Keberkahan Turun Bersama Air Hujan

www.ilmusunnah.com

hujan_lebat_1

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ

“Jika sekiranya penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi.” (Surah Al-A’raaf, 7: 96)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) berkata:

أي: قطر السماء ونبات الأرض

“Iaitu hujan dari langit dan tumbuh-tumbuhan di bumi.” (Tafsir Ibn Katsir, 3/451)

Di ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا

“Dan Kami turunkan dari langit air yang mubaarak (diberkahi)…” (Surah Qaaf, 50: 9)

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَا أَنْزَلَ اللهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ بَرَكَةٍ إِلَّا أَصْبَحَ فَرِيقٌ مِنَ النَّاسِ بِهَا كَافِرِينَ، يُنْزِلُ اللهُ الْغَيْثَ فَيَقُولُونَ: الْكَوْكَبُ كَذَا وَكَذَا ” وَفِي حَدِيثِ الْمُرَادِيِّ: بِكَوْكَبِ كَذَا وَكَذَا

“Tidaklah Alah menurunkan barakah dari langit melainkan ada sekelompok manusia yang menjadi kafir dengan sebabnya. Allahlah yang menurunkan hujan, tetapi mereka mengatakan:

“Bintang yang ini dan bintang yang itu.” – di hadis Al-Muradi (lafaznya): “… dengan sebab bintang yang ini dan bintang yang itu.” (Shahih Muslim, no. 72)

Di antara lain bentuk keberkahan dari air hujan adalah dengan air hujan ia menjadi sumber kehidupan di muka bumi, airnya diminum, menjadikan tanam-tanaman hidup subur, rerumputan dan pepohonan hidup menghijau, haiwan-haiwan dapat bertebaran, dan air hujan dapat digunakan untuk bersuci dan airnya membersihkan pelbagai kotoran. Dan masih banyak lagi kebaikan serta keberkahan dari air hujan.

Atas banyaknya nikmat dan kebaikan ini, Allah memerintahkan agar kita mensyukuri-Nya, bersegera mentauhidkan-Nya, dan tidak bertindak kafir atau mencela dari nikmat-nikmat tersebut.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ فِرَاشًا وَالسَّمَاءَ بِنَاءً وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَكُمْ فَلَا تَجْعَلُوا لِلَّهِ أَنْدَادًا وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dia-lah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia mengeluarkan dengan hujan itu bermacam buah-buahan sebagai rezeki untuk-mu; kerana itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, 2: 22)

Dan atas keberkahan yang terdapat bersama-sama air hujan, berikut kita lihat sebahagian dari perlakuan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabat beliau radhiyallahu ‘anhum sebaik hujan turun membasahi mereka.

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu berkata:

أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ، قَالَ: فَحَسَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ، حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ، فَقُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا؟ قَالَ: لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى

“Kami pernah kehujanan bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyingkap pakaiannya sehingga beliau dibasahi hujan. Lalu kami bertanya:

“Wahai Rasulullah, kenapa engkau buat begitu?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Kerana hujan ini baru saja diciptakan dari Rabb-Nya yang maha Tinggi.” (Shahih Muslim, no. 898. Sunan Abi Dawud, no. 5100)

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) menyebutkan:

أَنَّ السَّمَاءَ أَمْطَرَتْ فقال لِغُلَامِهِ أَخْرِجْ فِرَاشِي وَرَحْلِي يُصِيبُهُ الْمَطَرُ فقال أبو الْجَوْزَاءِ لِابْنِ عَبَّاسٍ لِمَ تَفْعَلُ هذا يَرْحَمُك اللَّهُ فقال أَمَّا تَقْرَأُ كِتَابَ اللَّهِ { وَنَزَّلْنَا من السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا } فَأُحِبُّ أَنْ تُصِيبَ الْبَرَكَةُ فِرَاشِي وَرَحْلِي

“Ketika langit menurunkan hujan, Ibnu ‘Abbas berkata kepada pembantunya, “Keluarkan tilam-ku dan barang-barang untuk perjalanan jauh-ku agar terkena air hujan.” Abu Al-Jauza’ berkata kepada Ibnu ‘Abbas, “Semoga Allah merahmati engkau, kenapa engkau berbuat begini?” Jawab Ibnu ‘Abbas, “Tidakkah engkau membaca Kitab Allah:

“Dan kami menurunkan dari langit air yang barakah.” (Surah Qaaf, 50: 9). Maka aku ingin agar barakah itu mengenai tilam dan barang-barang perjalanan-ku.” (Al-Umm, 1/252. Ma’rifatus Sunan wal Atsar oleh Al-Baihaqi, no. 7232)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا أَمْطَرَتِ السَّمَاءُ، يَقُوْلُ:يَا جَارِيَّةُ! أَخْرِجِي سَرْجِي، أَخْرِجِي ثِيَابِي، وَيَقُوْلُ: وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكاً

“Bahawasanya apabila turun hujan, beliau mengatakan:

“Wahai jaariyah (hamba atau pembantu), keluarkanlah barang-barang perjalananku, keluarkanlah pakaianku.” Dan beliau membacakan (firman Allah):

“Dan kami menurunkan dari langit air yang barakah.” (Surah Qaaf, 50: 9).” (Al-Adabul Mufrad oleh Al-Bukhari, no. 1228)

Dalam sebuah hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan:

مُطِرْنَا بِفَضْلِ اللَّهِ وَرَحْمَتِهِ

“Kita diberi hujan adalah kerana kurnia dan rahmat Allah.” (Shahih al-Bukhari, no. 1038)

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata dalam Syarh Shahih Muslim:

معنى حسر كشف أي كشف بعض بدنه ومعنى حديث عهد بربه أي بتكوين ربه اياه ومعناه أن المطر رحمة وهي قريبة العهد بخلق الله تعالى لها فيتبرك بها وفي هذا الحديث دليل لقول أصحابنا أنه يستحب عند أول المطر أن يكشف غير عورته ليناله المطر واستدلوا بهذا وفيه أن المفضول إذا رأى من الفاضل شيئا لا يعرفه أن يسأله عنه ليعلمه فيعمل به ويعلمه غيره

“Kata “حَسَرَ كشف” maksudnya adalah menyingkap, iaitu menyingkap sebahagian tubuh. Maksud, “حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى” (hujan ini baru saja turun daripada Rabb-Nya yang maha Tinggi) adalah bahawa ia baru sahaja terbentuk sebagai rahmat yang baru diciptakan atas kehendak Allah Ta’ala, maka Nabi pun bertabarruk (mengambil barakah) dengan cara membuka baju dan mengenakan sebahagian tubuhnya kepada air hujan secara langsung.

Dan pada hadis ini dijadikan dalil oleh para sahabat kami (dari kalangan ulama Syafi’iyyah) tentang dianjurkan untuk menyingkap sebahagian anggota tubuh yang bukan termasuk aurat di ketika awal turunnya hujan yakni agar bahagian tubuh tersebut dibasahi dengan hujan.

Dan pada hadis ini juga menunjukkan bahawa apabila melihat sesuatu (amalan) yang ia tidak ketahui pada diri seseorang yang memiliki keutamaan agar ia menanyakannya agar ia memahami, kemudian agar ia dapat mengamalkannya, serta mengajarkannya kepada selainnya.” (Syarh Shahih Muslim, 196-197)

Manakala sebahagian ulama mengatakan, antaranya Al-Imam Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H):

وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَتَوَضَّأَ مِنْ مَاءِ الْمَطَرِ إذَا سَالَ السَّيْلُ

“Dianjurkan untuk berwudhu’ dengan air hujan apabila airnya mengalir deras.” (Al-Mughni, 4/343)

Diriwayatkan dari hadis Yazid bin Al-Hadi, apabila air hujan yang deras mengalir, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengatakan:

اخْرُجُوا بِنَا إِلَى هَذَا الَّذِي جَعَلَهُ اللهُ طَهُورًا فَنَتَطَهَّرَ مِنْهُ، وَنَحْمَدَ اللهَ عَلَيْهِ

“Keluarlah kalian bersama kami menuju air yang telah dijadikan oleh Allah sebagai alat untuk bersuci ini.” Kemudian kami pun bersuci dengan air tersebut dan memuji Allah atas nikmat tersebut.” (Sunan Al-Kubra oleh Al-Baihaqi, no. 6457. Namun sanadnya munqathi’ sebagaimana dikatakan oleh Al-Baihaqi)

Al-Imam Asy-Syafi’i (Wafat: 204H) dan Al-Baihaqi (Wafat: 458H) rahimahumallah meriwayatkan:

أَنَّ عُمَرَ، كَانَ إِذَا سَالَ السَّيْلُ ذَهَبَ بِأَصْحَابِهِ إِلَيْهِ وَقَالَ: مَا كَانَ لَيَجِيءَ مِنْ مَجِيئِهِ أَحَدٌ إِلَّا تَمَسَّحْنَا بِهِ

“Apabila terjadi aliran air hujan, ‘Umar pun membawa para sahabatnya menuju air tersebut dan berkata, “Tidaklah seorang pun datang disebabkan kedatangannya (hujan) melainkan kami hendak berbasahan dengannya.” (Al-Umm, 1/253. Ma’rifatus Sunan wal-Atsar oleh Al-Baihaqi, no. 7235)

Wallaahu a’lam.

Baca juga artikel kami dengan judul, Subur Pahala Ketika Hujan.

dzikir setelah hujan

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest