Qunut Witir Menurut Sunnah

Ustaz Dzulqarnain M. Sunusi
www.dzulqarnain.net

Definisi Qunut

Secara etimologi (bahasa), qunut memiliki banyak makna. Ada lebih dari sepuluh makna sebagaimana nukilan oleh Al-Hâfizh Ibnu Hajar, dari Al-‘Iraqi, dan Ibnul ‘Arabi.

Makna-makna tersebut adalah:

1) Doa,

2) Khusyu’,

3) Ibadah,

4) Taat,

5) Pelaksanaan ketaatan,

6) Penetapan ibadah kepada Allah,

7) Diam,

8) Solat,

9) Berdiri,

10) Lama berdiri, dan

11) Tetap dalam ketaatan. (Juga ada makna-makna yang lain yang dapat dilihat dalam Tafsir Al-Qurthubi, 2/1022. Mufradât Al-Qur’ân, m/s. 428 karya Al-Ashbahâni, dan lain-lain.)

Adapun secara terminologi (istilah), qunut bermakna sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Hâfizh Ibnu Hajr Al-‘Asqalâni rahimahullâh:

“Doa dalam solat pada tempat khusus dalam keadaan berdiri.” (Bacalah: Fathul Bâri, 2/490)

Makna secara terminologi inilah yang dimaksudkan oleh para ulama fiqih dan kebanyakan ulama yang lainnya dalam buku-buku mereka. (Lihatlah Zâdul Ma’ad, 1/283 karya Ibnul Qayyim)

Syariat Qunut

Syari’at tentang qunut dalam solat Witir telah sah sebagaimana dalam hadits Al-Hasan bin ‘Ali radhiyallâhu ‘anhu bahawa beliau berkata,

عَلَّمَنِيْ رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُوْلُهُنَّ فِي الْوِتْرِ اللَّهُمَّ اهْدِنِيْ فِيْمَنْ هَدَيْتَ وَعَافَنِيْ فِيْمَنْ عَافَيْتَ وَتَوَلَّنِيْ فِيْمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِيْ فِيْمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيْتَ فَإِنَّكَ تَقْضِيْ وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ

“Rasulullah mengajarkan beberapa kalimat kepadaku untuk aku ucapkan dalam solat Witir, (iaitu):

“Ya Allah, berilah hidayah kepadaku pada orang-orang yang Engkau beri hidayah, berilah ‘afiyah kepadaku pada orang yang Engkau beri ‘afiyah, naungilah aku pada orang-orang yang Engkau naungi, berkahilah aku pada apa yang Engkau beri, dan jagalah aku dari keburukan apa yang Engkau putuskan. Sesungguhnya Engkau memutuskan dan tidak diputuskan terhadap-Mu, dan sesungguhnya tidaklah hina, orang-orang yang Engkau naungi. Maha Berkah Engkau, wahai Rabb kami, dan Maha Tinggi.”.” (Diriwayatkan oleh ‘Abdurrazzaq, 3/117. Ibnu Abi Syaibah, 2/95. Ahmad, 1/220. Ibnul Jârûd, no. 272. Ad-Dârimi, 1/451-452. Abu Dâud, no. 1425. An-Nasâ`i, 3/248. Ibnu Mâjah, no. 1178. Ibnu Abi ‘Ashim dalam Al-Ahd wal Matsâni, no. 415-416. Al-Bazzar, no. 1336, 1337. Abu Ya’la, no. 6762, 6786. Ibnu Khuzaimah, no. 1095, 1096. Ibnu Hibban, no. 945. Al-Hâkim, 3/188. Ath-Thabarâny, 3/no. 2701-2707, 2711-2713 dan dalam Al-Ausath, 4/no. 3887. Al-Baihaqi, 2/209. Serta Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, 8/264, 9/321. Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albâni, dalam banyak buku beliau, dan Syaikh Muqbil dalam Al-Jâmi’Ash-Shahîh, 2/161)

Dibina berdasarkan hadits ini, orang-orang Hanafiyah, Hanbaliyah, dan sebahagian orang-orang Syâfi’iyah berpendapat tentang sunnahnya qunut Witir pada bulan Ramadhan dan selain Ramadhan. Demikian pula yang diriwayatkan dari Al-Hasan, Ibrâhim An-Nakha’ie, dan Ishâq.

Adapun Imam Malik, beliau tidak berpendapat tentang keberadaan qunut Witir.

Adapun Imam Asy-Syâfi’i, beliau berpendapat bahwa qunut Witir disyariatkan pada pertengahan Ramadhan.

Tarjih

Sudah pasti bahawa tidak diragukan lagi tentang sunnahnya qunut Witir berdasarkan hadits Al-Hasan bin ‘Ali tersebut sehingga tidak ada alasan bagi orang yang melarang pelaksanaannya. Adapun pelaksanaan qunut Witir dari pertengahan Ramadhan, hal tersebut hanyalah diriwayatkan dalam hadits yang lemah. Wallâhu A’lam. (Bacalah perbahasan syari’at qunut dalam kitab Al-Muhgni, 2/580. Bidâyatul Mujtahid, 1/204. dan Nailul Authâr)

Waktu Pelaksanaan Qunut Dalam Solat (Tentang pembahasan ini, bacalah Al-Majmu’, 2/510, 520 karya Imam An-Nawawi dan Fathul Bâri, 6/270-277 karya Ibnu Rajab)

Qunut boleh dilaksanakan sebelum atau setelah ruku’. Akan tetapi, pelaksanaannya setelah ruku’ lebih banyak dilakukan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam.

Al-Imam Al-Baihaqi rahimahullâh berkata, “Rawi-rawi, (dalam) hadits yang berisi penjelasan tentang qunut setelah ruku’, lebih banyak dan hafalannya lebih dapat dipegang. Oleh kerana itu, riwayat mereka yang lebih wajar untuk diterima pakai. Demikian pula, (hadits tentang) pelaksanaan qunut pada zaman Khulafâ’ Ar-Râsyidîn radhiyallâhu ‘anhum, yang terdapat pada riwayat-riwayat masyhur dari mereka dan riwayat-riwayat ini, jumlahnya paling banyak.” (Bacalah: As-Sunan Al-Kubrâ’, 2/208)

Adapun pelaksanaan qunut sebelum ruku’, dalilnya diterangkan dalam beberapa hadits, yang di antaranya adalah hadits Anas bin Mâlik bahawa beliau berkata,

بَعَثَ النَّبِيُّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَبْعِينَ رَجُلًا لِحَاجَةٍ يُقَالُ لَهُمْ الْقُرَّاءُ فَعَرَضَ لَهُمْ حَيَّانِ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ رِعْلٌ وَذَكْوَانُ فَقَتَلُوْهُمْ فَدَعَا النَّبِيُّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ شَهْرًا فِيْ صَلَاةِ الْغَدَاةِ وَذَلِكَ بَدْءُ الْقُنُوتِ وَمَا كُنَّا نَقْنُتُ قَالَ عَبْدُ الْعَزِيزِ وَسَأَلَ رَجُلٌ أَنَسًا عَنْ الْقُنُوتِ أَبَعْدَ الرُّكُوعِ أَوْ عِنْدَ فَرَاغٍ مِنْ الْقِرَاءَةِ قَالَ لَا بَلْ عِنْدَ فَرَاغٍ مِنْ الْقِرَاءَةِ

“Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengutus tujuh puluh orang untuk suatu keperluan. Mereka itu disebut sebagai pembaca-pembaca Al-Qur’ân. Mereka kemudian dihadang oleh dua suku Bani Sulaim: Ri’il dan Dzakwan. Kedua suku ini membunuh mereka, maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mendoakan keburukan untuk mereka selama sebulan pada solat Subuh. Situasi ini merupakan permulaan keberadaan qunut, (padahal) kami tidak pernah berqunut sebelumnya.”

‘Abdul ‘Azîz (murid Anas) berkata, “Seorang lelaki bertanya kepada Anas tentang qunut tersebut, “Adakah dilakukan setelah ruku’ atau ketika selesai membaca surah (sebelum ruku’)?” (Maka Anas) menjawab, “Tidak. (Yang benar adalah) ketika selesai membaca surah.”.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhâry, no. 4088)

Juga hadits Ubay bin Ka’ab radhiyallâhu ‘anhu bahawa beliau berkata,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْنُتُ قَبْلَ الرُّكُوعِ

“Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam berqunut sebelum ruku’.” (Diriwayatkan oleh An Nasâ’i, 3/235. Ibnu Mâjah, no. 1182. Ad-Dâraquthni, 2/31. dan Al-Baihaqi, 3/39-40. Dishahihkan oleh Syaikh Al-Albâni rahimahullâh dalam Irwâ`ul Ghalîl, no. 426)

Dari penjelasan di atas, kita mengetahui bahawa ada keluasaan dalam hal ini. Sesiapa yang ingin berqunut sebelum ruku’, hal itu adalah perkara yang boleh, dan sesiapa yang ingin berqunut setelah ruku’, tidak ada dosa apapun atasnya.

Pendapat tentang kebolehan memilih salah satu dari dua cara berqunut juga diriwayatkan oleh Ibnul Mundzir dari Anas bin Malik, Imam Ayyub As-Sikhtiyani, dan Imam Ahmad. Pendapat ini dikuatkan oleh Syaikh Al-Albâny, dalam Qiyâm Ramadhân, m/s. 31, Syaikh Ibnu ‘Utsaimin dalam Asy-Syarh Al-Mumti’, 4/64-65, dan Syaikh Muqbil bin Hadi Al-Wadi’iy.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “Adapun ahli fiqih dari kalangan ahli hadits, seperti Ahmad dan selainnya, membolehkan kedua perkara (tentang cara berqunut), kerana sunnah yang sahih datang untuk menjelaskan keduanya, walaupun mereka memilih qunut setelah (ruku’) kerana lebih banyaknya (dalil tentang hal tersebut – pent.) dan lebih (mendekati) qiyas…” (Bacalah: Majmu’ Fatâwâ 23/100. Lihat juga Al-Inshâf, 2/170)

Tentang Mengangkat Tangan Ketika Berqunut

Yang lebih kuat di antara pendapat para ulama dalam perbahasan ini adalah bahawa tidak ada pensyari’atan tentang mengangkat tangan dalam qunut. Ini merupakan pendapat Yazîd bin Abi Maryam, Imam Al-Auzâ’iy, Abu Hanîfah, dan Imam Mâlik. (Lihatlah: Al-Mughni, 1/448 dan Al-Majmu’, 3/487)

Pendapat ini dikuatkan kerana tidak ada hadits sahih yang menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengangkat tangan ketika berqunut.

Adapun dalil yang diguna-pakai oleh para ulama yang berpendapat disyari’atkan sunnah mengangkat tangan dalam qunut, maka ia adalah hadits-hadits yang lemah. Dalil mereka yang paling kuat adalah hadits yang diriwayatkan dari jalur Sulaimân bin Al-Mughîrah, dari Tsâbit Al-Bunâny, dari Anas bin Mâlik, tentang kisah para pembaca Al-Qur’ân yang terbunuh. Disebutkan bahawa Anas berkata kepada Tsâbit,

فَلَقَدْ رَأَيْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيْ صَلَاةِ الْغَدَاةِ رَفَعَ يَدَيْهَ فَدَعَا عَلَيْهِمْ

“Setiap kali melaksanakan solat Subuh, sesungguhnya saya melihat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya untuk mendoakan keburukan atas mereka (pembunuh para pembaca Al-Qur’ân).” (Diriwayatkan oleh Ahmad, 3/137. ‘Abd bin Humaid dalam Al-Muntakhab, m/s. 380, no. 1276. Ath-Thabarâni, 4/51/3606, dalam Al-Ausath 4/131/3793, dan dalam Ash-Shaghîr, 1/323-324/536. Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah, 1/123-124. Al-Baihaqi, 2/211. serta Al-Khathib dalam Tarikh Baghdad, 11/440)

Namun, hadits ini lemah kerana terdapat dua cacat di dalamnya:

1, Sulaiman bin Mughirah. Beliau adalah seorang rawi yang tsîqah, tetapi beliau telah menyelisihi Hammâd bin Salamah yang meriwayatkan hadits ini dari Tsâbit, dari Anas, dan, dalam riwayatnya, Hammad tidak menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya. (Lihatlah riwayat Hammâd dalam Shahîh Muslim, 3/1511, no. 677. Musnad Ahmad, 3/270. dan Ath-Thabaqât, 3/515 karya Ibnu Sa’d)

2, Hammad bin Salamah ini adalah rawi yang paling kuat riwayat haditsnya dari Tsâbit sebagaimana perkataan Imam Yahyâ bin Ma’in, Abu Hâtim, dan selainnya, “Siapa saja yang menyelisihi Hammâd dalam periwayatan hadits dari Tsâbit, maka yang didahulukan adalah periwayatan Hammâd.” Bahkan, dalam At-Tamyîz, Imam Muslim menukil kesepakatan ahli ‘ilalul hadits (pakar dalam cacat-cacat hadits) bahawa Hammâd adalah orang yang paling kuat riwayatnya dari Tsabit. (Bacalah: Syarh ‘Ilal At-Tirmidzy, 2/790 (cet. Maktabah Al-Manar) dan lain-lain)

Murid-murid Anas bin Malik radhiyallâhu ‘anhu, seperti Qatâdah, Muhammad bin Sîrîn, ‘Abdul ‘Azîz bin Shuhaib, Abu Qilâbah, Ishâq bin ‘Abdillah bin Abi Thalhah, Abu Mijlaz, ‘Âshim, Musâ bin Anas, Humaid At-Thawîl, Dâud bin Abi Hind, Hanzhalah bin ‘Abdillah, Abu Makhlad, Marwân Al-Ashfar, dan Ibnu Muhâjir, semuanya meriwayatkan hadits yang semakna dari Anas bin Mâlik tentang pelaksanaan qunut, tetapi tidak seorang pun dari mereka yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya ketika qunut. (Lihatlah riwayat-riwayat mereka pada Shahîh Al-Bukhâri, Shahîh Muslim, dan lain-lain (kami sengaja tidak menyebutkan takhrîj-nya untuk menyingkatkan perbahasan))

Seluruh hal ini mempertegas kesalahan Sulaimân bin Al-Mughîrah dalam periwayatannya yang menyebutkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa Sallam mengangkat kedua tangannya ketika qunut. Syaikhunâ (guru kami) Muqbil bin Hadi rahimahullâh juga termasuk ulama yang melemahkan hadits ini. Wallâhu A’lam.

Tentang Mengaminkan Doa Qunut bagi Makmum

Pensyari’atan hal ini telah ditetapkan sebagaimana dalam hadits Ibnu ‘Abbâs. Hal ini ditegaskan oleh Ibnu Qudâmah dalam ucapannya, “Apabila imam berqunut, (doa qunutnya) hendaknya diaminkan oleh orang yang (bermakmum) di belakang imam, dan kami tidak mengetahui bahawa ada perbedaan pendapat dalam perbahasan ini.” (Bacalah: Al-Mughni, 1/449)

Kesalahan dalam Hal Mengaminkan

Akan tetapi, perlu diingat bahawa pengaminan hanyalah diucapkan pada lafazh-lafazh doa, bukan pada lafazh pujian. Ini merupakan pendapat Imam Ahmad dan dibenarkan oleh Imam Al-Hiraqy dan An-Nawawy. (Lihatlah: Su’alât Abi Dâud, m/s. 67. dan Al-Majmu’, 3/481 karya An-Nawawi)

Berdasarkan keterangan ini, tampaklah kesalahan yang sering terjadi di tengah masyarakat umum yang mengaminkan seluruh doa qunut hingga lafazh-lafazh pujian dalam qunut.

Yang dimaksud dengan lafazh-lafazh doa ialah bermula dari kalimat اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيْمَنْ هَدَيْتَ (allâhummah dinâ fî man hadait) hingga وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ (wa qinâ syarra mâ qadhait), sedangkan kalimat setelah فَإِنَّكَ تَقْضِيْ (fainnaka taqdhî) dan seterusnya adalah lafazh-lafazh pujian.

Etika Imam dalam Doa Qunut

Hendaklah imam berdoa dengan lafazh umum (bukan untuk pribadinya) sehingga, ketika mengaminkan doa imam, makmum juga dapat mengambil manfaat dari doa tersebut. Hal ini ditegaskan demikian kerana dua perkara:

Pertama, firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ kepada Nabi Musa dan Nabi Harun ‘alaihimâs salam,

قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا

“Sesungguhnya doa kalian berdua telah dikabulkan.” (Surah Yunus, 10: 89)

Kalau memperhatikan ayat sebelumnya, kita akan mengetahui bahawa ternyata yang berdoa hanyalah Nabi Musa ‘alaihis salam,

رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ. قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا

“Wahai Rabb kami, lenyapkanlah harta mereka dan keraskanlah hati mereka. Tidaklah mereka beriman sampai mereka melihat adzab yang sangat pedih.” (Surah Yunus, 10: 88)

Bersamaan dengan ini, Allah menjadikan doa itu untuk mereka berdua. Hal ini kerana Nabi Musa berdoa, sementara Nabi Harun mendengarkan dan mengaminkan doa tersebut. (Lihatlah: Asy-Syarh Al-Mumti’, 3/86 karya Syaikh Shâlih Al-Utsaimîn. dan Majmu’ Fatâwâ, 23/116-119 karya Ibnu Taimiyah)

Kedua, Al-Hâfizh Ibnu Hajar rahimahullâh berkata, “Yang tampak bagi saya bahawa hikmah pelaksanaan doa qunut pada saat i’tidâl, dan bukan pada saat sujud, sedangkan sujud merupakan tempat atau waktu pengabulan doa sebagaimana (keterangan) yang telah pasti (dari Rabb-nya ketika seseorang sujud) juga (sedangkan) kebenaran perintah untuk berdoa dalam sujud telah pasti, adalah bahawa yang diinginkan dari qunut nazilah ini adalah supaya makmum dapat bersama-sama bersama imam dalam berdoa, walaupun hanya dengan mengaminkan.” (Bacalah: Fathul Bâri, 2/491)

Tentang Mengusap Wajah Setelah Berqunut

Imam Abu Dâud berkata, “Saya mendengar Ahmad ditanya tentang seseorang yang mengusap wajahnya (sendiri) dengan kedua tangannya (sendiri) bila selesai berqunut, maka beliau menjawab, “Saya tidak (pernah) mendengar tentang itu.” Pada kesempatan lain, beliau juga berkata, “Saya tidak mendengar suatu (riwayat) apapun tentang hal tersebut.’.” Kemudian, (Abu Dâud) berkata, “Dan saya tidak melihat Ahmad pernah mengerjakan amalan tersebut.” (Dari Masâ`il Abi Dâud, m/s. 71)

Imam Malik ditanya tentang seseorang yang mengusap wajah dengan kedua telapak tangannya sendiri ketika berdoa, maka beliau mengingkari perbuatan tersebut sambil berkata, “Saya tidak mengetahui hal tersebut (ada dalam sunnah).” (Bacalah: Mukhtashar Qiyâmul Lail, m/s. 327 karya Muhammad bin Nashr Al-Marwazy)

Imam Al-Baihaqi berkata, “Adapun tentang mengusap kedua tangan ke wajah selepas doa, tidaklah saya menghafal (hal tersebut) dari seorang pun, dari para ulama salaf, pada doa qunut.” (Bacalah: As-Sunan Al-Kubrâ, 2/212)

Demikian juga apa yang disimpulkan oleh Syaikh Ibnu ‘Utsaimin dalam Asy-Syarh Al-Mumti’ 4/53-56. Baca jugalah Irwâ`ul Ghalîl, 2/178-181.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest