Kisah Israk dan Mikraj Sebagaimana Dinukilkan di Kitab Ar-Rahiq Al-Makhtum

Asy-Syaikh Shofiyurrohman Al-Mubarakfuri rahimahullah
www.ilmusunnah.com

israk

وبينما النبي صلى الله عليه وسلم يمر بهذه المرحلة، وأخذت الدعوة تشق طريقًا بين النجاح والاضطهاد، وبدأت نجوم الأمل تتلمح في آفاق بعيدة، وقع حادث الإسراء والمعراج. واختلف في تعيين زمنه على أقوال شتى:

Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sedang berada di tengah-tengah fasa dakwahnya di antara menerobos jalan kejayaan atau ranjau, secercah harapan mulai tampak bersinar dari kejauhan. Maka pada ketika itulah terjadinya peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini.

Berhubung bila terjadinya peristiwa ini, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama menjadi beberapa pendapat, (di antaranya):

1 ـ فقيل: كان الإسراء في السنة التي أكرمه الله فيها بالنبوة، واختاره الطبرى.

2 ـ وقيل: كان بعد المبعث بخمس سنين، رجح ذلك النووى والقرطبى.

3 ـ وقيل: كان ليلة السابع والعشرين من شهر رجب سنة 10 من النبوة.

4 ـ وقيل: قبل الهجرة بستة عشر شهرًا، أي في رمضان سنة 12 من النبوة.

5 ـ وقيل: قبل الهجرة بسنة وشهرين، أي في المحرم سنة 13 من النبوة.

6 ـ وقيل: قبل الهجرة بسنة، أي في ربيع الأول سنة 13 من النبوة.

1, Persitiwa Isra’ terjadi pada tahun ketika Allah memuliakan Nabi-Nya dengan kenabian. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Ath-Thobari.

2, Peristiwa ini terjadi lima tahun setelah beliau diutuskan menjadi Nabi. Pendapat ini dikuatkan oleh An-Nawawi dan Al-Qurthubi.

3, Peristiwa ini terjadi pada malam 27 Rejab tahun ke 10 setelah kenabian. Pendapat ini dipilih oleh Al-Allamah Al-Manshurfuri.

4, Peristiwa ini terjadi pada 16 bulan sebelum hijrah, bertepatan pada bulan Ramadhan tahun ke 12 setelah kenabian.

5, Persitiwa ini terjadi 1 tahun 2 bulan sebelum hijrah, bertepatan pada bulan Muharram tahun ke 13 setelah kenabian.

6, Peristiwa ini terjadi 1 tahun sebelum hijrah, bertepatan pada bulan Rabbi-ul Awwal tahun ke 13 setelah kenabian.

وَرُدَّتِ الأقوالُ الثلاثة الأول بأن خديجة رضي الله عنها توفيت في رمضان سنة عشر من النبوة، وكانت وفاتها قبل أن تفرض الصلوات الخمس. ولا خلاف أن فرض الصلوات الخمس كان ليلة الإسراء. أما الأقوال الثلاثة الباقية فلم أجد ما أرجح به واحدًا منها، غير أن سياق سورة الإسراء يدل على أن الإسراء متأخر جدًا.

Tiga pendapat yang pertama tertolak kerana dibantah oleh fakta bahawa Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan pada tahun ke 10 kenabian, yakni sebelum pensyari’atan solat 5 waktu. Di sini tidak ada perselisihan bahawa solat lima waktu telah diwajibkan bermula pada malam isra’ dan mi’raj.

Manakala tiga pendapat yang lainnya, saya belum menemui bukti yang kukuh untuk menguatkan salah satu darinya. Kecuali jika ditinjau pada pemahaman terhadap Surah Al-Isra’, maka akan terlihat indikasi yang menunjukkan ianya terjadi pada masa-masa yang sangat akhir.

وروى أئمة الحديث تفاصيل هذه الوقعة، وفيما يلي نسردها بإيجاز:

قال ابن القيم:

Para ulama ahli hadis telah meriwayatkan rincian peristiwa isra’ dan mi’raj ini. Berikut kami paparkannya secara ringkas:

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) berkata:

أسرى برسول الله صلى الله عليه وسلم بجسده على الصحيح من المسجد الحرام إلى بيت المقدس، راكبًا على البُرَاق، صحبة جبريل عليهما الصلاة والسلام، فنزل هناك، وصلى بالأنبياء إمامًا، وربط البراق بحلقة باب المسجد.

ثم عرج به تلك الليلة من بيت المقدس إلى السماء الدنيا، فاستفتح له جبريل ففتح له، فرأي هنالك آدم أبا البشر، فسلم عليه، فرحب به ورد عليه السلام، وأقر بنبوته، وأراه الله أرواح السعداء عن يمينه، وأرواح الأشقياء عن يساره.

ثم عرج به إلى السماء الثانية، فاستفتح له، فرأي فيها يحيى بن زكريا وعيسى ابن مريم، فلقيهما وسلم عليهما، فردا عليه ورحبا به، وأقرّا بنبوته.

ثم عرج به إلى السماء الثالثة، فرأي فيها يوسف، فسلم عليه فرد عليه ورحب به، وأقر بنبوته .

ثم عرج به إلى السماء الرابعة، فرأي فيها إدريس، فسلم عليه، فرد عليه، ورحب به، وأقر بنبوته .

ثم عرج به إلى السماء الخامسة، فرأي فيها هارون بن عمران، فسلم عليه، فرد عليه ورحب به، وأقر بنبوته.

ثم عرج به إلى السماء السادسة، فلقى فيها موسى بن عمران، فسلم عليه، فرد عليه ورحب به، وأقر بنبوته.

فلما جاوزه بكى موسى، فقيل له : ما يبكيك ؟ فقال : أبكى؛ لأن غلامًا بعث من بعدى يدخل الجنة من أمته أكثر مما يدخلها من أمتى.

ثم عرج به إلى السماء السابعة، فلقى فيها إبراهيم عليه السلام، فسلم عليه، فرد عليه، ورحب به، وأقر بنبوته.

ثم رفع إلى سدرة المنتهى، فإذا نَبْقُها مثل قِلاَل هَجَر، وإذا ورقها مثل آذان الفيلة، ثم غشيها فراش من ذهب، ونور وألوان، فتغيرت، فما أحد من خلق الله يستطيع أن يصفها من حسنها. ثم رفع له البيت المعمور، وإذا هو يدخله كل يوم سبعون ألف ملك ثم لا يعودون. ثم أدخل الجنة، فإذا فيها حبائل اللؤلؤ، وإذا ترابها المسك . وعرج به حتى ظهر لمستوى يسمع فيه صَرِيف الأقلام.

ثم عرج به إلى الجبّار جل جلاله، فدنا منه حتى كان قاب قوسين أو أدنى، فأوحى إلى عبده ما أوحى، وفرض عليه خمسين صلاة، فرجع حتى مرّ على موسى فقال له: بم أمرك ربك؟ قال: ( بخمسين صلاة ). قال: إن أمتك لا تطيق ذلك، ارجع إلى ربك فاسأله التخفيف لأمتك، فالتفت إلى جبريل، كأنه يستشيره في ذلك، فأشار: أن نعم إن شئت، فعلا به جبريل حتى أتى به الجبار تبارك وتعالى، وهو في مكانه ـ هذا لفظ البخاري في بعض الطرق ـ فوضع عنه عشرًا، ثم أنزل حتى مر بموسى، فأخبره، فقال: ارجع إلى ربك فاسأله التخفيف، فلم يزل يتردد بين موسى وبين الله عز وجل، حتى جعلها خمسًا، فأمره موسى بالرجوع وسؤال التخفيف، فقال: ( قد استحييت من ربي، ولكني أرضى وأسلم )، فلما بعد نادى مناد: قد أمضيت فريضتى وخففت عن عبادى. انتهي.

“Berdasarkan pendapat yang sahih, Rasulullah diisra’kan dengan jasadnya dari Masjid Al-Haram menuju Bait Al-Maqdis dengan menunggang Buroq ditemani oleh Jibril ‘alaihis Salam.

Kemudian beliau singgah di sana serta menjadi imam solat bagi para Nabi[1], sementara Buroq ditambat pada pintu masjid. Kemudian, pada malam itu juga beliau dimi’rajkan (dinaikkan) dari Bait Al-Maqdis menuju ke langit dunia. Jibril meminta agar pintu langit dibukakan untuk beliau, lalu terbukalah pintu.

Di sana beliau melihat Adam, bapa seluruh manusia. Beliau memberi salam kepadanya seraya Adam menyambutnya dan membalas salam tersebut serta mengakui kenabian beliau. Allah juga menampakkan kepada beliau ruh-ruh para syuhada’ dari sebelah kanannya dan ruh-ruh orang-orang yang sengsara dari kiri beliau.

Kemudian beliau dinaikkan lagi ke langit kedua. Jibril meminta agar dibukakan pintunya untuk beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Di sana beliau melihat Nabi Yahya bin Zakariyya dan ‘Isa bin Maryam seraya menemui mereka berdua dan memberi salam. Kedua mereka menjawab salam tersebut dan menyambut beliau serta mengakui kenabian beliau.

Kemudian beliau dinaikkan lagi ke langit ketiga. Di sana beliau melihat Nabi Yusuf lalu memberi salam kepadanya. Nabi Yusuf membalasnya dan menyambut beliau serta mengakui kenabian beliau.

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dinaikkan lagi ke langit ke empat. Di sana beliau melihat Nabi Idris lalu beliau memberi salam kepadanya. Idris menyambut beliau dan mengakui kenabiannya.

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dinaikkan lagi ke langit ke lima. Di sana beliau melihat Nabi Harun bin ‘Imran lalu beliau memberi salam kepadanya. Nabi Harun menyambut beliau dan mengakui kenabian beliau.

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dinaikkan lagi ke langit ke enam. Di sana beliau melihat Nabi Musa bin ‘Imran lalu beliau memberi salam kepadanya. Nabi Musa menyambut beliau dan mengakui kenabian beliau.

Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hendak berlalu pergi, Nabi Musa menangis. Ketika ditanyakan kepadanya, “Apa yang membuat engkau menangis?” Musa menjawab, “Aku menangis kerana rupanya ada seorang yang diutus setelahku tetapi umatnya yang masuk Syurga lebih banyak dari umatku.”

Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dinaikkan lagi ke langit ke tujuh. Di sana beliau melihat Nabi Ibrahim ‘alaihis Salam lalu beliau memberi salam kepadanya. Nabi Ibrahim menyambut beliau dan mengakui kenabian beliau.

Kemudian beliau Naik ke Sidratul Muntaha, lalu dibawa naik ke Bait Al-Ma’mur.

Kemudian beliau dinaikkan lagi menuju Allah Al-Jabbar. Beliau mendekat kepada-Nya hingga jaraknya tinggal sepanjang dua hujung busur panah atau lebih dekat lagi. Dia mewahyukan kepada hamba-Nya apa yang diwahyukan-Nya serta mewajibkan kepadanya lima puluh waktu solat. Beliau pun kembali untuk pulang hingga melintasi Nabi Musa.

Musa pun bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Apa yang telah diperintahkan kepadamu?” Jawab Nabi, “Lima puluh waktu solat.” Musa membalas, “Umatmu pasti tidak akan mampu melaksanakannya, kembalilah kepada Rabb-mu dan mintalah keringanan untuk umatmu.” Rasulullah pun menoleh kepada Jibril seakan-akan ingin mendapatkan pandangannya. Jibril pun memberi isyarat persetujuan jika memang beliau menginginkannya.

Lalu Jibril pun membawa beliau naik lagi hingga membawanya ke hadapan Allah Al-Jabbar Tabaraka wa Ta’ala dan Dia berada di tempatnya, dan ini adalah lafaz milik Al-Bukhari (dalam Shahih-nya) pada sebahagian periwayatannya. Lalu Allah pun meringankannya sehingga menjadi 10 kali waktu solat.

Kemudian beliau pun kembali turun untuk pulang sampailah melintasi Musa sekali lagi seraya mengkhabarkan hal tersebut. Musa pun berkata kepadanya, “Kembalilah lagi kepada Rabb-mu dan mintalah keringanan.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam masih ragu-ragu antara mengikuti cadangan Musa dan meminta keringanan kepada Allah ‘Azza wa Jalla sehingga akhirnya Dia pun menurunkannya menjadi lima waktu solat sahaja. Musa kemudian memerintahkan beliau agar kembali semua kepada Allah untuk memintakan keringanan lagi.

Lalu jawab Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Aku malu kepada Rabb-ku. Aku telah redha dan menerimanya dengan berserah diri.” Setelah itu beliau pun menjauh, lalu datanglah suara menyeru, “Engkau telah menyetujui kefardhuan-ku dan Aku telah memberikan keringanan untuk para hamba-Ku.”[2] (Tamat nukilan)

Adakah Nabi Melihat Allah?

ثم ذكر ابن القيم خلافًا في رؤيته صلى الله عليه وسلم ربه تبارك وتعالى، ثم ذكر كلامًا لابن تيمية بهذا الصدد، وحاصل البحث أن الرؤية بالعين لم تثبت أصلًا، وهو قول لم يقله أحد من الصحابة. وما نقل عن ابن عباس من رؤيته مطلقًا ورؤيته بالفؤاد فالأول لا ينافي الثاني.

Kemudian Ibnu Al-Qayyim menyentuh tentang perbezaan pandangan berkaitan Rasulullah melihat Allah Tabaraka wa Ta’ala. Beliau mengemukakan ucapan Ibnu Taimiyyah berkaitan perkara ini, yang menyimpulkan bahawa Nabi tidak melihat Allah dengan mata kasar (tetapi yang benar adalah beliau melihatnya dengan hati – pent.).

Pendapat yang mengatakan Nabi melihat Allah dengan mata kasar tidak pernah diucapkan walau oleh seorang sahabat pun. Adapun nukilan yang datang dari Ibnu ‘Abbaas tentang ru’yah beliau (Nabi melihat Allah) adalah secara muthlaq dan juga secara muqayyad (dengan hati). Dan pendapat yang menyatakan melihat secara muthlaq tidak menafikan rinciannya melihat dengan hati.

ثم قال: وأما قوله تعالى في سورة النجم: { ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى } [ النجم: 8 ] فهو غير الدنو الذي في قصة الإسراء، فإن الذي في سورة النجم هو دنو جبريل وتدليه، كما قالت عائشة وابن مسعود، والسياق يدل عليه، وأما الدنو والتدلى في حديث الإسراء فذلك صريح في أنه دنو الرب تبارك وتعالى وتدليه، ولا تعرض في سورة النجم لذلك، بل فيه أنه رآه نزلة أخرى عند سدرة المنتهى. وهذا هو جبريل، رآه محمد صلى الله عليه وسلم على صورته مرتين: مرة في الأرض، ومرة عند سدرة المنتهى، والله أعلم. انتهى.

Ibn Al-Qayyim kemudian menjelaskan berkaitan firman Allah:

ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى

“Kemudian dia mendekat lalu bertambah dekat lagi.” (Surah An-Najm, 53: 8)

Ungkapan “mendekat” di sini bukanlah sebagaimana yang dimaksudkan dalam kisah mi’raj, sebaliknya “mendekat” yang dimaksudkan dalam ayat Surah An-Najm ini adalah “mendekat dan bertambah dekat”nya Jibril sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Aisyah dan Ibnu Mas’oud. Demikianlah yang ditunjukkan oleh konteks ayat tersebut.

Adapun “mendekat dan bertambah dekat” yang terkandung dalam hadis-hadis kisah Isra’ adalah jelas sekali menyatakan “mendekat dan bertambah dekat”nya Rabb Tabaraka wa Ta’ala. Di dalam Surah An-Najm tidak menyentuh tentang perkara tersebut bahkan di sana terdapat penegasan bahawa beliau melihat Jibril dalam rupa aslinya selain dari ketika di Sidratul Muntaha. Itu adalah Jibril yang dilihat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam kewujudan aslinya sebanyak dua kali; yang kali pertamanya ketika di bumi dan yang kedua kalinya ketika di Sidratul Muntaha.[3] Wallaahu a’lam.[4] (Sekian nukilan)

Pemandangan Menakjubkan Sepanjang Isra’ dan Mi’raj

وقد جاء في بعض الطرق أن صدره صلى الله عليه وسلم شق في هذه المرة أيضًا، وقد رأى النبي صلى الله عليه وسلم في هذه الرحلة أمورًا عديدة:

Di dalam sebahagian riwayat disebutkan bahawa peristiwa pembelahan dada beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam turut berlaku.[5] Dalam perjalanan ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat dan mengalami kejadian yang pelbagai:

عرض عليه اللبن والخمر، فاختار اللبن، فقيل: هديت الفطرة أو أصبت الفطرة، أما إنك لو أخذت الخمر غوت أمتك.

1, Beliau ditawarkan dengan susu dan khamr, lalu beliau memilih susu. Kemudian dikatakan kepada beliau, “Engkau telah diberi petunjuk untuk memilih bersesuaian dengan fitrah.” Dalam lafaz yang lain, “Engkau telah bertindak benar bersesuaian dengan fitrah. Andaikata engkau mengambil khamr, tentu umatmu akan tersesat.”

ورأي أربعة أنهار يخرجن من أصل سدرة المنتهى: نهران ظاهران ونهران باطنان، فالظاهران هما: النيل والفرات، عنصرهما. والباطنان: نهران في الجنة. ولعل رؤية النيل والفرات كانت إشارة إلى تمكن الإسلام من هذين القطرين، والله أعلم.

2, Rasulullah melihat empat sungai di Syurga yang berasal dari Sidratul Muntaha; dua sungai kelihatan, manakala dua lagi tersembunyi. Dua sungai yang kelihatan adalah sungai Nil dan Eufrat; unsur keduanya. Manakala yang tersembunyi adalah Sungai di Syurga. Kemungkinan penampakan Nil dan Eufrat yang dimaksudkan adalah isyarat yang menjelaskan risalah beliau akan berkembang di lembah-lembah yang subur di sepanjang Nil dan Eufrat, di mana ianya akan diterima dan disebarkan oleh para penduduknya dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Maka, maknanya bukanlah bermakna air Sungai Nil dan Eufrat itu bersumber dari Syurga. Wallaahu a’lam.

ورأى مالكًا خازن النار، وهو لا يضحك، وليس على وجهه بشر ولا بشاشة، وكذلك رأي الجنة والنار.

3, Beliau melihat malaikat Malik, penjaga Neraka. Dan beliau tidak ketawa sama sekali dan tidak tampak pada wajahnya kegembiraan dan tidak pula keceriaan. Dan beliau juga melihat Syurga dan Neraka.

ورأى أكلة أموال اليتامى ظلمًا لهم مشافر كمشافر الإبل، يقذفون في أفواههم قطعًا من نار كالأفهار، فتخرج من أدبارهم.

4, Beliau melihat seksaan terhadap para pemakan harta-harta anak-anak Yatim secara zalim. Mereka memiliki bibir seperti bibir unta, mulut-mulut mereka dilempar dengan potongan api dari Neraka seperti batu sebesar genggaman tangan, lalu keluar dari dubur-dubur mereka.

ورأى أكلة الربا لهم بطون كبيرة لا يقدرون لأجلها أن يتحولوا عن أماكنهم، ويمر بهم آل فرعون حين يعرضون على النار فيطأونهم.

5, Beliau melihat seksaan terhadap para pemakan riba yang memiliki perut-perut yang buncit yang menyebabkannya tidak mampu berganjak dari tempatnya. Kemudian seluruh pengikut Fir’aun berjalan di atas mereka dengan menginjak-injak mereka tatkala para pengikut Fir’aun itu diheret ke Neraka.

ورأى الزناة بين أيديهم لحم سمين طيب، إلى جنبه لحم غث منتن، يأكلون من الغث المنتن، ويتركون الطيب السمين.

6, Beliau melihat seksaan yang diterima oleh para penzina. Sebelah tangan mereka memegang daging yang gemuk dan segar (baik), sementara tangan yang satu lagi memegang daging yang buruk dan membusuk. Tetapi mereka memakan daging yang buruk dan membusuk, sementara daging yang gemuk dan baik mereka buang.

ورأى النساء اللاتى يدخلن على الرجال من ليس من أولادهم، رآهن معلقات بثديهن.

7, Beliau melihat seksaan terhadap wanita-wanita yang menisbatkan atau menjadikan anak-anak tidak berayah kepada lelaki yang bukan ayahnya. Beliau melihat mereka digantung dengan payudara mereka.

ورأى عيرًا من أهل مكة في الإياب والذهاب، وقد دلهم على بعير نَدَّ لهم، وشرب ماءهم من إناء مغطى وهم نائمون، ثم ترك الإناء مغطى، وقد صار ذلك دليلًا على صدق دعواه في صباح ليلة الإسراء.

8, Beliau melihat satu kumpulan rombogan dari Makkah ketika beliau dalam perjalanan pergi dan ketika perjalanan pulang. Beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sempat menunjukkan kepada mereka tentang arah unta mereka yang melarikan diri dari mereka. Beliau juga meminum air mereka dari bekas yang tertutup sedang mereka dalam keadaan tidur, kemudian beliau meninggalkannya dalam keadaan tertutup. Lalu ini pun menjadi bukti pada keesokan harinya yang membenarkan pengakuan beliau bahawa beliau mengalami isra’ dan mi’raj.

قال ابن القيم:

فلما أصبح رسول الله صلى الله عليه وسلم في قومه أخبرهم بما أراه الله عز وجل من آياته الكبرى، فاشتد تكذيبهم له وأذاهم واستضرارهم عليه، وسألوه أن يصف لهم بيت المقدس، فجلاه الله له، حتى عاينه، فطفق يخبرهم عن آياته، ولا يستطيعون أن يردوا عليه شيئًا، وأخبرهم عن عيرهم في مسراه ورجوعه، وأخبرهم عن وقت قدومها، وأخبرهم عن البعير الذي يقدمها، وكان الأمر كما قال، فلم يزدهم ذلك إلا نفورًا، وأبي الظالمون إلا كفورًا.

Al-Imam Ibn Al-Qayyim menjelaskan:

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kembali kepada kaumnya pada pagi hari, beliau mengkhabarkan kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiyaan, dan kebengisan mereka terhadap Nabi semakin keras. Mereka meminta Nabi untuk menjelaskan ciri-ciri Bait Al-Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Bait Al-Maqdis dengan sangat jelas pada benak Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, seakan-akan beliau melihatnya dengan matanya sendiri.[6]

Nabi pun mengkhabarkan ciri-ciri Bait Al-Maqdis kepada mereka, sehingga mereka tidak mampu berkata apa-apa. Beliau juga mengkhabarkan kepada mereka tentang rombongan dagang yang beliau lihat sewaktu perjalanan pergi dan pulang. Beliau juga mengkhabarkan kepada mereka tentang waktu kedatangan rombongan tersebut serta tentang untanya yang terpisah dari rombongan.

Hakikat fakta ini benar-benar sama dengan apa yang beliau khabarkan. Ternyata, tidaklah bertambah dari mereka melainkan penolakan dan pengingkaran, tidaklah yang disandang oleh orang-orang yang zalim melainkan kekufuran.”

يقال: سُمى أبو بكر رضي الله عنه صديقًا؛ لتصديقه هذه الوقعة حين كذبها الناس .

Ada yang berpendapat bahawa; Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu digelar As-Shiddiq kerana beliau membenarkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj tersebut tatkala manusia mendustakannya.[7]

Hikmah di Balik Peristiwa Isra’ dan Mi’raj

وأوجز وأعظم ما ورد في تعليل هذه الرحلة هو قوله تعالى : { لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا } [ الإسراء : 1 ] وهذه سنة الله في الأنبياء، قال : { وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ } [ الأنعام : 75 ] ، وقال لموسى عليه السلام : { لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى } [ طه : 23 ]

Di antara dalil-dalil yang warid dalam merangkum dengan padat hikmah dan alasan rihlah (perjalanan isra’ dan mi’raj) ini adalah, firman Allah Ta’ala:

“Supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran kami.” (Surah Al-Israa’, 17: 1)

Inilah sunnah Allah yang berlaku atas para Nabi-Nya.

Firman Allah:

“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda pemerintahan Kami di langit dan di bumi agar beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang yakin.” (Surah Al-An’aam, 6: 75)

Dan Allah berfirman kepada Musa ‘alaihis Salam:

“Dan Kami memperlihatkan kepada engkau sebahagian dari tanda-tanda kebesaran kami yang sangat besar.” (Surah Thoha, 20: 23)

وقد بين مقصود هذه الإرادة بقوله: { وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ } فبعد استناد علوم الأنبياء إلى رؤية الآيات يحصل لهم من عين اليقين ما لا يقادر قدره، وليس الخبر كالمعاينة، فيتحملون في سبيل الله ما لا يتحمل غيرهم، وتصير جميع قوات الدنيا عندهم كجناح بعوضة لا يعبأون بها إذا ما تدول عليهم بالمحن والعذاب.

Bahawa merupakan kehendak Allah untuk menjelaskan maksud dari semua ini dengan firman-Nya:

“… agar beliau termasuk dalam kalangan orang-orang yang yakin.”

Yakni setelah pengetahuan (yang dikhabarkan kepada mereka) dihubungkan dengan ru’yah (peglihatan) terhadap tanda-tanda kekuasaan Allah, maka bagi mereka ‘ain al-yaqin (pandangan yang meyakinkan) yang merupakan suatu yang tiada tolok bandingnya, sebagaimana dikatakan bahawa:

“Tidaklah sama suatu berita dengan melihatnya secara langsung.”

Sehingga perkara ini menjadi sebab bagi mereka sanggup menanggung pelbagai risiko dan ranjau apa pun di jalan Allah; dari sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh orang-orang selain mereka, seraya menjadikan seluruh kekuatan duniawi serta-merta menjadi seperti sekadar sebelah sayap nyamuk di sisi mereka. Mereka sama sekali tidak merasakan sakitnya tatkala kekuatan-kekuatan tersebut mendera mereka dengan pelbagai ujian dan kesengsaraan.

والحكم والأسرار التي تكمن وراء جزئيات هذه الرحلة إنما محل بحثها كتب أسرار الشريعة، ولكن هنا حقائق بسيطة تتفجر من ينابيع هذه الرحلة المباركة، وتتدفق إلى حدائق أزهار السيرة النبوية ـ على صاحبها الصلاة والسلام والتحيةـ

Pelbagai hikmah dan rahsia yang tersebunyi di balik perjalanan isra’ dan mi’raj ini. Ia layak dibahaskan di dalam kitab-kitab yang menyingkap rahsia-rahsia syari’at. Namun di sini ada beberapa hakikat sederhana sarat dengan manfaat yang terpancar dari perjalanan penuh barakah ini. Ianya mengalir deras membasahi taman-taman Sirah An-Nabawiyyah.

أرى أن أسجل بعضًا منها بالإيجاز:

Saya memandang perlunya menggoreskan sebahagian darinya secara ringkas:

يرى القارئ في سورة الإسراء أن الله ذكر قصة الإسراء في آية واحدة فقط، ثم أخذ في ذكر فضائح اليهود وجرائمهم، ثم نبههم بأن هذا القرآن يهدى للتى هي أقوم، فربما يظن القارئ أن الآيتين ليس بينهما ارتباط، والأمر ليس كذلك،

Dalam surah Al-Isra’ pembaca dapat mengetahui bahawa Allah mengisahkan tentang sira’ hanya pada satu ayat saja. Setelah itu Allah lebih banyak menyebutkan tentang kelancangan dan kemelampauan orang-orang Yahudi, yang disudahi dengan ayat bahawa Al-Qur’an membimbing manusia ke jalan yang lurus. Sepintas lalu, pembaca mungkin menyangka bahawa antara ayat pertama Surah Al-Isra’ yang menyentuh tentang peristiwa isra’ tidak ada hubung kaitnya dengan ayat-ayat setelahnya, sedang hakikatnya tidaklah demikian.

فإن الله تعالى يشير بهذا الأسلوب إلى أن الإسراء إنما وقع إلى بيت المقدس؛ لأن اليهود سيعزلون عن منصب قيادة الأمة الإنسانية؛ لما ارتكبوا من الجرائم التي لا مجال بعدها لبقائهم على هذا المنصب، وإن الله سينقل هذا المنصب فعلا إلى رسوله صلى الله عليه وسلم ويجمع له مركزى الدعوة الإبراهيمية كليهما،

Sesungguhnya dengan uslub seperti ini, Allah bertujuan memberi isyarat bahawa peristiwa isra’ yang berakhir di Bait Al-Maqdis  itu merupakan petanda bahawa Yahudi akan diturunkan dari kepimpinannya atas umat manusia disebabkan akibat banyaknya kejahatan yang mereka lakukan sehingga tidak ada lagi peluang untuk mereka mempertahankan keududukan tersebut.

Lalu Allah pun memindahkan kedudukan kepimpinan tersebut kepada Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sekaligus menghimpunkan dua markaz dakwah keturunan Nabi Ibrahim (Makkah dan Bait Al-Maqdis) padanya.

فقد آن أوان انتقال القيادة الروحية من أمة إلى أمة؛ من أمة ملأت تاريخها بالغدر والخيانة والإثم والعدوان، إلى أمة تتدفق بالبر والخيرات، ولا يزال رسولها يتمتع بوحى القرآن الذي يهدى للتى هي أقوم.

Masa menggantikan kepimpinan ruhiyyah dari satu ummah kepada satu ummah yang lain itu akhirnya tiba. Maka bergeserlah kepimpinan tersebut dari satu umat yang sejarahnya dipenuhi dengan kecurangan, pengkhianatan, dosa, dan permusuhan kepada umat yang melimpah dengan kebajikan dan kebaikan-kebaikan. Rasul bagi umat yang baik tersebut sentiasa menerima wahyu Al-Qur’an yang memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.

ولكن كيف تنتقل هذه القيادة، والرسول يطوف في جبال مكة مطرودًا بين الناس؟ هذا السؤال يكشف الغطاء عن حقيقة أخرى، وهي أن عهدًا من هذه الدعوة الإسلامية قد أوشك إلى النهاية والتمام، وسيبدأ عهد آخر جديد يختلف عن الأول في مجراه، ولذلك نرى بعض الآيات تشتمل على إنذار سافر ووعيد شديد بالنسبة إلى المشركين

Persoalannya, bagaimanakah proses penggantian kepimpinan ini berlaku, sementara Rasulullah masih berkeliling di sekitar pergunungan Makkah kerana diusir dan diburu oleh manusia? Pertanyaan ini menyingkap penutup sebuah hakikat yang lain, yakni bahawa peringkat dakwah Islam di Makkah hampir sampai pada titik klimaks dan kesempurnaannya, lalu akan mula memasuki fasa baru perjalanannya yang berbeza dengan fasa yang pertama. Oleh kerana itulah kita dapat melihat sebahagian ayat-ayat tersebut yang berisikan peringatan tegas dan ancaman yang keras terhadap orang-orang musyrikin.

(Di antaranya…)

Allah Ta’ala berfirman:

{ وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا (16) وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِنَ الْقُرُونِ مِنْ بَعْدِ نُوحٍ وَكَفَى بِرَبِّكَ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا بَصِيرًا ا } [ الإسراء: 16، 17 ]

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kefasikan padanya, maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya. Dan berapa banyak kaum sesudah Nuh telah Kami binasakan. Dan cukuplah Rabb-mu Yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat dosa hamba-hamba-Nya.” (Surah Al-Israa’, 17: 16-17)

وبجنب هذه الآيات آيات أخرى تبين للمسلمين قواعد الحضارة وبنودها ومبادئها التي يبتنى عليها مجتمعهم الإسلامى، كأنهم قد أووا إلى أرض امتلكوا فيها أمورهم من جميع النواحى، وكونوا وحدة متماسكة تدور عليها رحى المجتمع، ففيه إشارة إلى أن الرسول صلى الله عليه وسلم سيجد ملجأ ومأمنًا يستقر فيه أمره، ويصير مركزًا لبث دعوته في أرجاء الدنيا. هذا سر من أسرار هذه الرحلة المباركة، يتصل ببحثنا فآثرنا ذكره. ولأجل هذه الحكمة وأمثالها نرى أن الإسراء إنما وقع إما قبيل بيعة العقبة الأولى أو بين العقبتين، والله أعلم .

Selain ayat-ayat ini, terdapat juga ayat-ayat yang lain di Surah Al-Isra’ yang menjelaskan asas kaedah, binaan dan prinsip sesebuah peradaban kepada kaum Muslimin. Atas asas itulah kemudian terbinanya tatanan kemasyarakatan yang islami. Seakan-akan mereka telah turun ke bumi untuk mengendalikan urusan-urusan mereka dari pelbagai aspek, lalu membentuk suatu rangkaian yang mapan yang menjadi denyut nadi bagi kehidupan masyarakat.

Oleh itu, peristiwa isra’ mengandungi isyarat bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam akan menemui tempat berlindung dan tempat yang selamat untuk mengukuhkan kedudukan urusannya (dakwahnya) di sana, lalu ia menjadi pusat penyebaran dakwahnya ke seluruh dunia.

Inilah salah satu dari sekian banyak rahsia perjalanan yang penuh keberkahan ini, yang memiliki kaitan dengan apa yang kami sentuh di sini. Inilah yang menjadikan kami mengupasnya. Atas dasar hikmah-hikmah tersebut dan hikmah-hikmah yang semisalnya, maka kami berpendapat bahawa peristiwa isra’ ini terjadi pada salah satu dari dua masa; (yakni) sama ada sebelum Bait Al-‘Aqabah yang pertama, atau terjadi di antara dua Bait Al-‘Aqabah tersebut. Wallaahu a’lam.


 

[1] Shahih Muslim, no. 172.

[2] Zaad Al-Ma’ad, 2/47-48. Shahih Al-Bukhari, no. 3207, 3239, 3887, 4709, 6581. Shahih Muslim, no. 162, 163, 164 173. Sunan At-Tirmidzi, no. 3130. Tafsir Ibnu Katsir, Surah Al-Isra’, 17: 1.

[3] ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha pernah ditanya, lalu beliau berkata sebagaimana pada hadis Masruq rahimahullah:

ثَلَاثٌ مَنْ تَكَلَّمَ بِوَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللهِ الْفِرْيَةَ

“Tiga perkara yang sesiapa mengatakan salah satu darinya, maka benar-benar dia telah berdusta besar atas Allah.” Di antaranya beliau sebutkan:

مَنْ زَعَمَ أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى رَبَّهُ فَقَدْ أَعْظَمَ عَلَى اللهِ الْفِرْيَةَ

“Sesiapa yang mengatakan bahawa sesungguhnya Muhammad telah melihat Rabb-nya, maka benar-benar dia telah berdusta besar atas Allah.”

Maka berkata Masruq rahimahullah:

“Sebentar, jangan tergesa-gesa wahai Ummul Mu’miniin, bukankah Allah ‘Azza wa Jalla telah mengatakan:

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى

“Tidaklah hati mendustakan apa yang telah dilihatnya.” (Surah An-Najm, 53: 11)

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَى

“Dan sungguh ia telah melihatnya turun pada waktu yang lain.” (Surah An-Najm, 53: 13)

Kemudian ‘Aisyah pun berkata kepadanya:

أَنَا أَوَّلُ هَذِهِ الْأُمَّةِ سَأَلَ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Aku adalah orang pertama dari umat ini yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tentang hal ini.” Lalu ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata:

إِنَّمَا هُوَ جِبْرِيلُ، لَمْ أَرَهُ عَلَى صُورَتِهِ الَّتِي خُلِقَ عَلَيْهَا غَيْرَ هَاتَيْنِ الْمَرَّتَيْنِ، رَأَيْتُهُ مُنْهَبِطًا مِنَ السَّمَاءِ سَادًّا عِظَمُ خَلْقِهِ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ

“Itu adalah Jibril yang dilihat oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana dikatakan oleh beliau bahawa telah melihatnya sebanyak dua kali dalam bentuk (asli)nya yang diciptakan oleh Allah. Beliau melihatnya turun dari langit, menutupi antara langit dan bumi.” (Shahih Muslim, no. 177)

[4] Zaad Al-Ma’ad, 2/47-48.

[5] Shahih Al-Bukhari, 3207. Shahih Muslim, no. 162, 163.

[6] Musnad Ahmad, no. 2680, 3365. Shahih Al-Bukhari, no. 3886, 4710. Shahih Muslim, no. 172.

[7] Mushannaf ‘Abdurrazzaq, no. 9719. Al-Mustadrak, no. 4407. Silsilah Al-Ahaadits Ash-Shahihah oleh Al-Albani, 1/306.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest