Iman Adalah Ucapan dan Perbuatan, Boleh Bertambah dan Berkurang

Syaikh Dr. Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali
www.ilmusunnah.com

Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (Wafat: 241H) berkata:

وَالْإِيمَانُ قَوْلٌ وَعَمَلٌ يَزِيدُ وَيَنْقُصُ كَمَا جَاءَ فِي الْخَبَرِ: أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا.

“Dan iman itu adalah ucapan dan ‘amal. Ia bertambah dan berkurang sebagaimana dikhabarkan (dalam hadis), “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”.”

Syarah Syaikh Dr. Rabi’

Jadi, iman itu adalah ucapan (perkataan) dan perbuatan (amal). Iaitu, berupa ucapan hati dan lisan, serta perbuatan (amalan) hati dan anggota badan. Boleh juga kau katakan: Iman itu ucapan, perbuatan (amalan), dan keyakinan (i’tiqad). Iman itu bertambah dengan ketaatan dan akan berkurang dengan kemaksiatan. Inilah pengertian iman menurut Ahlus Sunnah wal Jama’ah.

Khawarij mengikuti mereka dalam permasalahan bahawa iman itu berupa ucapan, perbuatan, serta keyakinan. Akan tetapi menurut mereka (khawarij), iman itu tidak dapat bertambah mahupun berkurang. Kerana dengan semata-mata seorang muslim melakukan dosa besar, bererti dia telah keluar dari Islam (menurut mereka).

Murji’ah pula berlawanan dengan mereka. Mereka mengatakan bahawa iman itu cukup sebagai sebuah pembenaran saja; (iaitu) pembenaran dengan hati. Atau bahkan sekadar pengetahuan saja, sebagaimana pendapat Jahmiyyah. Sedangkan pembenaran dengan hati adalah pendapat Ghulatul Murji’ah (Murji’ah ekstrim). Adapun menurut Murji’atul Fuqaha’; iman adalah keyakinan dengan hati dan ucapan dengan lisan, namun amal perbuatan tidak dianggap masuk dalam cakupan iman menurut pandangan mereka.

Ahlus Sunnah berpegang bahawa amalan hati mahupun anggota badan, semuanya termasuk dalam cakupan iman setelah pembenaran (dalam hati).

Dari itu, iman itu mencakup:

1, Seluruh perkara ‘aqidah (keyakinan) dan amalan hati, seperti takut kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, cinta, berharap serta bertawakkal kepada-Nya. Ini semua adalah amalan-amalan hati, dan termasuk pokok-pokok keimanan yang tidak akan mungkin iman itu ditegakkan kecuali dengannya. Tidak pula iman itu ada kecuali dengannya.

2, Demikian pula seluruh amal-perbuatan anggota badan, seperti puasa, solat, zakat, serta semua beban syari’at seperti jihad dan semisalnya. Sampai-sampai menyingkirkan gangguan dari jalanpun termasuk sebahagian dari keimanan.

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ

“Iman itu ada tujuh puluh cabang. Yang paling tinggi ialah ucapan Laa ilaaha illallaah. Dan yang paling rendah ialah menyingkirkan gangguan dari jalan.” (Shahih Muslim, no. 35)

Inilah iman, bertambah dengan amal ketaatan dan berkurang dengan amal kemaksiatan. Iman dapat terus bertambah hingga mencapai seumpama gunung, tapi dapat pula terus berkurang hingga seberat biji atom yang paling ringan.

Adapun Murji’ah, mereka berpandangan bahawa iman tidak bertambah atau berkurang. Kerana menurut mereka; iman hanyalah sekadar pembenaran (pengakuan), sehingga tidak menerima pengurangan. Jika berkurang, bererti habislah imannya, dan orangnya dianggap telah keluar dari lingkaran iman. Jadi, iman bukan berkurang, namun sama atau sederajat. Iman tidak bertingkat-tingkat di sisi mereka. Maka sama saja antara iman orang yang paling fajir dan bejat, dengan keimanan para nabi, shiddiqin, serta malaikat. Sebab itu, jelaslah bahawa ini merupakan kesesatan yang besar.

Sebagaimana pula yang berlawanan dengan mereka dalam kesesatan, iaitu kelompok Khawarij. Jika Murji’ah ekstrim begitu besar kejelekannya kerana mereka meruntuhkan syari’at Islam dengan keyakinan yang busuk ini, demikian pula Khawarij. Mereka mengkafirkan umat ini dan menghunuskan pedang atas kaum muslimin, kerana semata-mata perbuatan dosa besar yang dilakukan seorang (muslim) seperti zina, mencuri, membunuh, ia telah menjadi kafir menurut Khawarij. Ini adalah kedustaan, kesesatan, serta pemahaman yang buruk. Lalu untuk apa Allah memerintahkan ditegakkan hukum hadd atas seorang pencuri?!!

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا

“Laki-laki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan mereka (sebagai) balasan atas apa yang mereka perbuat.” (Surah Al-Maa’idah, 5: 38)

Untuk apa pula diperintahkan agar ditegakkan hukum hadd atas para peminum khamr?!

Pernah seorang peminum didatangkan, lalu salah seorang berkata kepadanya: “Semoga Allah melaknatmu, sudah banyak kali dia dihukum dengannya (disebat)!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

لاَ تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ إِنَّهُ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ

“Jangan engkau melaknatnya, kerana demi Allah tidaklah aku ketahui, sesungguhnya ia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6780)

Seorang mukmin ditegakkan atasnya hukuman hadd, sehingga tertebus (dosanya). Sebahagian orang mengatakan:

“Perlaksanaan hukum hadd atasnya adalah sebagai kaffarah (tebus-dosa) untuknya.”

Demikian pula (semoga Allah memberkahimu), apabila ada seorang (muslim) yang berzina, lalu ditegakkan atasnya hukuman had, maka itu menjadi kaffarah untuknya. Adapun orang kafir, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda tentangnya:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

“Siapa mengganti agamanya (murtad), bunuhlah dia!” (Shahih Al-Bukhari, no. 3017)

Jadi, tindakan melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, membunuh, meminum khamr, dan yang semisal dengannya merupakan dosa-dosa besar yang berbahaya, sekaligus sebuah pelanggaran dalam pandangan Islam. Akan tetapi Islam tidak mengkafirkannya! Dilaksanakan terhadapnya hukum hadd, lalu diikuti hukuman di akhirat kerana sebab dosa tersebut jika ia belum diampuni sesuai kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sesuai dengan apa yang patut baginya. Namun tidak sampai keluar dari Islam, bahkan kerana sebab tauhid yang ada pada pelaku dosa tersebut, ia akan dikeluarkan dari Neraka menuju Syurga.

Rujukan, http://www.rabee.net/show_des.aspx?pid=5&id=201

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest