Ucapan-ucapan Ulama Terdahulu Ketika Hari Raya

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Terdapat riwayat yang datang dari para sahabat radhiyallahu ‘anhum bahawa mereka saling mengucapkan selamat di hari raya dengan ucapan:haram puasa pada dua hari raya

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kalian.”

Dari Jubair bin Nufair, beliau berkata:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

“Dahulu para sahabat Nabi Shalallahu’alaihi wa Sallam apabila saling bertemu pada hari ‘Ied sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain (dengan ucapan):

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kalian.” (Fathul Bari, 2/446. Tamamul Minnah, m/s. 354)

Al-Imam Ibnu Baththah Al-‘Ukbari rahimahullah (Wafat: 387H) berkata:

وَكَذَا يِتَلَاقَى النَّاسُ عِنْدَ انْقِضَاءِ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَيَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: قَبِلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ. بِهَذَا مَضَتِ سَنَةُ الْمُسْلِمِينَ، وَعَلَيْهِ جَرَتْ عَادَاتُهُمْ، وَأَخَذَهُ خَلَفُهُمْ عَنْ سَلَفِهِمْ

“Demikianlah orang-orang saling berjumpa ketika berakhirnya bulan Ramadhan. Sebahagian mereka saling mengucapkan kepada sebahagian yang lainnya (dengan ucapan):

قَبِلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ

“Semoga Allah menerima (amalan soleh) dariku dan dari engkau.”

Dengan hal ini telah berlalu sunnah kaum muslimin. Di atasnya kebiasaan mereka berlangsung. Sunnah (kebiasaan) tersebut telah diambil oleh orang terkemudian daripada orang terdahulu mereka.” (Ibn Baththah, Al-Ibanah Al-Kubra, 2/871)

Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H) berkata:

قَالَ أَحْمَدُ، رَحِمَهُ اللَّهُ: وَلَا بَأْسَ أَنْ يَقُولَ الرَّجُل لِلرَّجُلِ يَوْمَ الْعِيدِ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك. وَقَالَ حَرْبٌ: سُئِلَ أَحْمَدُ عَنْ قَوْلِ النَّاسِ فِي الْعِيدَيْنِ تَقَبَّلَ اللَّهُ وَمِنْكُمْ. قَالَ: لَا بَأْسَ بِهِ، يَرْوِيه أَهْلُ الشَّامِ عَنْ أَبِي أُمَامَةَ

Imam Ahmad rahimahullah berkata, “Tidak mengapa seseorang mengucapkan kepada seseorang yang lainnya pada hari ‘Ied (dengan ucapan):

 تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan kamu.”

Harb berkata, “Ketika Imam Ahmad ditanya tentang ucapan orang ramai pada dua ‘Ied (dengan ucapan): Taqabbalallaahu minnaa wa minkum, beliau berkata, “Tidak mengapa dengannya, ia diriwayatkan oleh penduduk Syaam dari Abu Umaamah.”.” (Al-Mughni, 4/274)

Ibnu ‘Aqiil menyebutkan beberapa hadis tentang ucapan tahniah di hari ‘Ied, di antaranya, Muhammad bin Ziyad berkata, “Aku sedang bersama Abu Umaamah Al-Bahili dan para sahabat yang lain. Apabila mereka kembali dari solat ‘Ied, maka sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain (dengan ucapan):

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

Dan berkata Imam Ahmad, “Hadis Abu Umaamah isnadnya jayyid (bagus).”

‘Ali bin Tsaabit berkata, “Aku pernah bertanya kepada Imam Malik bin Anas (tentang ucapan tersebut) pada 35 tahun yang lalu, dan beliau berkata, “Masih dikenal (berlangsung) hal tersebut di Madinah.”

Diriwayatkan dari Imam Ahmad bahawa beliau berkata, “Aku tidak mendahului untuk mengucapkannya kepada seseorang, tetapi bila ada seseorang yang mengucapkannya, maka aku membalasnya.” (Al-Mughni, 4/274)

Dalam nukilan yang lain, Imam Malik ditanya tentang ucapan pada hari raya:

غَفَرَ اللَّهُ لَنَا وَلَك تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك

“Semoga Allah mengampuni kami dan engkau, semoga Allah menerima (amal-amal yang soleh) dari kami dan engkau.”

Imam Malik pun berkata:

لَا أَعْرِفُهُ وَلَا أُنْكِرُهُ

“Aku tidak mengenalnya dan tidak mengingkarinya.” (Al-‘Abdari, Al-Taaj wal Ikliil, 2/301)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah mengatakan tentang hal ini, kata beliau:

وَأَمَّا الِابْتِدَاءُ بِالتَّهْنِئَةِ فَلَيْسَ سُنَّةً مَأْمُورًا بِهَا وَلَا هُوَ أَيْضًا مِمَّا نُهِيَ عَنْهُ فَمَنْ فَعَلَهُ فَلَهُ قُدْوَةٌ وَمَنْ تَرَكَهُ فَلَهُ قُدْوَةٌ. وَاَللَّهُ أَعْلَمُ

“Adapun memulai mengucapkan tahniah (ucapan selamat) kepada orang lain (sempena hari ‘Ied) maka ia bukanlah sebahagian dari sunnah yang dianjurkan, dan bukan pula sesuatu yang dilarang dalam syari’at. Sesiapa yang melakukannya maka dia memiliki qudwah (teladan), dan orang yang meninggalkannya pun memiliki qudwah (teladan). Wallahu a’lam.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/253)

Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Ustaimin rahimahullah pernah ditanya, “Apa hukum tahniah (ucapan selamat) sempena hari raya? Adakah ada padanya bentuk ucapan tertentu?”

Maka jawab beliau rahimahullah:

التهنئة بالعيد جائزة، وليس لها تهنئة مخصوصة، بل ما اعتاده الناس فهو جائز ما لم يكن إثماً

“Ucapan tahniah (atau selamat) di hari ‘Ied adalah boleh, dan tidak ada padanya bentuk ucapan tertentu yang khusus. Sebaliknya apa yang pada adat kebiasaan yang dilakukan orang, maka itu boleh selagi mana bukan perbuatan dosa.”hari raya yang lebih baik

Beliau rahimahullah juga ditanya, “Apa hukum bersalaman tangan, berpelukan, dan saling mengucapkan selamat hari raya ketika selesai solat ‘ied?”

Jawab beliau rahimahullah:

هذه الأشياء لا بأس بها؛ لأن الناس لا يتخذونها على سبيل التعبد والتقرب إلى الله عز وجل، وإنما يتخذونها على سبيل العادة، والإكرام والاحترام، ومادامت عادة لم يرد الشرع بالنهي عنها فإن الأصل فيها الإباحة

“Semua perbuatan ini tidaklah mengapa. Kerana orang yang melakukanya tidak bermaksud untuk rangka ibadah dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan mereka melakukannya atas dasar adat, saling memuliakan, dan saling menghormati. Dan selagi adat tersebut tidak bertentangan dengan larangan syari’at, maka hukum asal padanya adalah boleh.” (Majmu’ Fatawa Ibn ‘Utsaimin, 16/208-210)

Adapun mengkhususkan hari raya dengan ucapan dan permohonan maaf sebagaimana dikenal dalam masyarakat kita hari ini, wallaahu a’lam penulis belum menemui sumber rujukan atau dalil yang dapat dijadikan sebagai rujukannya.

Berkaitan permohonan maaf, umumnya ia adalah amalan yang baik, boleh dilakukan pada bila-bila masa tatkala ada keperluan terhadapnya, khasnya ketika menyedari diri telah berbuat kesalahan atau kesilapan, maka hendaklah langsung dan bersegera memohon maaf, tanpa perlu menunggu-nunggu atau mengkhususkan amalan tersebut pada hari raya.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest