Amalan-amalan Sunnah di Saat Berbuka Puasa

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

kegembiraan orang puasa

Di saat berbuka puasa, banyak sekali amalan-amalan sunnah yang mudah untuk diamalkan sekaligus membuahkan pahala, kebaikan dan keberkahan. Namun sayangnya, sebahagian dari kita sering terlalai darinya, sama ada tidak mengetahuinya, tersibukkan dengan hal-hal yang lain, atau terlupakannya sehingga amalan-amalan yang punya banyak keutamaan ini pun terabai dan seakan-akan kurang mendapat perhatian.

Maka dari itu, berikut kami senaraikan sedikit catatan berkaitan dengannya buat peringatan dan amalan bersama, kerana pada mengikuti sunnah itu ada kejayaan, keberkahan, dan kebaikan.

Amalan-amalan Sunnah di Saat Berbuka Puasa

1, Bila Saatnya Berbuka Puasa?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

“Kemudian sempurnakanlah puasa sehingga malam.” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

يقتضي الإفطار عند غُرُوب الشمس حكمًا شرعيًا، كما جاء في الصحيحين، عن أمير المؤمنين عمر بن الخطاب، رضي الله عنه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ”

“Berbuka puasa sebaik terbenamnya matahari adalah tuntunan dari hukum syara’ sebagaimana tercantum dalam dua kitab Shahih, dari Amir Al-Mukminin ‘Umar bin Al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika malam telah tiba dari sini, dan siang telah berakhir dari sini, maka orang yang berpuasa hendaklah segera berbuka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1954. Musim, no. 1100).” (Tafsir Ibn Katsir, 1/517)

2, Menyegerakan Berbuka Sebaik Tiba Waktunya.

Dari hadis Sahl bin Sa’d, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan dalam berbuka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1957. Muslim, no. 1098)

Dalam riwayat yang lain dari Sahl bin Sa’d, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَزَالُ أُمَّتِي عَلَى سُنَّتِي مَا لَمْ تَنْتَظِرْ بِفِطْرِهَا النُّجُومَ

“Umatku akan sentiasa di atas sunnahku selama mana mereka tidak menanti munculnya bintang baru mahu berbuka.” (Shahih Ibn Khuzaimah, no. 2061. Ibn Hibban, no. 3510)

Dari hadis Ibn ‘Abbas, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا

“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.” (Majma’ Az-Zawa’id, no. 2609. Kata Al-Haitsami, “Hadis riwayat Ath-Thabrani dalam Al-Kabir dan para perawinya adalah perawi kitab Shahih.”)

‘Amr bin Maimun Al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari, 4/199)

Adapun melewatkan berbuka, itu termasuk amalan yang masyhur di kalangan ahli kitab (Yahudi dan Nashara), di mana mereka hanya berbuka apabila telah masuk lewat malam, iaitu ketika telah tampak bintang-bintang di langit. Kemudian amalan Yahudi dan Nashara ini diikuti pula oleh kaum Syi’ah, khususnya Ar-Rafidhah.lupa ketika puasa

Ini adalah sebagaimana hadis dari Abu Hurairah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَزَالُ الدِّينُ ظَاهِرًا مَا عَجَّلَ النَّاسُ الْفِطْرَ، لِأَنَّ الْيَهُودَ، وَالنَّصَارَى يُؤَخِّرُونَ

“Agama ini akan sentiasa zahir (menang) selama manusia menyegerakan dalam berbuka (puasa), kerana orang-orang Yahudi dan Nashara suka melewatkannya (dalam berbuka).” (Sunan Abi Dawud, no. 2353. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

3, Ucapan dan doa-doa di Saat Berbuka.

Selain mengikuti adab-adab makan secara umumnya seperti membaca bismillah ketika hendak makan dan mengakhirinya dengan ucapan hamdalah, di sini dikemukakan sebahagian dari doa-doa atau ucapan-ucapan yang khusus yang diucapkan di saat berbuka sebagaimana yang terdapat dalam hadis-hadis Nabi yang sahih.

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menyebutkan dalam Tafsir Surah Al-Baqarah:

Al-Imam Abu Dawud Ath-Thayaalisi meriwayatkan di Musnad beliau, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

للصائم عند إفطاره دعوة مستجابة”. فكان عبد الله بن عمرو إذ أفطر دعا أهله، وولده ودعا

“Bagi orang yang berpuasa di saat dia berbuka ada doa yang mustajab.” (Musnad Ath-Thayalisi, no. 2262)

Dari itu, bahawasanya ‘Abdullah bin ‘Amr tatkala berbuka, beliau pun berdoa untuk ahli keluarga dan untuk anak-anaknya, demikian pula anak dan keluarganya juga turut berdoa.” (Tafsir Ibn Katsir, 1/509)

Kemudian, di hadis yang lain dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ثَلاَثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak; (iaitu) Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka, dan do’a orang yang terzalimi.” (Musnad Ahmad, no. 8043. Sunan At-Tirmidzi, no. 3598. Ad-Du’a oleh Ath-Thabrani, no. 1315. Kata At-Tirmidzi, ini hadis hasan)

Dari hadis Abdullah bin ‘Amr Al-‘Ash, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, di saat waktu berbukanya itu ada do’a yang tidak tertolak.”

Dan Ibn Abi Mulaikah (perawi hadis) berkata:

Aku mendengar ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash di saat berbukanya, beliau membaca (yakni berdoa):

اَللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِى وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْتَغْفِرْلِيْ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dengan rahmat-Mu keampunan yang meliputi segala sesuatu.” (Sunan Ibn Majah, no. 1753. Dinilai hasan oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dan Syu’aib Al-Arnauth)

Berdasarkan dari hadis-hadis yang disebutkan ini, maka disunnahkan agar mengambil kesempatan untuk memanjatkan atau memperbanyakkan doa di saat berbuka puasa.

Kemudian di hadis yang lain, dari Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berbuka puasa, beliau mengucapkan (berdoa):

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.

“Telah hilanglah rasa haus, salur-salur darah dan tenggorokan pun telah basah, dan telah tetaplah pahala, in-syaa-Allah.” (Sunan Abi Dawud, no. 2357 – Bab: Apa yang diucapkan di saat berbuka. An-Nasaa’i, no. 3315. Ad-Daruquthni, no. 2279. Al-Mustadrak oleh Al-Hakim, no. 1536. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

4, Berbuka Dengan Apa?

Disunnahkan berbuka dengan ruthab, atau tamr, atau air sejuk sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari hadis Anas bin Malik, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ عَلَى رُطَبَاتٍ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ، فَعَلَى تَمَرَاتٍ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau berbuka dengan beberapa butir ruthab (yakni kurma segar yang baru masak – pent.) sebelum beliau melaksanakan solat, jika tidak didapatkan ruthab, beliau berbuka dengan tamr (kurma kering), jika tidak didapatkan tamr, beliau pun berbuka dengan meminum beberapa teguk air sejuk.” (Sunan Abi Dawud, no. 2356. At-Tirmidzi, no. 696. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dari hadis Salman bin ‘Amir Adh-Dhabbiy, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى مَاءٍ فَإِنَّهُ طَهُورٌ

“Apabila salah seorang dari kalian berbuka, maka berbukalah dengan tamr, jika tidak menemuinya maka berbukalah dengan air sejuk kerana ia membersihkan.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 695. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi, namun dha’if menurut Al-Albani)

5, Bersederhana ketika berbuka.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan (boros), sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang boros.” (Surah Al-A’raaf, 7: 31)bau mulut orang puasa

Dari hadis ‘Amr bin Syu’aib, dari ayahnya, dari datuknya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُوا، وَاشْرَبُوا، وَتَصَدَّقُوا، وَالْبَسُوا، غَيْرَ مَخِيلَةٍ، وَلَا سَرَفٍ

“Makan dan minumlah, berpakaianlah, dan bersedekahlah, selagi mana bukan untuk bersombong dan berbuat boros.” (Musnad Ahmad, no. 6695. Dinilai hasan oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dari hadis Miqdam bin Ma’di Kirab Al-Kindi, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ. بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3 untuk nafasnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

6, Memberi Makanan Untuk Juadah Berbuka.

Bagi yang dilapangkan rezeki oleh Allah, adalah disunnahkan untuk memberi makanan sebagai juadah berbuka untuk orang yang berpuasa. Walaupun dia memberi dengan segelas air atau sebiji kurma untuk berbuka, maka ini juga sudah termasuk ke dalam makna ini.

Dari hadis Zayd bin Khalid Al-Juhani, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا.

“Siapa memberi makan berbuka bagi orang-orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Sunan At-Tirmidzi no. 807. Ibnu Majah, no. 1746. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

ويستحب أن يفطر الصأم لما روى زيد بن خالد الجهيني

“Dianjurkan memberi makan berbuka untuk orang berbuka puasa berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zayd bin Khalid Al-Juhani.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 6/362)

7, Mendoakan orang yang menjamu berbuka puasa.

Adapun ketika ada orang yang menjamu atau memberi makanan untuk berbuka, maka disunnahkan agar mendoakannya.

Ini adalah sebagaimana hadis berikut, dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ إِلَى سَعْدِ بْنِ عُبَادَةَ، فَجَاءَ بِخُبْزٍ وَزَيْتٍ، فَأَكَلَ، ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُونَ، وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ الْأَبْرَارُ، وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ الْمَلَائِكَةُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang kepada Sa’d bin ‘Ubadah. Sa’d pun menghidangkan untuk beliau roti dan minyak, lalu beliau pun memakannya. Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun mengucapkan:

“Orang-orang yang berpuasa telah berbuka di sisimu, orang-orang yang baik memakan makananmu, dan para malaikat pun mendoakanmu.” (Sunan Abi Dawud, no. 3854. Ibn Majah, no. 1747. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Dari hadis yang lain, dari riwayat ‘Abdullah bin Busr bahawa Nabi mendoakan keluarganya sebaik dijamu (dengan doa berikut):

اللهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ، وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ

“Ya Allah, berkahilah mereka pada apa yang Engkau rezekikan pada mereka, ampunilah mereka dan rahmatilah mereka.” (Musnad Ahmad, no. 16675. Shahih Muslim, no. 2042. Sunan Abi Dawud, no. 3729)

Atau berdasarkan salah satu lafaz dalam Musnad Ahmad:

اللهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ، وَارْحَمْهُمْ، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ

“Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka, dan berilah barakah pada makanan yang telah Engkau berikan kepada mereka.” (Musnad Ahmad, no. 17673. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Atau sebagaimana doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika berdoa kepada Sa’ad bin ‘Ubaidah yang menghidangkan kismis untuknya (yakni doanya):

أَكَلَ طَعَامَكُمْ الْأَبْرَارُ وَصَلَّتْ عَلَيْكُمْ الْمَلَائِكَةُ وَأَفْطَرَ عِنْدَكُمْ الصَّائِمُونَ

“Semoga orang-orang yang baik memakan makananmu, para malaikat mendoakanmu, dan orang-orang yang berpuasa berbuka di tempatmu.” (Musnad Ahmad, no. 12406. Dinilai sahih oleh Al-Albani dan Syu’aib Al-Arnauth)

Boleh juga berdoa dengan doa Nabi berikut:

اللهُمَّ، أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي، وَأَسْقِ مَنْ أَسْقَانِي

“Ya Allah, berikanlah makan kepada orang yang memberiku makan, dan berilah minum kepada orang yang memberiku minum.” (Shahih Muslim, no. 2055)

Boleh dipilih dari doa-doa yang telah disebutkan ini dan tidak disyaratkan untuk mengucapkan setiap doa atau semua doa dalam satu-satu masa.

Sekian catatan ini. Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest