Hak Allah Terhadap Para Hamba-Nya

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

spring_5Dari hadis ‘Amru bin Maimun, daripada Mu’adz radhiyallahu ‘anhu beliau berkata:

كُنْتُ رِدْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حِمَارٍ يُقَالُ لَهُ عُفَيْرٌ، فَقَالَ: يَا مُعَاذُ، هَلْ تَدْرِي حَقَّ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ، وَمَا حَقُّ العِبَادِ عَلَى اللَّهِ؟، قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: فَإِنَّ حَقَّ اللَّهِ عَلَى العِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، وَحَقَّ العِبَادِ عَلَى اللَّهِ أَنْ لاَ يُعَذِّبَ مَنْ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ أُبَشِّرُ بِهِ النَّاسَ؟ قَالَ: لاَ تُبَشِّرْهُمْ، فَيَتَّكِلُوا

“Aku pernah dibonceng di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di atas seekor keldai yang dipanggil (dengan nama) ‘Ufair. Lalu Nabi bertanya:

“Wahai Mu’adz, tahukah engkau apa hak Allah atas para hamba-Nya dan apa hak para hamba terhadap Allah?” Aku jawab:

“Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Beliau bersabda:

“Sesungguhnya hak Allah atas para hamba-Nya adalah hendaklah para hamba beribadah hanya kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan hak para hamba terhadap Allah pula adalah dia tidak akan diadzab selagi dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apapun.” Lalu aku berkata:

“Wahai Rasulullah, adakah boleh aku sampaikan khabar gembira ini kepada manusia?” Beliau jawab:

“Jangan engkau khabarkan kepada mereka kerana nanti mereka hanya akan bermalas-malasaan.” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih Al-Bukhari, no. 2856. Muslim, no. 30)

Dalam lafaz dan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda kepada Mu’adz:

مَنْ لَقِيَ اللَّهَ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا دَخَلَ الجَنَّةَ»، قَالَ: أَلاَ أُبَشِّرُ النَّاسَ؟ قَالَ: لاَ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يَتَّكِلُوا

“Siapa yang bertemu Allah tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, maka dia masuk Syurga.” Mu’adz bertanya:

“Bolehkah aku khabarkan kepada orang lain?” Nabi bersabda, “Jangan, kerana aku bimbang mereka akan bermalas-malas (dengan merasa cukup pada satu suatu amal).” (Shahih Al-Bukhari, no. 129)

Dalam lafaz yang lain, dari hadis Anas bin Malik, perawi menyebutkan:

فَأَخْبَرَ بِهَا مُعَاذُ عِنْدَ مَوْتِهِ تَأَثُّمًا

“Maka Mu’adz pun mengkhabarkannya ketika saat menjelang kematiannya.” (Shahih muslim, no. 32)

Dalam lafaz dan riwayat yang lain, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepada Mu’adz:

يَا مُعَاذُ أَتَدْرِي مَا حَقُّ اللَّهِ عَلَى العِبَادِ؟، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: أَنْ يَعْبُدُوهُ وَلاَ يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا، أَتَدْرِي مَا حَقُّهُمْ عَلَيْهِ؟، قَالَ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: أَنْ لاَ يُعَذِّبَهُمْ

“Wahai Mu’adz, tahukah engkau hak Allah atas para hamba-Nya?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:

“Mereka wajib mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan-Nya. Tahukah engkau hak mereka (para hamba) terhadap Allah?” Jawab Mu’adz, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Maka Nabi pun bersabda:

“Dia tidak akan meng-adzab mereka.” (Muttafaqun ‘alaih; Shahih al-Bukhari, no. 7373. Muslim, no. 30)

Di antara faedah hadis yang dapat diambil:

1, Disunnahkan menumpangkan orang yang dikenali sebagaimana Nabi menumpangkan sahabatnya, Mu’adz.

2, Menunjukkan contoh dari Nabi bolehnya berbicara soal agama (tauhid) ketika di atas kenderaan.

3, Menunjukkan contoh dari Nabi tentang salah satu kaedah atau adab berbicara adalah dengan cara memulakannya dengan bentuk pertanyaan.

4, Menjelaskan hak Allah atas para hamba-Nya, iaitu hendaklah para hamba beribadah hanya kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun dalam peribadahan atau pengabdiannya.

5, Apabila para hamba menunaikan hak Allah, maka Allah pun akan menunaikan hak hamba-Nya berupa Dia tidak akan mengadzabnya, dan memasukkannya ke dalam Syurga.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest