Fitnah Di Pintu-pintu Pemerintah
Bingkisan Untuk Para Ustaz, Blogger, dan Lidah-lidah Berita Pemerintah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَكَنَ الْبَادِيَةَ جَفَا، وَمَنِ اتَّبَعَ الصَّيْدَ غَفَلَ، وَمَنْ أَتَى السُّلْطَانَ افْتُتِنَ

“Sesiapa yang tinggal di kawasan badwi dia akan menjadi kasar perwatakannya. Sesiapa yang mengikuti buruan (berburu), maka dia akan lalai. Dan sesiapa yang mendatangi (pintu-pintu) sultan (pemerintah), maka dia akan terfitnah.” (Musnad Ahmad, no. 3362. Sunan Abu Daud, no. 2859. Sunan at-Tirmidzi, no. 2256. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

إياكم و أبواب السلطان، فإنه قد أصبح صعبا هبوطا

“Jauhilah pintu-pintu pemerintah, kerana ia akan menyebabkan kepayahan dan kehinaan.” (Al-Bahaqi, Syu’abul Iman, no. 9405. as-Suyuthi, al-Jami’ ash-Shaghir, no. 4437. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Sahabat Nabi, ‘Abdullah B. ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

إِن عَلَى أَبْوَابِ السُّلْطَانِ فتنا كَمَبَارِكِ الإِبِلِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا تُصِيبُونَ مِنْ دُنْيَاهُمْ شَيْئًا إِلا أَصَابُوا مِنْ دِينِكُمْ مِثْلَيْهِ.

“Sesungguhnya pada pintu-pintu pemerintah itu terdapat fitnah seperti bonggol unta. Demi Dzat yang jiwaku ditangan-Nya, tidaklah kami mendapatkan keuntungan duniawi daripada mereka sedikitpun melainkan merekalah yang akan mendapatkan keuntungan yang semisalnya dari agama kamu.” (Mushannaf ‘Abdirrazzaq, no. 20644. Ibn ‘Abdil Barr, Jaami’ Bayaan al-‘Ilm wa Fadhlihi, no. 604. Al-‘Uzlah oleh al-Khaththabi, no. 230. Al-Baghawi, Syarh as-Sunnah, 14/295)

Sahabat Nabi, Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu berkata:

إِيَّاكُمْ وَمَوَاقِفَ الْفِتَنِ، قِيلَ: وَمَا مَوَاقِفُ الْفِتَنِ يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ؟ قَالَ: أَبْوَابُ الأُمَرَاءِ، يَدْخُلُ أَحَدُكُمْ عَلَى الأَمِيرِ فَيُصَدِّقُهُ بِالْكَذِبِ وَيَقُولُ لَهُ مَا لَيْسَ فِيهِ

“Berhati-hatilah kalian dari tempat-tempat fitnah.”

Ditanya kepada Hudzaifah, “Apakah tempat-tempat fitnah itu wahai Abu ‘Abdillah?”

Hudzaifah menjawab, “Pintu-pintu pemerintah. Salah seorang di antara kalian masuk (menyertai) penguasa lalu dia membenarkan dengan kebohongan dan berkomentar (mengulas sesuatu perkara) dengan sesuatu yang bukan darinya (menyeleweng dari maksud sebenar).” (Mushannaf ‘Abdirrazzaq, no. 20643. Al-Baghawi, Syarh as-Sunnah, 14/295. Ibn ‘Abdil Barr, Jaami’ Bayaan al-‘Ilm wa Fadhlihi, no. 604)

Termasuk dalam maksud hadis atau atsar ini adalah membantu pemerintah dengan kaedah-kaedah yang tidak syar’i seperti dengan cara maksiat, syubhat, provokasi, demonstrasi jalanan, kedustaan, dan dengan cara menyelewengkan nash-nash agama, walaupun untuk mencapai tujuan yang sunnah mahupun yang mubah (iaitu untuk meraih kebaikan dan kemaslahatan umum). Apatah lagi jika membantu untuk tujuan yang tidak syar’i seperti untuk menghalalkan pembohongan, kezaliman, dan kemaksiatan? Tentu lebih dasyat. Dan insyaAllah hadisnya akan penyusun kemukakan di bawah.

Imam Abu Haazim Salamah B. Dinaar rahimahullah (Wafat: 140H) berkata:

إن العلماء كانوا يفرون من السلطان ويطلبهم، وإنهم اليوم يأتون أبواب السلطان والسلطان يفر منهم

“Para ulama terdahulu memilih untuk melarikan diri dari pemerintah sementara para pemerintah memburu mereka. Dan adapun pada hari ini, mereka (dari sebahagian ulama) ada yang mengetuk pintu-pintu pemerintah (mencari habuan di sisi pemerintah) sementara para pemerintah pula melarikan diri dari mereka.” (Ibn ‘Abdil Barr, Jaami’ Bayaan al-‘Ilm wa Fadhlihi, no. 597)

Hisyam B. ‘Abbad berkata: “Aku pernah mendengar Ja’far B. Muhammad berkata:

الفقهاء أمناء الرسل، فإذا رأيتم الفقهاء قد ركنوا إلى السلاطين، فاتهموهم

“Para fuqaha’ (ilmuan fiqih) adalah orang-orang kepercayaan para Rasul. Maka apabila engkau melihat para fuqaha’ yang mula condong kepada pemerintah, maka awasilah mereka.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 6/262 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Ja’far B. Muhammad adalah keturunan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, anak kepada al-Husain, cucu ‘Ali B. Abi Thalib, juga cucu Abu Bakr ash-Shiddiq radhiyallahu ‘anhum. Beliau termasuk dari kalangan tabi’in terkenal di thabaqat ke-5.

Maimun B. Mihran rahimahullah (Wafat: 110H) berkata:

ثلاث لاتبلون نفسك بهن: لا تدخل على السلطان، وإن قلت: آمره بطاعة الله، ولا تصغين بسمعك إلى هوى، فإنك لا تدري ما يعلق بقلبك منه، ولا تدخل على امرأة، ولو قلت: أعلمها كتاب الله.

“Jangan sampai dirimu ditimpa oleh tiga perkara:

1, Janganlah engkau memasuki (mencari-cari kedudukan di sisi) pemerintah, walaupun engkau beralasan: “Aku akan memerintahkannya dengan ketaatan kepada Allah.”

2, Janganlah engkau menadah telinga terhadap ucapan pengikut hawa nafsu, kerana engkau tidak tahu apa dari ucapannya yang akan melekat di hatimu.

3, Dan janganlah engkau masuk ke tempat seorang perempuan, walaupun engkau beralasan: “Aku akan mengajarkannya Kitab Allah.” (adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 5/77 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Maimun B. Mihran, beliau adalah imam yang menjadi hujjah (rujukan), seorang ‘aalim dan mufti di al-Jazirah.

Beliau (Maimun B. Mihran) juga mengatakan:

“‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz berpesan kepadaku dengan mengatakan:

يا ميمون، لا تخل بامرأة لا تحل لك وإن أقرأتها القرآن، ولا تتبع السلطان وإن رأيت أنك تأمره بمعروف وتنهاه عن منكر، ولا تجالس ذا هوى فيلقي في نفسك شيئا يسخط الله به عليك

“Wahai Maimun, janganlah engkau berduaan dengan wanita yang tidak halal bagimu walaupun engkau membacakan al-Qur’an untuknya. Jangan engkau mengikuti penguasa walaupun engkau beranggapan yang engkau akan menyuruhnya kepada kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran. Janganlah duduk-duduk (bergaul) dengan orang yang mengikuti hawa nafsunya sehingga ia mencampakkan ke dalam hati engkau sesuatu yang membuat Allah murka kepada engkau.” (Ibnul Jauzi, Sirah wa Manaaqib ‘Umar B. ‘Abdil ‘Aziz, m/s. 246 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah)

Pernah berlaku kepada imam al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H), di mana ada seorang yang berhutang dengannya dan cuba melarikan diri daripadanya (enggan membayar hutang), lalu sahabat-sahabat beliau menyarankan agar dilaporkan hal tersebut kepada pemerintah agar surat arahan dikeluarkan supaya orang yang berhutang tersebut ditangkap. Maka imam al-Bukhari pun berkata:

إن أخذت منهم كتابا طمعوا مني في كتاب، ولست أبيع ديني بدنياي

“Sesungguhnya jika aku meminta dari mereka (pemerintah) agar mengeluarkan surat arahan (untuk menangkap orang berhutang tersebut), sudah tentu mereka akan menginginkan sesuatu dariku (untuk kelangsungan politik). Dan aku tidak sekali-kali akan menjual agamaku dengan duniaku.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 12/446)

Imam Ibnul Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) ketika menyebutkan beberapa bentuk atau contoh Talbis Iblis (tipu daya Iblis) yang menimpa para ulama yang mendampingi para penguasa, beliau berkata (antaranya):

1, Kebiasaan mereka dari kalangan ulama yang biasa mendampingi para pemerintah dan mencari muka di hadapan pemerintah, mereka tidak berani mengingkari dari kesalahan-kesalahan pemerintah walaupun hakikatnya mereka memiliki kemampuan.

2, Adakalanya para ulama tersebut membuat-buat rukhsah (keringanan hukum agama) bagi mereka tentang sesuatu yang sepatutnya tidak boleh ada rukhsah, dan ini dilakukan dalam rangka agar ulama tersebut mendapat sejumlah imbalan.

3, Adakalanya Iblis memperdayakan mereka yang biasa mendampingi para penguasa sehingga mereka pun berkata, “Sesungguhnya aku menemui penguasa adalah supaya aku dapat memintakan syafa’at (bantuan atau pertolongan) bagi orang Islam.”

4, Talbis Iblis ini akan terungkap ketika ada Muslim selain dia yang turut meminta syafa’at kepada penguasa, maka dia pun merasa cemburu (tidak suka). Bahkan boleh jadi dia memburuk-burukkan orang lain tersebut di hadapan penguasa agar hanya dia sahaja yang mendapat peluang di hadapan penguasa.

5, Selain itu, Iblis juga turut melancarkan tipu-dayanya terhadap kelompok ulama yang tidak mahu berhubung dengan pemerintah sama sekali, kerana mereka hanya ingin membatasi diri dalam urusan ibadah dan agama. Lalu Iblis menjadikan mereka menganggap bagus untuk mengumpat ulama yang lainnya yang suka menemui penguasa (tanpa usul-periksa – pent.).

6, Secara umumnya, mendampingi para penguasa itu mendatangkan bahaya yang besar. Kerana mungkin niat yang dipasang di saat awal pertemuan adalah baik, tetapi lama-kelamaan niatnya berubah untuk menuangkan rasa hormat terhadap penguasa dan membuat para penguasa merasa puas (suka) terhadap dirinya. Lalu dia pun diikuti rasa ketamakkan untuk mendapatkan kekayaan daripada mereka. Hal ini tidak lepas dari tindakan mencari muka di sisi penguasa, kepura-puraan, dan akhirnya menjadikan mereka bimbang (rasa takut) untuk mengingkari kesalahan-kesalahan penguasa.

Sebagaimana kata Sufyan ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 191H):

ما أخاف من إهانتهم لي إنما أخاف من إكرامهم فيميل قلبي

“Aku tidak takut celaan (atau penghinaan) para penguasa terhadapku, tetapi yang aku takutkan adalah jika mereka memuliakan aku sehingga hatiku pun menjadi condong terhadap mereka.” (Ibnul Jauzi, Talbis Iblis, m/s. 109)

Imam Ibnul Jauzi juga mengatakan:

وقد كان علماء السلف يبعدون عن الأمراء لما يظهر من جورهم فتطلبهم الأمراء لحاجتهم اليهم في الفتاوي

“Para ulama salaf (ulama terdahulu) biasa menjauhkan diri dari para penguasa dengan sebab apa yang dilakukan mereka dari keburukan-keburukan dan sikap kediktatoran (kuku besi) yang ditunjukkan. Sebaliknya para penguasalah yang berhajat kepada fatwa-fatwa mereka.” (Ibnul Jauzi, Talbis Iblis, m/s. 109)

Imam Ibnul Mubarak rahimahullah (Wafat: 181H) berkata:

ليسَ الأَمرُ الناهِي عندَنا من دَخلَ عليهم فأمرهُم ونهاهُم، إِنَّمَا الآمرُ الناهي من اعتزلهُم. وسببُ هذا ما يُخشَى من فتنةِ الدخولِ عليهم؛ فإنَّ النَفسَ قد تُخيلُ للإنسانِ إذا كانَ بعيدًا عنهُم أنهُ يأمرُهم وينهاهُم ويغلّظُ عليهم، فَإِذَا شاهدهُم قريبًا مالتِ النَّفسُ إليهم؛ لأنَّ محبةَ الشَّرفِ كامنة في النفس، والنفس تُحسن له مداهنتهم وملاطفتهم، وربما مال إليهم وأحبهم

“Tidak ada amar ma’ruf nahi mungkar menurut kami bagi sesiapa yang masuk menyertai (bergabung) dengan mereka (para penguasa). Adapun yang dikatakan amar makruf nahi mungkar terhadap mereka adalah bagi sesiapa yang tidak bergabung dengan mereka (para penguasa). Dan sebabnya adalah kerana ditakuti muncul fitnah jika mereka bergabung dengan para penguasa. Kerana ketika jauh dari mereka, hati pun akan merasa kuat untuk memerintahkan yang ma’ruf dan melarang yang mungkar serta mengkritik mereka. Namun jika hati itu menyaksikan secara langsung dari dekat, maka timbullah kecondongan dan kecintaan kepada mereka. Lebih-lebih lagi apabila penguasa tersebut memuliakannya, tentu ia akan terdorong menerima apa saja yang diberikan oleh penguasa tersebut, mungkin berupa harta dan perhatian.” (Majmu’ Rasa’il Ibnu Rejab, Syarah Hadits Maa Dzaibaan Jaa’i’aan, 1/86)

Imam Sufyan ats-Tsauri rahimahullah (Wafat: 161H) ketika menulis surat nasihat kepada ‘Abbad B. ‘Abbad, beliau mengatakan:

إِيَّاكَ وَالأُمراءَ أن تدنُو منهم أو تُخالطهم في شيء من الأشياءِ، وإياكَ أن تُخدَعَ ويقالُ لك: لتشفعَ وتدرأَ عن مظلومٍ أو تردَّ مظلمةً؛ فإن ذلك خديعةُ إبليسَ، وإنما اتَّخذها فُجَّارُ القُرَّاءِ سُلمًا

“Hati-hatilah engkau, jangan sampai engkau mendekati dan bergaul-gaul (bergabung) dengan para penguasa dalam perkara apapun. Hati-hati, jangan sampai engkau terpesona (terpedaya) dengan ucapan yang disampaikan kepadamu:

Engkau masuk untuk memberi syafa’at (bantuan) dan membela orang-orang yang dizalimi, atau mengembalikan hak orang-orang yang terzalimi. Kerana sesungguhnya itu semua adalah tipu-daya Iblis yang ditempuh oleh para qurraa’ yang fajir (buruk) dan menjadikan perkara tersebut sebagai alasan.” (Abu Nu’aim, Hilyatul Awliyaa’, 6/376. Majmu’ Rasa’il Ibnu Rejab, Syarah Hadits Maa Dzaibaan Jaa’i’aan, 1/86-87)

Sufyan ats-Tsauri juga berkata dalam risalah (surat) yang sama:

وإياك وحب الرياسة فان الرجل تكون الرياسة أحب إليه من الذهب والفضة وهو باب غامض لا يبصره الا البصير من العلماء بالسماسرة فتفقد نفسك واعمل بنية واعلم أنه قد دنا من الناس أمر يشتهى الرجل أن يموت

“Berhati-hatilah engkau dari mencintai jawatan kepimpinan, kerana jawatan kepimpinan tersebut memang disukai oleh seseorang lebih dari kecintaannya terhadap emas dan perak. Dan ia adalah pintu yang samar yang tidak diketahui melainkan oleh ulama yang memiliki bashiirah (berpandangan tajam). Oleh itu, perhatikanlah dirimu dan beramallah dengan niat (yang benar). Dan ketahuilah sesungguhnya telah dekat kepada manusia suatu masa di mana manusia lebih menginginkan kematian.” (Abu Nu’aim, Hilyatul Awliyaa’, 6/377)

Beliau juga berkata sebagaimana disebutkan oleh Mu’ammal bin Isma’il Al-Bashri rahimahullah, beliau mendengar Sufyan Ats-Tsauri berkata:

المسلمون كلهم عندنا على حالة حسنة إلا رجلين صاحب بدعة أو صاحب السلطان

“Kaum muslimin seluruhnya di sisi kami berada di atas keadaan yang baik kecuali dua jenis, (yakni) pengikut bid’ah atau mereka yang melazimi sultan (pemerintah).” (Syarh Ushul I’tiqad Ahli Sunnah wal-Jama’ah oleh Al-Laalika’i, 1/154)

Al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Barr rahimahullah ketika menjelaskan dan mengemukakan atsar-atsar salaf berkaitan hal ini, beliau pun kemudian berkata:

معنى هذا الباب كله في السلطان الجائر الفاسق، فأما العدل منهم الفاضل فمداخلته ورؤيته وعونه على الصلاح من أفضل أعمال البر، ألا ترى أن عمر بن عبد العزيز إنما كان يصحبه جلة العلماء مثل: عروة بن الزبير وطبقته، وابن شهاب وطبقته، وقد كان ابن شهاب يدخل إلى السلطان عبد الملك وبنيه بعده، وكان ممن يدخل إلى السلطان الشعبي، وقبيصة، وابن ذؤيب، ورجاء بن حيوة الكندي، وأبو المقدام، وكان فاضلًا عالمًا، والحسن، وأبو الزناد، ومالك بن أنس، والأوزاعي، والشافعي وجماعة يطول ذكرهم. وإذا حضر العالم عند السلطان غبا فيما فيه الحاجة وقال خيرًا، ونطق بعلم كان حسنًا، وكان في ذلك رضوان الله إلى يوم يلقاه، ولكنها مجالس الفتنة فيها أغلب والسلامة منها ترك ما فيها

“Maksud seluruh bab ini adalah merujuk kepada pemerintah yang jahat lagi fasiq. Adapun terhadap pemerintah yang adil, maka mendekati, mengunjungi, dan membantu mereka dalam memperbaiki masyarakat adalah termasuk amalan yang afdhal dan baik. Perhatikanlah ‘Umar B. ‘Abdul ‘Aziz yang didampingi oleh para ulama seperti ‘Urwah B. Az-Zubair, Ibnu Syihab, dan ulama lainnya yang setaraf dengan mereka.

Ibnu Syihab pernah mengunjungi khalifah ‘Abdul Malik B. Marwan (untuk memberi peringatan) dan juga mengunjungi pemerintah setelahnya.

Selain itu, di antara para ulama yang sering mengunjungi para pemerintah di masanya adalah asy-Sya’bi, Qabishah, Ibnu Dzu’aib, Raja’ B. Haiwah al-Kindi, Abu al-Miqdam yang merupakan seorang ulama yang berilmu dan memiliki keutamaan, al-Hasan, Abu Zinaad, Malik B. Anas, al-Auzaa’i, asy-Syafi’i, dan dan para ulama terkenal lainnya yang terlalu panjang senarainya.” (Ibn ‘Abdil Barr, Jaami’ Bayaan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/333)

Apa yang diungkapkan oleh al-Hafiz Ibnu ‘Abdil Barr tersebut bersesuaian dengan ayat Allah Ta’ala:

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang akan menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tidaklah memiliki seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (Surah Huud, 11: 113)

Kata Ibnu ‘Abbas tentang ayat ini:

لا تُدهنُوا

“Jangan bermanis-manis mulut (terhadap orang zalim).”

Beliau juga mengatakan maksudnya, “Janganlah berpihak (tertarik atau condong) terhadap orang-orang yang zalim.” Iaitu maksudnya janganlah kalian memohon pertolongan kepada orang-orang yang zalim sehingga seakan-akan kalian menjadi redha terhadap sebahagian perbuatan mereka.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/354)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) ada berkata:

وَقَدْ اسْتَفَاضَ وَتَقَرَّرَ فِي غَيْرِ هَذَا الْمَوْضِعِ مَا قَدْ أَمَرَ بِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ طَاعَةِ الْأُمَرَاءِ فِي غَيْرِ مَعْصِيَةِ اللَّهِ؛ وَمُنَاصَحَتِهِمْ وَالصَّبْرِ عَلَيْهِمْ فِي حُكْمِهِمْ وَقَسْمِهِمْ ؛ وَالْغَزْوِ مَعَهُمْ وَالصَّلَاةِ خَلْفَهُمْ وَنَحْوَ ذَلِكَ مِنْ مُتَابَعَتِهِمْ فِي الْحَسَنَاتِ الَّتِي لَا يَقُومُ بِهَا إلَّا هُمْ؛ فَإِنَّهُ مِنْ “بَابِ التَّعَاوُنِ عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى” وَمَا نَهَى عَنْهُ مِنْ تَصْدِيقِهِمْ بِكَذِبِهِمْ وَإِعَانَتِهِمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ وَطَاعَتِهِمْ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ وَنَحْوِ ذَلِكَ؛ مِمَّا هُوَ مِنْ “بَابِ التَّعَاوُنِ عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ” وَمَا أَمَرَ بِهِ أَيْضًا مِنْ الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيِ عَنْ الْمُنْكَرِ: لَهُمْ وَلِغَيْرِهِمْ عَلَى الْوَجْهِ الْمَشْرُوعِ؛ وَمَا يَدْخُلُ فِي ذَلِكَ مِنْ تَبْلِيغِ رِسَالَاتِ اللَّهِ إلَيْهِمْ؛ بِحَيْثُ لَا يَتْرُكُ ذَلِكَ جُبْنًا وَلَا بُخْلًا وَلَا خَشْيَةً لَهُمْ وَلَا اشْتِرَاءً لِلثَّمَنِ الْقَلِيلِ بِآيَاتِ اللَّهِ؛ وَلَا يَفْعَلُ أَيْضًا لِلرِّئَاسَةِ عَلَيْهِمْ وَلَا عَلَى الْعَامَّةِ وَلَا لِلْحَسَدِ وَلَا لِلْكِبَرِ وَلَا لِلرِّيَاءِ لَهُمْ وَلَا لِلْعَامَّةِ

“Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di selain tempat ini bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan supaya mentaati para pemerintah selagi perintah mereka tidak mengandungi maksud bermaksiat kepada Allah, (bertindak) menasihati mereka, bersabar di dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama mereka, solat di belakang mereka, mengikuti mereka di dalam perkara-perkara yang baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.

Maka ini adalah termasuk perbuatan tolong-menolong di dalam kebaikan dan taqwa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga melarang membenarkan mereka untuk perkara dusta (yang tidak benar), membantu mereka melakukan penganiayaan, mentaati mereka dalam persoalan maksiat kepada Allah dan perkara-perkara semakna dengannya yang termasuk tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan salah.

Dan (Rasulullah) juga memerintahkan supaya melaksanakan amar ma’ruf serta nahi mungkar kepada mereka dan kepada selain mereka dengan cara yang disyari’atkan, termasuk dalam perkara ini adalah menyampaikan risalah Allah kepada mereka.

Ianya hendaklah tidak ditinggalkan kerana sebab takut, kedekut dan malu (atau segan) kepada mereka, serta tidak demi menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, tidak pula dilaksanakan supaya dapat meraih kuasa (atau kedudukan – pent.) ke atas mereka atau umat Islam secara umum, bukan pula kerana hasad (atau dengki), sombong, dan riya’ kepada mereka dan masyarakat awam (umat Islam secara umumnya).” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Ini sebagaimana juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang memerintahkan Musa dan Harun supaya mendatangi Fir’aun dengan tujuan menasihati dan mendakwahinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (43) فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Fira’un, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia ingat atau takut.” (Surah Thaha, 20: 43-44)

Tetapi ingatlah, sesiapa yang mentaati dan sengaja bertindak menolong penguasa dalam urusan yang maksiat dan kezaliman atau yang menolong dengan cara mentakwil, mengelirukan, menafsir, atau pun memutar-balikkan ayat-ayat Allah atau hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah pun menegaskan bahawa mereka bukanlah dari golongan yang mengikuti prinsip-prinsip ahli sunnah wal-jama’ah sebagaimana petunjuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam bermu’amalah terhadap pemerintah. Sekaligus mereka diancam dengan ancaman tidak akan bersama-sama Rasulullah di akhirat kelak.

Demikian juga bagi mereka yang mentaati (atau mendekati) pemerintah bukan kerana Allah tetapi kerana tujuan mencari muka, kedudukan, jawatan, habuan, kekayaan dunia, harta, atau pangkat di sisi pemerintah. Allah menjelaskan golongan yang bersikap seperti ini sebagai tidak punya kedudukan di akhirat. Dan Rasul-Nya pula mengkhabarkan bahawa ia tidak termasuk golongannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

مَنْ كَانَ يُرِيدُ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا نُوَفِّ إِلَيْهِمْ أَعْمَالَهُمْ فِيهَا وَهُمْ فِيهَا لَا يُبْخَسُونَ (15) أُولَئِكَ الَّذِينَ لَيْسَ لَهُمْ فِي الْآخِرَةِ إِلَّا النَّارُ وَحَبِطَ مَا صَنَعُوا فِيهَا وَبَاطِلٌ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi (kedudukan) di akhirat kecuali neraka, dan lenyaplah di akhirat apa yang telah mereka usahakan di dunia, dan sia-sialah apa yang telah mereka usahakan.” (Surah Huud, 11: 15-16)

Imam Abu Nu’aim rahimahullah (Wafat: 430H) berkata:

والله ما هلك من هلك إلا بحب الرياسة

“Demi Allah, tidaklah binasa orang yang binasa melainkan disebabkan kecintaannya terhadap kekuasaan.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/286 – Tahqiq Fawwaz Ahmad Zamarli, Mu’asasah Ar-Rayaan)

Kemudian sebagaimana hadis Nabi (daripada Ka’ab B. ‘Ujrah radhiyallahu ‘anhu):

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّهُ سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ مَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ الْحَوْضَ وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَهُوَ وَارِدٌ عَلَيَّ الْحَوْضَ

“Sesungguhnya akan ada setelah peninggalanku nanti para pemimpin, sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku dan aku bukan daripadanya dan dia tidak akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat nanti) di Haudh, dan sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia daripada kalanganku dan aku daripada kalangannya dan dia akan mendatangi aku (pada Hari Kiamat) di Haudh.” (Musnad Ahmad, no. 18126. Sunan at-Tirmidzi, no. 2259. Sunan an-Nasaa’i, no. 4207. Dinilai sahih oleh  al-Albani)

Lafaz dalam Sunan at-Tirmidzi:

فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَلَيْسَ

“… Sesiapa yang memasuki (menyertai) mereka lalu membenarkan mereka dengan kedustaan dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku…” (Sunan at-Tirmidzi, no. 2259. Kata at-Tirmidzi, sahih gharib)

Lafaz dalam Musnad Ahmad:

إِنَّهَا سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ يَكْذِبُونَ وَيَظْلِمُونَ، فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ، فَصَدَّقَهُمْ بِكِذْبِهِمْ، وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ، فَلَيْسَ مِنِّي

“Sesungguhnya akan ada nanti setelah peninggalanku para penguasa yang pembohong dan zalim. Sesiapa yang memasuki (menyertai) mereka, lalu membenarkan mereka dengan cara dusta dan membantu mereka atas kezaliman mereka, maka dia bukan daripadaku…” (Musnad Ahmad, no. 18126. Kata Syu’aib al-Arnauth, Isnadnya sahih)

Setelah menyebutkan hadis ini, Al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah (Wafat: 795H) pun berkata:

وقد كان كثير من السلفِ ينهونَ عن الدخولِ عَلَى الملوكِ لمن أراد أمرهُم بالمعروفِ ونَهيهُم عن المنكر أيضاً

“Bahawasanya ramai dari kalangan salaf (ulama terdahulu) melarang dari menyertai (bergabung) bersama para raja (kerajaan) bagi mereka yang mahu ber-amar ma’ruf dan melakukan nahi mungkar terhadap raja tersebut.” (Majmu’ Rasa’il Ibnu Rejab, Syarah Hadits Maa Dzaibaan Jaa’i’aan, 1/86)

Kemudian Al-Hafiz Ibnu Rejab pun membawakan atsar-atsar antaranya daripada Ibnul Mubarak dan Sufyan ats-Tsauri sebagaimana disebutkan di atas.

Maka, hati-hatilah dalam perkara ini yang mana telah dianggap fitnah oleh para salaf bahkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ سُفَهَاءُ يُقَدِّمُونَ شِرَارَ النَّاسِ، وَيَظْهَرُونَ بِخِيَارِهِمْ، وَيُؤَخِّرُونَ الصَّلَاةَ عَنْ مَوَاقِيتِهَا، فَمَنْ أَدْرَكَ ذَلِكَ مِنْكُمْ، فَلَا يَكُونَنَّ عَرِيفًا وَلَا شُرْطِيًّا وَلَا جَابِيًا وَلَا خَازِنًا

“Akan datang ke atas manusia (orang ramai), suatu zaman yang akan terjadi atas kalian para pemerintah yang bodoh memerintah kalian, mereka mendahulukan seburuk-buruk manusia dan membelakangi orang-orang yang baik dari kalangan mereka, dan mereka melewat-lewatkan solat dari waktunya. Maka siapa yang mendapati hal sedemikian di hadapan kalian, maka janganlah dia menjadi panglimanya (atau wakil-wakilnya), tidak pula para penguat-kuasanya, para pemungut harta-harta (cukai dan seumpama), dan penyelenggara harta-hartanya.” (Musnad Abi Ya’la, no. 1115. Shahih Ibn Hibban, no. 4586. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Carilah dengan ilmu yang kalian miliki akan wajah Allah, dan ikhlaskanlah untuk-Nya. Iaitu bukan untuk selainnya.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga pernah bersabda:

مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا، لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Sesiapa yang menuntut ilmu yang sepatutnya untuk mencari wajah Allah ‘Azza wa Jalla, tetapi dia tidak menuntutnya melainkan untuk mencari dunia dengannya, maka pada hari kiamat dia tidak akan dapat mencium aroma Syurga.” (Musnad Ahmad, no. 8457. Sunan Abu Daud, no. 3664. Ibnu Majah, no. 248. Dinilai sahih oleh an-Nawawi, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth)

Kata Al-Imam Ibn ‘Abdil Barr rahimahullah (Wafat: 463H):

ومن أفضل آداب العالم، تواضعه وترك الإعجاب بعلمه، ونبذ حب الرئاسة عنه.

“Termasuk adab yang afdhal (paling utama) bagi seorang berilmu adalah dia bersikap tawadhu’ dan meninggalkan ‘ujub (yakni tidak sombong lagi membangga diri) dengan ilmunya, dan dia menjauhi dari mencintai kekuasaan dengan sebab ilmunya.” (Jaami’ Bayaan Al-‘Ilmi wa Fadhlih, 1/280 – Tahqiq Fawwaz Ahmad Zamarli, Mu’asasah Ar-Rayaan)

Terakhir, sebuah sya’ir mengungkapkan:

إِنَّ الْمُلُوكَ بَلَاءٌ حَيْثُ مَا حَلُّوا … وَلَا يَكُنْ لَكَ فِي أَكْنَافِهِمْ ظِلُّ

مَاذَا تُؤَمِّلُ مِنْ قَوْمٍ إِذَا غَضِبُوا … جَارُوا عَلَيْكَ وَإِنْ أَرْضَيْتَهُمْ مَلُّوا

فَإِنْ مَدَحْتَهُمْ خَالُوكَ تَخْدَعُهُمْ … وَإِنِ اسْتَثْقَلُوكَ كَمَا يُسْتَثْقَلُ الْكَلُّ

فَاسْتَغْنِ بِاللهِ عَنْ أَبْوَابِهِمْ أَبَدًا … إِنَّ الْوُقُوفَ عَلَى أَبْوَابِهِمْ ذُلُّ

“Sesungguhnya para raja adalah bala’ dari apa sahaja yang mereka halalkan…

Jadi janganlah engkau selalu berteduh di bawah bayang-bayang mereka.

Apa yang dapat engkau harapkan jika orang-orang marah,

Mereka akan berpaling dari engkau, dan mereka bersamamu jika kamu redha akan keburukan mereka,

Jika engkau memuji mereka, maka mereka akan biarkan engkau bohongi mereka,

Dan jika mereka menganggap engkau berat sebagaimana beban yang berat,

Maka cukupkanlah dengan kurniaan Allah dari mendatangi pintu-pintu penguasa selamanya,

Kerana berdiri di pintu-pintu mereka bererti suatu kehinaan.” (Al-Baihaqi, Syu’abul Iman, no. 8988)

Demikian pula Sya’ir daripada Imam Ibnul Mubarak rahimahullah, kata beliau:

يا جاعل العلم له بازيا

“Wahai orang-orang yang menjadikan ilmu sebagai barang jual-beli…

يصطاد أموال المساكين

Untuk mengaut harta orang-orang miskin…

احتلت للدنيا ولذاتها

Engkau ambil untuk dunia dan kesenangannya…

بحيلة تذهب بالدين

Dengan helah engkau menghilangkan agama…

فصرت مجنونا بها بعدما

Lalu engkau menjadi orang gila dengannya sedangkan dulunya…

كنت دواء للمجانين

Engkau adalah ubat bagi orang-orang gila…

أين رواياتك فيما مضى

Di mana riwayat-riwayat engkau yang lampau…

عن ابن عون وابن سيرين

Daripada Ibn ‘Aun dan Ibn Sirin…

ودرسك العلم بآثاره

Dan di manakah ilmu yang engkau pelajari dengan atsar-atsar?

في ترك أبواب السلاطين

Yang berupa anjuran meninggalkan pintu-pintu pemerintah?

إن قلت أكرهت فماذا كذا

Jika engkau mengatakan: “Aku terpaksa?” Kenapa jadi begitu…

زل حمار العلم في الطين

Demikianlah keldai ilmu terjatuh di dalam lumpur.

لا تبع الدين بالدنيا كما

Janganlah menjual agama dengan dunia…

يفعل ضلال الرهابين

Sebagaimana yang dilakukan oleh para rahib (pendeta) yang sesat…”

* Sya’ir ini asalnya ditujukan untuk Imam ‘Isma’il B. ‘Ulayyah rahimahullah kerana menerima satu jawatan di sisi Khalifah Harun ar-Rasyid. (Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad. adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 9/110 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest