Menjadi Orang Paling Bahagia

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Kebahagiaan adalah Syurga yang sentiasa diimpi-impikan oleh setiap insan. Tetapi sayang amat sedikit yang mampu menggapai dan merasai nikmat kebahagian ini.

Kebahagiaan adalah anugerah dari yang Maha Penyayang yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada manusia yang mampu menikmatinya dan ada pula yang hanya mampu mengimpikannya.

Orang-orang yang berjaya menggapai kebahagiaan adalah orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala untuk menggapainya.  Mereka rasa gembira dan sukacita dengan pemberian Allah Ta’ala. Mereka beramal dengan amal-amal kebaikan dan redha terhadap setiap ketentuan-Nya.

Di Mana Kebahagiaan

Sebahagian orang menganggap kebahagiaan digapai dengan banyaknya harta dan kekayaan. Ada pula yang menganggap kebahagiaan diraih dengan pangkat, pujian, dan kedudukan, ditambah dengan paras rupa yang cantik rupawan. Bahkan ada juga yang menganggap kebahagiaan itu bersama-sama dengan hal-hal yang telah diharamkan Allah Ta’ala.

Atas kelalaian dan ketidak-sedaran, hal-hal seperti ini selalu dianggap sebagai kebahagiaan dan kemuliaan.

Umumnya memang setiap manusia sentiasa sedaya-upaya mengejar kebahagiaan. Ada yang berjaya menggapainya, tetapi tidak kurang yang tertunda, dan ada pula yang gagal.

Ada orang sampai berkeluh-kesah dan murung kerana mengkhayalkan kebahagiaan. Sedangkan dia sama sekali belum mengerti apa itu kebahagian yang sebenarnya. Lalu dia pun mengkhayalkan sesuatu yang fana sebagai kebahagiaan. Sehingga akhirnya dia lebih membayangkan indahnya dunia di sudut hatinya mengatasi akhiratnya. Dia tidak sedar nikmat-nikmat dunia yang dikejarnya siang dan malam itu bakal lenyap dan bakal mengundang kecemasan, kebimbangan, dan sesal yang dalam.

Tidak sedikit orang-orang yang lalai dari mengenal hakikat kebahagiaan, melainkan orang-orang yang dibukakan hatinya oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengenal sekaligus mengecapinya. Kebahagiaan di sisi Islam hanya dapat digapai apabila hati tertanam benih-benih taqwa. Itulah kebahagiaan dan kemuliaan yang sebenar.

Iaitu dengan mengenal agama ini, mentaati Allah, mengikuti petunjuk Rasul-Nya, serta menjauhi segala hal-hal yang dilarang dan tercela. Melalui agama yang benar inilah manusia tahu dari mana dia datang, untuk apa dia datang, dan ke mana dia akan menuju. Apabila ia sedar hakikat ini semua, maka akan jelaslah arah dan usahanya. Apabila jelas posisi duduk tempat dan usahanya, hati pun menjadi tenteram.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإنْسَ إِلا لِيَعْبُدُونِ

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah adz-Dzariyat, 51: 56).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا (70) يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki bagi kamu amal-amal kamu dan mengampuni bagi kamu dosa-dosa kamu. Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 70-71)

Dalam ayat-Nya yang lain:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 13)Syukur

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung.” (Surah al-Baqarah, 2: 189)

Dari sini kita akan mengerti kehidupan tanpa ketaqwaan tidak akan mendatangkan bahagia meskipun dihiasi dengan gemerlapan dunia serta dikelilingi dengan kemewahan dan limpahan harta. Bahkan tanpa ketaqwaan, kemewahan dunia tersebut bakal mengundang sibuk, lelah, cemas, dan derita. Sedikit sekali yang meyakini ketaqwaan itulah hakikat kebahagiaan. Ketaqwaan itulah sebaik-baik bekal untuk disimpan. Ketaqwaan itulah yang menjemput ketenangan dan kedamaian.

Hakikat orang taqwa adalah orang yang hanya takutkan Allah dan mengagungkan-Nya. Pengabdian dirinya hanya untuk Allah sehingga dia hanya beribadah dan taat kepada Allah. Cinta dan benci di dalam hatinya adalah demi meraih keredhaan Allah. Hati dan jiwanya pasrah dengan segala bentuk ketentuan yang telah ditentukan. Kepada Allahlah tempat dia memohon dan bergantung harap. Jika mendapat nikmat dia bersyukur, jika dirundung musibah dia bersabar dan tidak putus-asa. Hatinya amat takut terhadap apa yang dilarang dan dibenci Allah Ta’ala.

Sikap orang bertaqwa sentiasa berlapang dada, dalam susah mahupun lapang pahala Allah tetap menjadi harapannya. Apabila diuji, ia yakin dengan ujian tersebut Allah akan menyucikan dirinya dan mengangkat darjatnya.

Jiwa dan hati orang bertaqwa sentiasa tenang kerana pengabdiannya adalah kepada Allah semata-mata. Iaitu Rabb yang memiliki sifat Maha Kaya, Maha Pengasih, dan Maha Mengawasi.

Sehingga apabila ia bergaul sesama manusia pun dia bergaul dengan sebab mencari keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):

وَالسَّعَادَةُ فِي مُعَامَلَةِ الْخَلْقِ: أَنْ تُعَامِلَهُمْ لِلَّهِ فَتَرْجُوَ اللَّهَ فِيهِمْ وَلاَ تَرْجُوَهُمْ فِي اللَّهِ وَتَخَافَهُ فِيهِمْ وَلاَ تَخَافَهُمْ فِي اللَّهِ، وَتُحْسِنَ إلَيْهِمْ رَجَاءَ ثَوَابِ اللَّهِ لاَ لِمُكَافَأَتِهِمْ وَتَكُفَّ عَنْ ظُلْمِهِمْ خَوْفًا مِنْ اللَّهِ لاَ مِنْهُمْ

“Kebahagiaan dalam perhubungan sesama makhluk adalah perhubungan dengan mereka kerana Allah dan sentiasa mengharapkan redha-Nya. Bukan mencari redha mereka dalam perhubungan tersebut lalu diniatkan untuk mencari redha Allah.

Kalian takutkan Allah dalam perhubungan kalian dengan mereka, bukannya takut kepada mereka dalam perhubungan kalian dengan Allah.

Kalian berbuat baik kepada mereka kerana mengharap balasan Allah, bukan balasan mereka. Kalian mencegah kesalahan mereka kerana takut kepada Allah, bukan kerana takutkan mereka.” (Majmu’ Al-Fatawa, 1/51)

Tanda Kebahagiaan 

Kebahagiaan belum tentu melahirkan rasa Syukur. Namun rasa Syukur pasti akan membuahkan kebahagiaan.

Kata Al-Hafiz Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H):

إذا أنعم عليه شكر، وإذا ابتلي صبر، وإذا أذنب استغفر. فإن هذه الأمور الثلاثة عنوان سعادة العبد، وعلامة فلاحه في دنياه وأخراه، ولا ينفك عبد عنها أبداً.

“Apabila diberi nikmat dia bersyukur, apabila diuji dia sabar, dan apabila berdosa dia beristighfar (bertaubat). Tiga perkara ini merupakan tanda-tanda kebahagiaan seseorang hamba serta tanda kejayaan di dunia dan akhirat. Dan hamba tersebut tidak berpisah darinya buat selamanya.” (Al-Waabil Ash-Shayyib, m/s. 5)

Kemudian, sesiapa yang mampu merasa manisnya iman, nescaya ia akan merasa nikmatnya kebahagiaan, lapangnya hidup, tenteramnya hati, dan tenangnya tubuh badan. Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, ia akan merasa manisnya iman. Iaitu Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling dicintainya dari selain keduanya, mencintai seseorang kerana Allah semata-mata, dan benci jika dikembalikan kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api neraka.” (Shahih Al-Bukhari, no. 16)

Apabila keimanan dan ketaqwaan berada di dalam hati, nescaya hidup akan merasa bahagia. Biarpun ujian dan gelora datang melanda, hatinya tetap teguh bersimpuh harap hanya kepada Allah Ta’ala. Sehingga setiap apa jua ketentuan dan qadar yang dihadapkan Allah kepadanya, susah mahupun senang, dia akan menyikapinya dengan apa yang ditunjukkan oleh Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Inilah kesan dari iman yang tertancap kukuh dalam hati. Kesenangan bukan medan untuk dia berbuat sesuka hatinya, manakala kesusahan pula bukan masa untuk berputus-asa dan berlepas diri dari rahmat Tuhannya.

Menjauhi Derita Sengsara

Orang yang tunduk dengan hawa nafsu dengan selalu bermaksiat, berbuat dosa, serta mancari kesenangan dunia secara haram, hatinya tidak akan pernah tenang dan tenteram. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfiman:

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا

“Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dirinya kehidupan yang sempit…” (Surah Thoha, 20: 124)

Kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah:

وَأَنَّ كُلَّ شَرٍّ فِي الْعَالَمِ مُخْتَصٌّ بِالْعَبْدِ فَسَبَبُهُ مُخَالَفَةُ الرَّسُولِ أَوْ الْجَهْلُ بِمَا جَاءَ بِهِ وَأَنَّ سَعَادَةَ الْعِبَادِ فِي مَعَاشِهِمْ وَمُعَادِهِمْ بِاتِّبَاعِ الرِّسَالَةِ

“Setiap kejahatan di alam ini ada kaitannya dengan para hamba. Penyebabnya adalah kerana menyelisihi Rasul atau jahil dengan apa yang dibawanya. Dan kebahagiaan seseorang hamba dalam kehidupannya di dunia dan akhiratnya adalah dengan mengikuti risalah yang dibawa Rasul.” (Majmu’ al-Fatawa, 19/93)

Untuk keluar dari derita kesengsaraan dan menuju kebahagiaan, bersegeralah menuju jalan taubat dan inabah kepada Allah. Sebagaimana kata Ibnul Qayyim, “Pintu kejahatan itu dapat ditutup dengan bertaubat dan beristighfar.” (Zaadul Ma’ad, 4/202)

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah membuka ruang yang luas untuk setiap kita bertaubat menuju kebahagiaan abadi. Dalam ayat-Nya Allah menyatakan:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

“Bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 133)

Jadi, ketuklah pintu-pintu taubat dan tutuplah pintu-pintu maksiat. Supaya Allah menghadirkan rasa manisnya iman. Iman akan membuahkan taqwa, dan taqwa pula mendatangkan bahagia dunia sampai akhirat. Kesejahteraan hati dicapai dengan meninggalkan dosa, manakala dosa bagi hati umpama racun. Jika tidak merosakkan, nescaya akan melemahkan hati.

Sesiapa yang berhijrah dari hinanya maksiat menuju mulianya ketaatan, nescaya Allah akan menjadikannya kaya walau tidak berharta. Hatinya girang walau tak punya kawan. Manakala orang yang berpaling dari ketaatan kepada Tuannya dan menerobos batas yang diharamkan Allah, nescaya dia akan merasai wilayah sengsara.

Wallahu a’lam…

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest