Solat Sunnah Rawatib Mu’akkad

www.ilmusunnah.com

Solat-solat sunnah rawatib yang disunnahkan agar dilaksanakan mengiringi solat-solat fardhu itu ada Jangan_Tinggalkan_Shalatbeberapa bentuk, dan bentuk yang pertama itu adalah solat sunnah rawatib yang sifat atau hukumnya adalah sunnah mu’akkad (yakni yang sangat ditekankan perlaksanaannya dan sentiasa dilazimi oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam).

Solat sunnah rawatib mu’akkad ini semuanya berjumlah sebanyak 12 raka’at berdasarkan hadis dari Ummul Mu’minin isteri Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, yakni Ummu Habibah radhiyallahu ‘anhuma. Beliau berkata bahawa beliau mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَلَّى اثْنَتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، بُنِيَ لَهُ بِهِنَّ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ

“Siapa yang solat sunnah sebanyak 12 raka’at sehari semalam, akan dibinakanlah untuknya sebuah rumah di Syurga.” (Shahih Muslim, no. 728)

Ummu Habibah berkata:

فَمَا تَرَكْتُهُنَّ مُنْذُ سَمِعْتُهُنَّ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Maka aku pun tidak pernah meninggalkannya semenjak aku mendengarnya dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.”

Hal yang sama turut diucapkan oleh para rawi hadis ini yang lain, yang antaranya adalah ‘Anbasah bin Abi Sufyaan, ‘Amru bin Aus dan An-Nu’man bin Saalim.

Dalam lafaz yang lain:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا، غَيْرَ فَرِيضَةٍ، إِلَّا بَنَى اللهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ، أَوْ إِلَّا بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ

“Tidaklah seorang hamba muslim itu solat tathawwu’ kerana Allah dalam sehari 12 raka’at, yang selain solat fardhu, melainkan Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di Syurga. (atau dengan lafaz: … melainkan akan dibinakan untuknya sebuah rumah di Syurga).” (Shahih Muslim, no. 728. Sunan Abi Dawud, no. 1250)

Kemudian hadis ini ditafsirkan dan diperincikan pula dengan riwayat yang terdapat di Sunan At-Tirmidzi, dari Ummu Habibah, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الجَنَّةِ: أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ صَلَاةِ الْغَدَاةِ

“Siapa yang solat sunnah (rawatib) 12 raka’at sehari semalam, akan dibinakanlah baginya rumah di Syurga; (yakni) 4 raka’at sebelum Zhuhur, 2 raka’at selepas Zhuhur, 2 raka’at setelah Maghrib, 2 raka’at setelah Isya’, dan 2 raka’at sebelum Subuh.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 415. Dinilai sahih oleh At-Tirmidzi)

Hadis semisal turut diriwayatkan dari ‘Athaa’, dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنَ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الجَنَّةِ: أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الفَجْرِ

“Siapa yang sungguh-sungguh dengan membiasakan dan melazimkan diri dengan melaksanakan 12 raka’at solat sunnah maka Allah akan binakan untuknya sebuah rumah di Syurga; (yakni) 4 raka’at sebelum Zuhur, 2 raka’at setelah Zuhur, 2 raka’at setelah Maghrib, dua raka’at setelah Isyak, dan 2 raka’at sebelum Subuh.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 414. Ibnu Majah, no. 1140)

Juga disebutkan dalam hadis yang lain dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الغَدَاةِ

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah meninggalkan 4 raka’at sebelum Zuhur dan 2 raka’at di awal pagi (sebelum Subuh).” (Shahih Al-Bukhari, no. 1182)

Dalam riwayat dari Naafi’, dari ‘Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, beliau menceritakan:

حَفِظْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ، وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ فِي بَيْتِهِ، وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ

“Aku sentiasa menjaga (atau hafal) 10 raka’at solat sunnah yang aku dapatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, (yakni) 2 raka’at sebelum Zuhur, dua raka’at setelah Zuhur, 2 raka’at setelah Maghrib di rumah, 2 raka’at setelah Isyak di rumah, dan 2 raka’at sebelum Subuh.” (Shahih Al-Bukhari, no. 1180)

Dalam riwayat yang lain (kata Ibnu ‘Umar):

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ الجُمُعَةِ، فَأَمَّا المَغْرِبُ وَالعِشَاءُ فَفِي بَيْتِهِ

“Aku solat bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam 2 raka’at sebelum Zuhur, 2 raka’at setelah Zuhur, 2 raka’at setelah Maghrib, 2 raka’at setelah Isyak, dan 2 raka’at setelah Juma’atan. Adapun setelah Maghrib dan Isyak itu dilaksanakan di rumah.” (Shahih Al-Bukhari, 1172)

Dari hadis-hadis ini menjelaskan bahawa solat sunnah rawatib yang mu’akkad itu ada 12 raka’at sehari semalam berdasarkan riwayat Ummu Habibah dan ‘Aisyah, manakala 10 raka’at berdasarkan riwayat dari Ibnu ‘Umar.

Kata Asy-Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah:

يذكر أن من أخذ بحديث ابن عمر قال: الرواتب عشر، ومن أخذ بحديث عائشة قال: اثنتي عشرة، ويؤيد حديث عائشة ما رواه الترمذي في تفسيرها، ويدل عليه حديث أم حبيبة في فضل هذه الرواتب، ويحتمل أن رسول الله – صلى الله عليه وسلم – كان تارة يصلي اثنتي عشرة ركعة كما في حديث أم حبيبة وعائشة، وتارة يصلي عشراً كما في حديث ابن عمر، فإذا نَشِط المسلم صلى اثنتي عشرة، وإذا كان هناك شاغل صلى عشراً، وكلها رواتب، والكمال والتمام أن يصلي كما في حديث عائشة وأم حبيبة رضي الله عنهما

“Siapa yang berpegang kepada hadis Ibnu ‘Umar, maka solat sunnah rawatib yang mu’akkad itu jumlahnya 10 raka’at sehari semalam, manakala siapa yang berpegang kepada hadis ‘Aisyah, maka dia akan berpegang bahawa solat sunnah rawatib yang mu’akkad itu 12 raka’at. Hadis ‘Aisyah tersebut dikuatkan dan diperincikan lagi dengan riwayat yang terkandung di dalam Sunan At-Tirmidzi. Kemudian ditunjukkan pula keutamaannya pada riwayat Ummu Habibah.

Ini semua mengisyaratkan bahawa adakalanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan solat sunnah rawatib yang mu’akkad ini sebanyak 12 raka’at sebagaimana yang terdapat dalam riwayat Ummu Habibah dan ‘Aisyah. Dan adakalanya pula, Nabi melaksanakannya 10 raka’at sahaja sebagaimana yang terkandung dalam hadis Ibnu ‘Umar.

Jika sedang bersunguh-sungguh dan punya kelapangan, seorang muslim seharusnya akan melaksanakannya sebanyak 12 raka’at. Manakala jika ketika dilanda kesibukan, dia boleh melaksanakan 10 raka’at saja. Semuanya itu tetap disebut sebagai rawatib. Yang lengkap dan sempurna adalah sebagaimana yang terdapat dalam riwayat Ummu Habibah dan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anhuma.”

Wallaahu a’lam.

Disarikan dari Kitab Shalatul Mu’min oleh Asy-Syaikh Dr. Sa’id bin ‘Ali bin Wahf Al-Qahthani.

Ensiklopedi_Shalat_Edisi_Baru_2

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest