Merenungi Binaan Masjid di Zaman Rasulullah, Bersyukurkah Kita?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Tulisan ini adalah bertujuan memaparkan sebahagian dari hadis-hadis yang menggambarkan keadaan binaan masjid Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Yang pertama,

Dari Naafi’, dari ‘Abdullah bin ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau mengkhabarkan:solat_jamaah_lebih_40_hari

أَنَّ المَسْجِدَ كَانَ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَبْنِيًّا بِاللَّبِنِ، وَسَقْفُهُ الجَرِيدُ، وَعُمُدُهُ خَشَبُ النَّخْلِ، فَلَمْ يَزِدْ فِيهِ أَبُو بَكْرٍ شَيْئًا، وَزَادَ فِيهِ عُمَرُ: وَبَنَاهُ عَلَى بُنْيَانِهِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّبِنِ وَالجَرِيدِ وَأَعَادَ عُمُدَهُ خَشَبًا، ثُمَّ غَيَّرَهُ عُثْمَانُ فَزَادَ فِيهِ زِيَادَةً كَثِيرَةً: وَبَنَى جِدَارَهُ بِالحِجَارَةِ المَنْقُوشَةِ، وَالقَصَّةِ وَجَعَلَ عُمُدَهُ مِنْ حِجَارَةٍ مَنْقُوشَةٍ وَسَقَفَهُ بِالسَّاجِ

“Bahawa masjid di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam terbina dari bata, atapnya dari pelepah (atau dedaunan) kurma, dan tiangnya dari batang kurma. Ketika zaman pemerintahan Abu Bakr, beliau tidak menambah padanya suatu apa pun. Kemudian di zaman ‘Umar beliau memperbesarkannya  tetapi tetap mengekalkan asas binaannya sebagaimana binaan di masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan bata, pelepah kurma, tetapi mengubah tiangnya dengan kayu. Kemudian di zaman pemerintahan ‘Utsman, beliau menambah padanya dengan tambahan yang banyak. Beliau membina dengan dinding batu yang dibentuk dan menjadikan tiangnya dari batu, manakala atapnya dari kayu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 446)

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) menyebutkan di kitab Shahihnya:

وَقَالَ أَبُو سَعِيدٍ: «كَانَ سَقْفُ المَسْجِدِ مِنْ جَرِيدِ النَّخْلِ» وَأَمَرَ عُمَرُ بِبِنَاءِ المَسْجِدِ وَقَالَ: «أَكِنَّ النَّاسَ مِنَ المَطَرِ، وَإِيَّاكَ أَنْ تُحَمِّرَ أَوْ تُصَفِّرَ فَتَفْتِنَ النَّاسَ» وَقَالَ أَنَسٌ: «يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ثُمَّ لاَ يَعْمُرُونَهَا إِلَّا قَلِيلًا» وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: «لَتُزَخْرِفُنَّهَا كَمَا زَخْرَفَتِ اليَهُودُ وَالنَّصَارَى»

Abu Sa’iid berkata, “Bahawa atap masjid terbina dari pelepah kurma, dan ‘Umar memerintahkan membina masjid lalu berkata:

“Lindungilah manusia dari hujan, dan hindarilah dari mewarnakannya dengan warna merah atau kuning, kerana ia dapat menimbulkan fitnah di kalangan manusia.”

Anas berkata, “Mereka (manusia) saling membanggakan masjidnya, tetapi tidak meramaikannya kecuali hanya sedikit.”

Dan Ibnu ‘Abbaas berkata, “Benar-benar kalian nanti akan menghiasi masjid sebagaimana orang Yahudi dan Nashara menghiasi tempat-tempat ibadah mereka.” (Shahih Al-Bukhari, 1/96)

Di hadis yang lain,

Di Shahih Muslim, dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الَّتِي فِي وَسَطِ الشَّهْرِ، فَإِذَا كَانَ مِنْ حِينِ تَمْضِي عِشْرُونَ لَيْلَةً، وَيَسْتَقْبِلُ إِحْدَى وَعِشْرِينَ يَرْجِعُ إِلَى مَسْكَنِهِ، وَرَجَعَ مَنْ كَانَ يُجَاوِرُ مَعَهُ، ثُمَّ إِنَّهُ أَقَامَ فِي شَهْرٍ، جَاوَرَ فِيهِ تِلْكَ اللَّيْلَةَ الَّتِي كَانَ يَرْجِعُ فِيهَا، فَخَطَبَ النَّاسَ، فَأَمَرَهُمْ بِمَا شَاءَ اللهُ، ثُمَّ قَالَ: «إِنِّي كُنْتُ أُجَاوِرُ هَذِهِ الْعَشْرَ، ثُمَّ بَدَا لِي أَنْ أُجَاوِرَ هَذِهِ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ، فَمَنْ كَانَ اعْتَكَفَ مَعِي فَلْيَبِتْ فِي مُعْتَكَفِهِ، وَقَدْ رَأَيْتُ هَذِهِ اللَّيْلَةَ فَأُنْسِيتُهَا، فَالْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ، فِي كُلِّ وِتْرٍ، وَقَدْ رَأَيْتُنِي أَسْجُدُ فِي مَاءٍ وَطِينٍ» قَالَ أَبُو سَعِيدٍ الْخُدْرِيُّ: مُطِرْنَا لَيْلَةَ إِحْدَى وَعِشْرِينَ، فَوَكَفَ الْمَسْجِدُ فِي مُصَلَّى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ وَقَدِ انْصَرَفَ مِنْ صَلَاةِ الصُّبْحِ، وَوَجْهُهُ مُبْتَلٌّ طِينًا وَمَاءً

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam biasa beri’tikaf di pertengahan bulan (Ramadhan), lalu apabila telah berlalu malam yang kedua puluh dan memasuki malam kedua puluh satu, maka beliau pun pulang ke tempat tinggalnya (rumahnya), dan orang-orang lainnya yang turut i’tikaf bersama-sama beliau pun ikut pulang juga.MAsjid_pagi

Kemudian di tahun berikutnya di bulan Ramadhan, beliau melakukan i’tikaf bertepatan dengan malam di mana beliau pulang ke tempat tinggalnya di tahun sebelumnya. Maka beliau pun berkhuthbah (memberikan penerangan dan penjelasan) di hadapan orang ramai seraya memerintahkan mereka bersesuaian dengan apa yang dikehendaki Allah. Lalu beliau pun bersabda:

“Sesungguhnya dulu aku beri’tikaf pada sepuluh hari ini, kemudian perkaranya telah menjadi jelas bagiku untuk beri’tikaf pada sepuluh malam yang terakhir. Siapa yang hendak beri’tikaf bersamaku maka hendaklah dia bermalam di tempat i’tikafnya. Sesungguhnya benar-benar aku telah bermimpi melihat malam ini tetapi kemudian aku dilupakan, oleh kerana itu, carilah ia (malam Al-Qadr) di sepuluh malam terakhir, di setiap malam yang ganjil. Benar-benar aku telah bermimpi melakukan sujud di atas air dan tanah (tatkala datangnya malam Al-Qadr).”

Abu Sa’id Al-Khudri berkata, “Lalu turunlah hujan kepada kami pada malam kedua puluh satu, sehingga aliran airnya membasahi tempat solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kemudian aku pun melihat beliau ketika selesai melaksanakan solat Subuh di mana wajah beliau basah dipenuhi dengan tanah dan air (sebagaimana diisyaratkan oleh Rasulullah dalam khuthbahnya).” (Shahih Muslim, no. 1167)

Dari hadis ini kita mendapat gambaran bagaimana keadaan masjid Nabi tatkala terjadinya hujan lebat, yakni masjid beliau ditembusi oleh air hujan sehingga membasahi orang-orang yang sedang bersolat di dalamnya. Lantai-lantainya yang terbina dari tanah menjadi becak sehingga menjadikan dahi-dahi yang bersujud padanya terkotori dengan tanah. Namun hal ini tidak menghalang mereka dari terus beri’tikaf dan melaksanakan solat pada ketika itu.

Disebutkan juga pada riwayat yang lain,

Juga dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu di Shahih Al-Bukhari, beliau menjelaskan:

جَاءَتْ سَحَابَةٌ، فَمَطَرَتْ حَتَّى سَالَ السَّقْفُ، وَكَانَ مِنْ جَرِيدِ النَّخْلِ، فَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَرَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْجُدُ فِي المَاءِ وَالطِّينِ، حَتَّى رَأَيْتُ أَثَرَ الطِّينِ فِي جَبْهَتِهِ

“Awan telah datang lalu hujan turun dengan sangat lebat sehingga atap (bumbung) masjid ditembusi air hujan dan pada waktu itu atap masih terbuat dari pelepah kurma. Tetapi solat tetap juga dilaksanakan dan aku melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersujud di atas tanah berlumpur sampai-sampai aku melihat bekas lumpur melekat di dahi beliau.” (Shahih Al-Bukhari, no. 669)

Dan juga sebagaimana dalam hadis dari ‘Abdullah bin Unais radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا وَأَرَانِيْ صُبْحَهَا أَسْجُدُ فِيْ مَاءٍ وَطِينٍ

“Telah diperlihatkan kepadaku lailatul qadr, kemudian aku dibuat lupa terhadapnya, dan aku melihat bahawa diriku sujud di atas air dan tanah di pagi hari.”

‘Abdullah bin Unais radhiyallahu ‘anhu berkata:

فَمُطِرْنَا لَيْلَةَ ثَلَاثٍ وَعِشْرِينَ، فَصَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَانْصَرَفَ وَإِنَّ أَثَرَ الْمَاءِ وَالطِّينِ عَلَى جَبْهَتِهِ وَأَنْفِهِ

Kami kehujanan pada malam kedua puluh tiga, lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan solat mengimami kami, kemudian beliau berlalu pergi sementara bekas air dan tanah berada pada dahi dan hidung beliau.” (Shahih Muslim, no. 1168)

Kemudian di hadis yang lain,

Dari hadis Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِأَصْحَابِهِ إِذْ خَلَعَ نَعْلَيْهِ فَوَضَعَهُمَا عَنْ يَسَارِهِ، فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ الْقَوْمُ أَلْقَوْا نِعَالَهُمْ، فَلَمَّا قَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ، قَالَ: «مَا حَمَلَكُمْ عَلَى إِلْقَاءِ نِعَالِكُمْ»، قَالُوا: رَأَيْنَاكَ أَلْقَيْتَ نَعْلَيْكَ فَأَلْقَيْنَا نِعَالَنَا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ فِيهِمَا قَذَرًا – أَوْ قَالَ: أَذًى – ” وَقَالَ: ” إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ: فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

“Ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengerjakan solat bersama para sahabatnya, tiba tiba beliau menanggalkan kedua kasutnya lalu meletakkannya di sebelah kirinya. Apabila para sahabat melihat tindakan beliau tersebut, mereka pun ikut menanggalkan kasut-kasut mereka. Maka ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam selesai dari solat, beliau pun bersabda:

“Apakah sebab yang membuat kalian menanggalkan kasut-kasut kalian?”

Mereka jawab:

“Kami melihat engkau melakukannya, maka kami pun mengikuti dengan menanggalkan kasut-kasut kami.”

Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

“Sesungguhnya Jibril Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah datang kepadaku, lalu mengkhabarkan kepadaku bahawa pada sepasang kasutku ada najis (atau kotoran).” Kemudian beliau bersabda lagi:

“Apabila salah seorang di antara kalian datang ke masjid, maka perhatikanlah, jika dia melihat di sepasang kasutnya terdapat najis atau kotoran maka bersihkanlah, dan solatlah dengan sepasang sandalnya itu.” (Sunan Abi Dawud, no. 650. Bab: Solat Dengan Berkasut)

Ini kerana lantai masjid Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pada ketika itu adalah terbina dari tanah atau pasir, maka termasuk sunnah adalah bersolat dengan mengenakan kasut dalam keadaan tersebut.

Di hadis yang lain lagi, dari hadis Hamzah bin ‘Abdillah daripada ayahnya, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

“Bahawa pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam anjing-anjing selalu kencing dan mundar-mandir (keluar masuk) di masjid, namun para sahabat tidak merenjiskan sesuatu apapun pada tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 174)

Faedah dan Renungan

1, Dari hadis-hadis ini menjelaskan tentang keadaan dan gambaran binaan masjid di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang cukup sederhana, di mana atapnya dibina dengan pelepah (atau dedaunan) pohon kurma, tiangnya dengan batang kurma, manakala lantainya hanya beralaskan tanah sehingga disebutkan dalam hadis anjing-anjing pun boleh memasukinya tanpa ada kerisauan padanya.

2, Hal ini lebih dijelaskan lagi bila hujan turun ke atas mereka, hujan pun membasahi mereka dan menjadikan keadaan masjid becak dan berair sehingga dinyatakan bahawa mereka sujud di atas air dan tanah tersebut.

3, Dari hadis-hadis ini menjelaskan betapa sederhananya keadaan masjid di zaman Nabi dan para sahabat serta tegahan dari berlebih-lebihan dalam membinanya, mempercantikannya, dan menghiasinya dengan hal-hal yang tidak diperintahkan atau yang tidak diperlukan. Tetapi yang harus ditekankan adalah pada menghidupkannya seiring dengan amalan-amalan yang disunnahkan. Ini dapat dilihat pada semangat para sahabat dalam beri’tikaf di malam hari dan bersolat di dalamnya.

Walaupun demikian keadaannya, itu sama-sekali tidak menjadikan mereka berkeluh-kesah, patah semangat, atau kelam-kabut, berbanding jika hal tersebut terjadi pada masjid-masjid kita hari ini, bagaimana agaknya?

4, Sesuatu yang dapat kita renungi dan insafi adalah, masjid pada ketika itu hanya dibina dengan dinding batu-bata (tanah), bertiangkan batang kurma, berlantaikan pasir (tanah), dan beratapkan pelepah atau dedaunan kurma. Tetapi syi’ar-syi’ar Islam begitu terserlah, dakwah Islam subur, dan agama Islam tersebar luas melalui institusi masjid. Allah Ta’ala sentiasa memberikan kemenangan kepada mereka, memberikan mereka kesatuan, dan memberikan kepada mereka wibawa yang menggerunkan orang-orang kafir.

5, Berbeza dengan keadaan kaum muslimin pada hari ini, umat Islam berlumba-lumba membina masjid, menghiasnya, dan membelanjakan harta yang banyak untuk itu. Masjidnya besar, tinggi-tinggi, dilengkapi dengan kemudahan yang canggih-canggih dan lantainya bertatah marmar dilapik sejadah empuk. Sampai-sampai disebabkan banyaknya harta berharga di dalamnya, maka masjid-masjid pun sering berkunci serta tidak mesra kepada orang ramai.

Dan lebih disayangkan, walaupun masjid-masjid kita tersergam demikian besar dan indah, kita hari ini sering diliputi dengan pelbagai kelemahan, perpecahan, dan adakalanya masjid yang tersergam itu tampak sunyi dan sepi dari amalan-amalan yang disunnahkan. Wallaahul musta’aan.

6, Sepatutnya, dalam keadaan masjid-masjid kita hari ini yang begitu indah dan selesa, ia lebih memotivasikan kita untuk mendekati dan mencintai masjid sehingga membuatkan kita tidak punya alasan untuk tidak ke masjid. Dan itu termasuk dalam rangka mensyukuri sebahagian dari nikmat-nikmat.

7, Apa yang harus diketahui dan difahami dalam pembinaan masjid adalah membinanya kerana mengharapkan wajah Allah, yang dengan masjid tersebut dapat menghidupkan syi’ar-syi’ar Islam, menegakkan sunnah-sunnah di masjid-masjid, mengimarahkan majlis-majlis ilmu yang syar’i, menjadi medan dakwah menyebarkan Islam, menjadi tempat berkumpul dan mengukuhkan perpaduan, menghidupkan solat jama’ah padanya, memotivasikan masyarakat untuk mencintai dan solat jama’ah padanya, menjaga adab-adab terhadap masjid, dan yang lainnya.

Dari ‘Utsman bin ‘Affan, beliau berkata, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ مِثْلَهُ

“Siapa yang membina masjid kerana Allah, maka Allah akan membinakan yang semisalnya untuknya di Syurga.” (Shahih Al-Bukhari, no. 450. Muslim, no. 533)

Di hadis yang lain dari Jabir bin ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ كَمَفْحَصِ قَطَاةٍ أَوْ أَصْغَرَ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِى الْجَنَّةِ

“Siapa yang membina masjid kerana Allah walaupun hanya seukuran lubang tempat burung bertelur atau lebih kecil dari itu, maka Allah akan binakan baginya (rumah) di Syurga.” (Sunan Ibnu Majah, no. 738. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1292)

Di hadis yang lain dari Anas radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِى الْمَسَاجِدِ

“Tidaklah akan terjadi Kiamat sampailah manusia berbangga-bangga dalam membina masjid.” (Sunan Abi Dawud, no. 449. Ibnu Majah, no. 739. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 1323)

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest