Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah

www.ilmusunnah.com

saf_1_2

Berdasarkan mazhab Asy-Syafi’i, susunan awal saf solat berjamaah hendaklah diutamakan untuk orang-orang yang baligh dan berakal (berilmu) terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti atau dipenuhkan oleh kanak-kanak. Berikut adalah rinciannya.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan:

إذا حضر كثيرون من الرجال والصبيان يقدم الرجال ثم الصبيان هذا هو المذهب وبه قطع الجمهور وفيه وجه حكاه الشيخ أبو حامد والبندنيجي والقاضي أبو الطيب وصاحبا المستظهرى والبيان وغيرهم انه يستحب ان يقف بين كل رجلين صبى ليتعلموا منهم افعال الصلاة والصحيح الاول لقوله صلي الله عليه وسلم ليلني منكم اولوا الاحلام والنهى ثم الذين يلونهم

“Apabila hadir banyak jama’ah (atau makmum) dari kalangan lelaki (dewasa) dan kanak-kanak, maka kalangan dewasa hendaklah didahulukan dalam memenuhi saf depan, kemudian barulah kanak-kanak. Inilah mazhab kami (yakni mazhab Asy-Syafi’i), dan inilah yang dipastikan oleh jumhur.

Dan padanya ada juga pendapat yang lain (dari kalangan ulama bermazhab Asy-Syafi’i) yakni yang diriwayatkan dari Asy-Syaikh Abu Hamid (yakni Al-Imam Al-Ghazali), Al-Bandaniji, Al-Qadhi Abu Thoyyib, penyusun kitab Al-Mustazhiri, penyusun kitab Al-Bayan (yakni Al-‘Imrani), dan yang lainnya; (yakni mereka berpendapat) dianjurkan agar seorang kanak-kanak diapit oleh dua orang dewasa dalam satu saf bagi mendidik mereka dengan perbuatan-perbuatan solat. Namun pendapat yang kuat (menurut Al-Imam An-Nawawi), adalah pendapat yang pertama berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Hendaklah orang-orang yang baligh dan berakal berada di belakangku, kemudian mereka yang berikutnya, kemudian mereka yang berikutnya.”.” (lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab, 4/293)

Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Mawardi rahimahullah (Wafat: 450H) menyebutkan:

وَقَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا الْأَوْلَى أَنْ يَقِفَ كُلُّ صَبِيٍّ بَيْنَ رَجُلَيْنِ : لِأَنَّ ذَلِكَ أَدْعَى لَهُمْ إِلَى تَعْلِيمِ أَفْعَالِ الصَّلَاةِ

“Dan telah berkata sebahagian sahabat kami (dari kalangan tokoh mazhab Asy-Syafi’i), yang lebih utama adalah memposisikan setiap kanak-kanak (yakni diapit) di antara dua orang lelaki dewasa, kerana dengan demikian akan dapat mendorong mereka untuk mempelajari perbuatan-perbuatan solat.” (Al-Haawi fi Fiqh Asy-Syafi’i oleh Al-Mawardi, 2/340)

Kemudian dikemukakan pula oleh Al-Khathib Asy-Syarbini rahimahullah (Wafat: 977H) dalam Mughni Al-Muhtaaj:

وَمَحَلُّ مَا ذَكَرَ مَا إذَا حَضَرَ الْجَمِيعُ دُفْعَةً وَاحِدَةً، فَلَوْ سَبَقَ الصِّبْيَانُ بِالْحُضُورِ لَمْ يُؤَخَّرُوا لِلرِّجَالِ اللاحِقِينَ، كَمَا لَوْ سَبَقُوا إلَى الصَّفِّ الأَوَّلِ؛ فَإِنَّهُمْ أَحَقُّ بِهِ عَلَى الصَّحِيحِ

“Dan apa yang dikemukakan tersebut (tentang susunan saf) adalah apabila jama’ah datang dalam waktu yang serentak, tetapi jika kanak-kanak datang lebih awal (dari orang dewasa), maka janganlah mereka dikebelakangkan bertujuan memberi tempat kepada orang yang datang kemudian, demikianlah pula jika kanak-kanak lebih awal berada di saf awal, maka merekalah yang lebih berhak terhadap saf tersebut berdasarkan pendapat yang sahih.” (Mughni Al-Muhtaj, 3/255)

Ini adalah sebagaimana hadis berikut,

Dari hadis Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِنْ مَجْلِسِهِ ثُمَّ يَجْلِسُ فِيهِ

“Janganlah seseorang meminta orang lain berdiri dari tempat duduknya kemudian dia mengambil tempat tersebut.” (Shahih Al-Bukhari, no. 6269)

Dari hadis Jabir radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يُقِيمَنَّ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ لْيُخَالِفْ إِلَى مَقْعَدِهِ، فَيَقْعُدَ فِيهِ وَلَكِنْ يَقُولُ افْسَحُوا

“Janganlah seseorang dari kalian menyuruh saudaranya berdiri (dari tempat duduknya) pada hari Juma’at sehingga membuatkannya meninggalkan tempat duduknya lalu kemudian dia pula yang duduk di situ. Akan tetapi katakanlah:

“Berilah kelonggaran (untuk duduk).”.” (Shahih Muslim, no. 2178)

Dari hadis Sahl bin Sa’d, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَجْلِسُ الرَّجُلُ بَيْنَ الرَّجُلِ وَابْنِهِ فِي الْمَجْلِسِ

“Janganlah seseorang duduk di antara seorang ayah dan anaknya dalam suatu majlis.” (Al-Mu’jam Al-Ausath oleh Ath-Thabrani, no. 4429. Musnad Ibn Al-Ja’d, no. 2947)

Dari hadis ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَا يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُفَرِّقَ بَيْنَ اثْنَيْنِ إِلَّا بِإِذْنِهِمَا

“Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk memisahkan di antara dua orang kecuali dengan izin keduanya.” (Musnad Ahmad, no. 6999)

Lafaz di Sunan Abi Dawud:

لَا يُجْلَسْ بَيْنَ رَجُلَيْنِ إِلَّا بِإِذْنِهِمَا

“Janganlah seseorang duduk di antara dua orang kecuali dengan izin keduanya.” (Sunan Abi Dawud, no. 4844)

Dari penjelasan ini menunjukkan bahawa saf hadapan itu asalnya hendaklah diutamakan untuk orang-orang yang telah baligh dan berakal (yakni yang lebih berilmu) supaya dia dapat membantu atau memperbetulkan imam seandainya tersilap. Dari itu, orang-orang yang berakal dan dewasa hendaklah memaklumi perkara ini sekaligus mendahului untuk menempati saf-saf yang paling hadapan.

Kemudian barulah diikuti oleh kanak-kanak bagi memenuhi ruang-ruang saf yang masih kosong. Tidak timbul isu di sini supaya kanak-kanak harus diposisikan di saf tersendiri di belakang saf. Apatah lagi seandainya kanak-kanak tersebut memang datang awal dan lebih dahulu menduduki posisi saf pertama, maka tidak boleh bagi orang yang terkemudian mengambil hak kanak-kanak tersebut.

Kemudian, terdapat pula pendapat dalam kalangan ulama mazhab Asy-Syafi’i (sebagaimana yang dikemukakan oleh Al-Imam An-Nawawi dan Al-Mawardi di atas) yang membolehkan dan menganjurkan agar setiap seorang kanak-kanak yang hadir diposisikan di antara dua orang dewasa (yakni diapit oleh dua orang dewasa dalam satu saf) agar mereka dapat mempelajari praktik-praktik solat yang benar. Wallaahu a’lam.

Berikutnya, dalil-dalil dalam hal ini adalah sebagaimana berikut,

Antaranya sebagaimana hadis dari Anas radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

صَلَّيْتُ أَنَا وَيَتِيمٌ، فِي بَيْتِنَا خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأُمِّي أُمُّ سُلَيْمٍ خَلْفَنَا

Aku solat di rumahku bersama seorang anak yatim di belakang Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, dan ibuku (Ummu Sulaim) di belakang kami.” (Shahih Al-Bukhari, no. 727)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah berkata tentang hadis ini:

وقيام الصبي مع الرجل صفا

Kanak-kanak berdiri bersama orang dewasa dalam satu saf.” (Fathul Bari, 1/490)

Kata Al-Imam Ash-Shan’ani rahimahullah:

وعلى أن مقام الاثنين خلف الإمام. وعلى أن الصغير يعتد بوقوفه ويسد الجناح وهو الظاهر من لفظ اليتيم إذ لا يتم بعد الاحتلام

“Posisi makmum yang terdiri dari dua orang adalah di belakang imam, dan anak kecil juga turut diambil kira keberadaan posisinya dan ia dapat melengkapkan barisan (saf). Dalam hadis disebutkan dengan lafaz “yatim” yang mana ini menunjukkan maksud “anak kecil” (yang belum baligh), kerana tidak disebut sebagai yatim bagi anak yang telah baligh.” (Subulus Salam oleh Ash-Shan’ani, 2/57 – Al-Maktabah At-Taufiqiyah)

Kata Asy-Syaikh Al-Albani rahimahullah (Wafat: 1420H):

فلا أرى بأسا من وقوف الصبيان مع الرجال إذا كان في الصف متسع وصلاة اليتيم مع أنس وراءه صلى الله عليه و سلم حجة في ذلك

“Maka saya melihat adalah tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solat kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah hujjah dalam masalah ini (saf kanak-kanak adalah bersama saf lelaki dewasa).” (Tamamul Minnah oleh Al-Albani, m/s. 284)

Berikutnya dari hadis Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

نِمْتُ عِنْدَ مَيْمُونَةَ، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ، «فَتَوَضَّأَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى، فَقُمْتُ عَنْ يَسَارِهِ، فَأَخَذَنِي فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى فِي تِلْكَ اللَّيْلَةِ ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً، ثُمَّ نَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى نَفَخَ

“Aku pernah tidur di rumah Maimunah isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam (yakni makcik Ibnu ‘Abbaas). Pada malam tersebut adalah giliran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di rumah Maimunah. Rasulullah berwudhu’ pada malam tersebut lalu mendirikan solat (yakni solat malam). Maka aku pun berdiri di sebelah kiri beliau (untuk mengikuti beliau sebagai makmum). Lalu beliau mengambil aku (yakni menarik Ibnu ‘Abbaas) dan menjadikan aku di sebelah kanannya. Pada malam tersebut beliau solat sebanyak tiga belas raka’at lalu tidur sehingga terdengar nafasnya…” (Shahih Muslim, no. 763)

Di Syarh Shahih Muslim, ketika menyentuh tentang hadis dari Ibn ‘Abbaas radhiyallahu ‘anhuma ini, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) berkata:

فيه أن موقف المأموم الواحد عن يمين الإمام وأنه إذا وقف عن يساره يتحول إلى يمينه وأنه إذا لم يتحول حوله الإمام وأن الفعل القليل لا يبطل الصلاة وأن صلاة الصبي صحيحة وأن له موثقا من الإمام كالبالغ

“Pada hadis ini menjelaskan kedudukan (posisi) seorang makmum yang sendirian bersama seorang imam, yakni dia mengambil posisi di sebelah kanan imam. Dan jika dia berada di posisi kiri imam, maka hendaklah dia mengubah posisinya ke sebelah kanan imam. Namun jika si makmum tidak mengubah posisinya (ke sisi yang benar), maka si imam boleh bertindak untuk mengubahnya (ke posisi yang benar), dan bahawa gerakan yang sedikit (untuk mengubah posisi makmum tersebut) tidaklah membatalkan solat.

(Pada hadis ini turut menjelaskan) bahawa solat seorang kanak-kanak adalah sah dan posisinya sebagai makmum adalah sama halnya sebagaimana orang yang telah baligh.” (Syarh Shahih Muslim, 6/44)

Adapun hadis berikut daripada Abu Malik Al-Asy’ari, beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ يُسَوِّي بَيْنَ الْأَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي الْقِرَاءَةِ وَالْقِيَامِ، وَيَجْعَلُ الرَّكْعَةَ الْأُولَى هِيَ أَطْوَلُهُنَّ لِكَيْ يَثُوبَ النَّاسُ، وَيَجْعَلُ الرِّجَالَ قُدَّامَ الْغِلْمَانِ، وَالْغِلْمَانَ خَلْفَهُمْ، وَالنِّسَاءَ خَلْفَ الْغِلْمَانِ، وَيُكَبِّرُ كُلَّمَا سَجَدَ، وَكُلَّمَا رَفَعَ وَيُكَبِّرُ كُلَّمَا نَهَضَ بَيْنَ الرَّكْعَتَيْنِ إِذَا كَانَ جَالِسًا

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menyamakan (tempoh) antara empat rakaat dalam bacaan dan berdiri. Beliau melamakan rakaat yang pertama, itulah yang terlama antara rakaat lainnya supaya orang-orang dapat berkumpul bersama. Beliau menempatkan kaum lelaki di barisan (saf) depan manakala anak-anak di belakang mereka, dan kaum wanita pula ditempatkan di belakang anak-anak. Beliau bertakbir di setiap kali bersujud, mengangkat kepala, dan di setiap kali bangun di antara dua rakaat apabila beliau duduk.” (Musnad Ahmad, no. 22911)

Hadis ini adalah hadis yang dha’if (lemah) dan tidak dapat dijadikan hujah sandaran dalam menetapkan posisi saf solat anak-anak dan kaum wanita. Malah bertentangan dengan apa yang dapat dilihat dari hadis-hadis lain yang sahih yang banyak. Hadis ini didha’ifkan antaranya oleh Syaikh Al-Albani dalam Tamamul Minnah dan Syu’aib Al-Arnauth dalam Tahqiq Musnad Ahmad.

Lihat perbahasan lengkap pada artikel berjudul, Beginilah Seharusnya Merapatkan Saf Ketika Solat Berjama’ah.

Ensiklopedi_Solat_Menurut_Al_Quran_dan_Sunnah_main

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest