Agar Puasa Tidak Hanya Lapar dan Dahaga

www.ilmusunnah.com

Secara umumnya, puasa akan dianggap sah apabila telah memenuhi syarat dan rukun puasa, serta  meninggalkan perkara-perkara yang membatalkannya.

Walaupun demikian, hanya sekadar memenuhi syarat-syarat umum dan asas ini tidaklah cukup untuk mencapai ke darjat puasa yang sempurna bagi menggapai ketaqwaan yang sebenar sebagaimana yang dikehendaki dalam tuntutan berpuasa tersebut.

Allah Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kalian bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 183)

Jadi, termasuk tuntutan dalam puasa itu bagi kita adalah menjaga seluruh adab-adab dan sunnah-sunnah puasa di bulan Ramadhan. Kebiasaan-kebiasaan buruk yang tidak membawa manfaat di dunia dan akhirat hendaklah ditinggalkan dengan sedaya-upaya agar puasa lebih sempurna dan tidak hanya sia-sia.

Puasa Ramadhan bukan hanya sekadar meninggalkan hal-hal yang dihalalkan di selain Ramadhan berupa makan dan minum, tetapi juga harus menahan diri dari melakukan hal-hal yang sememangnya diharamkan dari semenjak sebelum Ramadhan lagi.

Sebagaimana dalam satu hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ، وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

“Betapa ramai yang berpuasa tetapi hanya mendapatkan lapar dan rasa dahaga, dan betapa ramai yang beribadah di malam hari (qiyam) tetapi sebenarnya hanya sekadar berjaga malam.” (Musnad Ahmad, no. 8856. Sunan Ibn Majah, no. 1690. Shahih Ibn Khuzaimah, no. 1997. Al-Mu’jam Al-Kabir oleh Ath-Thabrani, no. 13413)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

وسر هذا: أن التقرب إلى الله تعالى بترك المباحات لا يكمل إلا بعد التقرب إليه بترك المحرمات فمن ارتكب المحرمات ثم تقرب إلى الله تعالى بترك المباحات كان بمثابة من يترك الفرائض ويتقرب بالنوافل…

“Rahsia dari perkara ini adalah; taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala dengan cara meninggalkan perkara-perkara yang mubah (yang dibolehkan dari makan dan minum kerana berpuasa) itu tidak akan sempurna melainkan setelah dia mendekatkan diri kepada-Nya dengan meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan. Maka siapa yang melakukan perkara-perkara yang diharamkan kemudian dia mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala dengan cara meninggalkan perkara-perkara yang mubah, maka keadaannya sama seperti orang yang meninggalkan perkara-perkara fardhu lalu mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan nawafil (sunnah),…” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 155-156)

Di hadis yang lain dinyatakan pula bahawa antara tuntutan dalam berpuasa adalah meninggalkan perkataan dan perbuatan az-zuur.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuataan Az-Zuur (kotor, keji, dusta, sia-sia, maksiat), maka Allah tidak berhajatpun pada perbuatannya meninggalkan makan dan minum.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1903)

Dalam lafaz yang lain:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ وَالجَهْلَ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan amalan Az-Zuur, serta perkataan dan perbuatan kebodohan, maka Allah tidak berhajatpun terhadap perbuatannya meninggalkan makan dan minum.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6057)

Di antara maksud Az-Zuur adalah kekejian dan kedustaan. Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis dari Anas bin Malik yang serupa dengan hadis di atas, iaitu:

مَنْ لَمْ يَدَعِ الْخنا وَالْكَذِبَ، فَلَا حَاجَةَ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ، وَشَرَابَهُ

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kekejian dan kedustaan, maka Allah ‘Azza wa Jalla tidak berhajatpun terhadap perbuatannya meninggalkan makan dan minum.” (Al-Mu’jam Al-Ausath oleh Ath-Thabrani, no. 3622)

Termasuk maksud Az-Zuur adalah ucapan-ucapan yang keji dan haram, seperti mempertikaikan ayat-ayat Allah, mengumpat (ghibah), namimah (adu-domba), saling mencela, membuat tuduhan-tuduhan dusta, memperolok-olok, bernyanyi-nyanyi, dan yang seumpama dengan itu. (lihat: Taisiir Al-Kariim ar-Rahmaan fii Tafsiir Kalaam al-Mannaan, m/s. 588 oleh Syaikh ‘Abdurramah bin Nashir As-Si’di – Daar Ibn al-Jauzi)

Manakala kebodohan adalah segala jenis maksiat, kekejian, dan hal-hal yang sia-sia. Termasuk kebodohan adalah tidak mengetahui ilmu yang benar lagi bermanfaat, atau mengetahuinya tetapi tidak mengamalkannya sebagaimana sepatutnya.

Di hadis yang lain, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata – Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ، وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلاَ يَرْفُثْ وَلاَ يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ، فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ

“Puasa adalah perisai (benteng), apabila salah seorang antara kalian berpuasa, maka janganlah dia berkata keji dan jangan pula menjerit-jerit. Jika ada yang mencela atau mengajak bertengkar, maka katakanlah, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1904. Muslim, no. 1151)

Hadis ini menunjukkan bahawa dengan berpuasa, Allah mendidik kita agar bersifat sabar, menjaga tutur kata, dan menjauhi permusuhan.

Kata Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H), “Kata “جُنَّةٌ” maksudnya adalah penutup atau penghadang dari perbuatan keji dan dosa-dosa, sekaligus perisai dari api Neraka.” (Syarh Shahih Muslim, 8/30-31)

Qaul Az-Zuur Termasuk Dosa Besar

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

“Maka kalian jauhilah (penyembahan terhadap) berhala-berhala yang najis tersebut, dan jauhilah qaul (perkataan-perkataan) Az-Zuur (yang dusta).” (Surah Al-Hajj, 22: 30)

Dalam ayat ini Allah mensejajarkan perintah menjauhi qaul az-zuur (perkataan dusta dan kotor) dengan perintah meninggalkan berhala. Ini sekaligus menunjukkan betapa besarnya kedudukan dosa melakukan qaul az-zuur (perkataan dusta) di sisi Allah sehingga ia disejajarkan dengan penyembahan terhadap berhala.

Dari hadis Abu Bakrah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ» قُلْنَا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ، وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ: أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ، أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ ” فَمَا زَالَ يَقُولُهَا، حَتَّى قُلْتُ: لاَ يَسْكُتُ

“Mahukah aku khabarkan kepada kalian dosa besar yang paling besar?” Kami jawab, “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Beliau pun bersabda:

“Mensyirikkan Allah, dan derhaka kepada dua orang tua.” Dan ketika itu beliau sedang bersandar, maka beliau pun duduk dan berkata lagi:

“Dan juga qaul (perkataan) Az-Zuur (dusta), dan persaksian Az-Zuur (dusta). Dan juga qaul (perkataan) Az-Zuur (dusta), dan persaksian Az-Zuur (dusta).” Beliau terus mengulang-ulang perkataannya tersebut sampai kami berkata, “Lebih baik kalau beliau diam.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5976)

Puasa Menjadi Sia-sia

Akibat tidak meninggalkan Az-Zuur dan kebodohan tatkala berpuasa, maka kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“…maka Allah tidak berhajatpun terhadap perbuatannya meninggalkan makan dan minum.”

Maksudnya adalah; puasanya adalah puasa yang buruk kerana dicemari dengan kekejian dan hal-hal yang buruk yang dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Puasanya tidak berupaya menggapai keredhaan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan tidak pula mencapai kedudukan taqwa. Akhirnya menjadilah puasa sekadar menahan makan dan minum, iaitu kelaparan dan dahaga tanpa diberikan ganjaran pahala dari sisi Allah.

Iaitu dia hanya meninggalkan hal-hal yang mubah di hari biasa berupa makan dan minum atau jima’ terhadap isterinya, namun dia tidak meninggalkan hal-hal yang jelas diharamkan secara umum baik ketika Ramadhan mahupun di hari-hari yang lainnya.

Ini kerana dia gagal memahami di antara tujuan puasa adalah untuk membina peribadi taqwa, membentuk kesabaran, menjauhi maksiat-maksiat, menahan dan menundukkan hawa nafsu, dan sedaya-upaya menjadikannya sebagai wasilah taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Sebagaimana dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: إِلَّا الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Kecuali amalan puasa, kerana amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku, Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwatnya dan makanannya kerana Aku.” (Shahih Muslim, no. 1151)

Kata Al-Hafiz Ibnu Rejab Al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H):

واعلم أنه لا يتم التقرب إلى الله تعالى بترك هذه الشهوات المباحة في غير حالة الصيام إلا بعد التقرب إليه بترك ما حرم الله في كل حال من الكذب والظلم والعدوان على الناس في دمائهم وأموالهم وأعراضهم ولهذا قال النبي صلى الله عليه وسلم: “من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه” خرجه البخاري وفي حديث آخر: “ليس الصيام من الطعام والشراب إنما الصيام من اللغو والرفث” وقال الحافظ أبو موسى المديني: على شرط مسلم قال بعض السلف: أهون الصيام ترك الشراب والطعام وقال جابر: إذا صمت فليصم سمعك وبصرك ولسانك عن الكذب والمحارم ودع أذى الجار وليكن عليك وقار وسكينة يوم صومك ولا تجعل يوم صومك ويوم فطرك سواء.

“Dan ketahuilah bahawa taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Ta’ala tidak akan sempurna dengan hanya meninggalkan syahwat yang mubah (dibolehkan) di luar puasa (berupa makan dan minum – pent.), melainkan setelah mendekatkan diri kepada Allah dengan meninggalkan apa-apa yang diharamkan Allah dalam semua keadaan dari perbuatan dusta, kezaliman, permusuhan sesama manusia dalam hal darah, harta, dan kehormatan mereka. Dan bagi ini semua, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuataan Az-Zuur (kotor, keji, dusta, sia-sia, maksiat), maka Allah tidak berhajatpun pada perbuatannya meninggalkan makan dan minum.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Dan dalam hadis yang lain disebutkan:

“Puasa itu bukanlah sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi puasa adalah menahan diri dari kesia-siaan serta perkataan keji.” Al-Hafiz Abu Musa Al-Madini mengatakan: “Hadis ini (sahih) di atas syarat Muslim.”

Berkata sebahagian salaf:

 أهون الصيام ترك الشراب و الطعام

“Puasa yang paling mudah (ringan dan asas) adalah meninggalkan makan dan minum.”

Jabir (bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu) berkata:

إذا صمت فليصم سمعك وبصرك ولسانك عن الكذب والمحارم ودع أذى الجار وليكن عليك وقار وسكينة يوم صومك ولا تجعل يوم صومك ويوم فطرك سواء

“Jika kalian berpuasa, maka hendaklah mempuasakan sama pendengaran, penglihatan, dan perkataan kalian dari dusta dan perkara-perkara yang diharamkan, dan jauhilah perbuatan menyakiti jiran-tetangga. Hendaklah kalian bersikap rendah hati (terhormat) dan tenang tatkala berpuasa, jangan jadikan hari-hari puasa kalian dan hari-hari yang kalian tidak berpuasa itu sama sahaja (tiada beza).”

Dikatakan dalam sebuah sya’ir:

إذا لم يكن في السمع مني تصاون … وفي بصري غض وفي منطقي صمت

فحظي إذا من صومي الجوع والظمأ … فإن قلت إني صمت يومي صمت

“Jika dalam pendengaranku tidak ada kawalan,

Dalam penglihatan dan perkataanku tiada pengendalian,

Bermakna hasil puasaku hanyalah lapar dan dahaga,

Jika kalian mengatakan aku telah berpuasa,

Hakikatnya aku tidaklah berpuasa…” (Lathaa’if Al-Ma’aarif, m/s. 155 – Daar Ibn Hazm)

Kemudian Al-Hafiz Ibnu Rejab membawakan sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ، وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ

“Betapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya mendapatkan rasa lapar dan dahaga dari puasanya. Dan betapa ramai orang yang melakukan qiyam (solat atau ibadah di malam hari) tetapi hanya beroleh keletihan dari qiyamnya.” (Musnad Ahmad, no. 8856. Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Kabir, no. 13413)

Maka, perhatikanlah baik-baik… Jangan kelak kita menjadi orang-orang yang rugi. Dari itu, berpuasalah kerana keimanan (ikhlas dan yaqin kepada Allah) dan mencari pahala dari sisi-Nya, bukan hanya sekadar melazimi kebiasaan mengikuti kebanyakan manusia yang berpuasa (dengan meninggalkan makan dan minum), tetapi hendaklah kita berpuasa dengan memenuhi segala tuntutan dan sunnah-sunnahnya, agar kita beroleh keampunan dan taqwa dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebagaimana kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala (dari sisi Allah), diampunkanlah baginya apa-apa dari dosanya yang terdahulu.” (Muttafaq ‘alaih)

Rahsia dari hal ini adalah taqarrub (perbuatan mendekatkan diri) kepada Allah dengan cara meninggalkan hal-hal yang mubah (melalui ibadah puasa) itu tidak akan sempurna melainkan setelah mendekatkan diri kepada Allah dengan cara meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan. Iaitu dengan penuh keimanan dan ikhlas semata-mata mengharapkan pahala dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan tidaklah hanya sekadar menahan dari makan dan minum di siang hari semata-mata.

Dan jangan pula sampai kita nodai atau sia-siakan usaha serta ibadah yang kita lakukan dari puasa-puasa kita dengan maksiat atau hal-hal yang terlarang. Agar puasa yang kita laksanakan benar-benar akan membuahkan ketaqwaan dan menambah-dekatkan kita kepada-Nya.

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest