Karut-marut dalam Tahun Baru Cina

www.ilmusunnah.comtanglung

Tahukah kita bahawa di sebalik amalan dan acara sambutan tahun baru Cina, terdapat begitu banyak perkara dan kepercayaan-kepercayaan karut-marut, khurafat, dan syirik?

Berikut kami paparkan sebahagian darinya diikuti sedikit pencerahan.

1 :: Termasuk pantang larang ketika tahun baru Cina adalah tidak memakai pakaian gelap atau hitam, kerana ia melambangkan kematian dan nasib tidak baik. Sebaliknya hendaklah memakai pakaian yang cerah dan terang, khasnya warna merah, kerana ia merupakan simbol kepada nasib yang baik dan menolak pengaruh yang jahat.[1]

2 :: Tarian naga menurut kepercayaan masyarakat Cina, ianya termasuk salah satu bentuk ritual atau majlis yang dilaksanakan dengan harapan menghalau pengaruh atau semangat jahat (syaitan), selain bertujuan menjemput nasib yang baik, turunnya hujan, kemewahan dan tuah. Dalam kepercayaan masyarakat Cina kuno, tarian naga turut bertujuan untuk menolak bala ketika terjadinya bencana alam.

3 :: Demikian pula tarian singa, hampir tidak jauh maksud dan tujuannya, yakni menolak semangat jahat.

4 :: Masyarakat Cina percaya dengan membakar mercun mampu menghalau syaitan dan semangat yang jahat. Sebab itu kita dapati masyarakat mereka sangat sinonim dengan mercun, khasnya ketika awal sambutan tahun baru dan ketika acara penutup (Chap Go Mei), selain turut dimainkan ketika pembukaan kilang, sekolah, bangunan, dan acara-acara tertentu lainnya dalam rangka mencari kebaikan dan menolak pengaruh-pengaruh yang tidak baik. Makanya, permainan mercun di sisi mereka sebenarnya termasuk bentuk doa dan ritual kepercayaan.[2]

5 :: Penetapan tahun baru Cina itu sendiri juga dipercayai ditetapkan berdasarkan suatu kepercayaan kuno tertentu yang berasal dari amalan dan kepercayaan pemujaan terhadap dewa-dewa di setiap akhir dan awal permulaan tahun. Terdapat juga versi-versi yang lain yang antaranya menyebutkan pernandaan tahun ini ditetapkan dari sebahagian ajaran agama Tao. Terdapat juga mitos yang mengatakan ianya bermula dengan acara menghalau sejenis haiwan (atau sejenis makhluk purba) dinamakan Nian yang sering datang menganggu.[3]

6 :: Mereka juga percaya bahawa setiap tahun-tahun yang mereka masuki memiliki semangat-semangat tertentu bersesuaian dengan Shio (simbol haiwan) bagi tahun tersebut.[4]

7 :: Mereka yang terlibat dengan sambutan tahun baru Cina harus membersihkan rumah mereka sebelum masuknya tahun yang baru, dan amalan ini menurut mereka akan membersihkan semangat-semangat yang jahat dan nasih-nasib yang tidak baik. Manakala aktiviti pembersihan rumah ketika hari pertama tahun baru Cina pula ianya akan menjadikan pelbagai kebaikan terluput, makanya tidak digalakkan untuk menyapu sampah dan membersihkan rumah pada hari tersebut.[5]

8 :: Masyarakat Cina (Hokkien) menganggap hiasan buah nenas di dalam rumah ketika Tahun Baru Cina adalah lebih utama berbanding buah limau mandarin, dan ia lebih mendatangkan tuah dan rezeki.[6]

9 :: Ritual menggaul dan menimang Yee Sung menurut kaedah tertentu berdasarkan kepercayaan mereka mampu menjemput tuah, rezeki, dan nasib yang baik.

10 :: Sambutan tahun baru Cina sebenarnya adalah adat yang terbina dari pengaruh kepercayaan dan i’tiqad tertentu. Jadi, sambutan atau perayaan Tahun Baru Cina sebenarnya adalah bertujuan meraikan sebahagian dari kepercayaan-kepercayaan yang mereka anuti tersebut, yakni yang mereka imani bahawa pada tarikh atau hari-hari tersebut memiliki keistimewaan tersendiri menurut sisi kepercayaan mereka.

11 :: Dan ini hanyalah sebahagian perkara yang dapat kami paparkan dari mereka.

12 :: Di sisi Islam, kepercayaan (atau fahaman) seperti ini adalah termasuk kepercayaan yang karut-marut yang bertentangan dengan aqidah yang murni, selain merupakan bentuk bid’ah, khurafat dan syirik[7]. Tidak boleh kita mempercayainya, tidak boleh masuk campur meraikannya, tidak boleh bertolongan dalam menjayakannya[8], tidak boleh menzahirkan kegembiraan padanya[9], tidak boleh mengucapkan tahniah dan selamat, apatah lagi turut serta hadir ke majlis-majlis tersebut[10], melainkan jika bertujuan untuk mencegah kemungkaran tersebut dan menjelaskan kebenaran (khasnya bagi pihak yang memiliki autoriti dan golongan berilmu).

Meraikan, merayakan, menjayakannya, atau mengucapkan ucapan selamat sempena dengan ini semua merupakan bentuk pengiktirafan (pengakuan) akan hal-hal kufur tersebut sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, sedar atau separa sedar!

13, Di sisi Islam; Keberuntungan, Rezeki, dan Pelbagai Kebaikan Itu Dari Allah. Ia diperolehi dengan Jalan Tawakkal dan Kebijaksanaan Dalam Usaha,

Dari ‘Umar bin Al-Khaththaab radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

“Seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan tawakkal yang haq (yang benar), Allah pasti memberi rezeki kepada kalian sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung-burung. Burung-burung tersebut keluar di pagi hari dalam keadaan perut kosong, lalu pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.” (Musnad Ahmad, no. 373. Sunan At-Tirmidzi, no. 2344. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi, Al-Albani, dan Syu’aib Al-Arnauth)[11]

Wallaahu a’lam.


Nota Kaki Pencerahan:

[1] Ini termasuk bentuk sangkaan yang sama sekali tidak benar. Tidak ada larangan mengenakan pakaian berwarna gelap mahupun cerah, dan tidaklah warna baju dapat mempengaruhi nasib seseorang, tidak pula menjadi sebab datang nasib baik atau nasib yang malang disebabkan mengenakan warna baju tertentu pada hari atau waktu tertentu.

[2] Jelas sekali ini adalah salah satu kepercayaan yang karut-marut. Malah ianya termasuk adat yang membazirkan harta. Dan Syaitan amat suka kepada orang-orang yang membazir.

Klik untuk memahami hakikat Syaitan menurut Islam.

[3] Dari sini menunjukkan bahawa asal tahun baru Cina melibatkan pengaruh agama dan kepercayaan tertentu, bukan hanya sekadar faktor bangsa, geografi, atau budaya. Jika ianya terkait dengan bangsa dan budaya pun, maka ia termasuk unsur budaya dan bangsa yang terkesan dengan pengaruh kepercayaan dan agama yang mereka anuti.

[4] Mempercayai kelebihan tahun sekian dan bulan sekian mampu menjadi sebab datangnya tuah, rezeki, pembentukan watak, atau menjadi sebab keburukan/bencana tertentu adalah di antara hal yang menodai tauhid.

Dalam kepercayaan masyarakat Jawa terdahulu, mereka mempercayai bahawa bulan Suro (Muharram) adalah bulan yang penuh pantang larang termasuk dilarang menikah atau khitan dalam bulan tersebut, seandainya dilanggar pantang tersebut, mereka percaya akan datang pelbagai keburukan. Manakala pada hujung bulan Safar, mereka adakan suatu ritual dinamakan mandi Safar untuk menolak bala bulan Safar.

Dalam kepercayaan masyarakat greek kuno, mereka mempercayai kedudukan (atau formasi) bintang-bintang yang muncul pada tarikh atau bulan-bulan tertentu mampu meramal masa depan atau mempengaruhi peribadi seseorang.

Dalam kepercayan masyarakat Cina, putaran tahun-tahun dengan simbol 12 Shio/haiwan (tikus, babi, monyet, ayam, dll) memiliki kelebihan masing-masing, antaranya bagi menggambarkan tuah/kemakmuran, rezeki, keuntungan, keperibadian, sehinggalah kesesuaian memilih pasangan, dll.

Adapun di sisi Islam, tidak ada kelebihan antara satu hari dengan hari yang lainnya, atau antara bulan dengan bulan yang lainnya, atau antara satu tahun dengan satu tahun yang lainnya kecuali sebatas apa yang dikhabarkan di dalam wahyu (Al-Qur’an atau hadis Nabi), dan tidak ada bencana dengan sebab datangnya tahun tertentu, bintang tertentu, atau bulan tertentu. Keadaan dan nasib seseorang tidak ditentukan dengan peredaran tahun, tarikh atau bulan-bulan tertentu. Tarikh-tarikh ini hanya sebatas perhitungan waktu, bukan perhitungan nasib, kekayaan, atau kerugian. Dan Islam melarang menemui tukang-tukang ramal untuk mengetahui ramalan-ramalan nasib dan masa depan, terlebih lagi mempercayainya boleh menjadi sebab keluar dari Islam.

Maka, tidak boleh meraikan adat-adat seperti ini.

Kalau seandainya mahu mengetahui khabar-khabar ghaib baik yang sedang berlangsung, atau dari masa-masa silam, atau masa hadapan, bukalah lembaran-lembaran Al-Qur’an dan telusurilah hadis-hadis Nabi yang sahih!

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الم (1) ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ (2) الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Alif lam mim, Kitab Al-Qur’an ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa, yang beriman kepada yang ghaib, yang menegakkan solat, dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka…” (Surah Al-Baqarah, 2: 1-3)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلَّا بِمَا شَاءَ

“…Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya..” (Surah Al-Baqarah, 2: 255)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

“Katakanlah, “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah.” dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.” (Surah an-Naml, 27: 65)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ

“Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan telah tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz).” (Surah Al-An’aam, 6: 59)

Namun kepercayaan-kepercayaan dan ramalan-ramalan tersebut mereka warisi dari nenek-moyang mereka. Mereka warisi rahsia-rahsia dan ramalan-ramalan nasib, tuah, dan sial dari nenek-moyang mereka. Seakan-akan mereka menemui dan mewarisinya dari ‘Arraaf dan Kaahin.

Demikian pula lah keadaan kaum muslimin yang tidak semena-mena menyibukkan diri mendatangi mereka seraya mengambil tahu tentang tilikan dan ramalan-ramalan tuah dari kaum Cina, seakan-akan mereka datang kepada ‘Arraaf dan Kaahin, persis situasi mereka seperti yang disebutkan di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Dari Shofiyyah, dari sebahagian isteri-isteri Nabi, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menegaskan:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

“Sesiapa yang mendatangi ‘arraaf (tukang ramal), lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu (ramalan, nasib, rezeki, tuah… dll. – pent.), maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.” (Musnad Ahmad, no. 16638. Shahih Muslim, no. 2230)

Di hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

“Sesiapa yang mendatangi kaahin (dukun) atau ‘Arraaf (tukang ramal), kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka orang tersebut telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” (Musnad Ahmad, no. 9536. Dinilai sahih oleh Al-Hakim, Adz-Dzahabi, Al-Haitsami, dan Al-Albani)

Kaahin adalah tukang ramal yang meramal dengan melakukan ritual, kaedah, atau upacara tertentu untuk meramal. Manakala ‘Arraaf adalah tukang ramal yang langsung meramal tanpa melalui ritual atau upacara tertentu terlebih dahulu.

[5] Bagaimana mereka boleh tahu menyapu sampah (atau membersihkan rumah) sebelum tahun baru adalah termasuk salah satu kaedah menjauhkan pelbagai keburukan, manakala melakukannya pada tahun baru Cina pula menjadi sebab menjauhkan kebaikan pula?

Maka jelas di sini, ia termasuk hal-hal khurafat dan tidak masuk akal.

[6] Sebagai umat Islam, kita meyakini bahawa Tidak ada keutamaan buah nenas berbanding limau, atau anggur berbanding pisang dan lainnya. Atau, tidak ada keutamaan ketupat berbanding lemang mahupun burasa’. Ianya tidak lebih dari hanya sekadar makanan, tidak ada unsur i’tiqad atau kepercayaan berunsur tuah, keberkahan, mahupun menjadi sebab murahnya rezeki.

[7] Islam Melarang Mempercayai Adanya Sial, Tuah, dan Nasib Malang Tanpa Asas

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنَ المَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ

“Tidak ada penyakit menular (dengan sendirinya dan tanpa izin Allah),

tidak ada thiyarah (nasib malang dan anggapan buruk tanpa sebab), tidak ada haamah, tidak ada Shafar, dan menjauhlah dari pesakit kusta sebagaimana engkau menjauh (lari) dari singa.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5707)

Ath-Thiyarah; berasal dari kata thayrr (burung). Masyarakat ‘Arab jahiliyyah dahulu apabila mereka hendak memulakan perjalanan jauh (safar), mereka pun akan melepaskan seekor burung. Apabila burung tersebut terbang ke sebelah kanan, maka mereka akan meneruskan perjalanannya. Namun jika burung tersebut terbang ke sebelah kiri, maka mereka pun membatalkan perjalanan untuk hari tersebut kerana menganggap bakal ada sesuatu yang tidak kena dalam perjalanan tersebut.

Al-Haamah (atau ada juga yang membacanya dengan Al-Hammaah); adalah kepercayaan tidak benar terhadap burung hantu; [Tafsiran pertama] adalah suatu kepercayaan yang mengatakan ruh orang-orang yang telah mati boleh kembali ke dunia dan duduk di dalam tubuh burung hantu untuk berbuat jahat. [Tafsiran kedua] manakala tafsiran kedua, kononnya apabila burung hantu hinggap atau terbang dekat dengan kediaman seseorang, maka dia yakin itu adalah sebagai tanda bagi dirinya (atau salah seorang dari ahli keluarganya) akan menemui ajalnya dalam masa terdekat.

Ash-Shafar; Anggapan tidak baik dan nasib buruk pada bulan Safar. Manakala tafsiran kedua, dahulu orang-orang jahiliyyah meyakini ada cacing yang tinggal di dalam perut yang akan menjadi aggresif apabila lapar, bahkan sehingga akan menyebabkan kematian seseorang.

Dari hadis yang lain dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا عَدْوَى وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْءَ وَلَا صَفَرَ

“Tidak ada penyakit menular, tiada haamah, tidak ada nau’a (menganggap hujan turun disebabkan bintang atau anggapan tertentu), dan tidak pula safar.” (Shahih Muslim, no. 2220)

Dari hadis Jabir bin ‘Abdillah, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ، وَلَا غُولَ

“Tiada penyakit menular, tiada safar, dan tidak pula ghul.” (Shahih Muslim, no. 2222)

Al-Ghul; adalah makhluk dari jenis jin/syaitan yang dikatakan mampu muncul dalam rupa-rupa tertentu untuk mengganggu, menakut-nakutkan, dan menyesatkan manusia di jalan-jalan atau padang pasir. Namun kemampuan dan pengaruh syaitan ghul ini dinafikan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Seandainya merasa terdapat adanya gangguan (dari jin atau syaitan), hendaklah dihilangkan dengan zikir dan memohon perlindungan kepada Allah.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا طِيَرَةَ وَخَيْرُهَا الْفَأْلُ» قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الْفَأْلُ؟ قَالَ: «الْكَلِمَةُ الصَّالِحَةُ يَسْمَعُهَا أَحَدُكُمْ

“Tidak ada thiyarah, namun yang baiknya adalah al-fa’lu.” Ada yang bertanya (kepada Nabi), “Apa itu al-fa’lu?”

Jawab Nabi, “Kalimat yang soleh (baik) yang didengar oleh salah seorang dari kalian.” (Shahih Muslim, no. 2223)

Al-Fa’lu adalah sikap optimis (yakin diri), kata-kata yang baik, atau kata-kata yang menyenangkan (yang memotivasikan) yang menunjukkan kebergantungan harap kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan cara yang baik.

Sedangkan pada ath-thiyarah (anggapan buruk dan akan terkena nasib yang malang) mengandungi sangkaan tidak baik kepada Allah tanpa semena-mena. Atau menganggap adanya suatu kuasa lain yang berkuasa untuk menimpakan kemudharatan dari selain Allah. (Sila lihat keterangan lengkap di kitab Syarh Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi pada hadis-hadis berkaitan ini)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ، فَقَدْ أَشْرَكَ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ؟ قَالَ: أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ: اللهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

“Sesiapa yang meninggalkan hajatnya disebabkan ath-thiyarah (iaitu kerana mempercayai ramalan buruk atau anggapan nasib yang malang tanpa dalil), maka sesungguhnya dia telah syirik.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa penyelesaiannya?” Maka beliau bersabda, “Hendaklah mereka mengatakan:

اللهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ، وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

“Ya Allah tiadalah kebaikan melainkan dari Engkau, dan tiadalah keburukan (atau mudharat) itu melainkan dari Engkau, dan tiadalah yang berhak diibadahi melainkan Engkau.”.” (Musnad Ahmad, no. 7045. Dinilai hasan oleh Syu’aib Al-Arnauth)

[8] Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan bertolong-tolonganlah di atas kebaikan dan taqwa, tetapi janganlah bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan permusuhan (kepada Allah). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya siksaannya Allah sangatlah dahsyat.” (Surah Al-Maa’idah, 5: 2)

[9] Tidak Boleh Menzahirkan Kegembiraan Sempena Perayaan Kaum Kafir

Telah dibahaskan pada artikel berasingan; (boleh semak di sini).

[10] Tidak boleh Menghadiri Pesta Perayaan Kaum Kafir

Telah dibahaskan pada artikel yang lain; (boleh semak di sini).

[11] Lihat artikel:

Anjuran Agar Makan Dari Hasil Usaha Tangan Sendiri.

Tawakkal Seperti Burung dan Haiwan Melata.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest