Di Saat Sepuluh Malam Terakhir Ramadhan

Abu Numair
www.ilmusunnah.comkesungguhan ibadah di 10 malam terakhir ramadhan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mengajarkan kepada kita semua agar berusaha keras menggandakan amal ibadah ketika Ramadhan berbaki 10 hari. Beliau juga mencontohkan agar mengajak sama ahli keluarga untuk menghidupkan malam-malamnya dengan amalan-amalan sunnah seperti membaca al-Qur’an, i’tikaf, solat, berdoa, dan memohon keampunan. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha menyatakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila memasuki fasa 10 hari yang akhir (dari bulan Ramadhan), beliau mengikat pakaiannya kuat-kuat, beliau menghidupkan malamnya dengan beribadah, dan beliau membangunkan keluarganya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2024. Kitab Keutamaan Malam Al-Qadr)

‘Aisyah juga berkata sebagaimana dalam riwayat yang lain:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sangat bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi kesungguhannya pada hari yang lain.” (Shahih Muslim, no. 1175. Kitab Al-I’tikaaf)

Ini antaranya adalah dalam rangka meraih malam terbaik bernama lailatul Qadr (malam Al-Qadr). Pesan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah malam Al-Qadr pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadhan.” (Shahih Al-Bukhari, 2020. Shahih Muslim, no. 1169)

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

ولما كانت ليلة القدر تعدل عبادتها عبادة ألف شهر

“Beribadah di malam al-Qadr menyamai ibadah selama seribu bulan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/444)

Apabila kita memahami persoalan ini dengan baik, dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, sudah sepatutnya kita akan berusaha keras mendapatkannya. Sebaliknya bukan dengan menyibukkan diri di pusat-pusat membeli-belah dan pasar-pasaraya bagi meraih tawaran jualan murah dan memperagakan pelbagai barangan yang boleh dilakukan ketika hari-hari yang lainnya sehingga mengabaikan keutamaan yang disunnahkan pada waktu-waktu terakhir ini.

Penuhilah masjid-masjid dan malam-malam terakhir Ramadhan ini dengan qiyam Ramadhan berupa ibadah, solat, membaca al-Qur’an, berdoa, dan memohon keampunan dengan segala kemampuan dan kesempatan yang ada. Tawaran yang Allah berikan ini bukan mudah untuk diperolehi dan nilainya jelas jauh lebih tinggi berbanding urusan dunia lainnya bagi yang mengimaninya.

Kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang menghidupkan malam Al-Qadr (untuk beribadah) dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1901)

‘Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ القَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا؟ قَالَ: ” قُولِي: اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Wahai Rasulullah, apa pandangan engkau jika aku mengetahui suatu malam itu adalah malam Al-Qadr? Apa yang perlu aku katakan padanya?”

Maka jawab Rasulullah, “Katakanlah (berdoa dengan doa):

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Ya Allah sesungguhnya engkau Maha Pemaaf lagi menyukai permohonan maaf, maka maafkanlah aku.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 3513. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Wallaahu a’lam.

doa_malam_al-Qadr

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest