Ketinggian Allah Ta’ala di Atas Seluruh Makhluk-Nya

www.ilmusunnah.com

ilmu-Allah-sunan-tirmidzi

Al-Imam Al-Muzani rahimahullah (Wafat: 264H) menegaskan di kitab beliau Syarh As-Sunnah:

عَالٍ عَلَى عَرْشِهِ فِي مَجْدِهِ بِذَاتِهِ وَهُوَ دَانٍ بِعِلْمِهِ مِنْ خَلْقِهِ

“Maha Tinggi Allah di atas ‘Arsy-Nya pada keagungan-Nya dengan Dzat-Nya, dan Dia Maha Dekat terhadap makhluk-Nya dengan Ilmu-Nya.”

Beliau juga menyatakan:

جَلَّتْ صِفَاتُهُ عَنْ شِبْهِ صِفَاتِ الْمَخْلُوْقِيْنَ وَقَصُرَتْ عَنْهُ فِطَنُ الْوَاصِفِيْنَ قَرِيْبٌ بِالْإِجَابَةِ عِنْدَ السُّؤَالِ بَعِيْدٌ بِالتَّعَزُّزِ لاَ يُناَلُ عَالٍ عَلَى عَرْشِهِ بَائِنٌ مِنْ خَلْقِهِ مَوْجُوْدٌ وَ لَيْسَ بِمَعْدُوْمٍ وَلاَ بِمَفْقُوْدٍ

“Maha Mulia Sifat-Sifat-Nya dari penyerupaan dengan sifat-sifat makhluk, dan amatlah pendek (yakni terbatas) kepandaian orang-orang untuk menyifati-Nya, Dia Maha Dekat untuk meng-ijabahkan (memperkenankan) di sisi orang yang memohon, Dia Maha Jauh dengan penuh keagungan, tidak terjangkau. Dia Maha Tinggi di atas ‘Arsy-Nya, terpisah dari makhluk-Nya. Maha Ada, bukan tiada, serta tidak akan lenyap.”

Sifat Al-‘Uluw (ketinggian) adalah salah satu dari sifat-sifat dzatiyyah Allah ‘Azza wa Jalla yang tidak terpisah dari-Nya. Sifat ini seperti sifat-sifat yang lainnya, ia diterima dengan penuh keimanan dan pembenaran. Inilah pegangan ahlus sunnah wal-jama’ah. Mereka menyifatkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dengannya (sifat ketinggian) sebatas firman-Nya:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ (11)

“Tiada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Asy-Syuura , 42: 11)

Sifat Al-‘Uluw merangkumi ketinggian dari sisi Al-Qahr (kekuasaan), Al-Qadr (kemampuan dan kehendak), dan Adz-Dzat (dari sisi dzat, yakni Dia tinggi di atas seluruh makhluk-Nya di atas ‘Arsy-Nya).[1]

Sifat Al-‘Uluw ini ditunjukkan oleh dalil-dalil yang jelas dari Al-Qur’an dan As-Sunnah, ijma’ dan juga diakui oleh akal dan fitrah yang sejahtera. Telah mutawatir dalil-dalil yang bersumber dari Al-Kitab dan As-Sunnah tentang penetapan ketinggian Allah Subhanahu wa Ta’ala di atas seluruh makhluk-Nya.

Di antara sejumlah keterangan yang berasal dari Al-Kitab adalah sebagaimana berikut:

1, Firman Allah Ta’ala:

أَأَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يَخْسِفَ بِكُمُ الْأَرْضَ فَإِذَا هِيَ تَمُورُ

“Adakah kalian merasa aman terhadap (Allah) yang di langit bahawa Dia akan menterbalikkan bumi bersama kalian, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang.” (Surah Al-Mulk, 67: 16)

Juga di ayat berikutnya:

أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا فَسَتَعْلَمُونَ كَيْفَ نَذِيرِ

“Atau adakah kalian merasa aman terhadap (Allah) yang di langit bahawa Dia akan mengirimkan atas kalian ribut batu. Maka kelak kalian akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?” (Surah Al-Mulk, 67: 17)

2, Firman Allah Ta’ala:

إِلَيْهِ يَصْعَدُ الْكَلِمُ الطَّيِّبُ وَالْعَمَلُ الصَّالِحُ يَرْفَعُهُ

“Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya.” (Surah Al-Faathir, 35: 10)

3, Firman Allah Ta’ala:

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ دَابَّةٍ وَالْمَلَائِكَةُ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ (49) يَخَافُونَ رَبَّهُمْ مِنْ فَوْقِهِمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

“Dan kepada Allah-lah bersujud segala apa yang berada di langit dan apa yang melata di bumi, dan (juga) para malaikat; sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. Mereka takut kepada Rabb mereka yang di atas mereka, dan mereka melaksanakan apa-apa yang diperintahkan (kepada mereka).” (Surah An-Nahl, 16: 49-50)

Ketika dalil-dalil menjelaskan para malaikat naik dan turun, dan mereka dikenal sebagai penduduk langit, lalu dalil ini menegaskan bahawa Allah Ta’ala tinggi di atas mereka.

Al-Imam Ibn Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata setelah menyebutkan ayat tersebut:

فأعلمنا الجليل جل وعلا في هذه الآية أيضا أن ربنا فوق ملائكته وفوق ما في السموات وما في الأرض من دابة وأعلمنا أن ملائكته يخافون ربهم الذي فوقهم. والمعطلة تزعم أن معبودهم تحت الملائكة ألم تسمعوا قول خالقنا يدبر الأمر من السماء إلى الأرض ثم يعرج إليه

“Maka Allah yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi mengkhabarkan kepada kita pada ayat ini bahawa Rabb kita tinggi di atas malaikat-malaikat-Nya, dan tinggi di atas segala apa yang ada di langit dan dari apa-apa yang melata di bumi. Dan Dia mengkhabarkan kepada kita malaikat-malaikatnya takut kepada Rabb mereka yang berada tinggi di atas mereka.

Adapun kelompok Al-Mu’aththilah (yang mengingkari sifat-sifat Allah), mereka menyangka dan beranggapan bahawa apa yang mereka sembah itu berada di bawah para malaikat. Adakah mereka tidak mendengar firman Pencipta kita:

“Dia mentadbir (mengatur) urusan dari langit ke bumi, kemudian urusan itu naik kepada-Nya.” (Surah As-Sajdah, 32: 5).” (Kitab At-Tauhid oleh Ibn Khuzaimah, 1/233 – Tahqiq Dr. Samir bin Amiin Az-Zuhairi, Daar Al-Mughni (Riyadh), Cet. 2 (1432H))

4, Firman Allah Ta’ala:

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَى إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ…(55)

“(Ingatlah), ketika Allah berfirman: “Wahai ‘Isa, Aku akan menyampaikan engkau kepada akhir ajalmu dan mengangkat engkau kepada-Ku.”.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 55)

Juga di ayat yang lain:

بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

“Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat ‘Isa kepada-Nya…” (Surah An-Nisaa’, 4: 158)

5, Firman Allah Ta’ala:

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى (1)

“Sucikanlah nama Rabb-mu Yang Maha Tinggi.” (Surah Al-A’laa, 87: 1)

6, Firman Allah Ta’ala:

تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ

“Para malaikat dan Jibrail itu naik (menghadap) kepada-Nya dalam masa sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun (perjalanan).” (Surah Al-Ma’arij, 70: 4)

7, Firman Allah Ta’ala:

وَهُوَ الْقَاهِرُ فَوْقَ عِبَادِهِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ

“Dan Dialah yang berkuasa di atas hamba-hamba-Nya. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-An’Aam, 6: 18)

8, Firman Allah Ta’ala:

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

“(Adalah) Dia Maha Tinggi lagi Maha Agung.” (Surah Al-Baqarah, 2: 255)

Di ayat yang lain:

وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ

“(Adalah) Dia Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (Surah Saba’, 34: 23)

9, Firman Allah Ta’ala:

تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ

“Kitab (Al-Qur’an ini) diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Az-Zumar, 39: 1)

Di ayat yang lain:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkannya (yakni Al-Qur’an) di malam yang barakah, sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah Ad-Dukhan, 44: 3)

Di ayat yang lain lagi:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkannya (yakni Al-Qur’an) di malam Al-Qadr.” (Surah Al-Qadr, 97: 1)

Di ayat yang lain:

تَنْزِيلُ الْكِتَابِ مِنَ اللَّهِ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ

“Kitab ini (Al-Qur’an) diturunkan dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Mu’min, 40: 2)

Di ayat yang lain lagi:

تَنْزِيلٌ مِنَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ (2) كِتَابٌ فُصِّلَتْ آيَاتُهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

“(Al-Qur’an) Diturunkan dari Allah Ar-Rahman Ar-Rahiim. Kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya, yakni bacaan berbahasa ‘Arab, untuk kaum yang mengetahui,” (Surah Fushshilat, 41: 2)

Di ayat berikutnya:

لَا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ تَنْزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ

“(Al-Qur’an) Yang tidak datang padanya kebatilan sama ada dari depan mahupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.” (Surah Fushshilat, 41: 42)

Di ayat yang lain:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ تَنْزِيلًا

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur’an kepadamu (wahai Muhammad) dengan berangsur-angsur.” (Surah Al-Insaan, 76: 23)

10, Firman Allah Ta’ala:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ (36) أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا

“Dan berkatalah Fir’aun, “Wahai Haman, binakanlah bagiku sebuah bangunan yang tinggi supaya aku sampai ke pintu-pintu, (yakni) pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, dan bahawa aku beranggapan Musa itu seorang pendusta.”.” (Surah Al-Mu’min, 40: 36-37)

Al-Imam Abu Al-Qasim Al-Ashbahani rahimahullah (Wafat: 535H):

فكان فرعون قد فهم عن موسى أنه يثبت إلها فوق السماء حتى رام بصرحه أن  يطلع إليه ، واتهم موسى بالكذب في ذلك

“Bahawasanya Fir’aun telah memahami bahawa Musa menyatakan Tuhan-nya tinggi di atas langit sehingga Fir’aun berkeinginan untuk membina binaan yang dapat digunakan untuk dia sampai kepada-Nya. Namun Fir’aun menyalahkan Musa dengan mengatakan Musa telah berdusta pada pernyataannya tersebut.” (Al-Hujjah fi Bayaanil Mahajjah, 2/118 – Tahqiq Asy-Syaikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali)

Al-Imam Ibn Abi Al-‘Izz Al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792H) berkata:

فَمَنْ نَفَى الْعُلُوَّ مِنَ الْجَهْمِيَّةِ فَهُوَ فِرْعَوْنِيٌّ، وَمَنْ أَثْبَتَهُ فَهُوَ مُوسَوِيٌّ مُحَمَّدِيٌّ

“Maka siapa yang menafikan ketinggian Allah (di atas seluruh makhluk-Nya di atas ‘Arsy-Nya) dari kalangan Al-Jahmiyyah, maka dia adalah Fir’auni (pengikut Fir’aun), manakala siapa yang menetapkannya maka dia adalah pengikut Musa dan pengikut Muhammad.” (Syarh Ath-Thahawiyyah, m/s. 186)

Dan masih sangat banyak ayat-ayat yang lainnya yang menjelaskan tentang ketinggian Allah Ta’ala di atas seluruh makhluk-Nya. Sehingga sebahagian ulama menegaskan terdapat ribuan dalil di dalam Al-Qur’an yang menyebutkan tentang hal tersebut.

Demikian pula di dalam hadis-hadis, terlalu banyak untuk dipaparkan dan terlalu masyhur untuk disebutkan, apatah lagi bukan hanya seorang ulama yang menyebutkannya dengan darjat yang mutawatir, di antaranya adalah Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H) sebagaimana di kitab beliau, Al-‘Uluw dan juga Al-‘Arsy. Dan kitab Al-‘Uluw tersebut telah diringkaskan (dipermudahkan) pula oleh Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah.

Disebutkan pula oleh Al-Imam Ibnu Abil ‘Izz Al-Hanafi rahimahullah (Wafat: 792H) di kitab beliau Syarh Ath-Thahawiyah bahawa ada dua puluh bentuk dalil tentang ketinggian Allah di atas makhluk-Nya, beliau berkata:

وهذه الأنواع من الأدلة لو بسطت أفرادها لبلغت نحو ألف دليل، فعلى المتأول أن يجيب عن ذلك كله! وهيهات له بجواب صحيح عن بعض ذلك

“Semua bentuk dalil-dalil ini, jika dihuraikan satu per satu dengan panjang lebar, nescaya akan mencecah sehingga seribu dalil. Atas sebab itu, mereka yang mentakwilnya harus menjawab semuanya, tetapi nescaya tidak akan mampu dan tidak akan dapat menjawabnya dengan jawaban yang sahih (untuk menyangkalnya) walaupun hanya untuk sebahagian darinya.”[2]

Di antara dalil-dalil dari hadis-hadis yang menjelaskan ketinggian Allah di atas makhluk-Nya adalah:

1, Hadits Mu’awiyah bin Al-Hakam As-Sulami, beliau menyampaikan:

وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ، فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا، وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ، آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ، لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً، فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَيَّ، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ أَفَلَا أُعْتِقُهَا؟ قَالَ: «ائْتِنِي بِهَا» فَأَتَيْتُهُ بِهَا، فَقَالَ لَهَا: « ؟» قَالَتْ: فِي السَّمَاءِ، قَالَ: «مَنْ أَنَا؟» قَالَتْ: أَنْتَ رَسُولُ اللهِ، قَالَ: «أَعْتِقْهَا، فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ»

“Dahulu aku memiliki seorang jariyah (hamba perempuan) yang bertugas mengembala kambing-kambing milikku di persekitaran gunung Uhud dan Jawwaniyyah. Suatu hari aku mengintainya, ternyata serigala telah membawa pergi seekor kambing betina dari gembalaannya, dan adapun aku adalah lelaki biasa dari kalangan bani Adam, aku pun merasa kecewa sebagaimana manusia biasa yang kecewa, lalu aku pun memukulnya dengan suatu pukulan.

Maka aku pun datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau menganggap besar perbuatanku tersebut. Aku pun bertanya kepadanya:

“Wahai Rasulullah, adakah aku harus memerdekakannya?” Beliau berkata:

“Bawakan dia kepadaku.”

Setelah itu, aku pun mendatangkannya. Rasulullah pun bertanya kepadanya:

“Di mana Allah?” Hamba perempuan tersebut pun menjawab, “Di langit.” Tanya beliau lagi, “Siapakah aku?” Jawabnya, “Engkau adalah Rasulullah (utusan Allah).”

Rasulullah pun berkata kepadaku:

“Merdekakanlah dia kerana dia seorang Mukminah.”.” (Muwaththa’, 2/776. Musnad Ahmad, no. 23762. Shahih Muslim, no. 537. Sunan Abi Dawud, no. 930, 3282. Sunan An-Nasaa’i, no. 1218)

Al-Imam Adz-Dzahabi menyatakan sebagaimana di kitab beliau, Al-‘Uluw:

“Hadis ini adalah sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Dawud, dan An-Nasaa’i, dan bukan hanya seorang dari kalangan para imam yang memuatkannya di kitab-kitab mereka. Semua mereka menerimanya sebagaimana datangnya, tidak ada yang cuba-cuba untuk mentakwil mahupun mentahrifnya.”

Kata beliau lagi:

“Demikianlah kami melihat dan berfikir bahawa setiap orang yang ditanya dengan pertanyaan, “Di mana Allah?” Maka secara spontan nalurinya akan menjawab, “Di langit.”.”

Ada dua perkara yang terkandung di dalam hadis ini:

Disyari’atkan untuk bertanya kepada seorang Muslim, “Di mana Allah?”

Disyari’atkan menjawabnya dengan jawaban, “Allah di langit?”

Siapa yang mengingkari dua perkara ini, bermakna dia telah mengingkari Al-Musthofa (Rasulullah) Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.[3]

2, Hadis tentang kisah Isra’ dan Mi’raj, sebuah hadis yang mutawatir, sebagaimana disebutkan oleh sejumlah ulama.[4]

Di dalam beberapa lafaz hadis ini terkandung isyarat yang menunjukkan makna dan hakikat ketinggian Allah Ta’ala di atas ‘Arsy-Nya, di antaranya pada ungkapan:

فَحُمِلْتُ عَلَيْهِ، ثُمَّ انْطَلَقْنَا حَتَّى أَتَيْنَا السَّمَاءَ الدُّنْيَا، فَاسْتَفْتَحَ

“Lalu aku dibawa naik kpada-Nya, maka berangkatlah Jibril bersamaku hingga sampai ke langit yang terendah (langit dunia), Jibril pun memohon izin agar dibukakan.”

Kemudian, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam naik hingga melepasi langit ketujuh dan berakhir pada sisi Rabb-nya. Maka Allah pun mendekatkannya kepada-Nya dan difardhukan solat atasnya.

Di antara yag lain lagi adalah ulang-aliknya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di antara Musa ‘alaihis Sallam dan Rabbnya, dan turunnya beliau dari sisi Rabb-nya Tabaraka wa Ta’ala menuju Musa sampailah akhirnya Allah memberikan keringanan kepada ummatnya.

Bahkan, di dalam sejumlah lafaz hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan yang lainnya begitu jelas diungkapkan dengan kata ‘uluw, seperti hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan yang lainnya, di mana padanya disebutkan:

ثُمَّ عَلاَ بِهِ فَوْقَ ذَلِكَ بِمَا لاَ يَعْلَمُهُ إِلَّا اللَّهُ، حَتَّى جَاءَ سِدْرَةَ المُنْتَهَى، وَدَنَا لِلْجَبَّارِ رَبِّ العِزَّة، …ثُمَّ هَبَطَ حَتَّى بَلَغَ مُوسَى، فَاحْتَبَسَه… فَعَلاَ بِهِ إِلَى الجَبَّارِ، فَقَالَ وَهُوَ مَكَانَهُ…

“Kemudian naik bersamanya melampaui yang demikian dengan sesuatu yang tidak diketahui, kecuali oleh Allah hingga sampailah ke Sidratul Muntaha. Dan kami menuju mendekat kepada Al-Jabbaar Rabb yang memiliki kemuliaan… Kemudian kami bergerak turun hingga sampai kembali kepada Musa, lalu Musa menahannya… Maka Nabi naik lagi bersama Jibril menuju kepada Allah Al-Jabbaar, lalu Nabi pun berkata dengan tetap pada kedudukannya…” (Shahih Al-Bukhari, no. 7517)

Hadis ini memiliki kesan yang besar dan isyarat yang jelas akan ketinggian Allah di atas seluruh makhluk-Nya.[5]

3, Hadis Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu, di dalamnya disebutkan:

فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «أَلَا تَأْمَنُونِي؟ وَأَنَا أَمِينُ مَنْ فِي السَّمَاءِ، يَأْتِينِي خَبَرُ السَّمَاءِ صَبَاحًا وَمَسَاءً»

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Tidakkah kalian percaya kepadaku, dan aku ini adalah kepercayaan yang ada di langit, khabar dari langit (wahyu) datang kepadaku pada pagi dan petang hari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4315. Muslim, no. 1064)

4, Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr,

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

“Orang-orang yang penyayang akan disayangi oleh Ar-Rahman (Allah yang Maha Penyayang). Sayangilah penduduk bumi, nescaya kalian akan disayangi oleh (Rabb) yang berada di atas langit.” (Sunan Abi Dawud, no. 4941)

5, Dari hadis Samurah bin Jundab radhiyallahu ‘anhu.

Beliau berkata:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَتَدَاوَلُ فِي قَصْعَةٍ مِنْ غُدْوَةٍ حَتَّى اللَّيْلِ يَقُومُ عَشَرَةٌ وَيَقْعُدُ عَشَرَةٌ، قُلْنَا: فَمَا كَانَتْ تُمَدُّ “؟ قَالَ: «مِنْ أَيِّ شَيْءٍ تَعْجَبُ ‍ مَا كَانَتْ تُمَدُّ إِلَّا مِنْ هَاهُنَا وَأَشَارَ بِيَدِهِ إِلَى السَّمَاءِ

“Kami pernah menikmati suatu hidangan bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam secara bergantian dari satu pinggan ke satu pinggan semenjak awal pagi sampailah ke malam. Ketika sepuluh orang selesai dan bangkit pergi, maka datang dan duduk sepuluh orang yang lainnya pula (untuk menikmati).”

Kami (Abu Al-‘Alaa’ – perawi hadis, murid Samurah bin Jundab) bertanya:

“Bagaimana makanan dalam pinggan tersebut terus bertambah?

Maka jawab Samurah, “Adakah sesuatu yang membuat engkau hairan, makanan tersebut bertambah tidaklah lain kecuali dari sana.” Sambil beliau mengisyaratkan tangannya ke langit.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3625. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari atsar ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu,

Qays berkata:

لَمَّا قَدِمَ عُمَرُ الشَّامَ اسْتَقْبَلَهُ النَّاسُ وَهُوَ عَلَى الْبَعِيرِ فَقَالُوا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ لَوْ رَكِبْتَ بِرْذَوْنًا يَلْقَاكَ عُظَمَاءُ النَّاسِ وَوُجُوهُهُمْ , فَقَالَ عُمَرُ: «لَا أَرَاكُمْ هَاهُنَا , إِنَّمَا الْأَمْرُ مِنْ هُنَا» وَأَشَارَ بِيَدِهِ إِلَى السَّمَاءِ

“Ketika ‘Umar baru datang dari Syaam, orang-orang menghadap kepadanya di mana beliau pada ketika itu masih di atas unta tunggangannya. Mereka berkata:

“Wahai Amir Al-Mukminin, jika engkau berkenderaan dengan menunggang kuda yang tegap, nescaya para pembesar dan tokoh-tokoh masyarakat akan menemui engkau.”

Maka ‘Umar menjawab:

“Tidakkah kalian lihat, bahawasannya perintah itu datang dari sana?” – Sambil beliau (‘Umar) mengisyaratkan  tangannya ke langit.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 33844. As-Sunnah oleh Abu Bakr Al-Khollaal, no. 397)

6, Hadis tentang pernikahan Zainab bintu Jahsy radhiyallahu ‘anha dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Anas berkata:

لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ فِي زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ {فَلَمَّا قَضَى زَيْدٌ مِنْهَا وَطَرًا زَوَّجْنَاكَهَا} [الأحزاب: 37] قَالَ: فَكَانَتْ تَفْخَرُ عَلَى أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ: «زَوَّجَكُنَّ أَهْلُكُنَّ وَزَوَّجَنِي اللَّهُ مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَاوَاتٍ

“Ayat ini turun berkenaan dengan Zainab bintu Jahsy:

“Maka ketika Zayd telah mengakhiri keperluannya dari isterinya (menceraikannya), maka Kami nikahkan engkau dengannya.” (Surah Al-Ahzaab, 33: 37)

Anas berkata: “Bahawasnaya Zainab membanggakan dirinya atas isteri-isteri Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam yang lain (dengan suatu kelebihan), di mana beliau berkata:

“Yang menikahkan kalian (dengan Nabi) adalah keluarga-keluarga kalian, sementara yang menikahkan aku adalah Allah dari atas tujuh langit-langit-Nya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3213. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

7, Dari atsar ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.

Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah menyebutkan:

سبحان من وسع سمعه الأصوات فسمع الله جل وعلا كلام المجادلة وهو فوق سبع سموات مستو على عرشه وقد خفي بعض كلامها على من حضرها وقرب منها

“Maha suci Allah yang pendengara-Nnya menjaukaui setiap suara-suara. Allah Jalla wa ‘Ala telah mendengar perkataan perempuan yang membuat aduan, sedang Allah tinggi di atas tujuh langit, istiwa’ di atas ‘Arsy-Nya. Sedang sebahagian orang-orang yang hadir dan dekat dengannya pada ketika itu telah terluput sebahagian perkataan.” (Kitab At-Tauhid oleh Ibn Khuzaimah, 1/114 – Tahqiq Dr. Samir bin Amiin Az-Zuhairi, Daar Al-Mughni (Riyadh), Cet. 2 (1432H))

8, Perkataan Abu Dzarr tentang Khabar Kenabian.

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata:

لَمَّا بَلَغَ أَبَا ذَرٍّ مَبْعَثُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَكَّةَ قَالَ لِأَخِيهِ: ارْكَبْ إِلَى هَذَا الْوَادِي، فَاعْلَمْ لِي عِلْمَ هَذَا الرَّجُلِ الَّذِي يَزْعُمُ أَنَّهُ يَأْتِيهِ الْخَبَرُ مِنَ السَّمَاءِ، فَاسْمَعْ مِنْ قَوْلِهِ ثُمَّ ائْتِنِي، فَانْطَلَقَ الْآخَرُ حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ، وَسَمِعَ مِنْ قَوْلِهِ، ثُمَّ رَجَعَ إِلَى أَبِي ذَرٍّ فَقَالَ: رَأَيْتُهُ يَأْمُرُ بِمَكَارِمِ الْأَخْلَاقِ، وَكَلَامًا مَا هُوَ بِالشِّعْرِ

“Ketika sampai berita kepada Abu Dzar (yakni sebelum beliau masuk Islam – pent.) tentang pengutusan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di Makkah (sebagai seorang Nabi), maka beliau pun berkata kepada saudaranya (Unais), “Pergilah ke tempat ini dengan berkenderaan, khabarkan kepadaku ilmu lelaki ini yang mana dia telah mendakwa menerima khabar dari langit. Dengarlah ucapan-ucapannya kemudian sampaikan kepadaku. Maka Unais pun segera bertolak sehingga sampai di Makkah, dan beliau pun mendengar dari ucapan-ucapan Nabi. Lalu kemudian beliau pun kembali kepada Abu Dzarr lalu berkata:

“Aku melihat beliau memerintahkan dengan akhlak yang mulia, beliau menyampaikan Kalam Allah dan tidaklah dia bersya’ir…” (Shahih Muslim, no. 2474)

Al-Imam Al-Bukhari turut membuat bab dengan hadis ini di kitab Shahih-nya.

9, Peredaran Matahari di Bawah ‘Arsy.

Dari hadis Abu Dzarr, beliau berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَوْلِهِ: {وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا} [يس: 38]، قَالَ: «مُسْتَقَرُّهَا تَحْتَ العَرْشِ

 “Aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang firman-Nya:

“Matahari itu beredar dengan sangat laju pada garis peredarannya.” (Surah Yasin, 36: 38)

Nabi bersabda, “Ia beredar (atau menetap) di bawah ‘Arsy.” (Shahih Al-Bukhari, no. 7433)

10, Allah menetapkan hukum-Nya dari atas langit.

Dari ‘Aamir bin Sa’d menyebutkan tentang bapanya (Sa’d bin Mu’adz) ketika Sa’d bin Mu’adz radhiyallahu ‘anhu menetapkan hukum bagi Bani Quraizhah dengan hukum Allah, lalu ketika beliau menyebutkannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Rasulullah pun bersabda:

لَقَدْ حَكَمَ الْيَوْمَ فِيهِمْ بِحُكْمِ اللهِ الَّذِي حَكَمَ بِهِ مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَاوَاتٍ

“Sungguh engkau telah menetapkan hukum pada hari ini untuk mereka dengan hukum yang telah Allah tetapkan dengannya dari atas tujuh langit.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 18018. Al-Asma’ wa Ash-Shifat, no. 885)

Secara umumnya, hadis-hadis yang mengandungi makna seumpama ini amatlah banyak jumlahnya.[6]

Sifat Al-‘Uluw, selain diterangkan melalui dalil-dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah, ia juga akan diakui dari dasar akal dan fitrah yang sejahtera.

Demikianlah sebahagian dari dalil-dalil yang menjelaskan sifat ‘Uluw bagi Allah, yang dalil-dalilnya bagaikan matahari di siang hari yang pada hakikatnya tidak memerlukan sebarang komentar pun. Dalil-dalil tersebut sudah jauh lebih dari cukup bagi orang-orang yang matanya disinari dengan keimanan, diberikan kefahaman oleh Allah, dan diselamatkan-Nya dari ucapan-ucapan ahli bid’ah yang pernuh talbis.

Wallaahu a’lam.

Baca artikel berikutnya dengan judul, Sifat Istiwa’ Bagi Allah, Dalil-dalilnya, dan Kefahaman Terhadapnya.


 

[1] Lihat: Syarh Al-‘Aqiidah Ath-Thahawiyyah oleh Ibn Abi Al-‘Izz, m/s. 187.

[2] Lihat: Syarh Al-‘Aqiidah Ath-Thahawiyyah oleh Ibn Abi Al-‘Izz, m/s.186. Lihat juga rincian dalil-dalil bagi permasalahan ini dalam kitab Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah karya Ibnu Al-Qayyim rahimahullah.

[3] Lihat: Mukhtashar ‘Uluw oleh Al-Albani, m/s. 81.

[4] Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah oleh Ibn Al-Qayyim, m/s. 47.

[5] Lihat: Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah, m/s. 47-48. Mukhtashar Al-‘Uluw, m/s. 89-90.

[6] Lihat: Ijtimaa’ Al-Juyuusy Al-Islamiyyah, m/s. 47-61. Mukhatshar Al-‘Uluw, m/s. 81-125.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Pingback: Sifat Istiwa’ Bagi Allah, Dalil-dalilnya, dan Kefahaman Terhadapnya » ilmusunnah.com

Comments are closed.