dari Neraka.” (Musnad Ahmad, no. 14392. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Dalam Sunan Abu Daud, daripada Al-Mustaurid B. Syaddad radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَوَضَّأَ يَدْلُكُ أَصَابِعَ رِجْلَيْهِ بِخِنْصَرِهِ

“Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila berwudhu’, beliau menggosok-gosok pada celah-celah jari-jemari kakinya dengan jari tangannya (jari kelingking).” (Sunan Abu Daud, no. 148. Bab: Membasuh dua kaki. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari itu, maka hendaklah dipastikan baik-baik agar anggota-anggota wudhu’ seperti wajah, tangan, dan kaki dibasuh dengan sempurna bukan hanya sekadar dijirus atau disiram, manakala kepala dan telinga pula cukup dengan diusap.

Adapun mengusap kaki, ia dibolehkan apabila dalam keadaan berbalut dengan kasut yang mana ketika memakainya si pemakai dalam keadaan suci. Ketika si pemakai berhadas dan mahu memperbaharui wudhu’nya, maka cukup dengan mengusap di atas kasutnya tanpa perlu membukanya. Dan hal ini insyaAllah akan dibahas dalam perbahasan mengusap di atas khuf atau kasut.

10, Tertib

Iaitu menyucikan dengan mengikuti turutan anggota wudhu’ satu per satu berturut-turut sebagaimana diperintahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat-Nya. Iaitu mencuci wajah, kedua tangan, mengusap kepala (termasuk telinga), dan mencuci kedua kaki. Tertib ini hukumnya wajib menurut salah satu dari dua pendapat ulama yang paling sahih. Ini adalah mazhab Syafi’iyah, Hanbaliyah, Abu Tsaur, Abu Ubaid, dan Dzohiri. (Shahih Fiqhus Sunnah, 1/120)

Semua perawi yang meriwayatkan tentang tata cara wudhu’ Nabi telah meriwayatkannya secara tertib, dan perbuatan tersebut menjelaskan lagi tentang perintah wudhu’ sebagaimana urutan di dalam Al-Qur’an.

Selain itu turut dikuatkan dengan ke-umuman hadis Jaabir radhiyallahu ‘anhu, ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendak memulakan sai’e antara Safa dan Marwah, beliau menyebut firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

{إِنَّ الصَّفَا والْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللهِ} [البقرة: 158] أَبْدَأُ بِمَا بَدَأَ اللهُ بِهِ فَبَدَأَ بِالصَّفَا

“Sesungguhnya Shafa dan Marwah adalah dari syi’ar-syi’ar Allah.” (Surah al-Baqarah, 2: 158). Kemudian beliau bersabda, “Aku bermula dengan apa yang dimulakan oleh Allah, dan beliau bermula dengan safa.” (Shahih Muslim, no. 1218)

Hadis ini menunjukkan penegasan dan perbuatan Nabi memulakan sai’e dengan Shafa kerana Allah memulakan sebutan “Shafa” pada surah al-Baqarah (2: 158) tersebut.

11, Al-Muwaalaah

Iaitu berturut-turut dalam membasuh anggota-anggota wudhu’ sebelum satu anggota wudhu’ mengering, dia terus membasuh anggota seterusnya dalam kadar yang mu’tadil (selayaknya). (Shahih Fiqhus Sunnah, 1/121)

Maksudnya tidak dipisahkan dengan tempoh masa (yang tidak sepatutnya) atau diselang-selikan di antara membasuh satu anggota wudhu’ dengan anggota yang seterusnya yang lain dengan pekerjaan atau perbuatan yang tidak berkaitan.

Sunnah-sunnah Dalam Berwudhu’

1, Bersiwak

Kata AsSiwak (السواك) diambil dari kata saka (ساك) yang maknanya menggosok. Menurut istilah, bersiwak ialah menggunakan kayu siwak (‘uud) atau yang sejenisnya pada gigi untuk menghilangkan warna kuning atau selainnya (dari kotoran-kotoran). (Asy-Syaukani, Nail Al-Authar, 1/102)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي، لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ الْوُضُوءِ، وَلَأَخَّرْتُ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ، أَوْ شَطْرِ اللَّيْلِ

“Kalau seandainya tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka bersiwak ketika wudhu’, dan mengakhirkan ‘isya’ ke sepertiga malam, atau separuh malam.” (Musnad Ahmad, no. 7412)

Dalam hadis yang lain:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ – وَفِي حَدِيثِ زُهَيْرٍ عَلَى أُمَّتِي – لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ صَلَاةٍ

“Kalau seandainya tidak memberatkan kaum mu’miniin, (atau umatku), nescaya aku perintahkan mereka bersiwak di setiap kali hendak solat.” (Shahih Muslim, no. 252)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

السِّوَاكُ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِ، مَرْضَاةٌ لِلرَّبِّ

“Siwak itu membersihkan mulut dan mendatangkan redha Allah.” (Musnad Ahmad, no. 7. Sunan An-Nasaa’i, no. 5. Dinilai sahih oleh al-Albani)

2, Ber-Tasmiyah

Ini adalah sebagaimana telah dijelaskan. Dan ia termasuk sunnah yang dianjurkan.

3, Menggosok-gosok Anggota Wudhu’

Sebagaimana kata ‘Abdullah B. Zaid radhiyallahu ‘anhu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِثُلُثَيْ مُدٍّ مَاءً، فَتَوَضَّأَ فَجَعَلَ يَدْلُكُ ذِرَاعَيْهِ

“Sesungguhnya telah dibawa kepada Nabi Nabi Shallallahu ‘alaihi tiga mud air, maka Nabi berwudhu’ dan menggosok-gosok kedua tangannya.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 1083)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا تَوَضَّأْتَ فَخَلِّلِ الْأَصَابِعَ

“Apabila kalian berwudhu’, maka ratakanlah air ke celah-celah jari-jemari (tangan dan kaki) kalian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 38. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Kata Imam At-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H), “Hadis ini diamalkan oleh para ahli ilmu, mereka berkata: “Ketika berwudhu’, hendaklah dia meratakan air ke celah-celah jari-jemari kakinya.” Dan ini dikatakan oleh Imam Ahmad dan Ishaq. Ishaq juga berkata, “Seseorang hendaklah meratakan air ke celah-celah jari-jemari tangan dan kakinya.” (Sunan At-Tirmidzi, 1/56. Bab: Meratakan (atau menyampaikan) Air ke Celah-celah Jari-jemari)

4, Meluaskan (Melebihkan) Kawasan Basuhan

Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

“Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan putih bercahaya pada kepala dan kaki kerana bekas-bekas wudhu’. Maka sesiapa yang mampu memanjangkannya (melebarkan) warna putihnya, maka lakukanlah.” (Shahih Al-Bukhari, no. 136)

Dalam riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَنْتُمُ الْغُرُّ الْمُحَجَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ إِسْباغِ الْوُضُوءِ، فَمَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكمْ فَلْيُطِلْ غُرَّتَهُ وَتَحْجِيلَهُ

“Kalian adalah orang-orang yang memiliki cahaya pada wajah dan kaki (iaitu pada anggota-anggota wudhu’) pada hari Kiamat kerana menyempurnakan wudhu’. Maka sesiapa di antara kalian yang mampu, hendaklah dia memanjangkan cahaya tersebut.” (Shahih Muslim, no. 246)

5, Tidak Membazir (Berlebih-lebihan) Dalam Berwudhu’

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara Syaitan, dan adalah Syaitan itu kufur terhadap Rabb-nya.” (Surah al-Israa’ 17: 27)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ

“Sesungguhnya akan ada di kalangan umat ini, satu kaum yang melampaui batas dalam bersuci dan berdoa.” (Sunan Abu Daud, no. 96. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnadnya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ، فَقَالَ: مَا هَذَا السَّرَفُ يَا سَعْدُ ؟ ” قَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ سَرَفٌ؟ قَالَ: ” نَعَمْ، وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهْرٍ جَارٍ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melintasi Sa’d tatkala beliau sedang berwudhu’. Maka beliau bersabda kepada Sa’d, “Apa yang dibazirkan ini Sa’d?” Maka tanya Sa’d, “Adakah dalam berwudhu’ itu ada pembaziran?” Jawab Nabi, “Ya benar, walaupun  engkau berada di sungai yang mengalir.” (Musnad Ahmad, no. 7065)

Imam Ahmad turut meriwayatkan:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْأَلُهُ عَنِ الْوُضُوءِ؟ فَأَرَاهُ ثَلَاثًا، ثَلَاثًا قَالَ: هَذَا الْوُضُوءُ فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ، وَتَعَدَّى، وَظَلَمَ

“Telah datang seorang ‘A’raabii (‘Arab Badwi) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepadanya tentang wudhu’. Maka Nabi menunjukkan cara menyucikan anggota wudhu’ itu 3 kali, 3 kali. Beliau bersabda, “Inilah wudhu’, maka sesiapa yang menambah lebih dari itu, maka dia telah berbuat buruk, berlebih-lebihan, dan zalim.” (Musnad Ahmad, no. 6684. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Imam Muslim meriwayatkan dalam Shahihnya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ بِخَمْسِ مَكَاكِيكَ وَيَتَوَضَّأُ بِمَكُّوكٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau mandi dengan 5 makkuk (5 cedokkan) dan berwudhu’ dengan 1 makkuk (seukuran 1 mud air).” (Shahih Muslim, no. 325)

Dalam hadis lain daripada Safinah, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُغَسِّلُهُ الصَّاعُ مِنَ الْمَاءِ مِنَ الْجَنَابَةِ، وَيُوَضِّئُهُ الْمُدُّ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mandi dengan 1 Sha’ air untuk janabah, dan berwudhu’ dengan 1 mud air.” (Shahih Muslim, no. 326)

Dalam riwayat lain, beliau mandi dengan 1 sha’ hingga 5 mud air. (Shahih Muslim, no. 325)

1 sha’ bersamaan 4 mud. Dan 1 mud adalah seukuran 1 raupan atau cedokkan dengan dua telapak tangan.

6, Membasuh Dengan Sekali, Dua, dan Tiga Kali

Telah tsabit dalam Sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa beliau berwudhu’ adakalanya satu kali satu kali (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 157), dua kali dua kali (lihat: Shahih Al-Bukhari, no. 158), atau tiga kali tiga kali. Kecuali ketika mengusap kepala dan telinga, beliau melakukannya satu kali di setiap wudhu’nya berdasarkan pendapat yang kuat.

Humran maula ‘Utsman berkata, beliau melihat ‘Utsman membawa air di dalam bekas (untuk berwudhu’):

فَأَفْرَغَ عَلَى كَفَّيْهِ ثَلاَثَ مِرَارٍ، فَغَسَلَهُمَا، ثُمَّ أَدْخَلَ يَمِينَهُ فِي الإِنَاءِ، فَمَضْمَضَ، وَاسْتَنْشَقَ، ثُمَّ غَسَلَ وَجْهَهُ ثَلاَثًا، وَيَدَيْهِ إِلَى المِرْفَقَيْنِ ثَلاَثَ مِرَارٍ، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ ثَلاَثَ مِرَارٍ إِلَى الكَعْبَيْنِ، ثُمَّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Lalu ‘Utsman pun menuangkannya ke telapak tangan tiga kali lalu membasuh keduanya, kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas air lalu berkumur-kumur dan ber-istinsyaq, kemudian beliau membasuh wajahnya tiga kali, membasuh tangannya hingga ke siku tiga kali, kemudian mengusap kepalanya, kemudian membasuh dua kakinya tiga kali hingga dua mata kaki. Kemudian beliau berkata:

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian melaksanakan solat dua raka’at, dan tidak berkata-kata pada keduanya dengan dirinya (iaitu: tidak hilang fokus), diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 159)

Boleh juga membasuh sebahagian anggota wudhu’ sekali, anggota lainnya dua kali, dan yang lainnya lagi 3 kali dalam sekali wudhu’ sebagaimana dikemukakan oleh Imam asy-Syafi’i dalam kitab Al-Umm. (Lihat juga: Shahih Al-Bukhari, no. 185) Sebahagian ulama berpendapat, jika apabila wudhu’ telah sempurna (telah rata) pada sekali basuhan, maka basuhan kedua atau ketiganya itu adalah bersifat menyempurnakan dan jika lebih dari tiga kali basuhan, maka itu dimakruhkan.

Hadis ini juga menunjukkan tentang sunnah (anjuran) memulakan wudhu’ dengan membasuh tangan, kemudian kumur-kumur dan istinsyaq. Istinsyaq adalah perbuatan memasukkan sedikit air ke dalam dua hidung (dengan cara menyedutnya sedikit) lalu ber-istintsar (menghembuskannya).

Sunnah istinsyaq juga disebutkan dalam hadis ‘Abdullah B. Zaid B. ‘Aashim al-Anshari radhiyallahu ‘anhu; beliau melakukannya sebanyak tiga kali dengan satu tangan sebaik membasuh tangan dan sebelum membasuh wajah. (Lihat: Shahih Muslim, no. 235)

Kemudian dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menegaskan:

وَإِذَا تَوَضَّأَ أَحَدُكُمْ فَلِيَجْعَلْ فِي أَنْفِهِ مَاءً ثُمَّ لِيَنْتَثِرْ

“Dan apabila salah seorang di antara kamu berwudhu’, maka masukkanlah air ke hidungnya kemudian hembuskannya.” (Shahih Muslim, no. 237)

Dalam hadis yang lain lagi, daripada ‘Aashim B. Laqiith B. Shobirah, ayahnya berkata, “Aku bertanya kepada Rasululla, “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang wudhu’?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

“Sempurnakanlah wudhu’, basuhlah ke antara sela-sela jarimu, dan bersungguh-sungguh-lah dalam ber-intinsyaq melainkan jika sedang berpuasa.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 788. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Maksudnya jika ketika sedang berpuasa, maka istinsyaq dilakukan dengan sederhana sahaja, iaitu tidak disedut dengan sungguh-sungguh atau terlalu dalam sehingga boleh mengakibatkan air tertelan ke dalam tubuh.

7, Memulakan dengan anggota wudhu’ yang kanan, kemudian yang kiri

Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) dalam kitab Shahihnya membuat bab:

بَابُ التَّيَمُّنِ فِي الوُضُوءِ وَالغَسْلِ

“Bab mendahulukan anggota tubuh yang kanan ketika berwudhu’ dan mandi.” (Shahih Al-Bukhari, 1/45)

Kemudian beliau mengemukakan antaranya hadis daripada ‘Aisyah, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ، فِي تَنَعُّلِهِ، وَتَرَجُّلِهِ، وَطُهُورِهِ، وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ

“Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam suka mendahulukan yang kanan ketika memakai sandal/kasutnya, ketika merapikan rambutnya, ketika bersuci, dan dalam setiap urusannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 168)

Kemudian ada hadis daripada Atha’ B. Yasar, bahawasanya Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

تَوَضَّأَ فَغَسَلَ وَجْهَهُ، أَخَذَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ، فَمَضْمَضَ بِهَا وَاسْتَنْشَقَ، ثُمَّ أَخَذَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ، فَجَعَلَ بِهَا هَكَذَا، أَضَافَهَا إِلَى يَدِهِ الأُخْرَى، فَغَسَلَ بِهِمَا وَجْهَهُ، ثُمَّ أَخَذَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ، فَغَسَلَ بِهَا يَدَهُ اليُمْنَى، ثُمَّ أَخَذَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ، فَغَسَلَ بِهَا يَدَهُ اليُسْرَى، ثُمَّ مَسَحَ بِرَأْسِهِ، ثُمَّ أَخَذَ غَرْفَةً مِنْ مَاءٍ، فَرَشَّ عَلَى رِجْلِهِ اليُمْنَى حَتَّى غَسَلَهَا، ثُمَّ أَخَذَ غَرْفَةً أُخْرَى، فَغَسَلَ بِهَا رِجْلَهُ، يَعْنِي اليُسْرَى ثُمَّ قَالَ: هَكَذَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَوَضَّأُ

“(Ibnu ‘Abbas) berwudhu’ membasuh wajahnya, lalu beliau mengambil seceduk air (dengan tangannya) yang dengannya beliau berkumur-kumur dan ber-istinsyaq, kemudian beliau mengambil seceduk lagi air dan melakukan dengannya begini iaitu menggabungkan dua tangannya lalu beliau membasuh wajah dengannya. Kemudian beliau ambil seceduk lagi air lalu membasuh tangannya yang kanan dengannya. Kemudian beliau ambil seceduk lagi air lalu membasuh tangannya yang kiri pula. Kemudian beliau mengusap kepalanya. Kemudian beliau ambil lagi seceduk air lalu meratakan ke kakinya yang kanan sehingga membasuhnya. Kemudian beliau ambil lagi seceduk air lalu membasuh kakinya yang kiri. Kemudian beliau (Ibnu ‘Abbas) pun berkata:

“Beginilah aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwudhu’.” (Shahih Al-Bukhari, no. 140)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وأجمع العلماء على أن تقديم اليمين على اليسار من اليدين والرجلين فى الوضوء سنة لو خالفها فاته الفضل وصح وضوءه

“Para ulama telah ijma’ (sepakat) bahawa mendahulukan anggota tangan dan kaki yang kanan dari yang kiri ketika berwudhu’ adalah sunnah. Kalau ada yang menyelisihinya maka dia terlepas dari mendapatkan fadhilat (keutamaan) tersebut tetapi wudhu’nya tetap sah.” (Syarah Shahih Muslim, 3/160. Fathul Bari, 1/270)

8, Berdoa Setelah Berwudhu’

Berdoa sejurus atau selepas berwudhu’ adalah sebagaimana yang dipertegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ – أَوْ فَيُسْبِغُ – الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ: أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ

“Tiada seorang pun dari kalian yang berwudhu’, lalu dia menyampaikan atau meratakan wudhu’nya (secara sempurna), kemudian dia mengucapkan:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ

melainkan dibukalah untuknya pintu Syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (Shahih Muslim, no. 234)

Manakala dalam riwayat Imam at-Tirmizi terdapat penambahan di hujungnya sebagaimana berikut:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ المُتَطَهِّرِينَ

“Aku beriqrar bahawa tiada yang berhak diibadahi (dengan benar) melainkan Allah dan tidak ada sekutu baginya satu apapun. Dan aku beriqrar bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. Ya Allah jadikalah aku dari kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang menyucikan diri.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 55. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Atau sebagaimana dalam hadis yang lain, daripada Abi Sa’id al-Khudri radiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang berwudhu’ kemudian (setelah selesai darinya) dia membaca:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ اَللَّهُمَّ وَأَتُوْبُ اِلَيْكَ

(Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi Engkau. Aku beriqrar bahwa tiada yang ebrhak diibadahi (dengan benar) melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dari Engkau ya Allah, dan aku bertaubat kepada Engkau.)

Maka (dengan membaca doa ini) akan dituliskan pada lembaran catatan, kemudian terpelihara dalam lambaran, maka tidak akan rosak sehingga hari kiamat.” (Sunan Al-Kubra An-Nasaa’i, no. 9829. Al-Mustadrak Al-Hakim, no. 2072. Mu’jam Al-Awsath, no. 1455. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

9, Disunnahkan Solat Dua Raka’at Setelah Berwudhu’

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian melaksanakan solat dua raka’at, dan tidak berkata-kata pada keduanya dengan dirinya (iaitu: tidak hilang fokus), diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 159)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest