Perangkap Iblis Kepada Ahli Ibadah

http://bahaya-syirik.blogspot.com/

Pintu terbesar yang dimasuki Iblis dalam diri manusia adalah kebodohan. Iblis menyusup ke dalam diri orang-orang yang jahil dengan pelbagai bentuk dan cara. Sedangkan orang yang berilmu, Iblis tidak akan mampu memasukinya, melainkan dengan cara mencuri-curi jalan. Iblis telah memperdayai para ahli ibadah kerana ceteknya ilmu mereka. Kerana kebanyakkan di antara mereka hanya menyibukkan diri di dalam urusan kuantiti ibadah dan tidak mahu mendalami ilmu untuk beribadah dengan benar.

Dengan itu, perangkap (talbis) Iblis yang pertama kepada mereka adalah dengan mengajak mereka untuk mementingkan ibadah daripada ilmu, padahal ilmu itu lebih utama daripada nafilah. Iblis menampakkan kepada mereka bahawa maksud ilmu adalah amal. Sementara yang mereka fahami tentang amal ini hanya sekadar amal dengan anggota tubuh, dan apa yang harus mereka ketahui, bahawa amal itu adalah amal hati (iman/aqidah), dan amal hati lebih utama daripada amal anggota tubuh.

Mutharrif bin Abdullah berkata:

“Keutamaan ilmu lebih baik daripada keutamaan ibadah.”

Yusuf bin Asbath berkata:

“Satu juzuk ilmu yang engkau pelajari, lebih baik daripada tujuh puluh orang yang berperang.”

Al-Mu’afi bin Imran berkata:

“Menulis satu hadis lebih aku sukai daripada solat sepanjang malam.”

Ketika perangkap Iblis ini mengena, lalu mereka lebih mementingkan ibadah daripada ilmu, maka terbukalah kesempatan bagi sang Iblis untuk menciptakan perangkap dan makar seterusnya dari kepelbagaian posisi ibadah seterusnya.

Berikut adalah beberapa contoh perangkap-perangkap Iblis yang dipergunakan untuk memerangkap manusia.

Perangkap Iblis Di Dalam Persoalan Wudhu’:

1 – Mengajak menggunakan air berlebih-lebihan untuk mencapai yakin.

2 – Melafazkan dan menyusun-nyusun niat sehingga menjadi satu bentuk ayat.

Sedangkan di dalam berwudhu’ itu cukup sekadar dengan air yang sedikit. Dan persoalan niat cukup dengan cetusan hati (kehendak) yang disertakan perlaksanaan.

Talbis Iblis Di Dalam Persoalan Azan:

1 – Mengumandangkan bacaan zikir, tasbih, peringatan, lantunan ayat-ayat suci al-Qur’an dan seumpamanya sebagai tanda azan akan berkumandang dalam beberapa ketika lagi.

Sedangkan ini adalah bentuk-bentuk tambahan yang tidak disyari’atkan di dalam agama. Dan semua itu adalah termasuk bentuk-bentuk kemungkaran.

Talbis Iblis Di Dalam Persoalan Thaharah:

1 – Dengan mencuci pakaian berulang-ulang kali kerana tidak yakin akan kesuciannya. Serta dengan menggunakan air yang banyak dan membazir.

Talbis Iblis Di dalam Persoalan Solat:

1 – Melafazkan dan menyusun-nyusun niat sehingga menjadi satu bentuk ayat.

2 – Berzikir, bertasbih, dan membaca surah-surah tertentu seperti an-Naas sebelum memulakan solat (takbiratul ihram).

3 – Mengajak mengulang-ulang takbir ketika hendak memulakan solat dengan tujuan untuk memastikan solat yang dilaksanakan adalah betul-betul di dalam kekhusyukan dan keyakinan.

Sedangkan niat itu tempatnya di hati. Dan solat tidak dimulakan dengan lafaz-lafaz niat tetapi dengan bertakbir dan diakhiri dengan salam.

Mengulang-ulang takbir adalah suatu bentuk kebodohan terhadap tatacara solat itu sendiri.

Talbis Iblis Di Dalam Membaca al-Qur’an:

1 – Memperbanyakkan bacaan al-Qur’an tetapi melupakan persoalan tatacara yang betul di dalam membacanya, seperti persoalan tajwid, ketartilan dan meninggalkan soal penghayatan.

2 – Memperlagukan (memperindahkan bacaan) al-Qur’an dengan tujuan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Dan perkara ini adalah termasuk kepada perbuatan riya’.

Perangkap Iblis Di Dalam Persoalan Puasa:

1 – Melaksanakan puasa terus-menerus setiap hari.

2 – Berpuasa dengan meninggalkan makan dan minum, namun tidak mahu meninggalkan perkataan yang buruk dan perbuatan maksiat lainnya.

Sedangkan apa yang benar, Nabi juga berpuasa dan Nabi juga berbuka. Di dalam sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan bahawa puasa yang paling utama adalah dengan berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (diselang-selikan).

Perangkap Iblis Di Dalam Persoalan Tawakkal:

1 – Iblis menipu manusia dengan cara mengajak untuk malas bekerja dan berserah semata-mata nasibnya kepada keadaan. Jika Allah mahu memberi rezeki, nescaya ada rezeki baginya, jika tidak, maka tiadalah rezeki baginya.

Sedangkan konsep tawakkal perlu diiringi dengan usaha.

Wallahu a’lam…

Dipetik dan Diringkaskan daripada Kitab Talbis Iblis, susunan Imam Ibnul Jauzi rahimahullah, Terbiatan/terjemahan oleh Pustaka al-Kautsar, Cet. 9 (Oktober 2008).

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest