Limpahan Kebaikan Dengan Membantu Penuntut Ilmu Agama

www.ilmusunnah.com

Termasuk sebab-sebab dipermudahkan rezeki oleh Allah Ta’ala adalah dengan membantu para penuntut ilmu agama untuk tetap fokus dalam pengajiannya.ilmu_dan_nafkah

Dari hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ أَخَوَانِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يَأْتِي النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْآخَرُ يَحْتَرِفُ، فَشَكَا المُحْتَرِفُ أَخَاهُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: لَعَلَّكَ تُرْزَقُ بِهِ

“Dahulu ada dua orang adik-beradik di masa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Salah seorang dari keduanya selalu mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (untuk menuntut ilmu agama), dan salah seorangnya lagi sibuk bekerja (untuk menafkahi keperluan mereka). Maka lelaki yang bekerja ini pun mengadukan perihal saudaranya (yang tidak membantunya bekerja, tetapi sibuk menuntut ilmu) kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Nabi pun bersabda:

“Boleh jadi engkau diberikan rezeki (oleh Allah) dengan sebab saudaramu itu.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2345. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dalam hadis ini kita dapat melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan kepada orang yang mengadu kepadanya tentang kesibukan saudaranya dalam menuntut ilmu agama sehingga membiarkan dirinya sendirian mencari nafkah; bahawa dia tidak seharusnya mengungkit-ngungkit nafkahnya kepada saudaranya dengan anggapan seolah-olah rezeki itu datang daripadanya dengan sebab pekerjaannya. Padahal boleh jadi Allah melimpahkan rezeki kepadanya dengan sebab perbuatannya (amalannya) membantu saudaranya dalam menuntut ilmu syar’i.

Dari hadis ini juga memberi pelajaran kepada kita, boleh jadi rezeki yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada kita saat ini adalah dengan sebab amalan orang lain, atau dengan sebab amalan kita dalam membantu memudahkan urusan orang lain. Atau boleh jadi, pada rezeki yang Allah kurniakan atas kita tersebut ada bahagian untuk orang lain. Atau lebih tepat, rezeki yang diberikan kepada kita tersebut adalah merupakan ujian atas kita, bagaimana kita mensyukurinya.

Jadi, hendaklah kita selalu beringat dan memperbanyakkan memanjatkan syukur kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala serta tidak beranggapan seolah-olah kejayaan, rezeki, atau kedudukan yang kita raih saat ini adalah dengan sebab semata-mata kerana usaha dan kepandaian kita, sedangkan ianya termasuk kurniaan dari Allah buat kita.

Dari kebiasaan ucapan orang-orang yang sombong dan kufur adalah menyandarkan nikmat-nikmat semata-mata pada usaha dan diri mereka sendiri. Sebaliknya orang-orang yang beriman, dia akan menyandarkan setiap nikmat dan kelebihan yang ada pada dirinya adalah semata-mata kurniaan dari Allah yang mewajibkan dia untuk bersyukur.

Sebagaimana ucapan Fir’aun dan para pengikutnya (sebagaimana yang dipaparkan oleh Allah):

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ

“Kemudian apabila datang kepada mereka kemakmuran, mereka berkata: “Itu adalah kerana (usaha) kami.”.” (Surah Al-A’raaf, 7: 131)

Juga sebagaimana kata-kata Qaarun (sebagaimana yang dipaparkan oleh Allah):

إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي

“Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku.” (Surah Al-Qashash, 28: 78)

Sebaliknya, contoh ucapan orang-orang yang bersyukur, sebagaima apa yang diucapkan oleh Nabi Sulaiman (sebagaimana dipaparkan oleh Allah):

هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ

“Ini termasuk kurniaan Rabb-ku untuk menguji aku adakah aku bersyukur atau kufur (akan nikmat-Nya).” (Surah An-Naml, 27: 40)

Sikap Penuntut Ilmu Agama

Seorang penuntut ilmu agama dibolehkan untuk fokus kepada pengajiannya dengan syarat dia tidak sampai menjadi seorang peminta-minta hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan hidupnya. Tetapi dia harus bijaksana dalam menguruskan diri antara memenuhi keperluan nafkah penghidupan dan memberi tumpuan dalam menuntut ilmu-ilmu syar’i.syarah_riyadhus_shalihin_syaikh_utsaimin_2

Para penuntut ilmu syar’i atau orang-orang yang sentiasa berdakwah di jalan Allah bukanlah dari kalangan orang-orang yang suka meminta-minta walaupun dalam keadaan kekurangan atau kefaqiran. Tetapi dia harus punya wibawa atau haibah dalam membawa agama dan menjadi contoh kepada kaum muslimin yang lainnya.

Namun, perlu kita fahami bahawa mungkin adakalanya bukanlah disebabkan mereka tidak ingin atau tidak mampu untuk mencari hidup yang berkecukupan dan berharta, tetapi komitmen dan kesibukan mereka dalam menuntut ilmu serta mengajarkannya lebih mereka utamakan (dan sangat diperlukan) sehingga menghalangi mereka untuk urusan harta (atau nafkah).

Atas sebab itulah Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada kita agar membantu orang-orang yang faqir yang sedang di jalan Allah (termasuk kalangan penuntut ilmu agama atau ilmu-ilmu syar’i).

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

لِلْفُقَرَاء الَّذِينَ أُحصِرُواْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لاَ يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأَرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاء مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُم بِسِيمَاهُمْ لاَ يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنفِقُواْ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

“(Berinfaqlah) kepada orang-orang faqir yang terikat di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang-orang yang tidak tahu menyangka mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka memelihara diri dari meminta-minta. Kalian mengenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta-minta kepada manusia secara memaksa. Dan apa jua harta yang baik yang kalian infaqkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 273)

Di ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kalian dalam berbuat baik dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan kemelampauan. Dan bertaqwalah kalian kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (Surah Al-Maidah, 5: 2)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

فَهَذَا إمَّا أَنْ يَكُونَ عَاجِزًا عَنْ الْكَسْبِ أَوْ قَادِرًا عَلَيْهِ بِتَفْوِيتِ مَا هُوَ فِيهِ أَطْوَعُ لِلَّهِ مِنْ الْكَسْبِ فَفِعْلُ مَا هُوَ فِيهِ أَطْوَعُ هُوَ الْمَشْرُوعُ فِي حَقِّهِ

“Orang yang faqir ini boleh jadi kerana dia tidak mampu bekerja, atau dia mampu namun dia terpaksa meninggalkan suatu amalan kepada amalan yang lebih taat (mendekatkan) kepada Allah dari bekerja, maka melakukan amalan yang lebih taat (mendekatkan diri) kepada Allah adalah lebih disyari’atkan baginya.” (Majmu’ Al-Fatawa, 10/427)

Dari hadis Zayd bin Khalid Al-Juhani radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ فَقَدْ غَزَا، وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ بِخَيْرٍ فَقَدْ غَزَا

“Siapa yang membantu melengkapi keperluan orang yang berjihad di jalan Allah maka sesungguhnya dia juga telah ikut berjihad, dan siapa yang membantu keluarga seorang yang berjihad di jalan Allah dengan suatu kebaikan maka dia juga telah ikut berjihad.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2843. Muslim, no. 1895)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

ويؤخذ من هذا أن كل من أعان شخصا في طاعة الله فله مثل أجره فإذا أعنت طالب علم في شراء الكتب له أو تأمين السكن أو النفقة أو ما أشبه ذلك فإن لك أجرا أي مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيئا وهكذا أيضا لو أعنت مصليا على تسهيل مهمته في صلاته في مكانه وثيابه أو في وضوئه أو في أي شيء فإنه يكتب لك في ذلك أجر فالقاعدة العامة أن من أعان شخصا في طاعة من طاعة الله كان له مثل أجره من غير أن ينقص من أجره شيئا

“Faedah yang dapat diambil dari hadis ini, bahawasannya setiap orang yang membantu orang lain dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah; maka dia juga akan mendapatkan pahala yang sama dengan orang yang ditolongnya.

Jika engkau membantu seorang penuntut ilmu dalam membeli buku-buku baginya, atau membantu menyediakan tempat tinggal baginya, atau menginfaqkan harta kepadanya, atau yang semisal dengannya, maka engkau akan mendapatkan pahala seperti penuntut ilmu tersebut tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.

Demikian juga jika engkau membantu seseorang yang melaksanakan solat agar dia mudah melaksanakan solat, sama ada tempat solatnya, pakaiannya, air wudhu’nya dan apa jua yang dapat memudahkannya untuk mendirikan solat, maka engkau akan mendapatkan pahala seperti pahalanya.

Ini adalah kaedah umum; siapa yang membantu orang lain untuk melakukan suatu ketaatan kepada Allah, maka dia akan mendapatkan pahala sebagaimana pahala orang yang melakukan ketaatan tersebut tanpa mengurangi pahalanya sedikitpun.” (Syarhu Riyadhis Shalihin, 2/375)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest