Makanlah dengan tangan kanan dan Selisihilah Cara Makan Syaitan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Perintah Agar Makan Dengan Tangan Kanan

Dari hadis Ibn ‘Umar, Rasulullah Shallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:poster_makan_tangan_kanan

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَأْكُلْ بِيَمِينِهِ، وَإِذَا شَرِبَ فَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ، وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ

“Jika salah seorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (Shahih Muslim, no. 2020. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)

Dalam riwayat Ibnu Majah, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لِيَأْكُلْ أَحَدُكُمْ بِيَمِينِهِ وَلْيَشْرَبْ بِيَمِينِهِ وَلْيَأْخُذْ بِيَمِينِهِ وَلْيُعْطِ بِيَمِينِهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْكُلُ بِشِمَالِهِ وَيَشْرَبُ بِشِمَالِهِ وَيُعْطِي بِشِمَالِهِ وَيَأْخُذُ بِشِمَالِهِ

“Makanlah kalian dengan tangan kanannya, minum dengan tangan kanannya, mengambil dengan tangan kanannya, dan memberi dengan tangan kanannya. Kerana sesungguhnya Syaitan itu makan dengan tangan kirinya, minum dengan tangan kirinya, memberi dengan tangan kirinya, dan mengambil dengan tangan kirinya.” (Sunan Ibnu Majah, no. 3266. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dua hadis ini menunjukkan perintah agar apabila makan dan minum, hendaklah dengan tangan kanan, sekaligus menjelaskan larangan dan pengharaman makan dengan tangan kiri, melainkan sekiranya memiliki udzur seperti sakit, lumpuh, atau tidak memiliki tangan kanan. Kerana asal dari kata perintah itu menunjukkan wajib, manakala kata larangan menunjukkan pengharaman melainkan terdapat dalil lain yang memalingkan dari hukum asal tersebut. (lihat: Fathul Bari oleh Ibn Hajar, 9/522)

Hadis ini juga menunjukkan larangan tasyabbuh (menyerupai) pada cara makan syaitan, di mana syaitan apabila makan atau minum, maka mereka makan dan minum dengan tangan kiri.

Selain itu, hadis ini juga turut mengkhabarkan tentang sebahagian dari sifat-sifat Syaitan. Iaitu syaitan itu memiliki tangan dan memiliki sifat makan, di mana apabila ia makan, maka ia makan dengan tangan kirinya. Kemudian, disunnahkan kepada kita agar menyelisihi perangai syaitan tersebut.

Tidak Sombong Untuk Makan Dengan Tangan Kanan

Dalam Shahih Muslim disebutkan sebuah hadis dari Salamah bin Al-Akwa’, beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا أَكَلَ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِمَالِهِ، فَقَالَ: كُلْ بِيَمِينِكَ، قَالَ: لَا أَسْتَطِيعُ، قَالَ: لَا اسْتَطَعْتَ، مَا مَنَعَهُ إِلَّا الْكِبْرُ، قَالَ: فَمَا رَفَعَهَا إِلَى فِيهِ

“Bahawasanya ada seorang lelaki makan dengan tangan kirinya di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka Rasulullah pun bersabda, “Makanlah dengan tangan kanan-mu.”

Lelaki itu pun berkata, “Aku tidak mampu.” Kata Rasulullah lagi, “Engkau tidak mampu?” (Hakikatnya) tidaklah dia menolaknya melainkan kerana sombong. (kata perawi): Maka setelah itu, dia pun benar-benar tidak mampu menyuap makanan (dengan tangan kanannya) sampai ke mulutnya.” (Shahih Muslim, no. 2021. Bab: Adab Makan dan Minum serta Hukum-hakamnya)

Disunnahkan Mendidik dan Mengajarkan Adab Makan Kepada Yang Belum Mengetahui, khasnya Kepada Anak Kecil

Daripada ‘Umar bin Abi Salamah, beliau berkata, “Ketika aku masih kecil berada di bawah jagaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tanganku ke sana ke mari di ketika makan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَا غُلَامُ، سَمِّ اللهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ

“Wahai Ghulam (yakni anak kecil, atau anak muda), sebutlah nama Allah (membaca bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah makanan yang dekat denganmu.” Maka begitulah cara (adab) aku makan setelah itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5376. Muslim, no. 2022)

Hadis ini menunjukkan disunnahkan agar mengambil makanan yang paling hampir dengan tempat duduk kita, tidak berebut makanan, tidak sehingga berlaga tangan, tidak menyibukkan diri untuk mengambil makanan yang jauh, disunnahkan agar menyebut nama Allah (yakni membaca bismillah) ketika hendak makan, dan disunnahkan agar makan dengan tangan kanan. Tetapi dibolehkan sekiranya kita meminta tolong orang lain agar mengambilkan makanan yang jauh untuk kita sebagaimana dalam hadis yang lain.

Hadis ini bersama hadis-hadis yang telah disebutkan sebelumnya turut menunjukkan kepada kita bagaimana mendidik anak-anak dan pentingnya menjelaskannya kepada mereka yang belum mengetahui tentang adab-adab makan.

Rujukan,

Untuk bacaan lanjut, bacalah Syarh Shahih Muslim oleh Al-Imam An-Nawawi dan Fathul Bari Syarh Shahih Al-Bukhari oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahumullaah.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest