Kelahiran Buah Hati Sebagai Suatu Kurniaan

www.ilmusunnah.com
Dipetik dari buku Tarbiyatul Abna’ karya Asy-Syaikh Musthofa Al-‘Adawi[1]

anakku_

Jadilah Anda sebagai hamba Allah yang redha atas segala kurnia yang Allah berikan kepada anda, sama ada anak yang dilahirkan itu laki-laki atau perempuan, kerana sesungguhnya yang memberikan rezeki hanyalah Allah. Dia-lah Yang Maha Memberi kurniaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

…يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ (49) أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَنْ يَشَاءُ عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ (50)

“… Dia memberikan anak-anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Mahakuasa.” (Surah Asy-Syuuraa, 42: 49-50)

Lebih-lebih lagi anda tidaklah mengetahui dari anak yang manakah kebaikan itu akan datang?

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

…آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا…(11)

“…(Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, engkau tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu…” (Surah An-Nisaa’: 11)

Allah Ta’ala berfirman:

…وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ (216)

“…Boleh jadi engkau membenci sesuatu, sedangkan ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) engkau menyukai sesuatu sedangkan ianya amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang engkau tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 216)

Berapa banyak anak perempuan yang menjadi sebab kebahagiaan kedua orang tuanya dan semua kerabatnya di dunia dan akhirat, dan berapa banyak anak lelaki yang menjadi sebab kesengsaraan orang tuanya. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan.

Maryam Ash-Shiddiqah adalah seorang wanita, begitu pula Fathimah, puteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Maryam ‘alaihas Sallam melahirkan seorang Nabi yang termasuk keturunan orang-orang soleh, manakala Fathimah melahirkan dua orang anak yang menjadi pemimpin para pemuda penghuni Syurga.

Patutkah jika Maryam dan Fathimah dibandingkan dengan putera Nabi Nuh, seorang anak lelaki yang terus menerus berada dalam kekufuran dan pengingkaran, dan mati pula dalam keadaan kafir. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan darinya.

Fathimah, puteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam lebih baik sepenuh bumi berbanding putera Nuh ‘alaihis Sallam.

Fathimah puteri Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wa Sallam adalah salah seorang pemimpin wanita penghuni Syurga.

Patutkah jika Maryam yang digelar sebagai Ash-Shiddiqah dibandingkan dengan putera Nuh?!

Inilah seorang anak jika ia hidup, nescaya akan mendorong kedua orang tuanya menjadi seorang yang sesat lagi kafir. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَأَمَّا الْغُلَامُ فَكَانَ أَبَوَاهُ مُؤْمِنَيْنِ فَخَشِينَا أَنْ يُرْهِقَهُمَا طُغْيَانًا وَكُفْرًا (80)

“Dan adapun anak itu, maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin, dan kami bimbang bahawa dia akan mendorong kedua orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran.” (Surah Al-Kahfi, 18: 80)

Sungguh, di dalam mendidik dan berbuat baik kepada anak perempuan terdapat pahala yang sangat besar.

Al-Bukhari dan Muslim[2] meriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

جَاءَتْنِي امْرَأَةٌ، وَمَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا، فَسَأَلَتْنِي فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ وَاحِدَةٍ، فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا، فَأَخَذَتْهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا، وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا شَيْئًا، ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ وَابْنَتَاهَا، فَدَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَحَدَّثْتُهُ حَدِيثَهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنِ ابْتُلِيَ مِنَ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ، فَأَحْسَنَ إِلَيْهِنَّ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنَ النَّار

“Seorang ibu bersama dua orang puterinya datang kepadaku, beliau meminta sesuatu kepadaku akan tetapi beliau tidak mendapatkan apa-apa di sisiku kecuali satu biji kurma, kemudian aku memberikannya dan beliau pun mengambilnya dariku, lalu beliau membahagikannya kepada dua puterinya sedangkan beliau sama sekali tidak memakannya. Setelah itu beliau berdiri dan keluar bersama kedua-dua puterinya. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang dan aku menceritakan peristiwa tersebut. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Siapa yang diberi ujian dengan anak-anak perempuan, lalu dia memperlakukan (atau melayani) mereka dengan baik (yakni secara syar’i), maka anak perempuan itu kelak menjadi benteng (atau tirai) yang menghalangi dirinya dari Neraka.”.”

Dalam riwayat Muslim,[3] dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata:

جَاءَتْنِي مِسْكِينَةٌ تَحْمِلُ ابْنَتَيْنِ لَهَا، فَأَطْعَمْتُهَا ثَلَاثَ تَمَرَاتٍ، فَأَعْطَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا تَمْرَةً، وَرَفَعَتْ إِلَى فِيهَا تَمْرَةً لِتَأْكُلَهَا، فَاسْتَطْعَمَتْهَا ابْنَتَاهَا، فَشَقَّتِ التَّمْرَةَ، الَّتِي كَانَتْ تُرِيدُ أَنْ تَأْكُلَهَا بَيْنَهُمَا، فَأَعْجَبَنِي شَأْنُهَا، فَذَكَرْتُ الَّذِي صَنَعَتْ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْجَبَ لَهَا بِهَا الْجَنَّةَ، أَوْ أَعْتَقَهَا بِهَا مِنَ النَّار

“Seorang ibu miskin datang kepadaku bersama dua orang anak perempuannya, lalu aku memberikannya tiga biji kurma. Si ibu tersebut pun memberikan satu biji untuk setiap orang anaknya masing-masing. Setelah itu, si ibu pun mengangkat sebiji kurma ke mulutnya, tiba-tiba kedua anaknya meminta lagi, lalu si ibu pun membelah kurma yang akan dia makan menjadi dua bahagian untuk kedua anaknya.

Kejadian itu sangat menakjubkanku sehingga aku menceritakan apa yang beliau lakukan tersebut kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah pun bersabda:

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan Syurga baginya disebabkan apa yang telah beliau lakukan atau Dia memerdekakannya dari seksa Neraka.”.”

Di Shahih Muslim[4] pula, dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

«مَنْ عَالَ جَارِيَتَيْنِ حَتَّى تَبْلُغَا، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَنَا وَهُوَ» وَضَمَّ أَصَابِعَهُ

“Siapa yang menjaga dan memelihara[5] dua anak perempuan sampai keduanya baligh, maka dia akan datang pada hari Kiamat bersamaku (seperti ini).” beliau (Rasulullah) menggandingkan jari-jemarinya.’”

Kelahiran seorang anak perempuan adakalanya membuahkan ketundukkan kepada Allah dan membentuk sifat tawadhu’ terhadap makhluk pada diri anda sehingga perkara itu pun mengangkat darjat (kedudukan)mu pada hari Kiamat.

Manakala kelahiran seorang anak lelaki adakalanya mampu membuahkan kesombongan dan merasa bangga di hadapan orang lain sehingga menjadikan dirinya menempah tempat di dalam Neraka. Sungguh buruk tempat orang-orang yang menyombongkan diri.

Di antara para Nabi ada yang dikurniakan anak lelaki dan tidak diriwayatkan bahawa mereka dianugerahi anak perempuan. Ada pula di antara mereka yang dianugerahkan dengan anak perempuan dan tidak diriwayatkan bahawa mereka mendapat anak lelaki, bahkan di antara mereka ada yang sama sekali tidak mendapatkan anak sama ada lelaki ataupun perempuan.

Nabi Ibrahim ‘alaihi Sallam adalah seorang Nabi yang dianugerahi dengan anak lelaki dan tidak diriwayatkan bahawa beliau memiliki anak perempuan, manakala Nabi Luth adalah seorang Nabi yang dianugerahi dengan anak perempuan dan sama sekali tidak memiliki anak lelaki, bahkan beliau berkata:

…يَاقَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ…(78)

“… Wahai kaumku, inilah puteri-puteriku, mereka lebih suci bagimu…” (Surah Hud, 11: 78)

Nabi kita, Muhammad Shallallahu ‘alahi wa Sallam memiliki anak lelaki yang meninggal sejak kecil, manakala yang hidup sampai dewasa hanyalah puteri-puteri beliau!!

Manakala Yahya ‘alaihi Sallam:

…وَسَيِّدًا وَحَصُورًا وَنَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ (39)

“… Menjadi ikutan, menahan diri (dari hawa nafsu) dan seorang Nabi termasuk keturunan orang-orang soleh.” (Surah Ali-‘Imran, 3: 39)

Selanjutnya saya (penulis) akan menyebutkan hadis berikut dengan harapan memberi tambahan keteguhan dan ketenangan anda.

Al-Bukhari dan Muslim[6] meriwayatkan dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَمْ يَتَكَلَّمْ فِي المَهْدِ إِلَّا ثَلاَثَة

“Tidak ada (bayi) yang dapat berkata-kata ketika masih dalam buaian, kecuali tiga (bayi) saja.”

Di dalam hadis tersebut dinyatakan:

وَبَيْنَا صَبِيٌّ يَرْضَعُ مِنْ أُمِّهِ، فَمَرَّ رَجُلٌ رَاكِبٌ عَلَى دَابَّةٍ فَارِهَةٍ، وَشَارَةٍ حَسَنَةٍ، فَقَالَتْ أُمُّهُ: اللهُمَّ اجْعَلِ ابْنِي مِثْلَ هَذَا، فَتَرَكَ الثَّدْيَ وَأَقْبَلَ إِلَيْهِ، فَنَظَرَ إِلَيْهِ، فَقَالَ: اللهُمَّ لَا تَجْعَلْنِي مِثْلَهُ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَى ثَدْيِهِ فَجَعَلَ يَرْتَضِعُ “. قَالَ: فَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحْكِي ارْتِضَاعَهُ بِإِصْبَعِهِ السَّبَّابَةِ فِي فَمِهِ، فَجَعَلَ يَمُصُّهَا، قَالَ: ” وَمَرُّوا بِجَارِيَةٍ وَهُمْ يَضْرِبُونَهَا وَيَقُولُونَ: زَنَيْتِ، سَرَقْتِ، وَهِيَ تَقُولُ: حَسْبِيَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ، فَقَالَتْ أُمُّهُ: اللهُمَّ لَا تَجْعَلِ ابْنِي مِثْلَهَا، فَتَرَكَ الرَّضَاعَ وَنَظَرَ إِلَيْهَا، فَقَالَ: اللهُمَّ اجْعَلْنِي مِثْلَهَا، فَهُنَاكَ تَرَاجَعَا الْحَدِيثَ، فَقَالَتْ: حَلْقَى مَرَّ رَجُلٌ حَسَنُ الْهَيْئَةِ فَقُلْتُ: اللهُمَّ اجْعَلِ ابْنِي مِثْلَهُ، فَقُلْتَ: اللهُمَّ لَا تَجْعَلْنِي مِثْلَهُ، وَمَرُّوا بِهَذِهِ الْأَمَةِ وَهُمْ يَضْرِبُونَهَا وَيَقُولُونَ زَنَيْتِ، سَرَقْتِ، فَقُلْتُ: اللهُمَّ لَا تَجْعَلِ ابْنِي مِثْلَهَا فَقُلْتَ: اللهُمَّ اجْعَلْنِي مِثْلَهَا، قَالَ: إِنَّ ذَاكَ الرَّجُلَ كَانَ جَبَّارًا، فَقُلْتُ: اللهُمَّ لَا تَجْعَلْنِي مِثْلَهُ، وَإِنَّ هَذِهِ يَقُولُونَ لَهَا زَنَيْتِ وَلَمْ تَزْنِ، وَسَرَقْتِ وَلَمْ تَسْرِقْ فَقُلْتُ: اللهُمَّ اجْعَلْنِي مِثْلَهَا

“Ketika seorang bayi menyusu dari ibunya, seorang lelaki dengan memandu (haiwan) tunggangannya yang kuat dan berpakaian indah melintas, lalu si ibu berkata, “Ya Allah, jadikanlah anakku seperti orang itu.” Lalu bayi tersebut berhenti menyusu untuk melihat orang dimaksudkan, seraya bayi tersebut berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku seperti orang itu…” kemudian dia kembali menyusu.”

(Abu Hurairah berkata), “Aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menceritakan tentang bagaimana si bayi itu menyusu, sambil menggambarkannya dengan jari telunjuk beliau di mulut, lalu menghisapnya. Beliau bersabda, “Lalu seorang hamba wanita melintas di depan si ibu, orang-orang memukulinya dengan berkata, “Engkau telah berzina, engkau telah mencuri.” Hamba wanita itu berkata, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagiku dan Dia sebaik-baik pelindung.” Lalu si ibu pun berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan anakku seperti wanita itu.”

Lalu bayi tersebut berhenti menyusu dan melihat kepada hamba wanita tersebut, lalu si bayi pun berkata, “Ya Allah, jadikanlah aku seperti orang itu.”

Maka pada ketika itulah si ibu pun mula berbicara kepada bayi kecilnya. Si ibu berkata (dengan kehairanan), “Aduhai, sungguh celaka!! Ketika seorang lelaki melintas dengan penampilan yang bagus aku berkata, “Ya Allah, jadikanlah anakku seperti orang itu…” engkau malah berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku seperti orang itu.”

Kemudian ketika orang-orang membawa seorang hamba wanita serta memukulinya, seraya berkata, “Engkau telah berzina, engkau telah mencuri!” Dan aku berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan anakku seperti orang itu…” tetapi engkau malah berkata, “Ya Allah, jadikanlah aku seperti orang itu.”[7] Sang bayi pun menjawab kehairanan ibunya dengan mengatakan:

“Sesungguhnya lelaki tersebut adalah orang yang sombong maka aku pun berkata, “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku seperti orang itu…” manakala seorang hamba wanita yang orang-orang telah berkata kepadanya, “Engkau telah berzina…” sedangkan hakikatya dia tidak melakukannya, mereka mengatakan, “Engkau telah mencuri…” sedangkan dia sama sekali tidak mencuri, maka kerana itulah aku mengatakan, “Ya Allah, jadikanlah aku seperti orang itu.”.”

Maka lihatlah selalu orang yang lebih rendah dari diri anda, janganlah anda melihat orang yang lebih tinggi (dalam perkara dunia di kehidupan anda)!

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ، فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ مِـمَّنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ

“Jika salah seorang di antara kalian melihat orang lain yang lebih besar kurniaannya dalam perkara harta dan penciptaan (yakni rupa paras), maka lihatlah orang yang lebih rendah dari dirinya, bukan kepada orang yang diberi kurniaan lebih besar darinya.”[8]

Dalam riwayat yang lain:

انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ، وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ، فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللهِ

“Lihatlah orang yang ada di bawah kalian (dalam kelebihan duniawi) dan janganlah kalian melihat orang yang ada di atas kalian, kerana hal itu lebih baik agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah.”[9]

Di riwayat yang lain terdapat tambahan:

عَلَيْكُم.

“… (Nikmat Allah) atas kalian.”

Jika anda dikurniakan dengan seorang anak perempuan, maka sesungguhnya ada di antara orang lain yang sama sekali tidak memiliki seorang pun anak perempuan mahupun anak lelaki.

Jika anda dikurniakan dengan seorang anak perempuan yang sihat lagi sempurna, maka sesungguhnya di antara manusia ada yang dikurniakan dengan seorang anak lelaki atau perempuan tetapi dalam keadaan cacat sehingga dia memerlukan pertolongan sejumlah pakar perubatan, dan mereka pun belum tentu mampu menemukan solusinya.

Nabi Sulaiman ‘alaihis Salam dikurniakan anak dengan wujud setengah manusia!

Mahasuci Allah, Nabi Sulaiman adalah seorang raja yang dikurnikan oleh Allah sebuah kerajaan yang tidak akan pernah Dia kurniakan kepada siapa pun setelahnya, akan tetapi dia dikuruniakan dengan anak yang berkeadaan setengah manusia (yakni anak yang cacat atau tidak sempurna fizikalnya)!

Jin dan syaitan ditundukkan untuk Nabi Sulaiman. Angin yang bertiup kencang dan angin yang sepoi-sepoi semuanya ditundukkan untuknya sehingga ia bertiup bersesuaian dengan keinginannya, dan kemakmuran hidup benar-benar mengitarinya. Dialah raja manusia yang mana burung-burung ditundukkan untuknya. Tetapi sungguh pun demikian, dengan kenabian, keilmuan dan kefaqihannya, dia adalah seseorang yang dikurniakan dengan seorang anak yang berkeadaan cacat (tidak sempurna fizikalnya).

Maha Suci Allah, yang segala urusan berada di Tangan-Nya, Dia-lah Allah Yang Maha Memberi rezeki dan Dia-lah Allah yang memberikan kurniaan kepada para hamba-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung.

Hadis berikut ini menerangkan keadaan Nabi Sulaiman ‘alaihis Salam.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim[10] dalam Shahih beliau, dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda:

قَالَ سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ: لَأَطُوفَنَّ اللَّيْلَةَ عَلَى تِسْعِينَ امْرَأَةً كُلُّهَا تَأْتِي بِفَارِسٍ يُقَاتِلُ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ لَهُ صَاحِبُهُ: قُلْ: إِنْ شَاءَ اللهُ، فَلَمْ يَقُلْ: إِنْ شَاءَ اللهُ، فَطَافَ عَلَيْهِنَّ جَمِيعًا، فَلَمْ تَحْمِلْ مِنْهُنَّ إِلَّا امْرَأَةٌ وَاحِدَةٌ، فَجَاءَتْ بِشِقِّ رَجُلٍ، وَايْمُ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَوْ قَالَ: إِنْ شَاءَ اللهُ لَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللهِ فُرْسَانًا أَجْمَعُونَ

“Sulaiman bin Dawud berkata, “Benar-benar aku akan menggilir sembilan puluh isteriku pada malam ini, masing-masing akan melahirkan seorang pejuang yang akan berjuang di jalan Allah.” Lalu sahabatnya berkata, “Ucapkanlah in-sya-Allah!” tetapi beliau tidak mengucapkannya, akhirnya beliau pun menggauli semua isterinya tersebut, dan tidak ada seorang pun dari mereka yang hamil kecuali seorang isteri saja yang melahirkan anak dengan wujud setengah manusia (yakni cacat dan tidak sempurna). Demi jiwa Muhammad yang berada di tangan-Nya seandainya beliau mengucapkan “In-sya-Allah” nescaya mereka semua akan (melahirkan) para pejuang yang berjuang di jalan Allah.”

Sesungguhnya kehidupan dunia dengan segala sesuatu yang ada di dalamnya, anak lelaki, perempuan, kedudukan, harta, dan kekuasaan adalah nikmat kehidupan yang tidak abadi, semuanya akan lenyap. Manakala kehidupan akhirat dan hari Kiamat telah dekat, maka janganlah anda biarkan jiwa anda pergi jauh, akan tetapi arahkanlah ia agar selalu rela atas segala ketetapan Allah ‘Azza wa Jalla, selalu memuji atas segala ketentuan-Nya dengan banyak bersyukur atas segala nikmat-nikmat-Nya dan sentiasa bersabar atas segala kebaikan yang diberikan dan juga atas segala ujian yang ditimpakan oleh Allah.

Janganlah kalian termasuk golongan orang-orang bodoh yang mana Allah berfirman tentang mereka:

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ (58) يَتَوَارَى مِنَ الْقَوْمِ مِنْ سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ أَيُمْسِكُهُ عَلَى هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ (59)

“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Dia menyembunyikan dirinya dari orang ramai, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Adakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburnya ke dalam tanah (dalam keadaan hidup-hidup). Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan tersebut.” (Surah An-Nahl, 16: 58-59)

Janganlah merasa sempit dada, kecil hati, dan sedih atau marah ketika buah hati yang lahir itu adalah seorang anak perempuan. Boleh jadi dialah yang akan membawa kebaikan bagi anda dalam kehidupan dunia dan akhirat kelak.

Akan tetapi ucapkanlah alhamdulillah dengan penuh rasa syukur atas segala kurnian, nikmat dan kebaikan yang dilimpahkan oleh Allah kepada anda bagaimana pun keadaannya.


 

[1] Edisi terjemahannya boleh diperolehi dengan judul, “Anakku! Sudah Tepatkah Pendidikannya?”

[2] Shahih Al-Bukhari (no. 5995) dan Muslim (no. 2629) .

[3] Shahih Muslim (no. 2630).

[4] Shahih Muslim (no. 2631).

[5] An-Nawawi berkata, “Makna kata (عال) tersebut adalah melaksanakan kewajiban dengan memberikan nafkah dan pendidikan serta yang semakna dengannya. Kata tersebut diambil dari lafazh العول yang ertinya adalah kekerabatan. Di antaranya ungkapan:

ابْدَأ بمَن تَعُول

“Mulakanlah dari orang yang menjadi tanggunganmu.”

[6] Shahih Al-Bukhari (no.3466) dan Muslim (hal. 1977-1978) dan ini adalah lafaz Muslim.

[7] Maksudnya adalah, jadikanlah aku sepertinya yang terbebas dari perbuatan dosa dan maksiat.

[8] Shahih Al-Bukhari (no. 6490) dan Muslim (no. 2963).

[9] Ini adalah riwayat Muslim.

[10] Shahih Muslim (hal. 1276, no. 1654), dan lihat juga Shahih Al-Bukhari (no.672).

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest