Hal-hal Yang Disangka Membatalkan Puasa Oleh Sebahagian Orang

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

puasa di jalan Allah

Semoga kita diberi kemampuan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk memahami agama ini dengan baik sekaligus mengetahui betapa banyaknya kemudahan di dalamnya bagi setiap keadaan. Sekaligus menjelaskan bahawa agama ini tidak menghendaki kesukaran bagi kita. Demikian halnya dalam permasalahan puasa. Padanya Islam telah membolehkan beberapa perkara bagi orang yang berpuasa. Dan sebahagian dari perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut.

1, Memasuki Subuh Dalam Keadaan Junub.

Bahawa ‘Aisyah dan Ummu Salamah radhiyallahu ‘anhuma mengkhabarkan:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ، وَيَصُومُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki waktu Subuh dalam keadaan junub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian beliau mandi dan langsung berpuasa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1926)

Di riwayat Muslim:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ حُلُمٍ، ثُمَّ يَصُومُ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki Subuh dalam keadaan junub bukan kerana mimpi, lalu beliau pun langsung berpuasa.” (Shahih Muslim, no. 1109)

2, Siwak (Gosok gigi).

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ

“Kalau sekiranya tidak memberatkan ummatku atau atas manusia, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak di setiap kali ingin bersolat.” (Shahih Al-Bukhari, no. 887)

Manakala ada dari riwayat yang lain disebutkan:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي، لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ الْوُضُوءِ

“Kalau sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya aku perintahkan mereka untuk bersiwak di setiap kali wudhu’.” (Musnad Ahmad, no. 7412)

Al-Imam Al-Bukhari membuat bab dalam Shahihnya:

سِوَاكِ الرَّطْبِ وَاليَابِسِ لِلصَّائِمِ

Bab: “Siwak dengan kayu basah dan yang kering bagi orang berpuasa.”

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan di kitab Shahih-nya, dari Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

يَسْتَاكُ أَوَّلَ النَّهَارِ، وَآخِرَهُ، وَلاَ يَبْلَعُ رِيقَهُ

“(Ketika berpuasa) Nabi bersiwak di waktu awal siang dan petangnya, tetapi beliau tidak menelan sisanya.” (Shahih Al-Bukhari, 3/30 – Bab: Mandi Orang Yang Berpuasa)

Beliau juga menyebutkan perkataan Ibn Sirin rahimahullah:

لاَ بَأْسَ بِالسِّوَاكِ الرَّطْبِ» قِيلَ: لَهُ طَعْمٌ؟ قَالَ: «وَالمَاءُ لَهُ طَعْمٌ وَأَنْتَ تُمَضْمِضُ بِهِ»

“Tidak mengapa bersiwak dengan kayu yang basah.” Lalu dikatakan pada beliau, “Bukankah ianya mempunyai rasa di lidah?” Lalu jawab Ibn Sirin:

“Bukankah air juga memiliki rasa dan engkau berkumur-kumur dengannya.” (Shahih Al-Bukhari, 3/30 – Bab: Mandi Orang Yang Berpuasa)

Al-Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) berkata:

وَأَشَارَ بِهَذِهِ التَّرْجَمَةِ إِلَى الرَّدِّ عَلَى مَنْ كَرِهَ لِلصَّائِمِ الِاسْتِيَاكَ بِالسِّوَاكِ الرَّطْبِ كَالْمَالِكِيَّةِ وَالشَّعْبِيِّ، وَقَدْ تَقَدَّمَ قَبْلُ بِبَابِ قِيَاسِ اِبْنِ سِيرِينَ السِّوَاكَ الرَّطْبَ عَلَى الْمَاء الَّذِي يُتَمَضْمَضُ بِهِ

“Teks hadis ini mengisyaratkan bantahan atas pihak yang memakruhkan siwak bagi orang yang berpuasa, yakni bersiwak dengan kayu basah, sebagaimana mereka dari kalangan Malikiyah dan Asy-Sya’bi, dan telah dikemukakan sebelumnya tentang qiyas-nya Ibnu Sirin bahawa bersiwak dengan kayu yang basah itu sebagaimana air yang kita berkumur-kumur dengannya ketika wudhu’.” (Fathul Bari, 4/158)

3, Kumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

Dari hadis ‘Aashim bin Laqiith bin Shobirah, ayahnya berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, khabarkan kepadaku tentang wudhu’?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أَسْبِغِ الوُضُوءَ، وَخَلِّلْ بَيْنَ الأَصَابِعِ، وَبَالِغْ فِي الِاسْتِنْشَاقِ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ صَائِمًا

“Sempurnakanlah wudhu’, basuhlah ke antara sela-sela jarimu, dan bersungguh-sungguh-lah (yakni lebihkan) dalam ber-intinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dan meghembuskannya – pent.) melainkan jika sedang berpuasa.” (Sunan Abi Dawud, no. 2366. At-Tirmidzi, no. 788. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis ini menjelaskan bahawa istinsyaq adalah termasuk salah satu sunnah yang menyempurnakan wudhu’, dan hadis ini berlaku umum sama ada ketika berpuasa atau pun selain puasa.

Cuma apabila jika ketika sedang berpuasa, istinsyaq dilakukan dengan sederhana sahaja, iaitu tidak disedut dengan sungguh-sungguh atau terlalu dalam sehingga boleh mengakibatkan air tertelan ke dalam tubuh.

Jadi, dengan ini menjelaskan bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan – hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotoran.

Demikian pula dengan kumur-kumur ketika wudhu’. Dan qiyas dari perkara ini, tidak mengapa memasukkan jari ke dalam rongga seperti mulut, telinga, ataupun hidung.

4, Mencium Isteri atau mencumbuinya.

Dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «يُقَبِّلُ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَكَانَ أَمْلَكَكُمْ لِإِرْبِهِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mencumbui isterinya dalam keadaan berpuasa, namun beliau adalah orang yang mampu mengendalikan keinginannya berbanding kalian.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1927)

Manakala dalam riwayat Muslim, dari hadis ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ، وَهُوَ صَائِمٌ» ثُمَّ تَضْحَكُ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mencium salah seorang isterinya dalam keadaan berpuasa dan beliau dalam keadaan berpuasa.” Kemudian ‘Aisyah tertawa. (Shahih Muslim, no. 1106)

Dari hadis Jaabir bin ‘Abdillah, bahawa ‘Umar bin Al-Khaththab berkata:

هَشَشْتُ يَوْمًا فَقَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ: صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا، قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَرَأَيْتَ لَوْ تَمَضْمَضْتَ بِمَاءٍ وَأَنْتَ صَائِمٌ؟ ” قُلْتُ: لَا بَأْسَ بِذَلِكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” فَفِيمَ ؟

“Pernah suatu hari nafsuku bangkit lalu aku pun mencium (isteriku) sedangkan aku dalam keadaan puasa. Maka aku pun mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Aku berkata:

“Aku telah melakukan perkara yang besar hari ini, aku mencium sedang aku dalam keadaan puasa.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Bagaimana jika engkau berkumur-kumur sedang engkau dalam keadaan puasa?”

Aku pun mengatakan, “Tidak mengapa yang demikian itu.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata lagi:

“Jadi, apa masalahnya?” (Musnad Ahmad, no. 138)

Walau bagaimanapun, di sana ada pendapat yang memakruhkan perbuatan ini bagi golongan pemuda berdasarkan hadis ini:

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَ شَابٌّ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أُقَبِّلُ وَأَنَا صَائِمٌ ؟ قَالَ: ” لَا “، فَجَاءَ شَيْخٌ فَقَالَ: أُقَبِّلُ وَأَنَا صَائِمٌ ؟ قَالَ: ” نَعَمْ ” قَالَ: فَنَظَرَ بَعْضُنَا إِلَى بَعْضٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” قَدْ عَلِمْتُ لِمَ نَظَرَ بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ، إِنَّ الشَّيْخَ يَمْلِكُ نَفْسَهُ

“Kami pernah berada di sisi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, kemudian datanglah seorang pemuda, lalu pemuda itu berkata:

“Wahai Rasulullah, bolehkah aku mencium (isteriku) dalam keadaan berpuasa?”

Nabi jawab, “Tidak.”

Kemudian datanglah pula seorang yang agak tua, lalu dia berkata:

“Bolehkah aku mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa?”

Nabi jawab, “Ya, boleh.”

Kami melihat sesama sendiri (kehairanan), lalu Nabi pun bersabda:

“Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua itu lebih mampu mengawal dirinya (yakni nafsunya).” (Musnad Ahmad, no. 6739, 7054. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dari hadis ini sebahagian ulama menjelaskan bahawa mencium isteri atau bercumbu ketika sedang puasa akan mengurangi pahala namun tidak sampai membatalkannya, dan sebahagian ulama lagi berpendapat tidak mengapa mencium atau mencumbui isteri jika dia mampu mengawal nafsunya, iaitu tidak sampai puasanya terbatal seperti membuatnya keluar mani atau berjima’ di saat berpuasa.

5, Merasa Makanan.

Dari sahabat Nabi – Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

لاَ بَأْسَ أَنْ يَذُوقَ الْخَلَّ، أَوِ الشَّيْءَ مَا لَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَ صَائِمٌ

“Tidak mengapa merasa cuka, atau apa-apa makanan (atau minuman) selagi mana tidak sampai masuk ke saluran kerongkongan dalam keadaan berpuasa.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 9369)

Syaikh Al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

وَذَوْقُ الطَّعَامِ يُكْرَهُ لِغَيْرِ حَاجَةٍ؛ لَكِنْ لَا يُفْطِرُهُ. وَأَمَّا لِلْحَاجَةِ فَهُوَ كَالْمَضْمَضَةِ.

“Merasai makanan adalah suatu yang makruh (dibenci) jika dilakukan tanpa keperluan yang benar, tetapi tidaklah sampai membatalkan puasanya. Adapun jika ada keperluan, maka ia sebagaimana kumur-kumur (yakni dibolehkan – pent.).” (Majmu’ Al-Fatawa, 25/267)

6, Berbekam atau mengeluarkan darah.

Dari hadis Ibnu ‘Abbas, beliau berkata:

احْتَجَمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan puasa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1939)

Dari hadis Abu Sa’id, beliau berkata:

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْقُبْلَةِ لِلصَّائِمِ وَرَخَّصَ فِي الْحِجَامَةِ لِلصَّائِمِ

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memberikan keringanan mencium isteri dan berbekam di saat sedang puasa.” (As-Sunan Al-Kubra oleh An-Nasaa’i, no. 3224)

Tsabit Al-Bunani berkata:

سُئِلَ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَكُنْتُمْ تَكْرَهُونَ الحِجَامَةَ لِلصَّائِمِ؟ قَالَ: «لاَ، إِلَّا مِنْ أَجْلِ الضَّعْفِ

“Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu pernah ditanya, “Adakah kalian memakruhkan (yakni membenci) berbekam dalam keadaan berpuasa?”

Maka jawab Anas, “Tidak, melainkan jika dengan berbekam tersebut menjadi sebab lemahnya tubuh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1940)

7, Memakai Celak atau Menitiskan Ubat Mata ke Bahagian Mata.

Al-Imam Al-Bukhari menyebutkan:

وَلَمْ يَرَ أَنَسٌ، وَالحَسَنُ، وَإِبْرَاهِيمُ بِالكُحْلِ لِلصَّائِمِ بَأْسًا

“Anas (bin Malik), Al-Hasan (Al-Bashri), dan Ibrahim (An-Nakha’i) berpendapat bahawa tidak mengapa memakai celak ketika berpuasa.” (Shahih Al-Bukhari, 3/30 – Bab: Mandi Orang Yang Berpuasa – lihat Fathul Bari, 4/153-154)

Demikian juga yang sama jenis dengannya seperti ubat mata dan lain-lain.

8, Mandi, berenang, atau mencurahkan air di kepala.

Dari hadis Abu Bakr (bin ‘Abdirrahman), beliau berkata:

الَّذِي حَدَّثَنِي لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْعَرْجِ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ، وَهُوَ صَائِمٌ مِنَ الْعَطَشِ، أَوْ مِنَ الْحَرِّ

“Telah menghabarkan kepadaku sebahagian dari sahabat-sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bahawa mereka melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyiramkan air di kepalanya dalam keadaan beliau berpuasa, disebabkan terlalu dahaga atau kepanasan.” (Sunan Abi Dawud, no. 2365. Fathul Bari, 4/154. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan di kitab Shahih-nya:

وَبَلَّ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثَوْبًا، فَأَلْقَاهُ عَلَيْهِ وَهُوَ صَائِمٌ وَدَخَلَ الشَّعْبِيُّ الحَمَّامَ وَهُوَ صَائِمٌ

“Bahawa Ibn ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma membasahi bajunya lalu memakainya dan beliau dalam keadaan berpuasa. Dan Asy-Sya’bi memasuki bilik permandian dalam keadaan berpuasa.”

Anas (bin Malik) berkata:

إِنَّ لِي أَبْزَنَ أَتَقَحَّمُ فِيهِ، وَأَنَا صَائِمٌ

“Bahawa aku memiliki kolam kecil yang aku gunakan untuk berendam di saat sedang berpuasa.”

Al-Hasan Al-Bashri berkata:

لاَ بَأْسَ بِالْمَضْمَضَةِ، وَالتَّبَرُّدِ لِلصَّائِمِ

“Tidak mengapa bagi orang berpuasa untuk berkumur-kumur dan menyejukkan tubuhnya.” (Shahih Al-Bukhari, 3/30 – Bab: Mandi Orang Yang Berpuasa – lihat Fathul Bari, 4/153-154)

9, Makan dan Minum tanpa sengaja.

Dari hadis Abu Hurairah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ، فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ، فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

“Sesiapa yang lupa dalam keadaan sedang berpuasa, lalu dia makan atau dia minum, maka sempurnakanlah puasanya, kerana yang memberinya makan dan minum tersebut adalah Allah.” (Shahih Muslim, no. 1155)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest