Ghuluw, Sikap Yang Perlu Dihindari

www.ilmusunnah.com

Maksud Ghuluw

Ghuluw adalah Sikap atau perbuatan yang berlebih-lebihan di dalam perkara agama sehingga melampaui apa yang telah ditetapkan melalui batasan syari’at sama ada dalam bentuk keyakinan (i’tiqad), lisan atau perbuatan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ غَيْرَ الْحَقِّ وَلا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

“Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu ghuluw (melampaui batas) dengan cara yang tidak benar di dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang terdahulu yang telah sesat (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakkan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 77)

Sedangkan agama ini telah pun lengkap dan tidak perlu kepada penambahan atau pengurangan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama-mu, dan telah aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah Al-Ma’idah, 5: 3)

Berikut adalah beberapa perkataan atau istilah yang digunakan untuk menunjukkan sikap berlebih-lebihan di dalam agama, di antaranya:

1, Tanaththu’ (Ekstream)

Daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas (radhiyallahu ‘anhu), beliau berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ قَالَهَا ثَلَاثًا

“Celakalah orang-orang yang tanaththu’ (ekstream).” dan beliau mengatakannya sebanyak tiga kali. (Shahih Muslim, no. 2670)

2, Tasyaddud (Memberat-beratkan Diri dengan suatu yang tidak diperintahkan)

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ

“Sesungguhnya agama ini adalah mudah, dan tiada seorang pun yang cuba menyusah-nyusahkan diri di dalam perkara agama ini melainkan dia pasti akan gagal. Maka luruslah (dalam beramal), dekatilah kesempurnaan (dengan cara yang benar), bergembiralah, dan mintalah pertolongan (kepada Allah) pada pagi hari, petang, dan penghujung malam. ” (Shahih Al-Bukhari, no. 39)

لا تشددوا على أنفسكم فإنما هلك من قبلكم بتشديدهم على أنفسهم وستجدون بقاياهم في الصوامع والديارات

“Janganlah kamu tasyaddud (memberat-beratkan) dirimu sebagaimana orang-orang sebelum kamu melakukannya ke atas diri-diri mereka. Kesan-kesan sikap mereka ini masih dapat kamu temui di biara-biara mereka.” (Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Kabiir, no. 5551. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

3, I’tida’ (Melampaui ketetapan Syari’at)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلا تَقْرَبُوهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

“Itulah batasan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah, 2: 187)

Dan juga firman-Nya:

وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas (keluar dari garis yang dibenarkan), kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah, 2: 190)

4, Takalluf (Memaksakan Diri Dengan Mengada-adakan Sesuatu)

Allah Subahanhu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُتَكَلِّفِينَ

“Katakanlah (Wahai Muhammad), “Aku tidak meminta upah sedikitpun kepadamu atas dakwah-ku dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang takalluf (mengada-adakan).” (Surah Shaad, 38: 86)

Iaitu maksudnya, “Aku tidak meminta risalah yang Allah pikulkan kepadaku, aku pula tidak meminta tambahan darinya melainkan apa yang diperintahkan kepadaku maka aku laksanakan, aku tidak menambah dan tidak menguranginya. Tetapi yang aku pinta adalah keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kehidupan akhirat.” (Tafsir Ibnu Katsir, 7/82)

Termasuk perbuatan takalluf adalah mengatakan sesuatu yang kita tiada pengetahuan tentangnya. ‘Abdullah bin Mas’oud radhiyallahu ‘anhu mengatakan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ عَلِمَ شَيْئًا فَلْيَقُلْ بِهِ، وَمَنْ لَمْ يَعْلَمْ فَلْيَقُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ، فَإِنَّ مِنَ العِلْمِ أَنْ يَقُولَ لِمَا لاَ يَعْلَمُ اللَّهُ أَعْلَمُ، قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لِنَبِيِّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قُلْ مَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ وَمَا أَنَا مِنَ المُتَكَلِّفِينَ

“Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui)”. Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah ‘Azza wa Jalla (Surah Shaad, 38: 86):

Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 4809)

Contoh-contoh Ghuluw

1, Ghuluw Dalam Perkataan (atau Ucapan)

Contoh 1: Terburu-buru dalam mengkafirkan, memfasiqkan dan mengkritik orang lain tanpa berpandukan kepada adab dan kaedah yang betul. Sehingga mengaib, mencerca dan mencela seseorang individu didahulukan dari menasihatinya dengan cara yang dianjurkan agama.

Contoh 2: Menokok tambah lafaz-lafaz zikir atau selawat yang telah sedia ada yang disunnahkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Termasuk dalam contoh kedua ini adalah memuji-muji Nabi dengan pujian yang tidak syar’i bahkan melanggar adab-adab dan batasan saat berselawat seperti meletakkan tambahan Sayyidina, maulana, Asy-Syafi dan seumpamanya ke atas nama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari sebuah hadis dari Anas bin Malik, kata beliau seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam lalu berkata:

يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا، وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ، لَا يَسْتَهْوِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ، أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللهِ عَبْدُ اللهِ وَرَسُولُهُ، وَاللهِ مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللهُ

“Ya Muhammad! Ya Sayyidina ibni Sayyidina! (Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami), Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menjawab:

“Wahai manusia, hendaklah kalian bertaqwa dan jangan biarkan syaitan mempermainkan kalian. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin ‘Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah tentukan bagiku.” (Musnad Ahmad, no. 12551)

Kemudian, dari hadis Mutharrif bahawa ayahnya berkata:

انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَقُلْنَا: أَنْتَ سَيِّدُنَا، فَقَالَ: «السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى» قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلًا وَأَعْظَمُنَا طَوْلًا، فَقَالَ: «قُولُوا بِقَوْلِكُمْ، أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ، وَلَا يَسْتَجْرِيَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ

“Aku pergi bersama utusan bani ‘Aamir kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu kami pun berkata (memuji beliau):

Anta sayyiduna (engkau tuan kami).” Maka Rasulullah lantas berkata:

As-Sayyid adalah Allah Tabaaraka wa Ta’aala.” Kami lalu mengatakan:

“Engkau adalah orang yang afdhal (paling utama) antara kami dan engkau memiliki kedudukan yang besar dari kami.” Maka beliau pun berkata:

“Ucapkanlah kata-katamu atau sebahagian kata-katamu, tetapi jangan sampai kalian dipengaruhi oleh syaitan.” (Sunan Abi Dawud, no. 4806. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

2, Ghuluw Dalam Keyakinan (I’tiqad)

Contoh 1: Menganggap Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam itu hidup di dalam kuburnya sehingga mampu memperkenankan doa bagi orang yang datang berdoa di atas kuburnya.

Contoh 2: Menganggap orang-orang Soleh sebagai ma’shum dan tidak memiliki sebarang kesalahan. Malah ada sehingga menganggap orang-orang soleh mereka mampu meraih maqam (darjat) ketuhanan sepertimana yang berlaku dalam kelompok Syi’ah.

3, Ghuluw Dalam Amal Perbuatan

Contoh 1: Melayani perasaan dan sikap was-was ketika hendak beribadah sehingga terpaksa melakukan dan mengulangi ibadah tersebut berulang-ulang kali. Perkara seperti ini banyak berlaku kepada orang yang hendak berwudhu’, bersolat, dan seumapamanya kerana mereka menganggap lafaz niat itu wajib (atau dituntut) dan perlu sehingga wujudnya rasa niat telah meresap ke dalam hati. Selagi mana, niat tidak dapat dirasa telah masuk ke dalam hati, maka selagi itulah mereka tidak akan merasa yakin untuk memulakan ibadah.

Contoh 2: Mengadakan waktu imsak lebih awal ketika hendak berpuasa, sedangkan waktu untuk mula berpuasa itu adalah dari terbit fajar sehingga terbenamnya matahari. Tetapi mereka mengawalkan sahur bagi mengelakkan terkena waktu subuh sehingga mereka meletakkan batas imsak 10 minit atau setengah jam lebih awal sebelum datangnya subuh (terbit fajar). Dan ketika hendak berbuka puasa, mereka melewat-lewatkan untuk berbuka bagi memastikan bahawa maghrib telah benar-benar masuk.

4, Ghuluw Dalam Semangat

Contoh 1: Memiliki semangat agama yang terlalu tinggi dan berkobar-kobar sehingga hilang kesabaran. Tetapi, ilmunya sangat kurang. Kemudian ia tergesa-gesa di dalam menyebarkannya dan mengkritik orang lain yang tidak memahaminya.

Meninggalkan Sikap Ghuluw Tidak Bererti Meremehkan Agama

Dalam menjauhi sikap ghuluw, hendaklah kita supaya tidak sampai terjebak ke dalam sikap meremeh agama (Taqshir). Meletakkan diri di tengah-tengah di antara taqshir (meremehkan agama) dengan melampau-lampau atau berlebih-lebihan (ghuluw) di dalam agama ia adalah suatu perkara yang agak sukar untuk dilaksanakan.

Namun, jika kita memahami agama itu berdasarkan kedudukannya yang tepat, ia sebenarnya akan lebih menampakkan keindahan dan relevannya sebuah agama itu sendiri. Jadi, hendaklah kita tidak bermalasan-malas dalam rangka memahami dan melaksanakan agama dan jangan pula kita sehingga berlebih-lebihan di dalam melaksanakannya dengan melaksanakan apa yang tidak disyari’atkan oleh agama. Maka dalam hal ini, perkara yang paling penting untuk dikuasai dalam melawan kedua-dua sifat ini (ekstrim dan meremehkan agama) adalah ilmu, yakni terus belajar dan memperbanyakkannya.

Faktor Lahirnya Sikap Ghuluw

1, Kejahilan dalam memahami agama. Gagal dalam meletakkan agama di atas landasannya yang sebenar dengan meninggalkan sumber-sumbernya yang asas dari Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sahih, serta meninggalkan kefahaman yang benar terhadap keduanya.

2, Berpuas hati dengan hanya bertaqlid buta. Iaitu mengamalkan agama cukup dengan mengambilnya dari individu, ustaz-ustaz, atau buku-buku tertentu tanpa peduli untuk mengetahui sama ada pijakannya bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah atau tidak.

3, Memahami agama dengan mengikuti hawa nafsu dan akal fikiran tanpa merujuk kepada kaedah dan pemahaman yang sebenarnya yang telah diwariskan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya.

Berpegang Teguh Di Atas Syari’at Bukan Ghuluw

Terdapat sebahagian pihak yang mengeluarkan pendapat bahawa terdapat kelompok lain yang bersikap berlebih-lebihan di dalam agama sehingga mereka kelihatan asing berbanding dengan majoriti manusia lain di medan arus perdana.

Kelompok tersebut dilabelkan sebagai ghuluw (berlebih-lebihan) di dalam agama atas sebab contohnya seperti tidak isbal (iaitu tidak melabuhkan seluar/pakaian melebihi mata kaki bagi lelaki), sentiasa memelihara janggut dan enggan mencukurnya, tidak mahu menyambut maulid Nabi setiap tahun, tidak mahu menghadiri majlis tahlilan, enggan mengiktiraf kelompok (hizb) lainnya yang berbeza dalam beberapa soal dasar-dasar aqidah.

Ada pun sebenarnya, pendapat mereka ini adalah menyimpang dan sama sekali tidak tepat. Terhadap perkara-perkara yang telah ada tuntutan dan petunjuknya di dalam As-Sunnah, maka sekiranya kita melaksanakannya dengan penuh rasa tanggungjawab, maka itu tidaklah termasuk dari sebahagian sikap ghuluw. Tetapi, ia adalah sebagai tanda taatnya seseorang itu terhadap agamanya (Islam), dan bahkan itulah sikap pertengahan (adil) di antara meremehkan dan berlebih-lebihan. Bahkan ditakuti, mereka pula yang telah bersikap taqshir atau bahkan ghuluw iaitu meremehkan atau berlebihan dalam beberapa perkara dari apa yang ada di dalam agama tanpa mereka sedari kerana tidak punya ilmu.

Oleh itu, janganlah kita bersikap terburu-buru, sebaliknya hendaklah memahami agama ini dengan ilmu dan disiplinnya. Jika ia tidak difahami dengan cara yang benar, tidak hairanlah nanti akan wujud suatu fenomena di mana perkara yang sunnah akan dianggap sebagai bid’ah, dan amalan yang bid’ah dianggap sebagai sunnah, manakala hal yang maksiat dianggap sebagai makruf, manakala yang makruf pula dipandang serong.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالإثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَنْ تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لا تَعْلَمُونَ

“Katakanlah, “Rabb-ku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, sama ada yang dapat dilihat atau pun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) memperkatakan ke atas Allah apa yang tidak kamu ketahui.”.” (Surah Al-A’raaf, 7: 33)

Dan, sekiranya kita tidak mengetahui, hendaklah kita mencari ilmu tentangnya atau bertanya kepada mereka yang memiliki pengetahuan terhadap wahyu (Al-Qur’an dan As-Sunnah). Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang punya pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, 16: 43)

Cara-cara Menghindari Sikap Ghuluw

1, Menuntut ilmu agama dari sumber yang benar.

Kerana jika tanpa ilmu, nescaya kita tidak akan dapat memahami sesuatu perkara. Begitu jugalah terhadap agama, sekiranya tanpa ilmu, sudah tentu kita tidak akan memahami apa dan bagaimana agama itu. Dan para salaf mengatakan bahawa:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ

“Sesungguhnya ilmu itu adalah agama…”

Maka, belajarlah. Jangan sampai kita memusuhi sesuatu (kebenaran) disebabkan oleh kejahilan kita sendiri.

2, Jangan malu untuk bertanya kepada ahli ilmu.

Apabila kita mengamalkan sikap rajin bertanya, ia akan membantu kita untuk mendapatkan lebih maklumat dan kepastian. Dan sekaligus mampu memperbaiki diri kita sekiranya apa yang kita fahami sebelum ini memiliki beberapa kesalahan atau kesilapan.

3, Sentiasa melakukan penelitian yang baik dan menghindari sikap terburu-buru.

Agama ini dibangun dan dibina di atas prinsip yang teliti di atas manhaj ilmu. Dengan itu, hendaklah kita sentiasa menyemak dan memastikan ia berada di atas asas-asasnya yang tepat.

4, Tidak terburu-buru dalam bertindak dan sentiasa melazimi sikap sabar dan diam jika belum mengetahui.

Baca artikel, “Islam Telah Sempurna, Tidak Perlu Kepada Bid’ah.”

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. noneng
    August 26, 2009 at 10:28 pm

    Siapakah yang bersifat Ghuluw di antara pemimpin PAS dan UMNO

Comments are closed.