Talbis Iblis Terhadap Ulama Yang Mendampingi Pemerintah

Al-Imam Ibn Al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H)
www.ilmusunnah.com

perangkap-iblis

ومن تلبيس إبليس على الفقهاء مخالطتهم الأمراء والسلاطين ومداهنتهم وترك الإنكار عليهم مع القدرة على ذلك وربما رخصوا لهم فيما لا رخصة لهم فيه لينالوا من دنياهم عرضا فيقع بذلك الفساد لثلاثة أوجه الأول الأمير يقول لولا أني على صواب لأنكر على الفقيه وكيف لا أكون مصيبا وهو يأكل من مالي والثاني العامي أنه يقول لا بأس بهذا الأمير ولا بماله ولا بأفعاله فان فلانا الفقيه لا يبرح عنده والثالث الفقيه فإنه يفسد دينه بذلك.

Termasuk dalam talbis Iblis ke atas para fuqaha’ (ulama fiqh) adalah pergaulan mereka dengan para penguasa dan sultan (pemerintah), mereka bermudahanah di hadapan penguasa dan tidak mengingkari keburukan mereka, walhal mereka mampu melakukannya. Dan adakalanya mereka mencari-cari rukhshah (keringanan) untuk penguasa padahal sebenarnya tiada rukhshah untuk mereka, mereka melakukannya hanya demi mendapatkan keduniaan mereka. Maka perbuatan yang demikian menyebabkan kerosakan pada tiga wajah (kelompok).

Yang pertama, kepada penguasa (pemerintah), dia mengatakan, “Seandainya aku tidak berada di atas kebenaran nescaya orang yang faqih (ulama) tersebut akan mengingkari aku, dan bagaimana mungkin aku tidak di atas kebenaran sedang si ulama itu pun makan dengan hartaku.”

Yang kedua, orang-orang awam (termasuk penuntut ilmu dan para pengikut ulama tersebut – pent.), mereka mengatakan, “Tidak mengapa dengan penguasa tersebut, tidak mengapa dengan hartanya, tidak ada masalah dengan perbuatannya, kerana ulama yang faqih pun sentiasa bersamanya.”

Dan yang ketiga, ia merosakkan agamanya dengan sebab yang demikian.

وقد لبس إبليس عليهم في الدخول على السلطان فيقول انما ندخل لنشفع في مسلم وينكشف هذا التلبيس بأنه لو دخل غيره يشفع لما أعجبه ذلك وربما قدح في ذلك الشخص لتفرده بالسلطان ومن تلبيس إبليس عليه في أخذ أموالهم فيقول لك فيها حق ومعلوم أنها إن كانت من حرام لم يحل له منها شيء وان كانت من شبهة فتركها أولى وان كانت من مباح جاز له الأخد بمقدار مكانه من الدين لا على وجه إتفاقه في إقامة الرعونة وربما اقتدى العوام بظاهر فعله واستباحوا مالا يستباح.

Bahawa Iblis menyarungkan talbis atas mereka dengan masuk (mengunjungi) penguasa, lalu dia berkata (beralasan), “Sesungguhnya kami masuk bergaul kepada para penguasa hanyalah untuk memohonkan syafa’at (bantuan) untuk sesama muslim.”

Namun talbis ini akan tersingkap ketika ada orang lain yang turut masuk (berkunjung) untuk memohonkan syafa’at (pertolongan), ketika mana dia menjadi cemburu (tidak senang). Adakalanya dia malah mencela orang tersebut demi menjaga hubungannya dengan penguasa.

Dan termasuk talbis Iblis atasnya pada mengambil harta (pemberian penguasa) adalah dia mengatakan, “Pada harta tersebut ada hak-mu.” Walhal telah dimaklumi jika harta tersebut berasal dari sumber yang haram, maka tidaklah halal baginya sedikit pun. Manakala jika harta tersebut berasal dari sumber yang syubhah (diragui), maka meninggalkannya adalah lebih utama. Dan jika ianya berasal dari sumber yang mubah, maka dia hanya boleh mengambilnya bersesuaian dengan kedudukannya menurut agama, yakni bukan berdasarkan kesepakatannya dalam melakukan tindakan yang tidak benar. Golongan awam akan mengambil contoh berdasarkan zahir perbuatannya, sehingga mereka akan membolehkan sesuatu yang hakikatnya tidak dibolehkan.

وقد لبس إبليس على قوم من العلماء ينقطعون على السلطان إقبالا على التعبد والدين فيزين لهم غيبة من يدخل على السلطان من العلماء فيجمع لهم آفتين غيبة الناس ومدح النفس

Bahawa Iblis juga turut menyarungkan talbisnya ke atas sekelompok dari ulama yang memutuskan hubungan dengan penguasa, lalu hanya fokus untuk beribadah dan menjalani (amal-amal) agama. Iblis pun memperindahkan bagi mereka perbuatan menghibahi (mengumpat) ulama yang masuk kepada penguasa, lalu menghimpun bagi mereka dua kerosakan sekaligus, yakni menghibahi manusia dan memuji diri sendiri.

وفي الجملة فالدخول على السلاطين خطر عظيم لأن النية قد تحسن في أول الدخول ثم تتغير باكرامهم وانعامهم أو بالطمع فيهم ولا يتماسك عن مداهنتهم وترك الانكار عليهم

Apapun, masuk bergaul dengan penguasa itu memiliki bahaya yang besar, kerana boleh jadi niat di awalnya adalah baik ketika masuk bergaul dengan mereka, namun kemudian berubah disebabkan penguasa memuliakan mereka dan memberikan pelbagai nikmat untuk mereka, atau kerana dirinya sendiri yang memiliki sifat tamak (terhadap harta atau kedudukan), dan tidak lepas dari bermudahanah (mencari muka dan mendiamkan keburukan penguasa), serta meninggalkan perbuatan mengingkari kesalahan-kesalahan mereka.

وقد كان سفيان الثوري رضي الله عنه يقول ما أخاف من إهانتهم لي إنما أخاف من إكرامهم فيميل قلبي إليهم

Bahawa Sufyan Ats-Tsauri radhiyallahu ‘anhu berkata, “Aku tidak takut celaan (atau penghinaan) para penguasa terhadapku, tetapi yang aku takutkan adalah jika mereka memuliakan aku sehingga hatiku pun menjadi condong terhadap mereka.”

وقد كان علماء السلف يبعدون عن الأمراء لما يظهر من جورهم فتطلبهم الأمراء لحاجتهم اليهم في الفتاوي والولايات

Bahawa para ulama salaf (ulama terdahulu), mereka menjauhkan diri dari para penguasa dengan sebab apa yang dilakukan mereka dari keburukan-keburukan dan sikap kemelampauan (dari batas-batas agama) yang mereka zahirkan. Bahkan sebaliknya para penguasalah yang berhajat kepada fatwa-fatwa mereka dan pandangan-pandangan mereka dalam hal pemerintahan.

فنشأ أقوام قويت رغبتهم في الدنيا فتعلموا العلوم التي تصلح للأمراء وحملوها إليهم لينالوا من دنياهم ويدلك على أنهم قصدوا بالعلوم أن الأمراء كانوا قديما يميلون إلى سماع الحجج في الأصول فأظهر الناس علم الكلام ثم مال بعض الأمراء إلى المناظرة في الفقه فمالالناس إلى الجدل ثم بعض الأمراء إلى المواعظ فمال خلق كثير من المتعلمين إليها ولما كان جمهور العوام يميلون إلى القصص كثر القصاص وقل الفقهاء.

Lalu kemudian muncullah suatu kaum yang tinggi keghairahan mereka terhadap dunia, mereka mempelajari ilmu-ilmu yang bersesuaian dengan selera (kehendak) penguasa, lalu mereka persembahkan kepada penguasa dalam rangka mendukung penguasa demi mendapatkan bahagian dari dunia mereka.

Di antara bukti bahawa mereka meraih ilmu demi kepentingan dunia adalah ketika para penguasa dahulu senang mendengar hujah-hujah ilmu ushul (aqidah), maka mereka pun menzahirkan ilmu kalam. Kemudian ketika penguasa berubah menjadi suka kepada diskusi-diskusi fiqh, maka manusia pun beralih kepada jidal. Kemudian ketika pemerintah menyukai nasihat-nasihat, maka mereka pun fokus dan terarah kepada nasihat-nasihat. Ketika majoriti masyarakat awam menyukai cerita-cerita (atau kisah-kisah), maka para qushshash (tukang cerita atau penglipur-lara) pun menjadi ramai, manakala para fuqaha’ menjadi sedikit.”

Sekian nukilan – Wallaahu a’lam.

Dinukil dari Kitab Talbis Iblis karya Al-Imam Ibn Al-Jauzi rahimahullah.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest