Tidak Boleh Menzahirkan Kegembiran Atas Perayaan Kaum Kafir

www.ilmusunnah.com

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:syirik-bahaya

إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا

“Sesungguhnya bagi setiap kaum (agama atau bangsa) ada perayaannya, dan hari ini (‘Iedul ‘adha) adalah perayaan kita (kaum muslimin).” (Shahih Al-Bukhari, no. 952. Muslim, no. 892)

Pada hadis ini menjelaskan bahawa pada setiap kaum, sama ada bangsa, adat atau agama itu asalnya memiliki perayaan mereka masing-masing. Dan kebanyakan asal dari pelbagai perayaan itu berasal dari bangsa-bangsa dan adat setempat.

Namun ketika datangnya Islam, maka pelbagai perayaan-perayaan tersebut pun ditinggalkan, tidak pernah disambut atau ditanggapi oleh Nabi dan para sahabat. Ketika Nabi dan para sahabatnya tiba di Madinah, beliau mendapati di sana ada hari-hari perayaan yang dirayakan oleh penduduk di sana (menurut adat kebiasaan mereka), namun langsung Rasulullah menghapusnya dan menggantikannya dengan dua hari Raya kaum Muslimin. Sebagaimana juga halnya perayaan Nairuz (perayaan sempena sambutan tahun baru dalam kalendar syamsyiyah/masehi) dan perayaan Mihrajan (perayaan sempena tahun baru bangsa parsi) yang telah wujud di zaman itu, namun dengan kedatangan Islam, ianya ditinggalkan (dihapuskan) dan bahkan berserta dengan peringatan (amaran). Walhal dua perayaan tersebut hanya berupa acara makan-makan dan bergembira dengan beberapa bentuk permainan atau hiburan.

Demikian pula pada hari ini, kita dapat melihat masyarakat dari bangsa Jawa memiliki perayaan tahun baru mereka yang disebut perayaan malam satu suro (sempena tahun baru kalendar mereka), masyarakat India juga ada perayaan mereka sendiri menurut kalendar mereka, demikian pula masyarakat Cina ada perayaan tahun baru mereka yang diraikan menurut kalendar dan kepercayaan mereka, kemudian kaum kadazan/dusun pula ada perayaan yang dikenal dengan Pesta Menuai, masyarakat Dayak ada hari Gawai mereka, dan demikian pula dengan bangsa-bangsa lain seterusnya.

Masing-masing kaum ini memiliki hari-hari besar mereka, dan bagi setiap perayaan ini pasti tidak akan lepas dari unsur kepercayaan (i’tiqad, atau aqidah, serta tatacara keraian dan mengapa mereka meraikan hari-hari atau tarikh-tarikh perayaan tersebut) yang bertentangan dengan aqidah Islam yang murni.

Makanya di sini, bagi kaum muslimin yang beriman, cukuplah bagi kita dengan dua hari raya sebagaimana yang telah disyari’atkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قَدِمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَقَالَ: إِنَّ اللهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا: يَوْمَ الْفِطْرِ، وَيَوْمَ النَّحْرِ

“Ketika mula-mula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke Madinah, penduduk Madinah ketika itu memiliki dua hari khusus untuk bergembira yang padanya mereka selalu bermain-main di masa Jahiliyah. Maka beliau kemudian bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah mengganti dua hari tersebut dengan yang lebih baik lagi darinya. Iaitu ‘Ied Al-fithri dan hari An-Nahr (‘Ied al-adh-ha).” (Musnad Ahmad, no. 12006. Dinilai sahih oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar, Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Manakala lafaz dalam Sunan Abi Dawud:

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا، فَقَالَ: مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ؟ قَالُوا: كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا: يَوْمَ الْأَضْحَى، وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Ketika mula-mula Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang ke Madinah, penduduk Madinah memiliki dua perayaan yang mereka raikan untuk bersenang-senang lagi bersuka-ria. Rasulullah bertanya, “Hari apakah dua hari ini?” Mereka jawab, “Pada masa jahiliyyah, kami biasa bergembira pada dua hari tersebut.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan dengan dua hari yang lebih baik untuk kalian, iaitu ‘Iedul Adh-ha dan ‘Iedul Fithri.” (Sunan Abi Dawud, no. 1134)

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

واستنبط منه كراهة الفرح في أعياد المشركين والتشبه بهم وبالغ الشيخ أبو حفص الكبير النسفي من الحنفية فقال من أهدى فيه بيضة إلى مشرك تعظيما لليوم فقد كفر بالله تعالى

“Berdasarkan hadis ini, diambil ketetapan hukum dilarangnya melahirkan rasa gembira sempena perayaan (hari-hari kebesaran) kaum musyrikin dan meniru-niru (atau menyerupai) mereka (dalam perayaan).

Dan disampaikan oleh Syaikh Abu Hafs Al-Kabir An-Nasafi dari kalangan ulama mazhab Hanafi, beliau menegaskan, “Menghadiahkan walau sebutir telur kepada orang-orang musyrik sebagai tanda penghormatan terhadap perayaan mereka, maka bererti ia telah kafir terhadap Allah Ta’ala.”.” (Fath Al-Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 2/442)

Sahabat Nabi ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘Aash radhiyallahu ‘anhuma berkata:

مَنْ بَنَى بِبِلَادِ الْأَعَاجِمِ وَصَنَعَ نَيْرُوزَهُمْ وَمِهْرَجَانَهُمْ وَتَشَبَّهَ بِهِمْ حَتَّى يَمُوتَ وَهُوَ كَذَلِكَ حُشِرَ مَعَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang tinggal di negeri orang kafir, menyambut perayaan Nairuz (tahun baru masehi) dan Mihrajan (tahun baru Parsi) mereka serta meniru cara hidup mereka sehingga dia mati dalam keadaan tersebut, maka dia akan dihimpunkan pada hari kiamat bersama-sama mereka.” (As-Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 18863. Dinilai sahih oleh Ibnu Taimiyyah)

Al-Imam Abu Al-Qasim Hibatullah Al-Laalaka’i Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 418H) berkata:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَنْ يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ؛ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ

“Dan tidak-lah boleh bagi kaum muslimin menghadiri perayaan-perayaan mereka (musyrikin) kerana mereka itu sedang melakukan mungkar dan zuur (majlis kesyirikan dan hal-hal tercela).” (Ahkam Ahl Adz-Dzimmah oleh Ibn Al-Qayyim, 3/1245)

Kata Al-Hafiz Ibn Al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

وَكَمَا أَنَّهُمْ لَا يَجُوزُ لَهُمْ إِظْهَارُهُ فَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ مُمَالَاتُهُمْ عَلَيْهِ وَلَا مُسَاعَدَتُهُمْ وَلَا الْحُضُورُ مَعَهُمْ بِاتِّفَاقِ أَهْلِ الْعِلْمِ الَّذِينَ هُمْ أَهْلُهُ.

“Sebagaimana mereka tidak dibenarkan menzahirkan syi’ar-syi’ar kekafiran mereka, maka tidak boleh juga bagi kaum Muslimin menzahirkan rasa gembira atas perayaan mereka[1], tidak boleh membantu mereka (dalam kekafiran), dan tidak boleh juga menghadiri majlis-majlis mereka dengan kesepakatan ahli ilmu.” (Ahkam Ahl Adz-Dzimmah oleh Ibn Al-Qayyimq, 3/1245)

Maka, adapun akal yang sihat pasti tidak akan terdetik rasa gembira atau untuk mengucapkan selamat/tahniah pada orang-orang yang sedang bermaksiat atau meraikan kekufurannya kepada Allah.

Wallaahu a’lam.


[1] Islam adalah agama tauhid, lawan kepada kekufuran. Maka termasuk benar dan murninya tauhid adalah dengan membenci kekufuran yang merupakan sesuatu yang sangat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

“Sesungguhnya Agama di sisi Allah hanyalah Islam…” (Surah Ali ‘Imraan, 3: 19)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَا يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ

“… Dan Allah tidak meredhai kekufuran hamba-hamba-Nya…” (Surah Az-Zumar, 39: 7)

Dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: مَنْ كَانَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَمَنْ أَحَبَّ عَبْدًا لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَمَنْ يَكْرَهُ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ، بَعْدَ إِذْ أَنْقَذَهُ اللَّهُ، مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِي النَّارِ

“Tiga perkara bila seseorang memilikinya maka dia akan merasakan manisnya iman, yakni:

(1) Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai dari selain keduanya,

(2) Siapa yang mencintai saudaranya hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla,

(3) Siapa yang benci kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan dirinya darinya sebagaimana dia tidak suka jika dicampakkan ke dalam api.” (Shahih Al-Bukhari no. 21. Muslim no. 43)

Dari itu, adalah menjadi kewajiban bagi kita sebagai seorang muslim yang beriman untuk membenci kekufuran sebagaimana kita benci dari dicampakkan ke dalam api.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest