Agar Doa Mustajab Lagi Berpahala

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

doa-saat-sujud

Doa dan zikir adalah ibadah yang agung. Ia sebagaimana ibadah-ibadah yang lain; doa memiliki adab dan tatacara ditetapkan sebagai tanda ketaatan, pengabdian dan ketundukan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sesiapa yang melaksanakan sebagaimana dikehendaki sama ada diperkenankan atau pun ditunda, ia akan mendapat pahala dan ganjaran dari Allah.

Dari hadis An-Nu’maan bin Basyiir radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ ثُمَّ قَرَأَ وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

“Doa adalah ibadah.” Kemudian beliau membaca ayat,

Rabb kalian berfirman: “… berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan untukmu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari mengibadahi-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3247. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dan amalan doa adalah merupakan iman kepada Allah. Doa adalah gambaran kedudukan, kedekatan, perhatian, pengharapan, kebergantungan, dan kecintaan kita terhadap Allah ‘Azza wa Jalla.

Kata sahabat Nabi, Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma:

دُعَاؤُكُمْ إِيمَانُكُمْ لِقَوْلِهِ عَزَّ وَجَلَّ: {قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلاَ دُعَاؤُكُمْ} [الفرقان: 77] وَمَعْنَى الدُّعَاءِ فِي اللُّغَةِ الإِيمَانُ

“Doa kalian adalah iman kalian berdasarkan firman Allah ‘Azza wa Jalla, “Katakanlah (kepada orang-orang musyrik), “Rabbku tidak mengindahkan kalian kecuali kalau ada doa (iman) kalian…” (Surah Al-Furqan, 25: 77)

Dan makna Ad-Du’a secara bahasa adalah Al-Iman.” (Shahih Al-Bukhari, 1/10)

Di antara adab-adab penting dalam berdoa adalah dengan mengikhlaskan hati hanya kepada-Nya, penuh mengharap, tidak tergesa-gesa, merendah diri, dengan suara yang lembut, dan tidak melampaui batas.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَادْعُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

“Maka berdoalah kepada Allah dengan mengikhlaskan (memurnikan) agama (ibadah) semata-mata hanya kepada-Nya walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.” (Surah Al-Mukmin, 40: 14)

Di antara adab yang penting ketika berdoa kepada Allah adalah dengan menghadirkan hati yang ikhlas semata-mata hanya kepada-Nya, memurnikan tauhid hanya kepada-Nya, tidak boleh syirik dengan berdoa meminta kepada selain Allah di samping berdoa kepada-Nya. Sebagaimana halnya yang dilakukan oleh kaum Syi’ah yang berdoa kepada ‘Ali, Al-Hasan, Al-Husain, dan Fathimah di samping berdoa kepada Allah. Tidak boleh juga sebagaimana sebahagian kaum sufi yang berdoa menyeru kepada ‘Abdul Qadir Al-Jailani, tok-tok wali, tok-tok guru, kubur orang-orang soleh, dan seumpamanya. Perbuatan mereka ini saling tidak tumpah dengan perbuatan kaum-kaum sesat terdahulu yang berdoa kepada orang-orang soleh mereka di samping berdoa kepada Allah. Antaranya mereka berdoa kepada ‘Isa, Uzayr, dan bahkan mereka turut berdoa kepada para malaikat. (lihat artikel: Menyeru Kepada Selain Allah di Samping Berdoa Kepada Allah)

Allah Ta’ala berfirman:

وَلَا تَدْعُ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُكَ وَلَا يَضُرُّكَ فَإِنْ فَعَلْتَ فَإِنَّكَ إِذًا مِنَ الظَّالِمِينَ

“Dan janganlah engkau menyeru (memohon) kepada selain Allah, iaitu apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepada engkau selain Allah. Kerana jika engkau melakukan (begitu), maka sesungguhnya engkau termasuk orang-orang yang zalim (syirik).” (Surah Yunus, 10: 106)

Dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ

“Apabila engkau berdoa maka berdoalah kepada Allah, dan apabila engkau memohon (pertolongan) maka mohonlah kepada Allah.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2516. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dalam berdoa, kita tidak boleh lalai dan sambil lewa. Sebaliknya kita perlu berdoa dengan penuh kesungguhan lagi penuh pengharapan.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لَاهٍ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian yakin ia diperkenankan. Ketahuilah bahawa Allah Ta’ala tidak akan menerima doa dari hati yang lalai lagi sambil lewa.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3479. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Oleh sebab itulah doa orang-orang yang dalam kesusahan, teraniaya, dan dihimpit musibah biasanya lebih berpeluang diterima doa-doa mereka. Kerana pada masa tersebut doanya lebih khusyuk, fokus, merasa takut tidak diterima doanya, hatinya benar-benar merasa kerdil dan harapannya menggunung tinggi kepada Allah.

Rendah Diri Ketika Berdoa

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

“Berdoalah kepada Rabb-mu dengan rendah diri dan suara yang lembut, sesunggunya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raaf, 7: 55)

Janganlah kita menyombongkan diri kepada Allah, jangan sampai kita merasa cukup dari kurniaan-Nya sehingga menjadikan kita lalai dan meninggalkan berdoa kepada-Nya. Tetapi hendaklah kita sentiasa berdoa kepada-Nya, dan terus berdoa. Dan hendaklah kita berdoa kepada-Nya dengan penuh rendah diri, rasa takut kepada Allah, tenang, sabar, merasa sangat memerlukan, dan merasa kerdil di hadapan Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ

“… dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan penuh harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang muhsin.” (Surah Al-A’raaf, 7: 56)

Di samping itu semua, Allah dan Nabi-Nya turut memerintahkan supaya berdoa dengan suara yang perlahan dan lembut, iaitu seperti suara orang sedang berbisik-bisik, suara yang menunjukkan kerendahan, kelembutan, penuh harap, dan ketundukan.

Al-Hafiz Ibnu Katsir menukilkan perkataan salaf, Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah:

ولقد كان المسلمون يجتهدون في الدعاء، وما يُسمع لهم صوت، إن كان إلا همسا بينهم وبين ربهم، وذلك أن الله تعالى يقول: ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

“Kaum muslimin dahulu sangat bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi suara mereka tidak kedengaran melainkan hanya bisik-bisik antara mereka dengan Rabb mereka. Itu adalah kerana Allah telah berfirman, “Berdoalah kepada Rabb-mu dengan rendah diri dan suara yang lembut.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 3/428)

Sebagai motivasi dan iktibar dari tafsir ayat ini, dalam awal Surah Maryam Allah menceritakan kisah Nabi Zakariya yang tidak pernah putus asa dan tidak pernah kecewa dalam berdoa meminta agar dikurniakan zuriat walaupun dirinya telah tua beruban, dan isterinya pula mandul. Beliau tetap kental yakin dengan berdoa dan terus berdoa kepada Allah dengan suara yang lembut. Sehingga akhirnya Allah beri khabar gembira untuknya dengan kurniaan zuriat bernama Yahya.

Faedah yang dapat diangkat dari kisah Nabi Zakariya ini adalah doa dengan penuh harap, tidak putus asa, dan dengan suara yang lembut. Iaitu merupakan sebahagian daripada kunci-kunci penting untuk mendapat doa mustajab. Oleh itu, kisah tersebut sepatutnya mampu memotivasikan kita agar sentiasa berdoa, terus berdoa dan berdoa lagi tanpa putus asa. (Ikuti kisah Doa Nabi Zakariya di sini)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda:

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ، مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ، مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ؟ قَالَ: يَقُولُ: قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ، فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي، فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

“Doa seorang hamba akan diperkenankan selagi mana ia tidak berdoa untuk perkara dosa atau untuk memutuskan silaturahim, dan selagi mana dia tidak isti’jal (tergesa-gesa).”

Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan al-isti’jal?”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Iaitu apabila seseorang mengatakan, “Aku telah berdoa dan berdoa tetapi tidak juga diperkenankan.” Maka dia pun kecewa dan meninggalkan doa.” (Shahih Muslim, no. 2735)

Adapun doa dengan suara perlahan dengan cara bisik-bisik yang disebutkan, ia merupakan kaedah dan adab yang bersifat umum untuk setiap doa dan zikir. Terkecuali bagi doa-doa yang dikhususkan padanya dengan suara kuat dan lantang. Seperti doa qunut dalam solat witir (khasnya bagi imam), qunut nazilah, doa istisqa’ (solat memohon hujan), doa dalam khutbah Juma’at dan hari raya, atau yang seumpamanya yang padanya terdapat dalil-dalil bersifat khusus.

Keumuman doa dengan suara perlahan ini dijelaskan dengan banyak dalil, termasuk dalil-dalil hadis dan atsar para salaf. Antaranya sebagaimana dalam sebuah hadis ketika mana para sahabat yang sedang dalam perjalanan bersama-sama Rasulullah, mereka masing-masing bertakbir, berdoa, dan berzikir dengan suara yang kuat. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda sebagai teguran:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا، إِنَّهُ مَعَكُمْ إِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ، تَبَارَكَ اسْمُهُ وَتَعَالَى جَدُّهُ

“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru (berdoa) kepada yang pekak dan yang jauh, sesungguhnya Dia bersama kamu, Maha Mendengar lagi sangat dekat. Maha suci Nama-Nya dan maha Tinggi Kebesarannya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2992. Dari hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu)

Dalam satu atsar riwayat Al-Imam ‘Abdurrazzaq pula disebutkan:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَكْرَهُونَ رَفْعَ الصَّوْتِ عِنْدَ ثَلاَثٍ: عِنْدَ الْقِتَالِ، وَعِنْدَ الْجَنَائِزِ، وَعِنْدَ الذِّكْرِ

“Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mereka membenci mengangkat suara pada tiga keadaan. Iaitu ketika berperang, ketika di sisi jenazah, dan ketika berzikir.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 34104)

Inilah sebahagian adab-adab berdoa yang banyak diabaikan oleh masyarakat Islam pada hari ini di pelbagai tempat dan situasi. Mereka memandang enteng adab-adab ini sampai ada yang khayal berdoa dengan suara-suara yang lantang dibantu alat-alat pembesar suara, bahkan ada yang melagukan dan menyanyikan doa-doa mereka dengan muzik. Allaahul musta’aan.

Memanjatkan puji-pujian dan selawat

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

وَلِلَّهِ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan hanya milik Allah nama-nama yang baik (asmaa’ul-husnaa), maka serulah (berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama tersebut, dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam menyeru nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah Al-A’raaf, 7: 180)

Dari hadis Buraidah Al-Aslami radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلاً يَدْعُو وَهُوَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ الأَحَدُ الصَّمَدُ، الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، قَالَ: فَقَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ، وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendengar seorang lelaki berdoa di mana beliau mengucapkan:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau dengan kesaksianku bahawa Engkau adalah Rabb, tidak ada ilah (yang berhak diibadahi) selain Engkau satu-satunya, tempat bergantung dan meminta, yang tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan, dan tidak ada suatu apa pun yang menyamai-Nya.”

Nabi bersabda:

“Demi Dzat yang jiwaku di Tangan-Nya, sesungguhnya jika dia berdoa kepada Allah dengan nama-nama-Nya yang Agung, yang apabila dia dimohon dengan nama-nama tersebut nescaya Dia akan memperkenankannya, dan apabila Dia diminta dengan nama-nama tersebut, nescaya Dia akan memberi.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3475. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Fadhalah bin ‘Ubaid, beliau berkata:

بَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَقَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي، إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدِ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ، وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ. قَالَ: ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ.

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang duduk, tiba-tiba seorang lelaki masuk, lalu solat dan berdoa (dengan doa):

“Ya Allah, ampuni aku dan kasihani aku.”

Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Engkau tergesa-gesa wahai mushalli (orang yang solat). Apabila engkau solat, kemudian duduk, maka pujilah Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya. Bacalah selawat ke atasku, kemudian berdoalah.”

Setelah itu, seorang lelaki yang lain solat, setelah itu dia memuji Allah, berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Wahai mushalli (orang yang solat) berdoalah, nescaya akan diperkenankan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3476)

Juga dari Fadhalah bin ‘Ubaid, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ رَبِّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ، ثُمَّ لِيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ، ثُمَّ لِيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ

“Apabila kalian berdoa, hendaklah memulakannya dengan memuji Allah dan mengagungkan-Nya, kemudian berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kemudian berdoalah bersesuaian dengan apa yang dikehendaki.” (Musnad Ahmad, no. 3477. Sunan At-Tirmidzi, no. 3477)

Jangan Berdoa Kecuali Untuk Kebaikan

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ

“Janganlah engkau berdoa keburukan untuk dirimu, janganlah engkau berdoa keburukan untuk anak-anakmu, dan janganlah engkau berdoa keburukan untuk hartamu. Jangan sampai doa-doa keburukan tersebut bertepatan dengan waktu yang jika berdoa kepada-Nya maka akan dikabulkan.” (Shahih Muslim, no. 3009. Sunan Abi Dawud, no. 1532)

Dari hadis Ummu Salamah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ

“Janganlah engkau berdoa untuk dirimu kecuali dengan kebaikan, kerana para malaikat mengaminkan apa yang engkau ucapkan.” (Shahih Muslim, no. 920)

Berdoa Dengan Doa Yang Ringkas dan Diulang-ulang

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنَ الدُّعَاءِ، وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyukai doa-doa yang jawaami’ (yang ringkas dan mencakup maknanya), dan meninggalkan yang selain itu.” (Sunan Abi Dawud, no. 1482)

‘Abdullah bin Mas’oud berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْجِبُهُ أَنْ يَدْعُوَ ثَلَاثًا، وَيَسْتَغْفِرَ ثَلَاثًا

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyukai apabila berdoa diulangi tiga kali, dan apabila beliau beristighfar (memohon ampun), beliau ulangi tiga kali.” (Musnad Ahmad, no. 3744. Sunan Abi Dawud, no. 1524)

Memanfaatkan Waktu-waktu Terkabulnya Doa

Termasuk adab dan karektor yang menunjukkan kesungguhan dalam berdoa, adalah dengan memerhatikan dan tidak melalaikan dari waktu-waktu yang mustajab. Seperti ketika 1 per tiga malam yang akhir (waktu sahur), ketika malam Al-Qadr, ketika sebaik terjaga dari tidur di malam hari, di antara selang waktu antara adzan dan iqamah, ketika sedang sujud di dalam solat, di setiap penghujung solat fardhu sebaik habis bacaan tahiyyat sebelum salam, di hari Jumaat, ketika hujan sedang turun, ketika hari Arafah, ketika berbuka puasa, dan ketika meminum air zam-zam.

Doa Pasti Diperkenankan Atau Diberi Ganjaran

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ 

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada-mu tentang Aku, maka (katakanlah), bahawa Aku adalah dekat. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka tetap berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah, 2: 186)

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” قَالُوا: إِذًا نُكْثِرُ، قَالَ: ” اللهُ أَكْثَرُ

“Tidaklah seorang muslim memanjatkan doa yang tidak mengandungi dosa, dan tidak pula memutuskan hubungan silaturrahim (kekerabatan), melainkan Allah akan memberinya salah satu di antara tiga perkara (iaitu):

“Doanya akan segera dikabulkan, atau akan disimpan baginya di akhirat, atau dirinya akan dijauhkan dari keburukan yang senilai dengan permohonan yang dipintanya.”

Para sahabat pun berkata, “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan doa.” Rasulullah pun menambah:

“(Sesungguhnya) Allah lebih banyak (dalam memperkenan dan menerima doa kalian).” (Musnad Ahmad, no. 11133)

Menjauhi Hal-hal Yang Diharamkan

Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu berkata:

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

“… Nabi menyebutkan cerita seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan panjang, sampai rambutnya kusut dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit dan berdoa:

“Wahai Rabb-ku… Wahai Rabb-ku…” sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan dia diberi dari makanan-makanan yang haram. Bagaimana doanya akan dikabulkan ?” (Shahih Muslim, no. 1015)

Jangan Melampau Dalam Berdoa

Dalam ayat 55 surah al-A’raaf tadi, Allah turut mengingatkan agar tidak melampau dalam berdoa. Seperti disebutkan dalam kitab-kitab tafsir, maksud melampau di situ adalah dengan memohon sesuatu di luar batas munasabah dan perkara terlarang. Seperti memohon kedudukan para Nabi, memohon hidup kekal abadi, memohon agar hidup tanpa makan dan minum, memohon untuk menjadi perompak handalan dan seumpamanya.

Termasuk dalam maksud melampaui batas dalam berdoa adalah dengan mengeraskan suara ketika berdoa sehingga didengari orang. Termasuk contoh ini adalah berdoa dengan menjerit, dengan nyanyian, dan dengan melagukan doa mengikuti lenggok-lenggok muzik tertentu. Ini turut berlaku dalam siri-siri doa dan zikir-zikir berjama’ah sebaik selesai solat dalam kalangan masyarakat hari ini.

Sedangkan apa yang benar, berdoa dan berzikir sebaik selesai solat fardhu itu adalah dengan cara sendiri-sendiri dan perlahan-lahan, cukup diri sendiri yang mendengarnya. Bukan dengan cara berjama’ah beramai-ramai, senada dan seirama. Hal ini ditegaskan antaranya oleh ramai ulama terkemuka termasuk imam Asy-Syafi’i rahimahullah dan para pembesar mazhabnya. Tetapi entah kenapa ramai kalangan pengamal mazhab Asy-Syafi’i di negara kita hari ini boleh menyimpang dari batas-batas ini.

Di antara contoh lain yang banyak berlaku hari ini adalah amalan menyusun bait-bait lirik, qasidah, dan sya’ir-sya’ir tertentu dalam bentuk doa lalu dijadikan sebagai nyanyian, hiburan, nasyid, persembahan konsert, dan mencari populariti serta imbuhan. Ini adalah perbuatan yang bersalahan dengan sunnah dan menyimpang dari ruh asal doa. Malah ada yang menyangka dengan perbuatan seperti ini dapat menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Allah.agar_doa_dikabulkan_sebab-sebab_terkabul_dan_tertolaknya_doa

Hakikatnya, Allah tidak pernah meminta jika seseorang mahu berdoa atau berzikir, hendaklah ia melakukannya dengan cara melagukannya sambil diringi irama-irama muzik tertentu. Bahkan sebaliknya Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya benci cara yang seperti itu. Para ulama juga turut melarang amalan doa seperti ini sebagaimana ditegaskan para imam mazhab yang empat dan pembesar-pembesar mazhab mereka.

Mereka memanggil golongan yang memperlakukan amalan-amalan doa dan zikir seperti itu sebagai kaum zindiq lagi tidak berakal. Sejarah berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan beramai-ramai asalnya dipelopori oleh golongan khawarij di pertengahan zaman para sahabat. Kemudian dikembangkan lagi oleh kaum sufi tasawuf dengan iringan gendang dan muzik, bahkan sampai ada yang menari-nari ketika berdoa dan berzikir. Maha suci Allah dari apa yang mereka sifatkan…

Akhir kata, panjatkanlah doa-doa kepada Allah dan berzikirlah dengan zikir-zikir yang mulia di atas petunjuk wahyu sebagaimana amalan kaum salaf, iaitu para sahabat dan tabi’in. Hanya dengan kaedah yang benar, amalan doa dan zikir akan membuahkan barakah lagi tidak sia-sia walau ditunda pengkabulannya. Bahkan ia menjadi tanda sempurnanya pengabdian dan penghubung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang sombong.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest