Murah Rezeki Dengan Berbuat Baik Kepada Orang-orang Miskin dan Lemah

www.ilmusunnah.commelancarkan rezeki

Termasuk di antara kunci-kunci rezeki adalah berbuat baik kepada orang-orang miskin. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjelaskan bahawa para hamba itu ditolong dan diberi rezeki kerana orang-orang yang lemah di antara mereka.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullah (Wafat: 256H) meriwayatkan dari Mush’ab bin Sa’d rahimahullah, beliau beranggapan bahawa Sa’d radhiyallahu ‘anhu memiliki kelebihan berbanding orang lain. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersabda:

هَلْ تُنْصَرُونَ وَتُرْزَقُونَ إِلَّا بِضُعَفَائِكُمْ

“Bukankah kalian ditolong (dimenangkan) dan diberi rezeki disebabkan orang-orang lemah dalam kalangan kalian.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2896)

Atas sebab itulah, siapa yang suka dan ingin ditolong oleh Allah dan diberikan rezeki oleh-Nya, maka hendaklah dia memuliakan orang-orang yang lemah dan berbuat baik kepada mereka.

Dalam sebuah hadis dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ابْغُونِي ضُعَفَاءَكُمْ، فَإِنَّمَا تُرْزَقُونَ وَتُنْصَرُونَ بِضُعَفَائِكُمْ

“Senangkanlah aku dengan membantu orang-orang lemah dalam kalangan kalian, kerana sesungguhnya kalian diberi rezeki dan ditolong dengan sebab orang-orang lemah dalam kalangan kalian.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 1702. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Dari hadis Mush’ab bi Sa’iid, dari ayah beliau, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا يَنْصُرُ اللَّهُ هَذِهِ الْأُمَّةَ بِضَعِيفِهَا، بِدَعْوَتِهِمْ وَصَلَاتِهِمْ وَإِخْلَاصِهِمْ

“Sesungguhnya Allah menolong umat ini dengan orang-orang lemahnya; (yakni) dengan doa, solat dan keikhlasan mereka.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 3178. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Asy-Syaikh Muhammad bin Soleh Al-‘Utsaimin rahimahullah berkata:

أن الضعفاء سبب للنصر وسبب للرزق، فإذا حنَّ عليهم الإنسان وعطف عليهم وآتاهم مما آتاه الله عز وجل؛ كان ذلك سبباً للنصر على الأعداء، وكان سبباً للرزق

“Benar-benar bahawa orang-orang yang lemah adalah sebab kemenangan dan rezeki, iaitu apabila seseorang mengasihi, berlemah-lembut dan memberikan harta kepada mereka dengan harta yang Allah ‘Azza wa Jalla berikan kepadanya; maka itu adalah sebab kemenangan dari musuh dan sebab mendapat rezeki.” (Syarhu Riyadhis Shalihin, 3/113)

Sebahagian ulama menjelaskan bahawa hati dan amal (ibadah) orang-orang yang lemah itu lebih ikhlas dan khusyu’, jauh dari kebergantungan terhadap dunia, dan dengan sebab kedekatan dan kebergantungan hati-hati mereka kepada Allah. Lalu ini menjadi sebab yang memberi kekuatan atas diri mereka melalui doa, solat dan keikhlasan mereka; sehingga Allah pun menurunkan rezeki dan pertolongan dengan sebab doa-doa dan amal (ibadah) mereka.

Sebagaimana kata Al-Imam Ibn Baththal rahimahullah:

تأويل الحديث أن الضعفاء أشد اخلاصا في الدعاء وأكثر خشوعا في العبادة لخلاء قلوبهم عن التعلق بزخرف الدنيا

“Ta’wil (tafsiran) hadis ini menjelaskan bahawa orang-orang yang lemah itu jauh lebih ikhlas dalam berdoa dan lebih khusyu’ dalam ibadah kerana sedikitnya kebergantungan hati-hati mereka terhadap gemerlapan dunia.” (Fath Al-Bari oleh Ibn Hajar, 6/89)

Dan inilah antara sebabnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berwasiat dalam banyak hadis-hadisnya supaya mengasihi para fuqara’ (orang-orang miskin) dan orang-orang yang lemah.

Wallaahu a’lam.

syarah_riyadhus_shalihin_syaikh_utsaimin_2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest