Perpaduan Itu Bersama Pemerintah

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

Saranan supaya dua parti politik PAS dan UMNO bersatu adalah perkara yang perlu diterima baik. Tidak patut dibiarkan begitu sahaja dua kelompok umat Islam saling bertelagah sesama sendiri.

Sebagai seorang muslim yang bersaudara, sepatutnya kita merenungi hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ

“Seorang muslim adalah saudara bagi muslim lainnya, tidak menzaliminya dan tidak pula membiarkannya dizalimi.” (Shahih Al-Bukhari, no. 2442)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Janganlah kamu saling membenci dan saling membelakangi, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6066)

Bahkan dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman:

فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ

“…jika mereka bertaubat, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudara kalian dalam agama.” (Surah At-Taubah, 9: 11)

Namun, apa yang tidak seharusnya terjadi, telah pun terjadi hari ini. Umat Islam berselisih, bertelagah, dan berpecah-belah menjadi banyak kelompok. Dan termasuk di dalamnya adalah kelompok UMNO dan PAS ini.

Pertelagahan di antara dua atau lebih dari kelompok-kelompok umat Islam biasanya akan membuka ruang kepada musuh di sekeliling dan orang-orang kafir untuk mengambil kesempatan tidak baik.

Bukalah lembaran sejarah ketika pertelingkahan di kalangan sahabat berlaku, antara ‘Ali dengan Thalhah, Az-Zubair, dan ‘Aisyah. Kemudian antara ‘Ali dengan Mu’awiyah radhiyallahu ‘anhum. Musuh-musuh Islam menyusup dan mengambil kesempatan memecah-belahkan lagi kesatuan umat Islam sehingga tercetusnya pertembungan dan pertumpahan darah. Sebelum dari itu ketika zaman ‘Utsman, tatkala umat Islam dihasut membenci ‘Utsman dan wakil-wakil beliau di beberapa kota, akhirnya darah ‘Utsman pun ditumpahkan.

Kemudian, kenangkanlah apa yang berlaku di negara-negara Islam lainnya saat ini seumpama Syiria, Mesir, Algeria, Afghanistan, ‘Iraq, dan yang lainnya. Perpecahan telah membuka laluan dan memberikan kelebihan kepada pihak musuh dari luar menguasai dan menghancur-luluhkan mereka. Laa hawla walaa quwwata illaa billaah. Lalu, kemashlahatan apakah yang dapat mereka perolehi dalam keadaan demikian?

Oleh kerana itu, kenang-kenangkanlah firman Allah Subhanahu wa Ta’ala berikut:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

“Dan jika ada dua golongan dari mereka yang beriman itu bertelagah hendaklah kamu damaikan antara keduanya.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 9)

Dalam ayat yang sama seterusnya:

فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Jika satu dari dua golongan itu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah kembali, damaikanlah antara keduanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Hujuraat, 49: 9)

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H):

أي: اعدلوا بينهم فيما كان أصاب بعضهم لبعض

“Maksudnya, hendaklah bersikap adil di antara dua kelompok tersebut dalam menghadapi permasalahan yang sedang terjadi di antara mereka.” (Tafsir Ibnu Katsir, 7/375)

Iaitu tidak menyebelahi atau membelakangi mana-mana pihak dengan sebab ketaksuban, kebencian, atau sentimen kepuakan, sebaliknya menyelesaikan dan menyikapi permasalahan tersebut dengan ilmu dan kebenaran, iaitu di atas manhaj dan pijakan yang syar’i.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu di ketika dahulu (di masa jahiliyyah) kamu saling bermusuhan, maka Allah telah menyatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 103)

Imam Ibnu Jarir Ath-Thabari rahimahullah (Wafat: 310H) berkata, “Maksud berpeganglah kamu semua kepada tali Allah adalah:doa untuk pemerintah

يعني بذلك جل ثناؤه: وتعلقوا بأسباب الله جميعًا. يريد بذلك تعالى ذكره: وتمسَّكوا بدين الله الذي أمركم به، وعهده الذي عَهده إليكم في كتابه إليكم، من الألفة والاجتماع على كلمة الحق، والتسليم لأمر الله.

“Berpeganglah dengan sebab-sebab yang telah Allah tetapkan sebagai sebab kesatuan. Iaitu berpegang teguhlah kalian kepada agama Allah yang diperintahkan bagi kalian dengannya, dan sentiasa memelihara kesatuan tersebut berdasarkan Kitab-Nya yang diturunkan kepada kalian, iaitu bersatu padu dan membina kesepakatan di atas kalimatul haq (kebenaran), serta tasliim (tunduk pasrah) terhadap seluruh perintah Allah.” (Tafsir Ath-Thabari, 7/70)

Imam Ibnu Jarir berkata lagi, “dan janganlah kamu bercerai-berai.” Maksudnya:

ولا تتفرقوا عن دين الله وعهده الذي عهد إليكم في كتابه، من الائتلاف والاجتماع على طاعته وطاعة رسوله صلى الله عليه وسلم، والانتهاء إلى أمره

“Janganlah kalian berpecah-belah dari agama Allah dan perjanjian yang telah Allah tetapkan bagi kalian dalam Kitab-Nya, iaitu bersatu padu dan bersepakat di atas ketaatan kepada-Nya dan ketaatan kepada Rasul-Nya Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan merujuk kepada perintah-Nya.” (Tafsir Ath-Thabari, 7/74)

Secara global (dapat difahami bahawa), asalnya ayat ini turun berkenaan dengan kaum Aus dan Khazraj, menyorot keadaan mereka di masa jahiliyyah yang sering berperang sesama sendiri, bermusuhan, rasa dengki yang meluap-luap, dan dendam yang tidak pernah surut sehingga mengakibatkan saling berbunuhan serta pelbagai lagi bentuk pertempuran yang tiada sudahnya. Maka, Allah pun mendatangkan Islam lalu mereka menerimanya dan jadilah mereka golongan yang bersaudara, saling mencintai kerana Allah, saling menjalin persaudaraan, dan tolong-menolong dalam kebaikan dan ketaqwaan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ (62) وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنْفَقْتَ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مَا أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ إِنَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dia-lah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan orang-orang yang beriman, dan Dia-lah yang menyatukan hati mereka. Walaupun kamu menghabiskan semua kekayaan yang ada di bumi ini, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka, akan tetapi Allah-lah yang telah menyatukan hati mereka.” (Surah Al-Anfal, 8: 62-63)

Demikianlah sebab yang telah Allah jadikan bagi sebuah perpaduan. Jadi, tali Allah yang dimaksudkan dalam ayat di atas tadi adalah berpegang teguh kepada agama-Nya. Iaitu sebagaimna yang Dia perintahkan kepada kita supaya sentiasa memelihara perpaduan, persaudaraan, dan kesepakatan di atas kebenaran serta tunduk dengan seluruh perintah-Nya. Sekaligus larangan untuk bercerai-berai dan keluar dari ketetapan-ketetapan yang telah ditentukan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Di ayat seterusnya dari Surah Ali ‘Imran, Allah berfirman:

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas. Mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 105)

Ayat ini mengkhabarkan bahawa Allah melarang umat Islam dari menyerupai umat-umat terdahulu dalam urusan perpecahan dan perselisihan setelah di hadapan mereka ada keterangan berupa petunjuk dari Al-Qur’an dan As-Sunnah. Dan orang yang meninggalkan petunjuk tersebut dan tetap terus degil dalam perpecahan, mereka diancam dengan azab yang berat.

Imam Qotadah rahimahullah (Wafat: 118H) berkata:

ولا تفرّقوا واذكروا نعمة الله عليكم”، إنّ الله عز وجل قد كره لكم الفُرْقة، وقدّم إليكم فيها، وحذّركموها، ونهاكم عنها، ورضي لكم السمعَ والطاعة والألفة والجماعة، فارضوا لأنفسكم ما رضى الله لكم إن استطعتم، ولا قوّة إلا بالله

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla tidak menyukai adanya perpecahan terhadap kamu. Allah telah menjelaskannya kepada kamu, memberi peringatan tentang perpecahan, dan melarang kamu dari terlibat dengannya. Sebaliknya Allah meredhai bagi kamu kepatuhan, ketaatan, perpaduan, dan al-jama’ah. Oleh sebab itu, redhailah untuk diri kamu sedaya-upaya apa sahaja yang telah Allah redhai bagi kamu. Bahawasanya tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah.” (Tafsir Ath-Thabari, 7/74)

Dari itulah, apabila perpecahan getir melanda, jangan kita disibukkan untuk memihak kepada siapa dan menentang siapa-siapa. Sebaliknya tetapkan dan teguhkanlah pendirian kita dulu di atas pijakan yang benar, di atas pijakan ilmu dan bashirah. Iaitu pijakan Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas manhaj para sahabat ridhwanullahu ‘alaihim ajma’in.

Dari ‘Abdullah bin ‘Amru radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

وَإِنَّ بني إسرائيل تَفَرَّقَتْ عَلَى ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، وَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً، كُلُّهُمْ فِي النَّارِ إِلَّا مِلَّةً وَاحِدَةً، قَالُوا: وَمَنْ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي

“Sesungguhnya bani Israel telah berpecah-belah menjadi 72 golongan, dan umatku akan berpecah-belah menjadi 73 golongan. Mereka semua di Neraka kecuali satu golongan.” Para sahabat bertanya, “Siapakah dia (yang selamat itu) wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2641. Dinilai hasan oleh Al-Albani. Hadis iftiraqul ummah ini diriwayatkan dengan beberapa jalur periwayatan dan para ulama berhujjah dengannya)

Melalui hadis ini, Rasulullah telah menjelaskan bahawa mereka yang selamat dan berada di atas landasan agama yang benar adalah sesiapa sahaja yang berada di atas jalan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersama-sama para sahabatnya. Iaitu mereka yang memahami, mengambil, dan mengamalkan agama sebagaimana para sahabat.

Hudzaifah Ibn Al-Yaman radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا كُنَّا فِي جَاهِلِيَّةٍ وَشَرٍّ فَجَاءَنَا اللَّهُ بِهَذَا الْخَيْرِ فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ قُلْتُ وَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشَّرِّ مِنْ خَيْرٍ قَالَ نَعَمْ وَفِيهِ دَخَنٌ قُلْتُ وَمَا دَخَنُهُ قَالَ قَوْمٌ يَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ قُلْتُ فَهَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ قَالَ نَعَمْ دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ مَنْ أَجَابَهُمْ إِلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا قَالَ هُمْ مِنْ جِلْدَتِنَا وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا قُلْتُ فَمَا تَأْمُرُنِي إِنْ أَدْرَكَنِي ذَلِكَ قَالَ تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإِمَامَهُمْ قُلْتُ فَإِنْ لَمْ يَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلَا إِمَامٌ قَالَ فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ بِأَصْلِ شَجَرَةٍ حَتَّى يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?”

Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain dari petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”

Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut seruan mereka, maka mereka akan dicampakkan ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.”

Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”

Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Beliau menjawab, “Jauhilah semua kelompok-kelompok itu walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu.” (Shahih Al-Bukhari, no. 3606)

Hadis ini dengan jelas memerintahkan umat Islam supaya sentiasa bersatu di atas kebenaran dan tidak memisahkan diri dari ketaatan terhadap pemerintah. Terutamanya di ketika terjadinya fitnah dan pergolakan. Dan tidak pula menyeru kepada parti-parti atau kelompok-kelompok sehingga menjadikan jurang perpecahan bertambah besar.

Lebih menguatkan perkara ini adalah hadis seterusnya juga dari Hudzaifah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

يَكُوْن بَعْدِيْ أَئِمَّة لاَ يَهتَدُوْنَ بِهُدَايَ وَلاَ يَسْتَنُوْنَ بِسُنَّتِيْ وَسَيَقُوْمُ فِيْهِمْ رجَال قُلُوْبُهُم قُلُوْبُ الشَّيَاطِيْنَ فِيْ جِثْمَانِ إِنْسِ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتَطِيْعُ لِلْأَمِيْرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأطِعْ

“Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada amir (pemerintah), walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Shahih Muslim, no. 1847)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah:

وفي حديث حذيفة هذا لزوم جماعة المسلمين وإمامهم ووجوب طاعته وإن فسق وعمل المعاصي من أخذ الأموال وغير ذلك فتجب طاعته في غير معصية وفيه معجزات لرسول الله صلى الله عليه و سلم وهي هذه الأمور التي أخبر بها وقد وقعت كلها

“Dalam hadis riwayat Hudzaifah ini terdapat pelajaran berharga, iaitu perintah untuk sentiasa bersama-sama jama’ah (masyarakat) umat Islam dan pemimpin mereka serta kewajiban mentaati mereka walaupun mereka itu fasiq dan melakukan banyak perkara maksiat seperti merampas harta dan seumpamanya. Maka wajib mentaati mereka dalam perkara selain maksiat. Hadis ini juga adalah merupakan mukjizat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di mana semua perkara yang beliau khabarkan telah pun terjadi.” (Syarh Shahih Muslim, 12/238)

Dua hadis ini adalah antara yang paling jelas bagi bab ini, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menyebutkan sifat-sifat pemimpin di mana mereka tidak mengikuti petunjuk Rasulullah dan tidak pula melaksanakan sunnah-sunnahnya. Itu adalah kemuncak kemungkaran serta penyelewengan dan kekerasan yang paling jelas dilakukan, di mana mereka (para pemimpin) tidak mengamalkan ajaran Rasulullah dalam urusan diri mereka, keluarga, dan rakyat. Walau demikian sikap mereka, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap memerintahkan supaya mereka ditaati (tidak ditentang kepimpinannya). Manakala perintahnya dalam urusan yang makruf (yang bukan maksiat) tetap ditaati atau didengari. Adapun kesalahan-kesalahan mereka tetap diingkari sebagaimana kaedah yang telah ditunjukkan oleh syara’ bagi yang memiliki ilmu dan kemampuan.

Pada hadis ini juga terkandung isyarat bahawa Nabi melarang sikap berpecah-belah menjadi berkelompok-kelompok atau bahkan berparti-parti dalam kalangan kaum muslimin.

Kita tidak dibenarkan mengingkari kepimpinan pemerintah yang memerintah selagi mana mereka adalah muslim dan menegakkan syi’ar solat. Ini sebagaimana dijelaskan dalam banyak hadis.

Berkaitan kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan, ia sama sekali bukan tiket untuk kita melepaskan tali ketaatan terhadap kepimpinannya. Kesalahan mereka adalah urusan yang dipertanggungjawabkan ke atas diri mereka sendiri. Ia nanti akan dihisab dan diberi pembalasan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagaimana telah dikhabarkan balasan-balasan terhadap para pemerintah zalim dari umat-umat terdahulu sebagai pengajaran. Iaitu, Allah-lah yang membalasnya dengan seadil-adil dan sekeras-keras pembalasan, baik di dunia, mahupun di akhirat.Menasihati Pemerintah

Adapun urusan kita dengan mereka, adalah apa yang dibebankan ke atas kita berdasarkan dalil-dalil yang sahih, tidak lebih dari itu. Kita sedikitpun tidak diperintahkan supaya mencelanya, mengaibkannya, menentangnya, memeranginya, mahupun menjatuhkannya. Tidak pula disuruh supaya mengampu dalam rangka takut dan untuk menyelamatkan diri.

Tidak juga diperintahkan supaya keluar dari ketaatan terhadapnya dengan membina kumpulan-kumpulan baru bertindak sebagai organisasi pembangkang dan penentang! Bahkan Rasulullah memerintahkan supaya kita meninggalkan kelompok-kelompok yang menyeru kepada perpecahan. Iaitu kelompok-kelompok yang memisahkan diri dari kebenaran dan ketataan terhadap pemerintah. Rasulullah menamakan kelompok-kelompok tersebut sebagai “penyeru kepada pintu-pintu jahannam.”

Kemudian, hadis-hadis yang disebutkan ini memiliki isyarat dengan lafaz “Akan ada sepeninggalanku nanti…”. Menunjukkan di sini bahawa keadaan atau situasi tersebut berlaku setelah perginya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Hadis tersebut tidak merujuk kepada mana-mana pemerintah serta mana-mana zaman secara khusus, sama ada zaman Khulafa’ur Rasyidin, Bani Umayyah, ‘Abbasiyyah, ‘Utsmaniyyah, mahupun zaman demokrasi hari ini. Maka, ia kembali umum kepada mana-mana jua zaman selagi mana masih ada pemerintah muslim yang menegakkan solat.

Bahkan selain hadis ini, terdapat pula pesanan ‘Umar al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu kepada Suwaid bin Ghaflah yang lebih menguatkan lagi.

Suwaid bin Ghaflah mengkhabarkan:

قَالَ لِي عُمَرُ: يَا أَبَا أُمَيَّةَ، إِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَلْقَاك بَعْدَ عَامِي هَذَا، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ وَإِنْ أُمِّرَ عَلَيْك عَبْدٌ حَبَشِيٌّ مُجْدَعٌ، إِنْ ضَرَبَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ حَرَمَك فَاصْبِرْ، وَإِنْ أَرَادَ أَمْرًا يَنْتَقِصُ دِينَك فَقُلْ: سَمْعٌ وَطَاعَةٌ، دَمِي دُونَ دِينِي، فَلاَ تُفَارِقَ الْجَمَاعَةَ

‘Umar berkata kepadaku, “Wahai Abu Umayyah (Suwaid), mungkin kamu masih hidup setelah peninggalanku nanti, maka taatilah pemimpinmu walaupun ia seorang hamba berketurunan Habsyi yang cacat hidungnya, jika ia memukul (menzalimi) kamu maka bersabarlah, bila ia menghalang hak kamu maka bersabarlah, bila ia mengajak kepada perkara yang merosakkan urusan dunia kamu, maka katakanlah, “Kami dengar dan mentaati dengan darah kami, bukan dengan agama kami.” Janganlah kamu berpecah dari al-Jama’ah.” (Atsar Riwayat Al-Ajurri, dalam Asy-Syari’ah, 1/38 dengan sanad yang sahih. Al-Khallal dalam As-Sunnah, no. 54. Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, no. 34400. Al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra, no. 16405)

Imam Al-Ajurri rahimahullah (Wafat: 360H) menjelaskan:

من أُمِّر عليك من عربي أو غيره، أسود أو أبيض، أو أعجمي، فأطعه فيما ليس لله عَزَّ وَجَلَّ فيه معصية، وإن ظلمك حقًّا لك، وإن ضربكَ ظلمًا، وانتهكَ عرضك وأخذ مالك، فلا يَحملك ذَلِكَ عَلَى أنه يَخرج عليه سيفك حتَّى تقاتله، ولا تَخرج مع خارجي حتَّى تقاتله، ولا تُحرِّض غيرك عَلَى الخروج عليه، ولكن اصبر عليه

“Sesiapa pun yang menjadi pemimpin ke atas kamu (selagi mana dia muslim), sama ada berketurunan ‘Arab atau selainnya, hitam atau putih, atau selain bangsa ‘Arab, maka hendaklah kamu taat pada apa yang diperintahkannya melainkan pada perkara maksiat kepada Allah ‘Azza wa Jalla (maka jangan kamu ikuti). Dan walaupun dia menzalimi kamu, menyakiti kamu, memukul kamu dengan zalim, merampas harta dan hak-hak kamu, maka janganlah dengan sebab semua itu menjadikan kamu bertindak memeranginya dengan pedang (senjata), dan janganlah kamu keluar bersama-sama kaum khawarij sehingga menentangnya, dan juga jangan sampai kamu menghasut orang lain untuk keluar dari ketaatan terhadapnya, tetapi hendaklah kamu tetap bersabar.” (Al-Ajurri, Asy-Syari’ah, 1/40)

Jelas dari sini, ketika terjadi fenomena atau perkara-perkara seperti dinyatakan dalam hadis (semoga Allah menjauhkan kita dari semua itu), kita tetap tidak boleh khuruj terhadap pemerintah. Demikianlah maknanya. Kita tetap mengakui kepimpinan pemerintah sebagai pemimpin kita, dan perintah-perintahnya yang makruf tetap kita taat dan dengar.

Dan fenomena sebagaimana yang disebutkan oleh hadis tersebut memang telah dan pernah berlaku. Khasnya ketika zaman kekuasaan Abdul Malik bin Marwan yang memiliki gabernor yang zalim yang membunuh banyak sekali jiwa termasuk kalangan sahabat-sahabat Nabi dan para ulama era tabi’in. Demikian pula apa yang telah menimpa Imam Malik, Asy-Syafi’i dan Ahmad bin Hanbal, mereka ini pernah disiksa dan dipenjara oleh pemerintah secara zalim. Namun lihatlah sikap mereka, mereka tidak menjadikan hal tersebut sebagai alasan untuk khuruj atau pun membina kelompok-kelompok tertentu bagi mengimbangi kuasa pemerintah ketika itu.

Demikian pula yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah rahimahullah yang sehingga wafat di dalam penjara.

Mungkin akan ada yang beralasan dengan akta kebebasan bersuara dan hukum demokrasi. Namun bagi kita yang beriman dan benar-benar taat menjunjung Al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi, hak kebebasan bersuara dan hukum demokrasi tidaklah lebih tinggi dari Hukum Allah. Demokrasi bukan alasan untuk berpecah meninggalkan hadis-hadis Rasulullah. Bahkan demokrasi itu sendiri adalah hukum kufur yang bertentangan dengan banyak ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah.

Maka apatah lagi pemerintah kita yang ada pada hari ini jelas jauh lebih baik dari apa yang disifatkan oleh hadis tersebut! Jadi, di mana hendak kita campakkan pesan-pesan Rasulullah ini?

Dalam sebuah atsar sahabat dari ‘Abdullah bin Abi Aufa ketika beliau diajukan persoalan pemimpin yang menzalimi rakyat oleh Ibnu Jumhan, beliau pun berkata:

عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ عَلَيْكَ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ إِنْ كَانَ السُّلْطَانُ يَسْمَعُ مِنْكَ فَأْتِهِ فِي بَيْتِهِ فَأَخْبِرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فَإِنْ قَبِلَ مِنْكَ وَإِلَّا فَدَعْهُ فَإِنَّكَ لَسْتَ بِأَعْلَمَ مِنْهُ

“Hendaklah kamu sentiasa bersama as-sawadul a’dzam. Sekiranya engkau mahu pemimpin tersebut mendengar nasihatmu, maka datangilah rumahnya dan beritahu kepadanya apa-apa yang engkau ketahui sehingga ia menerimanya. Jika tidak, maka tinggalkanlah. Kerana kamu tidak lebih tahu berbanding dia.” (Musnad Ahmad, no. 19415. Lihat tahqiq Syu’aib al-Arnauth. Dalam Majma’ Az-Zawa’id, no. 9163; Al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan Ath-Thabrani, dan para perawi Ahmad adalah perawi tsiqah.” Dinilai hasan oleh Al-Albani, Dzilal Al-Jannah, 2/143, no. 905 dan ‘Abdus Salam Barjas dalam Mu’ammalatul Hukkam)

Maksud as-sawadul a’dzam dalam hadis ini adalah merujuk golongan yang ramai yang melazimi di atas manhaj para sahabat, tabi’in, dan tabi’ut tabi’in walaupun nanti ia menjadi sedikit jumlahnya pada satu-satu masa menuju akhir zaman. Termasuk as-sawadul a’dzam adalah golongan yang melazimi kebenaran dan bersatu dalam mentaati pemerintah secara benar.

Berkata Imam Ibnu Al-Atsir rahimahullah:

وفيه [ عليكم بالسَّوادِ الأعْظَم ] أي جُمْلة النَّاس ومُعْظَمهم الذين يجتمعون على طاعة السُّلطان وسُلُوك النَّهج المُسْتقيم

“Dan yang dimaksudkan dengan ‘Alaikum bi as-sawadul a’dzam (kamu di atas as-sawadul a’dzam) adalah sekumpulan besar manusia yang berhimpun di dalam mentaati sultan (pemerintah) dan berjalan di atas jalan yang benar (lurus).” (lihat: Ibnul Atsir, An-Nihayah fii Gharib Al-Hadits, 2/1029)konsep-kepimpinan-dalam-islam-imamatul-uzma-2

Sesiapa yang benar-benar ikhlas dalam persaudaraan dan menekuni khabar-khabar Rasulullah dengan baik, nescaya dia akan membenci persengketaan dan perpecahan. Oleh itu, bersatulah dan taatilah kepimpinan pemerintah yang ada pada hari ini atas dasar mentaati Al-Qur’an dan As-Sunnah di atas manhaj para sahabat, bukan atas dasar ketaksuban puak (kepartian), mahupun kerana kebencian terhadap puak (parti) yang lainnya. Tinggalkanlah doktrin dan fikrah sesat gemar berpecah-belah anti pemerintah yang sejarahnya dipelopori kaum sesat khawarij.

Sahabat Nabi, Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu mengatakan:

يا أيها الناس، عليكم بالطاعة والجماعة، فإنها حبل الله الذي أمرَ به، وإنّ ما تكرهون في الجماعة والطاعة، هو خيرٌ مما تستحبون في الفرقة

“Wahai manusia, tetaplah kamu dalam mentaati pemerintah, dan bersatulah dengan al-jama’ah, kerana keduanya adalah tali Allah yang telah Dia perintahkan untuk dipelihara. Sungguh, apa sahaja yang kamu benci dalam al-jama’ah dan ketaatan akan lebih baik dari apa yang kamu cintai dalam perpecahan.” (Tafsir ath-Thabari, 7/74-75. Tahqiq Ahmad Muhammad Syakir)

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest