Sunnah Meletakkan Sutrah dan Larangan Melintas di Hadapan Orang Solat

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Apa Itu Sutrah?

Sutrah adalah suatu objek setinggi kira-kira 1 pelana haiwan tunggangan yang diletakkan di hadapan orang yang solat sebagai penghadang atau pembatas. Jarak meletakkannya adalah kira-kira 3 hasta (3 kaki) di hadapan dari tempat berdiri (bagi yang bersolat tersebut). Atau 1 hasta (1 kaki) di hadapan dari tempat bersujud. (Syarh Shahih Muslim, 4/216-217. Ashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/114 – Al-Maktbah Al-Ma’aarif)

Selain merupakan suatu sunnah, ini turut bertujuan sebagai pembatas atau penghadang agar kesempurnaan solat tidak terjejas apabila ada orang atau seumpamanya yang melalu-lintas di hadapan ketika sedang bersolat.

Sutrah ini disunnahkan bagi orang yang solat sebagai imam atau yang solat sendirian.

Sunnah ini berdalilkan dengan hadis yang banyak antaranya sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِ مَنْ مَرَّ وَرَاءَ ذَلِكَ

“Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi seperti pelana haiwan tunggangan di hadapannya (sebagai sutrah atau penghadang), maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.” (Shahih Muslim, no. 241)

Tinggi pelana haiwan tunggangan dimaksudkan adalah sekira-kira 1 kaki lebih atau 40cm hingga 60cm.

Ini sebagaimana ditanya kepada ‘Atha’. Ibnu Juraij bertanya:

كم مؤخرة الرحل الذي سعل إنه يستر المصلي؟ قال: قدر ذراع

“Berapa tinggi pelana haiwan tunggangan yang dijadikan sutrah untuk solat?” ‘Atha’ jawab, “Sekira-kira satu hasta.” (Shahih Ibn Khuzaimah, no. 807)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وفي هذا الحديث الندب إلى السترة بين يدي المصلى وبيان أن أقل السترة مؤخرة الرحل وهي قدر عظم الذراع هو نحو ثلثي ذراع ويحصل بأى شئ أقامه بين يديه هكذا وشرط مالك رحمه الله تعالى أن يكون في غلظ الرمح قال العلماء والحكمة في السترة كف البصر عما وراءه ومنع من يجتاز بقربه واستدل القاضي عياض رحمه الله تعالى بهذا الحديث على أن الخط بين يدي المصلى لا يكفي

“Pada hadis tersebut terkandung anjuran agar meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan tempat solat, serta terkandung penjelasan ukuran minima bagi sutrah itu adalah sekira-kira seperti tinggi pelana unta, yakni seanggaran sehasta (atau sekitar satu kaki). Dan apa-apa barang pun boleh dijadikan (atau digunakan) untuk sebagai sutrah (penghadang ketika solat), asalkan ianya boleh berdiri di atas tanah atau lantai (di depan tempat solat). Dan adapun Imam Malik rahimahullah, beliau mensyaratkan agar barang yang dijadikan sebagai sutrah itu mestilah tebal minimanya seanggaran setebal kayu (atau batang) tombak.

Telah berkata para ulama, di antara hikmah pada sutrah ini adalah dapat menjaga pandangan dari segala sesuatu yang melintas di balik sutrah tersebut dan dalam rangka mencegah orang dari lalu-lalang di hadapannya (sehingga mengganggu kesempurnaan solatnya).

Dan Al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullahu Ta’ala telah berdalil dengan hadis tersebut (untuk menegaskan) bahawa menjadikan garisan sebagai sutrah untuk solat itu tidaklah memadai (yakni tidak mencukupi dan tidak menepati makna hadis tersebut).” (Syarh Shahih Muslim, 4/216-217)

Kata Al-Imam An-Nawawi lagi:

وحديث الخط رواه أبو داود وفيه ضعف واضطراب

“Adapun hadis yang membolehkan sutrah dengan sekadar membuat garisan di hadapan tempat solat, ianya diriwayatkan oleh Abu Dawud, namun pada hadis tersebut terdapat kelemahan dan idhthirab (kegoncangan).” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 4/217)

Hukum Meletakkan Sutrah

Ulama berbeza pendapat tentang hukum mengenakan sutrah (penghadang) ketika solat Sama ada wajib atau pun sunnah. Di antara yang berpendapat wajib, dalil-dalil mereka banyak sekali, tampak lebih kuat, dan jelas, dan bahkan lebih selamat.

Di antara para ulama yang menegaskan kewajibannya adalah seperti Imam Ahmad dalam salah satu pendapat beliau, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar Al-Haitami, Asy-Syaukani, Al-Albani, dan selainnya.

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, “Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لا تصلوا إلا إلى سترة وقد زجر صلى الله عليه وسلم أن يصلي المصلي إلا إلى سترة فكيف يفعل ما يزجر عنه صلى الله عليه وسلم

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 – Al-Maktab Al-Islami)

Ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H) berkata:

السترة واجبة عند جماعة من العلماء

“Sutrah adalah wajib di sisi sebahagian besar ulama.” (Al-Fatawa al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 2/141 – Daar ul-Fikr)

Al-Imam Asy-Syaukani rahimahullah berkata:

قوله فليُصلِ إلى سترة فيه أن اتخاذ السترة واجب

“Perkataan beliau (Rasulullah), “Maka solatlah menghadap sutrah” padanya terdapat petunjuk bahawa mengenakan sutrah (ketika solat) adalah wajib.” (Nail ul-Authar, 3/2 – Daar ul-Hadits)

Asy-Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i rahimahullah berkata:

أما اتخاذ السترة فالصحيح الوجوب لقوله صلى الله عليه وسلم إذا صلى أحدكم فليصل إلى سترة وليدنُ منها

“Adapun persoalan meletakkan sutrah (ketika solat), maka hukumnya yang tepat adalah wajib berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apabila salah seorang di antara kamu solat, maka solatlah menghadap sutrah dan mendekatlah kepadanya.” (Dalam muhadharah beliau, As-ilah Al-Ikhwati min Amrika)

Asy-Syaikh Al-Albani berpendapat di dalam Kitabnya:

والسترة لا بد منها للإمام والمنفرد؛ ولو في المسجد الكبير. قال ابن هانئ في مسائله عن الإمام أحمد: رآني أبو عبد الله (يعني: الإمام أحمد) يوماً وأنا أصلي، وليس بين يدي سترة – وكنت معه في المسجد الجامع – ؛ فقال لي: استتر بشيء. فاستترت برجل

 ففيه إشارة من الإمام إلى أنه لا فرق في اتخاذ السترة بين المسجد الصغير والكبير، وهو الحق. وهذا مما أخل به جماهير المصلين من أئمة المساجد وغيرهم في كل البلاد التي طفتها؛ ومنها السعودية التي أتيحت لي فرصة التطواف فيها لأول مرة في رجب هذه السنة 1410 هـ

 فعلى العلماء أن ينبهوا الناس إليها، ويحثُّوهم عليها، ويبيِّنوا لهم أحكامها، وأنها تشمل الحرمين الشريفين أيضاً

(Aku katakan), “Sutrah dalam solat menjadi kewajiban bagi imam dan orang-orang yang solat sendirian, sekalipun di dalam masjid besar. Demikianlah pendapat Ibnu Hani’ dalam Kitab Masa’il dari imam Ahmad. Kata Ibnu Hani’, “Pada suatu hari aku solat tanpa sutrah di hadapanku yang mana ketika itu aku melaksanakan solat di dalam masjid Jami’. Imam Ahmad melihat hal tersebut, lalu beliau pun berkata kepadaku, “Pasanglah (letaklah) sesuatu sebagai sutrahmu!” Aku pun menjadikan seseorang sebagai sutrah solatku.”

Peristiwa ini adalah isyarat dari imam Ahmad bahawa orang yang solat di masjid besar atau masjid kecil tetap berkewajiban mengenakan sutrah di hadapannya. Pendapat inilah yang benar, tetapi kebanyakan orang-orang yang solat telah mengabaikan sunnah ini termasuk para imam-imam masjid dan selainnya di setiap tempat yang aku kunjungi termasuk ‘Arab Saudi ketika mana aku diberi kesempatan thawaf buat pertama kalinya pada bulan Rejab tahun 1410.

Sepatutnya para ulama mengingatkan masyarakat tentang perkara ini, menganjurkan supaya mengamalkannya, dan menjelaskan hukum berkaitan dengannya. Kewajiban sutrah ini juga turut berlaku di dua tanah Haram (Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi).” (Ashlu Shifati Sholatin Nabi, 1/116-117 – Al-Maktabah Al-Ma’arif)

Manakala sebahagian ulama yang lain menyatakan bahawa hukum meletakkan sutrah adalah sunnah, bukan wajib. Di antara yang berpegang dengan pendapat ini adalah Imam Abu Hanifah, Asy-Syafi’i, Ahmad, Ibnu Qudamah, An-Nawawi, dan beberapa yang lainnya. Manakala dari kalangan ulama kontemporari seperti Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz dan Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahumallah.

Kata Al-Imam Abu Hanifah rahimahullah (Wafat: 150H):

ولا بأس أن يترك السترة إذا أمن المرور ولم يواجه الطريق

“Tidak mengapa jika tidak meletakkan sutrah (ketika solat) apabila bebas dari orang yang lalu-lalang di hadapan dan jika tidak menghadap ke arah tempat yang menjadi laluan orang.” (Al-Fatawa Al-Hindiyyah, 3/344 – Daar ul-Fikr)

Ibnu Rusyd rahimahullah (Wafat: 595H) mengatakan:

واتفق العلماء بأجمعهم على استحباب السترة بين المصلي والقبلة إذا صلى، مفرداً كان أو إماماً

“Para ulama telah berittifaq (sepakat) dengan ijma’ bahawa meletakkan sutrah di antara orang yang bersolat dengan kiblat adalah suatu yang mustahab (disukai ) sama ada ketika solat sendirian atau sebagai imam.” (Bidayat ul-Mujtahid oleh Ibn Rusyd, 1/113)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata: 

يُستحبُ للمُصلي أن يكون بين يديه سترة من جداراً أو سارية أو غيرها ويدنو منها بحيث لا يزيدُ بينهما على ثلاثة أذرع

“Disunnahkan bagi orang yang solat supaya meletakkan sutrah di hadapannya, sama ada daripada tembok, tiang, atau yang selainnya dan mendekat kepadanya dengan jarak (antara dirinya dengan sutrah tersebut) tidak lebih dari tiga hasta.” (Raudhat uth-Thalibin, 1/294 – Al-Maktabah Al-Islami, Cet. 3)

Juga sebagaimana kata Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah:

السترة في الصلاة سنة مؤكدة إلا للمأموم فإن المأموم لا يُسن له اتخاذ سترة اكتفاءً بسترة الإمام

“Sutrah ketika solat adalah sunnah muakkadah, melainkan bagi makmum. Kerana makmum tidak disunnahkan meletakkan sutrah, di mana para makmun cukup bagi mereka dengan sutrah yang dipakai oleh imam.” (Fatawa Arkan il-Islam, m/s. 343, no. 267)

Di antara dalil yang mereka pegang adalah:

كَثِيرُ بْنُ كَثِيرِ بْنِ الْمُطَّلِبِ بْنِ أَبِي وِدَاعَةَ عَنْ بَعْضِ أَهْلِهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي مِمَّا يَلِي بَابَ بَنِي سَهْمٍ وَالنَّاسُ يَمُرُّونَ بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا سُتْرَةٌ

“Katsir bin Katsir bin al-Muthallib bin Abi Wida’ah daripada sebahagian keluarganya, daripada datuknya – Bahawasannya beliau pernah melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam solat di tempat setelah pintu Bani Sahm. Orang ramai lalu-lalang di hadapan beliau sedangkan tidak ada sutrah antara keduanya (Nabi dan Ka’bah).” (Musnad Ahmad, 6/399. Sunan Abi Dawud, no. 2016. Tetapi hadis ini dha’if, dinilai dha’if oleh Al-Albani, Syu’aib Al-Arnauth, dan Asy-Syaikh ‘Abdul Muhsin Al-‘Abbad kerana ketidak-pastian perawi antara Katsir dengan datuknya)

Al-Fadhl bin ‘Abbas berkata:

أتانا رسول الله صلى الله عليه وسلم ونحن في بادية لنا ومعه عباس فصلى في صحراء ليس بين يديه سترة

“Kami datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan kami berada di gurun. Bersama-sama dengan beliau adalah ‘Abbas, maka beliau solat di gurun sahara tanpa sutrah di hadapan beliau.” (Sunan Abi Dawud, no. 718. Hadis ini juga dha’if. Dinilai dha’if oleh Al-Albani, Syu’aib Al-Arnauth, dan Asy-Syaikh ‘Abdul Muhsin Al-‘Abbad)

‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أقبلت راكبا على حمار أتان، وأنا يؤمئذ قد ناهزت الاحتلام، ورسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي بمنى إلى غير جدار، فمررت بين يدي بعض الصف، وأرسلت الأتان ترتع، فدخلت في الصف، فلم ينكر ذلك علي

“Aku datang dengan menunggang keldai betina, yang pada ketika itu aku hampir baligh, dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang solat di Mina tanpa menghadap dinding. Maka aku melintas di hadapan sebahagian saf kemudian aku melepaskan keldai betina tersebut supaya bebas mencari makan. Aku pun masuk ke tengah-tengah saf dan tidak ada orang yang menyalahkan aku.” (Shahih Al-Bukhari, no. 76, 493, 861, 1857, dan 4412)

Sebahagian ulama mengatakan tentang maksud “tanpa menghadap dinding” dalam hadis tersebut adalah tanpa menghadap sutrah. Ini antaranya dikemukakan oleh Al-hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H) dalam Fathul Bari, 1/171.

Tetapi ini dapat dijawab bahawa sutrah tidak semestinya dinding. Oleh itu apabila dikatakan tidak menghadap dinding, tidak semestinya membawa maksud tidak menghadap sutrah! Boleh jadi yang dijadikan sebagai sutrah adalah objek yang selain dinding.

Ini sebagaimana dalam hadis yang lain di mana ‘Abdullah bin ‘Abbas mengatakan:

رُكِزَتِ الْعَنَزَةُ بَيْنَ يَدَيِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، بِعَرَفَاتٍ، فَصَلَّى إِلَيْهَا وَالْحِمَارُ يَمُرُّ مِنْ وَرَاءِ الْعَنَزَةِ

“Tombak (atau lembing) ditancapkan di depan Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam di ‘Arafah. Beliau solat dengan menghadap ke arahnya manakala keldai lalu-lalang di belakang tombak tersebut.” (Musnad Ahmad, no. 2175)

Kesempurnaan Solat Terjejas Tanpa Sutrah

Musa bin Thalhah daripada bapanya, beliau berkata:

كُنَّا نُصَلِّي وَالدَّوَابُّ تَمُرُّ بَيْنَ أَيْدِينَا فَذَكَرْنَا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: مِثْلُ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلِ تَكُونُ بَيْنَ يَدَيْ أَحَدِكُمْ، ثُمَّ لاَ يَضُرُّهُ مَا مَرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Kami pernah solat sedangkan haiwan tunggangan lalu-lalang di hadapan kami, lalu kami menceritakan situasi tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau bersabda, “Sekiranya telah ada objek seperti pelana haiwan tunggangan dan diletakkan di hadapan salah seorang dari kamu (sebagai sutrah), maka sesuatu yang melintas di hadapan mereka (di balik sutrah) tidak akan mengancam (menjejaskan) solatnya.” (Shahih Muslim, no. 499)

Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي، فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِنَّهُ يَقْطَعُ صَلَاتَهُ الْحِمَارُ، وَالْمَرْأَةُ، وَالْكَلْبُ الْأَسْوَدُ قُلْتُ: يَا أَبَا ذَرٍّ، مَا بَالُ الْكَلْبِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَحْمَرِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَصْفَرِ؟ قَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا سَأَلْتَنِي فَقَالَ: الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

“Apabila salah seorang di antara kamu melaksanakan solat, sesungguhnya dia telah memiliki sutrah bila di hadapannya terdapat suatu penghadang seperti pelana haiwan tunggangan. Jika di hadapannya tidak terdapat sesuatu seperti itu, solatnya akan terputus jika dilintasi oleh keldai, wanita, dan anjing hitam.”

Aku (‘Abdullah bin Ash-Shamit) bertanya, “Wahai Abu Dzar, apa perbezaan antara anjing hitam dengan anjing merah atau kuning?”

Abu Dzar menjawab, “Wahai anak saudaraku, apa yang engkau tanyakan ini juga pernah aku tanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau menjawab, “Anjing hitam itu adalah syaitan.” (Shahih Muslim, no. 510)

Hadis ini menjelaskan kriteria sutrah dan kesan solat tanpa sutrah yang mana solat boleh terjejas kesempurnaannya akibat tidak ada sutrah di hadapannya. Apatah lagi apabila ada sesuatu yang melintas berupa keldai, wanita, atau anjing hitam yang melintas, maka solat boleh terputus (terbatal) berdasarkan zahir hadis.

Kata Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah:

“… melintasnya anjing, wanita, atau keldai membatalkan solat, bukan anjing yang sedang diam itu membatalkan solat, bukan keldai yang menderum, dan bukan juga wanita yang sedang baring di hadapan yang membatalkan solat. Sebagaimana hadis yang menjelaskan bahawa ‘Aisyah baring di hadapan Nabi Shallalalhu ‘alaihi wa Sallam yang sedang solat selagi mana bukan melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/21)

Kata beliau lagi:

“Anjing yang membatalkan solat (apabila ia melintas) adalah anjing hitam, bukan yang selainnya. Demikian juga dengan hadis Ibnu ‘Abbas yang menjelaskan bahawa wanita yang membatalkan solat adalah wanita yang telah datang haid (baligh), bukan yang selainnya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/22)

Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يقطع الصلاة الكلب والمرأة الحائض

“Anjing  dan wanita yang telah berhaid membatalkan solat.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 832. Dinilai sahih oleh Al-A’zhami)

Jadi, hadis-hadis yang ada ini mengkhususkan dan saling menperjelas antara satu sama lain.

Berdasarkan penjelasan hadis-hadis ini, bagi yang sengaja melaksanakan solat tanpa sutrah dan tanpa ada uzur syar’i maka solatnya tetap sah, cuma dibimbangi kesempurnaannya terjejas. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita berhaid (yang telah baligh), atau keldai, atau anjing hitam melintas di hadapannya sebagaimana yang disebutkan oleh hadis tersebut, maka solatnya terbatal. Jika yang selain 3 ini, maka solatnya tidak terbatal tetapi kesempurnaan solat akan terjejas.

Perintah Menghalang Orang Melintas

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تُصَلُّوا إِلَّا إِلَى سُتْرَةٍ، وَلَا يَدَعْ أَحَدًا يَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ، فَإِنَّ مَعَهُ الْقَرِينَ

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah dan jangan biarkan seorangpun melintas di hadapanmu (di antara dirinya dengan sutrah). Apabila orang tersebut tetap berkeras untuk melintas, maka halanglah dia kerana bersama-samanya adalah Al-Qarin (syaitan).” (Shahih Muslim, no. 506. Ibnu Khuzaimah, no. 800)

Ibnu Khuzaimah meletakkan hadis ini dalam bab: “Larangan Solat Tanpa Menghadap Sutrah.”

Hadis ini selain menjelaskan larangan solat tanpa sutrah, ia turut menjelaskan boleh dan perlunya menghalang orang yang cuba melintasi hadapan kita ketika sedang solat.

Dalam hadis yang lain dari Abi Sa’id, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Jika salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi dari orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya (antara dia dengan sutrah), maka halanglah ia. Jika ia enggan mengalah maka lawanlah ia (dengan sungguh-sungguh), kerana ia adalah syaitan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 509)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنْ النَّاسِ فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Jika salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu sebagai sutrah yang membatasi dari orang ramai, kemudian ada seseorang yang hendak melintas di hadapannya (antara dirinya dengan sutrah), maka halanglah ia. Jika ia enggan maka lawanlah ia (yakni halang dengan sedaya-upaya), kerana ia adalah syaitan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 509)

Kata Al-Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H):

فإنما هو شيطان أي فإنما هو شيطان مع الذي يريد المرور بين يديه لا أن المار من بني آدم شيطان وإن كان اسم الشيطان قد يقع على عصاة بني آدم

“Sabda Nabi, “… kerana ia adalah syaitan”, maksudnya adalah syaitan yang berada bersama-sama orang yang melintas di hadapannya tersebut dan bukanlah bermakna orang itu sendiri yang dinamakan syaitan dan penamaan syaitan memang biasa turut ditujukan kepada orang-orang yang menentang dari kalangan bani Adam. (Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-An’am, 6: 112).” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/17)

Dalam Sunan Abi Dawud, hadis daripada Hisyam bin Al-Ghaz daripada ‘Amru bin Syu’aib daripada ayahnya daripada datuknya beliau berkata: 

هَبَطْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ ثَنِيَّةِ أَذَاخِرَ فَحَضَرَتِ الصَّلَاةُ – يَعْنِي فَصَلَّى إِلَى جِدَارٍ – فَاتَّخَذَهُ قِبْلَةً وَنَحْنُ خَلْفَهُ، فَجَاءَتْ بَهْمَةٌ تَمُرُّ بَيْنَ يَدَيْهِ فَمَا زَالَ يُدَارِئُهَا حَتَّى لَصَقَ بَطْنَهُ بِالْجِدَارِ، وَمَرَّتْ مِنْ وَرَائِهِ

“Kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah menuruni bukit Adzakhir, lalu tibalah waktu solat. Beliaupun melaksanakan solat dengan menjadikan dinding sebagai arah kiblat, manakala kami berada di belakang beliau (sebagai makmum).

Tiba-tiba ada seekor anak kambing hendak melintas di hadapan beliau, maka beliau pun segera menghalangnya sehingga perut beliau hampir merapat (menyentuh) dinding. Akhirnya anak kambing tersebut melintas melalui belakang beliau.” (Sunan Abi Dawud, no. 708. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Hadis ini menunjukkan bolehnya bergerak dengan gerakkan yang banyak semata-mata untuk menghalang sesuatu yang melintas di hadapan kita ketika sedang solat walaupun dengan berjalan untuk merapatkan diri dengan sutrah.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

واذا صلى إلى سترة منع غيره من المرور بينه وبينها وكذا يمنع من المرور بينه وبين الخط ويحرم المرور بينه وبينها فلو لم يكن سترة أو تباعد عنها فقيل له منعه والأصح أنه ليس له لتقصيره ولا يحرم حينئذ المرور بين يديه لكن يكره

“Apabila seseorang telah mengenakan sutrah di hadapannya ketika solat, maka dia perlu menghalang setiap orang yang cuba melintas di hadapannya di antara dirinya dengan sutrah tersebut. Dan adalah diharamkan sesiapa saja berjalan melintas di hadapan orang yang sedang solat di antara orang solat tersebut dengan sutrah (penghadang/pembatas) yang telah dikenakannya. Apabila orang yang solat tersebut tidak memiliki (atau tidak mengenakan) sutrah, atau dia terlalu jauh dari sutrahnya, maka ada yang berpendapat dia tetap wajib menghalang orang dari melintas di hadapannya. Namun, pendapat yang lebih sahih (menurut Imam An-Nawawi) tentang hal ini adalah dia tidak boleh menghalangnya kerana ia disebabkan oleh kesalahannya sendiri yang tidak mengenakan dan menetapkan sebarang sutrah (penghadang) ketika solat. Jadi, tidak boleh diharamkan sesiapa yang melintas di hadapannya ketika mana orang yang solat itu tidak mengenakan sutrah, namun hal tersebut (melintas di hadapan orang solat) tetap merupakan hal yang dibenci.” (Syarh Shahih Muslim oleh An-Nawawi, 4/217)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) lagi:

والذي قاله أصحابنا أنه يرده إذا أراد المرور بينه وبين سترته بأسهل الوجوه فإن أبى فبأشدها وإن ادى إلى قتله فلا شيء عليه كالصائل عليه لأخذ نفسه أو ماله وقد أباح له الشرع مقاتلته والمقاتلة المباحة لا ضمان فيها

“Adapun yang dikatakan oleh sahabat-sahabat kami (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i), hendaklah orang yang solat itu menahannya dengan cara yang termudah (atau ringan) apabila ada seseorang yang hendak melintas di antara dirinya dengan sutrah. Jika orang yang yang hendak melintas itu tetap berdegil, maka dia boleh menghalangnya dengan cara yang lebih keras, dan jika cara tersebut sampai menyebabkan kematiannya, maka tidak ada sebarang kewajiban atasnya, sebagaimana jika ada orang yang cuba menyerangnya atau ingin merampas hartanya, maka syari’at telah membolehkan dia untuk memerangi (yakni melawan dalam rangka mencegah) orang tersebut dari meneruskan hasratnya tersebut, tidak ada sebarang denda pada hal tersebut.” (Syarh Shahih Muslim, 4/223)

Larangan Melintas Di Hadapan Orang Solat

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ» قَالَ أَبُو النَّضْرِ: لاَ أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ شَهْرًا، أَوْ سَنَةً

“Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan ia tanggung, nescaya dia berdiri (berhenti dan menunggu) selama empat puluh lebih baik baginya dari dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.”

Abu An-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Shahih Al-Bukhari, no. 510. Muslim, no. 507)

Tetapi dalam riwayat Al-Bazzar, disebutkan dengan lafaznya:

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، كَانَ لأَنْ يَقُومَ أَرْبَعِينَ خَرِيفًا خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan dia tanggung, nescaya dia berdiri (berhenti dan menunggu) selama empat puluh tahun itu lebih baik baginya dari dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.” (Musnad Al-Bazzar, no. 3782)

Ibnu Khuzaimah turut meriwayatkan hadis ini dan meletakkannya dalam bab:

التغليظ في المرور بين المصلي والدليل على أن الوقوف مدة طويلة انتظار سلام المصلي خير من المرور بين يدي المصلي

“Ancaman keras melintas di hadapan orang yang sedang solat, dan merupakan dalil berdiri lama menunggu ucapan salam seseorang yang sedang solat itu lebih baik daripada melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/14)

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

معناه لو يعلم ما عليه من الإثم لاختار الوقوف أربعين على ارتكاب ذلك الإثم ومعنى الحديث النهي الأكيد والوعيد الشديد في ذلك

“Makna hadis ini, sekiranya ia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat sebagai akibat perbuatan melintas di hadapan orang solat.” (Syarh Shahih Muslim, 4/225)

Sebahagian ulama telah mengisyaratkan bahawa hukum sengaja melintas di hadapan orang solat adalah merupakan dosa besar.

Larangan ini merujuk kepada perbuatan melintasi kawasan depan orang yang sedang solat. Sekiranya dia mengenakan sutrah, maka dibolehkan melintas di sebalik sutrah yang dikenakan. Dan tidak boleh melintas di dalam lingkungan kawasan antara sutrah dengan orang solat yang mengenakannya.

Makmum Mengikuti Sutrah Imam

Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ العِيدِ أَمَرَ بِالحَرْبَةِ، فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّي إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِي السَّفَرِ

“Dahulu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar pada hari raya, beliau memerintahkan (pembantunya) membawa tombak. Ia untuk diletakkan di hadapan beliau lalu beliau solat menghadap ke arahnya, manakala orang-orang solat (sebagai makmum) di belakangnya. Beliau melakukan perkara tersebut dalam perjalanan (safar) beliau.” (Shahih Al-Bukhari, no. 494. Muslim, no. 501)

Dalil ini menunjukkan bahawa apabila imam telah mengenakan sutrah, maka ia telah mencukupi bagi para makmum lainnya.

Teladan Salaf Dalam Mengenakan Sutrah

Dari hadis ‘Ali bin Abi Thalib radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

لَقَدْ رَأَيْتُنَا لَيْلَةَ بَدْرٍ، وَمَا مِنَّا إِنْسَانٌ إِلا نَائِمٌ، إِلا رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِنَّهُ كَانَ يُصَلِّي إِلَى شَجَرَةٍ، وَيَدْعُو حَتَّى أَصْبَحَ

“Sesungguhnya aku telah melihat pada malam ketika perang Badr, dan tidak seorang pun (yang berjaga) melainkan semuanya telah tidur, kecuali Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, bahawa beliau solat menghadap ke arah sebatang pokok (sebagai sutrah), dan beliau berdoa sampailah masuk waktu Subuh.” (Musnad Ahmad, no. 1161)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

كَانَ المُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ، حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صلّى الله عليه وسلم وَهُمْ كَذَلِكَ، يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ المَغْرِبِ، وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ

“Apabila mu’adzin selesai mengumandangkan adzan, maka para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bangun dan segera mendekat ke tiang-tiang masjid (sebagai sutrah untuk solat sunnah). Sampailah ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar (untuk mengimami solat fardhu), mereka masih tetap dalam keadaan tersebut, mereka solat dua raka’at sebelum solat fardhu Maghrib dimulakan. Dan tidaklah ada sesuatu apa pun yang terjadi selang antara adzan dengan iqamah (yakni waktu selang antara adzan dengan iqamah solat Maghrib itu tidaklah terlalu lama, mencukupi melaksanakan solat sunnah – pent.).” (Musnad Ahmad, no. 13983. Shahih Al-Bukhari, no. 625)

Contoh-contoh Objek Sebagai Sutrah

Dalam hadis-hadis Nabi banyak disebutkan contoh-contoh objek yang sesuai dijadikan sebagai sutrah. Di antaranya adalah seperti:

1 > Manusia yang sedang duduk diam, berdiri, atau sedang berbaring. (Lihat hadis dalam Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 285 dan 286)

2 > Haiwan tunggangan seperti unta dan keldai yang berdiri atau duduk diam.

3 > Tombak yang ditancapkan.

4 > Pelana haiwan tunggangan.

5 > Dinding atau tiang.

6 > Pokok.

7 > Anak panah yang ditancapkan.

8 > Tongkat.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest