Berdandan dan Berwangi-wangian Bagi Wanita Hanya Untuk Suami

www.ilmusunnah.comtulip-bunga

Hukum asal berdandan bagi seorang perempuan adalah mubah (yakni dibolehkan), asalkan tidak sampai melampaui batas-batas yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Antaranya dalam rangka bercantik-cantik dan menambat hati suami, tidak menggunakan bahan yang terlarang, tidak menyerupai dandanan wanita kafir atau orang-orang fasiq, tidak berlebih-lebihan, tidak sampai mengubah ciptaan Allah, dan bukan untuk tatapan lelaki yang bukan mahramnya atau lelaki ajnabi.

Kata Asy-Syaikh ‘Abdul Aziz bin Baz rahimahullah:

وضع ما اعتاده النساء في الشفة من الحمرة هذا لا بأس به، والرَّوج بأنه زينة الشياطين هذا لا أصل له، المقصود أن المرأة لها أن تتزين وتتجمل بما تراه مناسباً في وجهها وكفيها وفي يديها وفي فمها كل هذا لا بأس به عند الزوج، لا للرجال الأجانب، أو بين النساء لا بأس، أما عند الرجل الأجنبي فهذا لا يجوز

عليها أن تتستر وأن تحتجب عمن حرم الله عليها أن يراها

“Mengenakan apa-apa yang dapat digunakan oleh kaum wanita pada bibirnya dari jenis pemerah bibir (lipstiks), ini tidaklah mengapa. Dikatakan lipstiks sebagai perhiasan Syaitan, ini tidak ada asalnya. Maksudnya, dibolehkan bagi wanita untuk berhias dan bercantik-cantik dengan apa-apa yang sesuai baginya pada wajahnya, pada tangannya, atau pada bibirnya. Semua ini tidaklah mengapa jika dilakukan di sisi suaminya, tetapi bukan untuk (tatapan) lelaki ajnabi (lelaki asing, bukan mahram). Boleh juga jika dilakukan sesama kalangan wanita sahaja (tanpa kehadiran lelaki asing). Ada pun jika dilakukan di hadapan lelaki ajnabi, maka ini tidaklah dibolehkan. Diwajibkan atasnya untuk menutup dan berhijab dari orang-orang  yang telah diharamkan oleh Allah baginya dari melihatnya.” (Fatwa Ibn Baz; http://www.binbaz.org.sa/noor/9726)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kalian rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum, 30: 21)

Pada ayat ini terkandung makna bahawa dijadikan pernikahan itu untuk kebahagiaan, ketenangan, dan kasih-sayang secara syar’i. Maka, padanya terkandung anjuran agar memilih pasangan yang dapat merealisasikan hal tersebut.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ ؟ قَالَ: الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِيمَا يَكْرَهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

“Ditanyakan kepada Rasulullah:

“Wahai Rasulullah, siapa yang disebutkan sebagai wanita yang baik?”

Maka Rasulullah pun bersabda:

Yakni yang menyenangkan suami apabila dipandang, mentaati suami apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suami dengan sesuatu yang tidak disukainya pada dirinya serta hartanya.” (Musnad Ahmad, no. 7421, 9586, 9658. Sunan An-Nasaa’i, no. 3231)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

إِذَا دَخَلْتَ لَيْلًا، فَلاَ تَدْخُلْ عَلَى أَهْلِكَ، حَتَّى تَسْتَحِدَّ المُغِيبَةُ، وَتَمْتَشِطَ الشَّعِثَةُ

“Apabila kalian pulang (dari safar, perjalanan jauh) di malam hari, maka janganlah engkau menemui isterimu (yang telah lama engkau tinggalkan) sampai dia lebih dulu dapat mencukur bulu kemaluannya dan mengurus rambutnya yang kusut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5246)

Di antara faedah pada hadis ini menurut sebahagian ulama adalah seorang isteri tidak boleh berpenampilan yang menjadikan suaminya tidak suka atau tidak selesa. Dan padanya juga dalil anjuran agar seorang isteri sentiasa berhias, berdandan dan bercantik-cantik untuk suaminya di saat si suami hadir di sisinya di rumah.

Dari hadis Zainab binti Ummu Salamah, dari Umm Habibah bintu Abi Sufyan (isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam), beliau berkata:

لَمَّا جَاءَهَا نَعِيُّ أَبِيهَا، دَعَتْ بِطِيبٍ فَمَسَحَتْ ذِرَاعَيْهَا، وَقَالَتْ: مَا لِي بِالطِّيبِ مِنْ حَاجَةٍ، لَوْلاَ أَنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لاَ يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

“Ketika datang berita kematian ayahnya, dia meminta didatangkan wangi-wangian, lalu beliau pun mengusapkannya pada kedua lengannya seraya berkata:

“Sebenarnya aku tidak memerlukan wangi-wangian ini seandainya aku tidak mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir berkabung pada seorang mayit lebih dari tiga hari, kecuali pada suaminya iaitu selama empat bulan sepuluh hari.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5345)

Pada hadis ini terkandung pensyari’atan berkabung bagi wanita, di mana dalam tempoh berkabung tersebut menegahnya dari beberapa perkara termasuk berdandan atau berwangi-wangian walaupun ketika sedang berada di rumah. Namun pada hadis ini menjelaskan, tempoh perkabungan Umm Habibah telah pun tamat, lalu bagi menjelaskan beliau tidak lagi berkabung adalah dengan mengenakan wangi-wangian (yakni ketika di rumah) ketika di sisi Nabi.

Dan pada hadis ini terkandung anjuran untuk berwangi-wangian di sisi suami. Wallaahu a’lam.untuk yang sudah punya isteri

Hukum Berwangi-wangian Bagi Wanita Ketika Keluar Rumah

Dari hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

“Perempuan mana pun yang mengenakan wangi-wangian lalu melintasi sekumpulan lelaki agar mereka mencium bau harum yang dia kenakan maka perempuan tersebut adalah penzina.” (Musnad Ahmad, no. 19711. Sunan An-Nasa’i no. 5129. Sunan At-Tirmidzi, no. 2786)

Dalam lafaz At-Tirmidzi:

كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ، وَالمَرْأَةُ إِذَا اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ بِالمَجْلِسِ فَهِيَ كَذَا وَكَذَا يَعْنِي زَانِيَةً

“Setiap mata akan berzina, dan seorang perempuan apabila mengenakan wangi-wangian lalu melintasi suatu majlis maka demikian dan demikian.” Yakni (dia seakan-akan) pelaku zina. (Sunan At-Tirmidzi, no. 2786)

Al-Imam Al-Munawi rahimahullah (Wafat: 1031H) berkata:

والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فقد هيجت شهوة الرجال بعطرها وحملتهم على النظر إليها، فكل من ينظر ‏إليها فقد زنا بعينه، ويحصل لها إثمٌ لأنها حملته على النظر إليها وشوشت قلبه، فإذن هي سببُ زناه بالعين، فهي أيضاً زانية

“Seorang wanita jika memakai wangi-wangian lalu melintasi suatu majlis (yakni sekumpulan lelaki) maka dia mampu membangkitkan syahwat lelaki dengan bau aromanya seraya mendorong mereka untuk melihat kepadanya. Setiap yang melihat kepadanya maka dianggap telah berzina dengan matanya. Wanita tersebut mendapat dosa kerana sengaja memancing pandangan kepadanya dan menjadi sebab datangnya bisikan pada hati orang yang memandangnya (kerana terfitnah). Jadi, wanita tersebut telah menjadi sebab zina dengan mata dan dia dianggap penzina (dengan sebab tersebut).” (Faidh Al-Qadir, 5/35)

Penyusun Tuhfat ul-Ahwadzi, Asy-Syaikh Muhammad ‘Abdurrahman Al-Mubarakfuri rahimahullah (Wafat: 1353H) berkata:

قَوْلُهُ (كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ) أَيْ كُلُّ عَيْنٍ نَظَرَتْ إِلَى أَجْنَبِيَّةٍ عَنْ شَهْوَةٍ فَهِيَ زَانِيَةٌ (إِذَا اسْتَعْطَرَتْ) أَيِ اسْتَعْمَلَتِ الْعِطْرَ (فَمَرَّتْ بِالْمَجْلِسِ) أَيْ مَجْلِسِ الرِّجَالِ (يَعْنِي زَانِيَةً) لِأَنَّهَا هَيَّجَتْ شَهْوَةَ الرِّجَالِ بِعِطْرِهَا وَحَمَلَتْهُمْ عَلَى النَّظَرِ إِلَيْهَا وَمَنْ نَظَرَ إِلَيْهَا فَقَدْ زَنَى بِعَيْنَيْهِ فَهِيَ سَبَبُ زِنَى الْعَيْنِ فَهِيَ آثِمَةٌ

“Sabda Nabi “Setiap mata akan berzina…” maknanya setiap mata yang memandang kepada ajnabiyyah (orang yang bukan mahramnya) dengan syahwat, maka dia telah berzina.

Sabda Nabi “apabila dia mengenakan wewangian…” maksudnya menggunakan pewangi (perfum, athar, dll. yang semerbak wanginya).

Sabda Nabi “apabila dia melintasi suatu majlis…” yakni majlis yang padanya ada kaum lelaki.

Sabda Nabi “Yakni dia (seakan-akan) pelaku zina”; (disebut sebagai penzina) adalah kerana wanita-wanita itu menjadi sebab yang membangkitkan syahwat (atau ghairah) para lelaki dengan aroma wangian yang dia kenakan, dan dia telah memancing (atau mendorong) para lelaki untuk melihat kepadanya. Maka sesiapa yang melihat kepadanya maka dia telah berzina dengan matanya, lalu ini menjadi faktor yang mendorong terjadinya zina mata (yakni bersedap-sedapan dengan matanya melihat sesuatu yang diharamkan), maka ini adalah perbuatan dosa.” (Tuhfah Al-Ahwadzi bi Syarh Jami’ Tirmidzi, 8/58)

Termasuk dalam makna ini adalah mereka yang berhias, berdandan atau bercantik-cantik dalam rangka memancing pandangan dan meraih tarikan dari selain suaminya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

وسبب المنع منه واضح وهو ما فيه من تحريك داعية الشهوة وقد ألحق به العلماء ما في معناه كحسن الملبس والحلي الذي يظهر والزينة الفاخرة وكذا الاختلاط بالرجال

“Sebab dari larangan tersebut adalah jelas, di mana ia mampu menggerakkan syahwat lelaki. Para ulama menyamakan perkara ini dengan mengenakan pakaian dan perhiasan yang bagus yang dia tampakkan (dalam rangka meraih perhatian) di mana demikianlah karektor penzina yang fakhirah (dimaklumi pakaiannya dan penampilannya), dan demikan juga ikhtilath (percampuran bebas) dengan lelaki.” (Fath Al-Bari, 2/349)

Berwangi-wangian untuk selain suami termasuk juga dalam makna tabarruj, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الأولَى

“Dan hendaklah kalian (yakni isteri-isteri Nabi) tetap di rumah-rumah kalian dan jangan bertabarruj seperti orang-orang jahiliyyah terdahulu bertabarruj.” (Surah Al-Ahdzaab, 33: 33)

Para ulama tafsir menjelaskan bahawa para wanita beriman itu adalah mengikuti dan mencontohi ibu-ibu mereka dari isteri-isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Asy-Syaikh As-Si’di rahimahullah berkata dalam tafsirnya tentang ayat ini:

لا تكثرن الخروج متجملات أو متطيبات، كعادة أهل الجاهلية الأولى، الذين لا علم عندهم ولا دين، فكل هذا دفع للشر وأسبابه.

“Janganlah kaum wanita banyak keluar dengan bercantik-cantik dan berwangi-wangian sebagaimana orang-orang jahiliyyah terdahulu, yang mereka tidak punya ilmu di sisi mereka dan tidak pula agama. Ini semua bertujuan mencegah keburukan dan sebab-sebab yang menjadi faktor keburukan.” (Tafsir As-Si’di, m/s. 663)

Dari Yahya bin Ja’dah, “Ketika zaman pemerintahan ‘Umar bin Al-Khaththab ada seorang perempuan yang keluar rumah dengan mengenakan wangi-wangian. Di pertengahan jalan, ‘Umar tercium bau harum dari perempuan tersebut, maka ‘Umar pun memukulnya dengan tongkat. Setelah itu beliau berkata:

تخرجن متطيبات فيجد الرجال ريحكن وإنما قلوب الرجال عند أنوفهم اخرجن تفلات

“Kalian wahai perempuan, keluar rumah dengan berwangi-wangian sehingga para lelaki mendapati bau harum kalian?! Sesungguhnya hati lelaki itu ditentukan oleh bau yang dicium oleh hidungnya. Keluarlah kalian dari rumah dengan tidak mengenakan wangi-wangian.” (Al-Mushannaf oleh ‘Abdurrozzaq, no. 8107)

Zainab binti ‘Umar bin Al-Khaththab, beliau berkata:

نَزَلَ بِي حَمَوِيٌّ، فَمَسِسْتُ طِيبًا ثُمَّ خَرَجْتُ، فَأَرْسَلَتْ إِلَيَّ حَفْصَةُ: إِنَّمَا الطِّيبُ لِلْفِرَاشِ

“Telah datang kepada ku bapa mertua-ku, lalu aku pun mengenakan wangi-wangian, kemudian aku pun keluar. Maka Hafshah pun mengutuskan seseorang kepadaku (lalu mengatakan), “Sesungguhnya wangi-wangian (bagi perempuan) itu hanya untuk pemilik tempat tidur (yakni suami).” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 26340. ‘Abdurrozzaq, no. 8113)

Kata Al-Imam Adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):

و من الأفعال التي تلعن عليها المرأة إظهار الزينة و الذهب و اللؤلؤ من تحت النقاب و تطيبها بالمسك و العنبر و الطيب إذا خرجت و لبسها الصباغات و الأزر و الحرير و الأقبية القصار مع تطويل الثوب و توسعة الأكمام و تطويلها إلى غير ذلك إذا خرجت و كل ذلك من التبرج الذي يمقت الله عليه و يمقت فاعله في الدنيا و الآخرة

“Di antara perbuatan yang menyebabkan para wanita mendapat laknat adalah menampakkan perhiasan emas dan permata yang ada di balik pakaiannya, mengenakan misk (wewangian kasturi), ‘anbar (nama wewangian) dan wewangian yang semisal (yang semerbak baunya) ketika dia keluar (dari rumah lalu dihidu oleh kaum lelaki), memakai pakaian yang warnanya menarik perhatian, sutera-sutera yang menarik perhatian, mengenakan penutup kepala yang pendek, … . Semua itu termasuk tabarruj yang Allah murkai. Allah murka kepada pelakunya di dunia dan akhirat.” (Al-Kaba’ir oleh Al-Imam Adz-Dzahabi, m/s. 134)

Larangan Ke Masjid Dengan Berwangi-wangian Bagi Wanita

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ، وَلْيَخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ

“Janganlah kalian melarang hamba-hamba Allah yang wanita dari mendatangi masjid-masjid Allah, tetapi hendaklah mereka keluar tanpa mengenakan wangi-wangian.” (Musnad Ahmad, no. 9645. Shahih Ibn Hibban, no. 2214. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Juga dari ‘Aisyah, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا تَمْنَعُوا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ، وَلْيَخْرُجْنَ تَفِلَاتٍ

قَالَتْ عَائِشَةُ: ” وَلَوْ رَأَى حَالَهُنَّ الْيَوْمَ مَنَعَهُنَّ

“Janganlah kalian melarang hamba-hamba Allah yang wanita dari masjid-masjid Allah, tetapi hendaklah mereka keluar ke masjid tanpa mengenakan wangi-wangian.”

‘Aisyah berkata, “Kalau seandainya Nabi melihat apa yang dilakukan oleh mereka pada hari ini, nescaya beliau akan menegahnya.” (Musnad Ahmad, no. 9645. Dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Kata Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H):

فِيهِ دَلِيلٌ عَلَى جَوَازِ خُرُوجِ النِّسَاءِ إِلَى الْمَسَاجِدِ، وَتَخْرُجُ غَيْرَ مُتَطَيِّبَةٍ.

“Padanya dalil atas bolehnya wanita keluar pergi ke masjid, tetapi hendaklah mereka keluar tanpa mengenakan wangi-wangian.” (Syarh As-Sunnah, 3/438)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

هذا وشبهه من أحاديث الباب ظاهر في أنها لا تمنع المسجد لكن بشروط ذكرها العلماء مأخوذة من الأحاديث وهو أن لا تكون متطيبة ولا متزينة ولا ذات خلاخل يسمع صوتها ولا ثياب فاخرة ولا مختلطة بالرجال ولا شابة ونحوها ممن يفتتن بها وأن لا يكون في الطريق ما يخاف به مفسدة ونحوها

“Hadis tersebut dan yang semisalnya yang terdapat pada bab ini menunjukkan bahawa wanita tidaklah dilarang untuk datang ke masjid. Akan tetapi, mestilah dengan syarat-syarat yang telah disebutkan oleh para ulama sebagaimana yang diambil dari hadis-hadis tersebut. Yakni, hendaklah mereka tidak mengenakan wangi-wangian, tidak berhias (bercantik-cantik), tidak memakai gelang kaki yang dapat didengari bunyinya, tidak mengenakan pakaian-pakaian fakhirah (yang menonjol dan menarik pandangan lelaki), tidak sampai ikhtilat (bercampur-baur) dengan kaum lelaki, bukan gadis-gadis muda (yang menunjukkan kecantikannya), dan seumpama dengannya yang dapat membangkitkan fitnah. Dan hendaklah tidak ada keburukan yang dibimbangi di sepanjang jalan ketika menuju ke masjid.” (Syarh Shahih Muslim, 4/160-161)

Dari hadis Zainab Ats-Tsaqafiyyah, beliau berkata:

كَانَتْ تُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِذَا شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْعِشَاءَ فَلَا تَطَيَّبْ تِلْكَ اللَّيْلَةَ

“Bahawa Zainab menceritakan dari Rasulullah, bahawa Rasulullah bersabda:

“Apabila salah seorang dari kalian (kaum wanita) hendak hadir solat ‘Isya’, maka janganlah dia mengenakan wangi-wangian pada malam itu.” (Shahih Muslim, no. 443)

Dari hadis Zainab radhiyallahu ‘anha, yakni isteri kepada ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

قَالَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِذَا شَهِدَتْ إِحْدَاكُنَّ الْمَسْجِدَ فَلَا تَمَسَّ طِيبًا

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepada kami:

“Apabila salah seorang dari kalian pergi ke masjid, janganlah dia mengenakan wangi-wangian.” (Sahih Muslim, no. 443)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:syurga isteri

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَصَابَتْ بَخُورًا فَلَا تَشْهَدْ مَعَنَا الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ

“Mana-mana perempuan yang terkena bakhur (sejenis asap pewangi), maka janganlah dia hadir solat ‘Isya’ bersama kami.” (Shahih Muslim, no. 444)

Dari ‘Ubaid maula Abi Ruhm, beliau berkata:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ، لَقِيَ امْرَأَةً مُتَطَيِّبَةً تُرِيدُ الْمَسْجِدَ، فَقَالَ: ” يَا أَمَةَ الْجَبَّارِ أَيْنَ تُرِيدِينَ؟ قَالَتْ: الْمَسْجِدَ، قَالَ: وَلَهُ تَطَيَّبْتِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: أَيُّمَا امْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ، ثُمَّ خَرَجَتْ إِلَى الْمَسْجِدِ، لَمْ تُقْبَلْ لَهَا صَلَاةٌ حَتَّى تَغْتَسِلَ

“Bahawa Abu Hurairah pernah bertembung dengan seorang wanita yang mengenakan wewangian dalam keadaan menuju masjid, maka beliau pun bertanya, “Wahai hamba wanita Al-Jabbar, ke manakah engkau hendak pergi?” wanita itu menjawab, “Ke masjid.” Abu Hurairah berkata lagi, “Adakah wewangian yang engkau kenakan itu untuk Allah?” wanita itu menjawab, “Ya.” Abu Hurairah berkata, “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Mana-mana perempuan yang mengenakan wangi-wangian kemudian keluar ke masjid, maka tidak akan diterima solatnya sampailah dia mandi terlebih dahulu (yakni membersihkan dirinya dari wangi-wangian yang dikenakannya).” (Musnad Ahmad, no. 8773. Sunan Ibn Majah, no. 4002)

Dalam lafaz Abu Dawud:

لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ لِامْرَأَةٍ تَطَيَّبَتْ لِهَذَا الْمَسْجِدِ، حَتَّى تَرْجِعَ فَتَغْتَسِلَ غُسْلَهَا مِنَ الجَنَابَةِ

“Tidak diterima solat bagi wanita dalam keadaan dia mengenakan wangi-wangian di masjid ini sampailah dia kembali kemudian mandi sebagaimana mandi janabah.” (Sunan Abi Dawud, no. 4174)

Larangan mengenakan wangi-wangian bagi wanita yang keluar dari rumah ini tidak terhad ketika di masjid, sebaliknya berlaku umum apabila dia keluar dari rumah sebagaimana telah kami kemukakan pada hadis-hadis yang awal di atas. Melainkan apabila sepanjang dia keluar tersebut bebas dari kehadiran atau pandangan kaum lelaki.

Jika berwangi-wangian ke masjid saja sudah dilarang, lalu bagaimana jika mereka (kaum wanita) berwangi-wangian di pasar, pejabat, tempat pengajian, dan yang lainnya?

Bahkan wanita yang keluar dengan mengenakan wangi-wangian sehingga menjadikan perhatian lelaki terpancing kepadanya, dia tidak hanya dikatakan berdosa bahkan disamakan dengan perempuan penzina sebagaimana dinyatakan oleh Nabi dalam hadis-hadis yang telah dipaparkan.

Wangian Yang Dibolehkan Bagi Wanita

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

طِيبُ الرِّجَالِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ، وَطِيبُ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

“Sesungguhnya wangian bagi lelaki adalah yang jelas aromanya tetapi samar warnanya, manakala wangian bagi wanita pula adalah yang tampak warnanya tetapi tidak jelas wangianya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2787. Sunan An-Nasaa’i, no. 5117. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi dan sahih oleh Al-Albani)

Manakala dari hadis ‘Imran bin Hushain radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ خَيْرَ طِيبِ الرَّجُلِ مَا ظَهَرَ رِيحُهُ وَخَفِيَ لَوْنُهُ، وَخَيْرَ طِيبِ النِّسَاءِ مَا ظَهَرَ لَوْنُهُ وَخَفِيَ رِيحُهُ

“Sebaik-baik wangian bagi lelaki adalah yang jelas aromanya tetapi samar warnanya, manakala sebaik-baik wangian bagi wanita pula adalah yang tampak warnanya tetapi tidak jelas wangianya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2788. Dinilai hasan oleh At-Tirmidzi dan sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis ini menjelaskan bahawa wangi-wangian itu disunnahkan bagi lelaki yakni wangi-wangian yang jelas baunya, sebaliknya berbeza bagi wanita.

Yakni jika seorang wanita hendak mengenakan wangian, maka hendaklah wangian yang tidak jelas baunya atau aromanya khasnya ketika dia keluar dari rumah, cukup sekadar untuk menutup atau menghilangkan bau badan.

Menurut Al-Imam Al-Baghawi rahimahullah (Wafat: 516H), beliau menyebutkan dari Sa’id Ibn Abi ‘Arubah:

وَطِيبُ النِّسَاءِ إِذَا أَرَادَاتْ أَنْ تَخْرُجَ، فَأَمَّا إِذَا كَانَتْ عِنْدَ زَوْجِهَا، فَلْتَطَيَّبْ بِمَا شَاءَتْ.

“Wangian bagi wanita yang dimaksudkan adalah apabila dia hendak keluar (dari rumah). Adapun apabila dia berada di sisi suaminya (di rumah), maka dia boleh mengenakan apa-apa pun wangian yang dia inginkan.” (Syarh As-Sunnah, 12/81)

Yakni dalam rangka menambat hati suaminya dan memberikan suasana yang baik ketika kehadiran suaminya.

Wallaahu a’lam.

fiqih_sunnah_Wanita_cetakan_baru

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest