Fatwa Jama’ah Tabligh dan Hukum Solat Di Masjid Yang Terdapat Kubur

www.ilmusunnah.com

Syaikh ‘Abdul Aziz B. Bazz rahimahullah ditanya:

جماعة التبليغ، والصلاة في المساجد التي فيها قبور

س: سؤال من: م. ع- من أمريكا يقول: خرجت مع جماعة التبليغ للهند والباكستان، وكنا نجتمع ونصلي في مساجد يوجد بها قبور، وسمعت أن الصلاة في المسجد الذي يوجد به قبر باطلة فما رأيكم في صلاتي وهل أعيدها؟ وما حكم الخروج معهم لهذه الأماكن؟

ج: بسم الله، والحمد لله، أما بعد

جماعة التبليغ ليس عندهم بصيرة في مسائل العقيدة فلا يجوز الخروج معهم إلا لمن لديه علم وبصيرة بالعقيدة الصحيحة التي عليها أهل السنة والجماعة حتى يرشدهم وينصحهم ويتعاون معهم على الخير؛ لأنهم نشيطون في عملهم، لكنهم يحتاجون إلى المزيد من العلم، وإلى من يبصرهم من علماء التوحيد والسنة. رزق الله الجميع الفقه في الدين والثبات عليه

أما الصلاة في المساجد التي فيها القبور فلا تصح، والواجب إعادة ما صليت فيها؛ لقول النبي صلى الله عليه وسلم: ((لعن الله اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد)) متفق على صحته، وقوله صلى الله عليه وسلم: ((ألا وإن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد ألا فلا تتخذوا القبور مساجد فإني أنهاكم عن ذلك)) أخرجه مسلم في صحيحه. والأحاديث في هذا الباب كثيرة

وبالله التوفيق، وصلى الله على نبينا محمد، وآله وصحبه وسلم

Soalan:

Saya telah keluar (khuruj) bersama Jama’ah Tabligh ke India dan Pakistan, dan adalah kami berhimpun dan bersolat di masjid yang terdapat padanya kubur dan saya mendengar bahawa solat di masjid yang terdapat padanya kubur adalah batal (tidak sah) maka apakah pandangan anda berkenaan solat saya ini? Adakah perlu saya mengulanginya? Dan apakah hukum keluar bersama mereka (Jama’ah Tabligh) ke tempat-tempat ini?

Jawaban:

بسم الله، والحمد لله، أما بعد
Jama’ah Tabligh Tidak memiliki ilmu yang mendalam dalam pelbagai permasalahan ‘aqidah, maka TIDAK BOLEH keluar bersama-sama mereka melainkan bagi mereka yang memiliki ilmu dan bashirah (pengetahuan yang luas) tentang ‘aqidah yang Sahih yang dipegang oleh Ahlus Sunnah wal-Jama’ah supaya dia boleh memberi petunjuk kepada mereka, menasihati mereka, dan bekerjasama dengan mereka atas kebaikan; kerana mereka ini aktif dalam gerak kerja mereka tetapi mereka memerlukan lebih lagi ilmu dan orang yang mengajarkan kepada mereka daripada kalangan Ulama Tauhid dan Sunnah.
Semoga ALLAH memberikan rezeki kepada semua dengan kefahaman dalam agama dan tetap di atasnya.
Adapun solat di masjid-masjid yang terdapat padanya kuburan maka ia TIDAK SAH dan wajib engkau ulang solat yang telah engkau solat di dalamnya kerana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam:

لعن الله اليهود والنصارى اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد

“ALLAH melaknat Yahudi dan Nashara kerana mereka itu mengambil kuburan para Nabi mereka sebagai tempat ibadah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Hadis ini disepakati akan kesahihannya. Demikian juga sabda baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

ألا وإن من كان قبلكم كانوا يتخذون قبور أنبيائهم وصالحيهم مساجد، ألا فلا تتخذوا القبور مساجد؛ فإني أنهاكم عن ذلك

“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu mengambil kuburan para Nabi mereka dan orang-orang soleh mereka sebagai tempat ibadah, maka janganlah kamu menjadikan kuburan sebagai tempat ibadah kerana sesungguhnya aku melarang kamu dari perkara tersebut.”

Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahih beliau dan hadis-hadis berkenaan bab ini sangatlah banyak.

وبالله التوفيق، وصلى الله على نبينا محمد، وآله وصحبه وسلم

Sumber: Majmu’ Fatawa Ibn Baz, 8/331. http://binbaz.org.sa/mat/1984

Komentar oleh Ustaz Muhammad Asrie Sobri:

Daripada penjelasan Imam Ibn Baz rahimahullah ini, jelas beliau MENTAHZIR (memberikan peringatan) tentang Jama’ah Tabligh dengan mengatakan:

“TIDAK BOLEH keluar bersama mereka”

Namun, Imam Ibn Baz rahimahullah melihat adanya kelonggaran kepada para Ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah yang kukuh Ilmu Aqidah mereka dan I’tiqad mereka untuk keluar bersama Jama’ah Tabligh untuk “berdakwah” kepada mereka, iaitu bukan menjadi Ahli Jamaah Tabligh. Kata beliau:

“Supaya dia boleh memberi petunjuk kepada mereka, menasihati mereka, dan bekerjasama dengan mereka atas kebaikan.”

Hal ini kembali kepada kaedah dan dhawabit Wasail Dakwah jika ianya memberikan kesan dan faedah maka boleh kepada seorang da’ie masuk ke kawasan yang ada kemungkaran untuk mengubahnya. Adapun jika wasilah ini tidak memberikan hasil yang besar pada sangkaan yang kuat maka dikembalikan kepada hukum asal iaitu “Tidak Boleh.”

Adapun golongan awam, para penuntut ilmu yang tidak kukuh ilmu dan aqidah mereka yang terdedah kepada syubhat-syubhat, maka mereka ini tidak ada kelonggaran sama sekali untuk mengikut keluar (khuruj) dan hadir di majlis-majlis Jama’ah Tabligh ini kerana kehadiran mereka tiada faedah dan manfaat sama sekali bahkan mudharat amat besar.

Maka perlulah mentahzir (memberi peringatan) tentang Jama’ah Tabligh secara umum kerana majoriti manusia di zaman kini adalah golongan awam dan penuntut-penuntut ilmu, maka mereka yang mentahzir Jama’ah Tabligh telah melakukan tindakan yang sesuai dengan taujihat dan fatwa Imam Ibn Baz rahimahullah di atas dan tiada percanggahan mahupun pertentangan sama sekali.

Semoga kita diberi kefahaman yang benar dan jelas oleh ALLAH Subhanahu wa Ta’ala dan keteguhan dalam menjalankan suruhan-Nya. Ameen.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest