Tatkala Wahhabi Tidak Berzikir Selepas Solat, Apa Pendapat Ulama Mazhab Asy-Syafie?

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

 

(11/11/2009) Baru-baru ini meledak satu isu berkaitan Fahaman Wahhabi di dada-dada akhbar ekoran penangkapan seorang bekas mufti Negeri Perlis oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang didakwa mendoktrinkan fahaman Wahhabinya kepada masyarakat. Namun, akhirnya dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.

Walaupun begitu, bukan itu isu yang mahu penulis tangkap masuk ke dalam tulisan kali ini. Tetapi lebih kepada kenyataan oleh seorang tokoh lain rentetan dari isu Wahhabi tersebut.

Sebenarnya penulis tertarik dengan kenyataan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim sebagaimana berikut dinukilkan dari laporan akhbak Berita Harian, 6 November 2009:

Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.

Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.

Manakala menurut laporan dari sumber akhbar Utusan Malaysia (5 November 2009):Kumpulan_Doa_Mustajab_Dzikir_Pilihan_terjemahan_Hisnul_Muslim

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Jari-jemari penulis lebih teruja untuk menekan papan kekunci menyusun tulisan sekitar isu Wahhabi tidak berzikir (atau berwirid) setiap selepas solat (merujuk solat fardhu).

Sebagaimana yang disentuh oleh Dato’ Dr. Mashitah di atas, pertamanya beliau menyentuh soal perselisihan di dalam agama dari kalangan umat Islam. Sebenarnya, dalam persoalan perbezaan pendapat dalam agama, ia bukanlah suatu perkara yang asing. Malah ia sebenarnya telah lama disentuh dan bahkan telah warid dalam Al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin atau orang yang punya ilmu dan autoriti – pent.) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir. Yang demikian itu lebih baik dan lebih elok akibatnya.” (Surah An-Nisaa’, 4: 59)

Apa yang menarik, selain Allah Subhanahu wa Ta’ala menyatakan tentang perselisihan melalui ayat tersebut, Allah juga telah menyatakan solusinya apabila berlaku perbezaan pendapat di antara orang-orang yang beriman. Iaitulah dengan kembali merujuk Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Maka, apabila isu zikir ini timbul. Apa yang mahu penulis tekankan adalah, pentingnya kita kembali kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Abaikan saja isu Wahhabi atau bukan Wahhabi.

Sebagai menghargai dan menghormati Mazhab negara kita yang merupakan salah satu mazhab fiqh ahlus sunnah wal-jama’ah, iaitu Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’i, berikut penulis dahulukan pendapat Al-Imam Asy-Syafi’i sendiri berkenaan isu zikir sebaik selesai solat ini diikuti dalil-dalil yang mereka gunakan. Juga sebagai sebuah pengiktirafan bahawa beliau adalah salah seorang ulama besar dalam dunia ilmu yang wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan dalam mengikuti Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) menjelaskan sebagaimana berikut:

وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك

“Aku berpendapat bahawa seorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali sebaik selesai solat, dan hendaklah mereka merendahkan (suara) zikirnya, melainkan bagi seseorang imam yang mahu menunjuk-ajar para makmumnya berkenaan zikir, maka dia boleh menjahr-kan (mengeraskan atau memperdengarkan) suara (atau bacaan) zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah faham, maka hendaklah dia kembali mensirr-kan (merendahkan atau menyembunyikan) suara zikirnya, kerana Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا

“Dan janganlah kamu menjahr-kan (mengeraskan) suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya.” (Surah Al-Israa’, 17: 110)

Maksud kata الصلاة (Ash-Sholah) wallahu Ta’ala a’lam adalah doa-doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Dan janganlah engkau meringankan (atau merendahkan) sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya.” (lihat: Al-Umm oleh Al-Imam Asy-Syafi’i, 1/127)

Perkara ini turut didukung dengan penjelasan salah seorang ulama besar bermazhab Asy-Syafi’i iaitu Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

قال اصحابنا إن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب أن يسر بهما إلا أن يكون اماما يريد تعليم الناس فيجهر ليتعلموا فإذا تعلموا وكانوا عالمين أسره واحتج البيهقي وغيره في الاسرار بحديث أبي موسى الاشعري رضي الله عنه قال ” كنا مع النبي صلي الله تعالى عليه وسلم وكنا إذا أشرفنا على واد هللنا وكبرنا ارتفعت اصواتنا فقال النبي صل الله تعالي عليه وسلم يا أيها الناس اربعوا علي انفسكم فانكم لا تدعون اصم ولا غائبا إنه معكم سميع قريب رواه البخاري

“Para ulama dari mazhab kami (mazhab Asy-Syafi’i) berkata: Zikir dan doa setelah solat disunnahkan supaya dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali apabila dia seorang imam yang hendak membimbing (mengajar) orang lain (yakni para makmum), maka dibolehkan untuk menjahr-kan (mengeraskan atau memperdengarkan) suaranya (agar orang mendengar dan mengetahui – pent.), supaya mereka semua dapat belajar daripadanya, dan apabila diketahui bahawa mereka telah memahami serta sudah tahu (akan zikir-zikirnya), maka hendaklah dia kembali berzikir dengan merendahkan suaranya.Al-Adzkar_An-Nawawi_2

Al-Baihaqi dan yang lainnya (dari kalangan mazhab Asy-Syafi’i) berhujjah tentang sunnahnya merendahkan suara di saat berdzikir dengan hadis Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

“Kami bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam (yakni ketika dalam safar), dan jika kami mendaki pada suatu lembah maka kami pun bertahlil dan bertakbir, kami keraskan (perkuatkan) suara kami. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Wahai manusia, hendaklah kalian lembut terhadap diri kalian, sesungguhnya kalian tidak menyeru kepada Dzat yang tuli dan tidak hadir, sesungguhnya Allah bersama kalian, (yakni) Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat.” Diriwayatkan oleh Al-Bukhari.”.” (lihat: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab oleh Al-Imam An-Nawawi, 3/487)

Ibnu Hajar Al-Haitami rahimahullah (Wafat: 974H; salah seorang tokoh dalam mazhab Asy-Syafi’i) pernah ditanya, sebagaimana berikut kami nukilkan:

وَسُئِلَ نَفَعَ اللَّهُ بِهِ هل الْأَوْلَى قِرَاءَةُ الْأَذْكَارِ وَالْأَدْعِيَةِ سِرًّا وَكَيْفَ كانت قِرَاءَتُهُ صلى اللَّهُ عليه وسلم وإذا جَهَرَ بها في مَسْجِدٍ وَثَمَّ مُصَلُّونَ يُشَوِّشُ عليهم هل يُمْنَعُ أَمْ لَا؟

Dan Ibnu Hajar Al-Haitami pernah ditanya, (semoga Allah menjadikan manfaat dengannya); Adakah dzikir dan doa-doa itu lebih utama dibaca dengan suara yang perlahan?

Dan bagaimanakah bacaan Nabi Shallallahu ‘alahi wa Sallam? Dan jika seseorang mengeraskan suara dengannya (yakni dengan dzikir dan doa-doa) di suatu masjid dan dalam masa sama ada orang-orang yang sedang solat sehingga bacaan yang keras tersebut mengganggu mereka, adakah ianya terlarang atau tidak?”

Maka jawab Ibnu Hajar Al-Haitami:

السُّنَّةُ في أَكْثَرِ الْأَدْعِيَةِ وَالْأَذْكَارِ الْإِسْرَارُ إلَّا لِمُقْتَضٍ وَعِبَارَةُ شَرْحِي لِلْعُبَابِ مع مَتْنِهِ وَيُسَنُّ الدُّعَاءُ وَالذِّكْرُ سِرًّا وَيَجْهَرُ بِهِمَا بَعْدَ السَّلَامِ الْإِمَامُ لِتَعْلِيمِ الْمَأْمُومِينَ فإذا تَعَلَّمُوا أَسَرُّوا

“Yang disunnahkan dalam kebanyakan doa dan dzikir adalah dengan suara yang perlahan kecuali jika ada sebab tertentu. Dan keterangan penjelasan dan huraian-ku terhadap kitab Al-‘Ubaab bersama matannya:

“Adalah disunnahkan berdoa dan berdzikir dengan merendahkan suara, dan dibolehkan bagi imam mengeraskan dzikir dan doa setelah salam jika bertujuan mengajar para makmum. Jika para makmum telah faham maka hendaklah mereka berdzikir dan berdoa dengan suara yang perlahan.”

وما اقْتَضَتْهُ عِبَارَةُ الرَّوْضَةِ من أَنَّ السُّنَّةَ في الذِّكْرِ الْجَهْرُ لَا الْإِسْرَارُ غَيْرُ مُرَادٍ لِمَا في الْمَجْمُوعِ وَغَيْرِهِ عن النَّصِّ وَالْأَصْحَابِ أَنَّ السُّنَّةَ الْإِسْرَارُ وَمِنْ ثَمَّ قال الزَّرْكَشِيُّ السُّنَّةُ في سَائِرِ الْأَذْكَارِ الْإِسْرَارُ إلَّا التَّلْبِيَةَ وَالْقُنُوتَ لِلْإِمَامِ وَتَكْبِيرَ لَيْلَتَيْ الْعِيدِ وَعِنْدَ رُؤْيَةِ الْأَنْعَامِ في عَشْرِ الْحِجَّةِ وَبَيْنَ كل سُورَتَيْنِ من الضُّحَى إلَى آخِرِ الْقُرْآنِ وَذِكْرَ السُّوقِ الْوَارِدَ أَيْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ له إلَخْ وَعِنْدَ صُعُودِ الْهَضَبَاتِ وَالنُّزُولِ من الشُّرُفَاتِ قال الْأَذْرَعِيُّ وَحَمَلَ الشَّافِعِيُّ رضي اللَّهُ عنه أَحَادِيثَ الْجَهْرِ على من يُرِيدُ التَّعْلِيمَ

“Adapun apa yang ditunjukkan dari keterangan yang terkandung pada kitab Ar-Raudhah bahawa sunnah dalam berdzikir adalah dengan dikeraskan suara bukan diperlahankan, maka bukanlah demikian maksudnya, kerana ia menyelisihi apa yang terdapat di kitab Al-Majmu’ (yakni Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab) dan kitab yang lainnya dari nash (perkataan Al-Imam Asy-Syafi’i) dan juga para ashaab (para ulama mazhab Asy-Syafi’i) bahawa yang disunnahkan adalah dengan diperlahankan (yakni dengan merendahkan suara). Dari sini kemudian Az-Zarkasyi berkata:

“Yang disunnahkan dalam seluruh dzikir-dzikir adalah dengan merendahkan suara kecuali bagi talbiyah dan bacaan qunut bagi imam, takbir ketika malam ‘Ied (hari raya), dan ketika melihat haiwan-haiwan ternakan (untuk korban) pada 10 Dzulhijjah, dan pada antara setiap dua surah dari surat Adh-Dhuha hingga akhir Al-Qur’an, dzikir ketika masuk pasar yang warid (yakni Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lah…), ketika naik ke dataran (atau laluan) tinggi dan ketika turun dari tempat yang tinggi.”

Berkata Al-Adzra’i, menurut Al-Imam Asy-Syafi’i radhiyallahu ‘anhu tentang hadis-hadis yang menyebutkan dzikir-dzikir yang dibaca jahr (dikuatkan) itu adalah bagi mereka yang bertujuan mengajar.” (Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 1/157-158)

Beliau juga turut menyebutkan:

وَالْجَهْرُ بِحَضْرَةِ نَحْوِ مُصَلٍّ أو نَائِمٍ مَكْرُوهٌ كما في الْمَجْمُوعِ وَغَيْرِهِ وَلَعَلَّهُ حَيْثُ لم يَشْتَدَّ الْأَذَى وَإِلَّا فَيَنْبَغِي تَحْرِيمُهُ

“Dan mengeraskan (memperdengarkan) bacaan dzikir atau doa ketika ada orang yang sedang solat atau sedang tidur, maka hukumnya adalah makruh (dibenci) sebagaimana dalam kitab Al-Majmu’ dan selainnya. Hukum makruh ini mungkin jika ianya tidak mengganggu (atau terlalu mengganggu), tetapi jika membuat orang terganggu (dan tidak selesa) maka hukum membaca dengan suara yang diperdengarkan adalah haram.” (Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra, 1/158)

Dari nukilan-nukilan perkataan ulama besar ini, kita dapat melihat beberapa titik penting dalam persoalan zikir sebaik selesai solat fardhu:

Pertama; Mazhab Al-Imam Asy-Syafi’i menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).

Kedua; Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan secara individu (sendiri-sendiri).

Ketiga; Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan atau diperdengarkan kepada orang, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

Keempat; Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Demikianlah empat intipati dan faedah utama yang dapat kita ambil dari perkataan Al-Imam Asy-Syafi’i, Al-Imam An-Nawawi, dan yang lainnya rahimahumullaah di atas.

Jadi, jika benar kelompok Wahhabi meninggalkan atau menolak amalan berzikir selepas solat fardhu, maka kefahaman ini jelas bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh para tokoh utama dari mazhab Asy-Syafi’i tadi.

Malah yang benarnya amalan berzikir setelah solat ini, ianya tsabit bersandarkan hadis-hadis yang sahih. Cukuplah penulis bawakan dua contoh zikir yang sahih dari sunnah yang dianjurkan untuk diamalkan. Dari sebuah hadis, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

“Sesiapa yang di setiap penghujung solatnya (sebaik selesai solat solat fardhunya), dia menyucikan Allah (berzikir Subhanallah) 33 kali, memuji Allah (mengucapkan Al-hamdulillah) 33 kali, dan membesarkan Allah (mengucapkan Allahu Akhbar) 33 kali, yang semuanya menjadi 99 kali, kemudian dicukupkan 100 kali dengan Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syariikalah… maka, Allah akan mengampuni kesalahan-kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan.” (Shahih Muslim, no. 597. Bab: Anjuran berdzikir setelah solat dan penjelasan sifatnya)

Kemudian dalam hadis yang lain, Tsauban radhiyallahu ‘anhu menjelaskan Nabi berdzikir setelah solat fardhu dengan beristighfar:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقَالَ: اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ قَالَ الْوَلِيدُ: فَقُلْتُ لِلْأَوْزَاعِيِّ: كَيْفَ الْاسْتِغْفَارُ؟ قَالَ: تَقُولُ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila selesai bersolat, beliau beristighfar tiga kali, kemudian mengucapkan:

“Ya Allah, Engkaulah As-Salaam, dan daripada Engkau kesejahteraan, segala keberkatan adalah milik Engkau Ya Allah, yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.”.”

Al-Waliid (salah seorang perawi, murid Al-Auzaa’i) bertanya kepada Al-Auzaa’i, “Bagaimana cara beristighfar yang dimaksudkan?” Al-Auzaa’i menjawab:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ

(Dengan mengucapkan): “Astaghfirullah, astaghfirullah (Aku memohon ampun kepada Allah)…”.” (Shahih Muslim, bab: Anjuran berdzikir setelah solat, no. 591)Doa_Dzikir_Tebal2

Manakala salah satu lafaz dalam Musnad Ahmad:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنْصَرِفَ مِنْ صَلَاتِهِ . قَالَ: ” أَسْتَغْفِرُ اللهَ “، ثَلَاثًا، ثُمَّ يَقُولُ: ” اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجِلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila hendak selesai (beranjak) dari solatnya, beliau mengucapkan:

Astaghfirullaah (أَسْتَغْفِرُ اللهَ).” tiga kali, kemudian mengucapkan:

“Allaahumma Antas Salaam, wa minkas Salaam, Tabaarakta ya Dzal Jalaali wal ikraam (اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ، وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجِلَالِ وَالْإِكْرَامِ).” (Musnad Ahmad, no. 22408. Dinilai sahih isnadnya oleh Syu’aib Al-Arnauth)

Dapatkan senarai lengkap dzikir-dzikir dan doa-doa setelah solat fardhu yang sahih di artikel kami berjudul, “Zikir-zikir Setelah Solat Fardhu Yang Dianjurkan Nabi.”

Maka, dengan terang lagi bersuluh dengan bersandarkan kepada hadis Nabi dan perkataan para ulama besar dari mazhab Asy-Syafi’i bahawa berzikir setelah selesai solat fardhu itu hukumnya adalah dianjurkan (mustahab).

Jika benar Wahhabi menolak sunnah berzikir setelah solat fardhu ini (sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato’ Dr. Mashitah), bermakna mereka (kelompok Wahhabi) telah salah.

Namun, perlu kita fahami juga berkenaan dengan adab-adab di dalam berzikir. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama tadi iaitu:

Pertama; Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu (bukan secara berjama’ah atau koir).

Kedua; Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dinyaringkan atau diperdengarkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya. Apatah lagi dengan berlagu atau menggunakan pembesar suara, maka itu jelas-jelas telah salah dan menyelisihi fatwa-fatwa para imam mazhab Asy-Syafi’i tadi.

Ketiga; Boleh diperdengarkan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Kesimpulan dari kenyataan mereka tersebut antaranya didukung dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menyentuh berkenaan adab-adab di dalam berzikir secara umumnya, iaitu Allah berfirman:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

“Dan sebutlah (nama) Rabb-mu pada dirimu dengan tadharru’ (penuh rendah diri) dan rasa takut, dan dengan tidak menjahr-kan (mengeraskan) suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raaf, 7: 205)

Berkenaan ayat ini, seorang lagi ulama besar dalam bidang tafsir yang bermazhab Asy-Syafi’i menjelaskan:

وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا بليغًا

“Demikianlah zikir dianjurkan, iaitu dengan suara yang tidak dilaungkan dan tidak pula dijahr-kan (dikuatkan).” (lihat: Tafsir Al-Qur’an Al-Adzim oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir, 3/539)

Di lembaran yang lain Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H) menukilkan perkataan tabi’in, Al-Hasan Al-Bashri rahimahullah:

ولقد كان المسلمون يجتهدون في الدعاء، وما يُسمع لهم صوت، إن كان إلا همسا بينهم وبين ربهم، وذلك أن الله تعالى يقول: ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

“Kaum muslimin dahulu sangat bersungguh-sungguh dalam berdoa, tetapi suara mereka tidak kedengaran melainkan hanya bisik-bisik antara mereka dengan Rabb mereka. Itu adalah kerana Allah telah berfirman, “Berdoalah kepada Rabb-mu dengan rendah diri dan suara yang lembut.”.” lihat: Tafsir Al-Qur’an Al-Adzim, 3/428)

Perkara ini menjadi lebih jelas apabila kita merujuk kepada sebuah hadis, di mana Sahabat bernama Abu Musa Al-‘Asy’ari menceritakan:

رَفَعَ النَّاسُ أَصْوَاتَهُمْ بِالدُّعَاءِ فِي بَعْضِ الْأَسْفَارِ، فَقَالَ لَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “أَيُّهَا النَّاسُ، أَرْبِعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا، إِنَّ الَّذِي تَدْعُونَهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ

“Ketika itu, orang ramai mengangkat (memperkuat atau meninggikan) suaranya ketika berdoa [dalam Shahih Al-Bukhari disebutkan: ketika bertakbir] di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata (dalam rangka membantah perbuatan mereka yang meninggikan suara dalam berdoa):

“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru kepada yang tuli (pekak) dan tidak pula yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat.” (lihat: Tafsir Al-Qur’an Al-‘Adzim, 3/539. Lihat juga Shahih Al-Bukhari, no. 2992)

Dalam satu atsar riwayat Imam ‘Abdurrazzaq pula ada disebutkan:

كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَكْرَهُونَ رَفْعَ الصَّوْتِ عِنْدَ ثَلاَثٍ: عِنْدَ الْقِتَالِ، وَعِنْدَ الْجَنَائِزِ، وَعِنْدَ الذِّكْرِ

“Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mereka membenci mengangkat suara pada tiga keadaan. Iaitu ketika berperang, ketika di sisi jenazah, dan ketika berzikir.” (Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, no. 34104)

Jika ini dapat kita fahami, jelaslah bahawa rata-rata masyarakat negara kita yang mengaku bermazhab Asy-Syafi’i sebenarnya telah membelakangkan perkataan imam-imam besar mereka. Khususnya dalam persoalan berzikir selepas solat yang penulis sentuh ini.

Maka wajarlah kita semua secara umumnya untuk bermuhasabah, meneliti, dan memperbaiki semula amalan kita dalam melaksanakan zikir setelah selesai solat (yakni zikir-zikir sebaik selepas salam). Saranan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri khususnya, kemudian kepada golongan Wahhabi jika benar sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato’ Dr. Mashitah, dan juga kepada masyarakat awam umat Islam di negara kita am-nya yang begitu ketara melanggari garis panduan dalam berzikir sebagaimana yang telah dijelaskan oleh para imam besar mazhab kita, mazhab Asy-Syafi’i.

Ada pun persoalan-persoalan lainnya yang dibangkitkan oleh Dato’ Dr. Mashitah berkenaan fahaman Wahhabi seperti tidak berqunut subuh, tidak bertahlil, dan tidak beryasinan malam Juma’at, wallahu a’lam, sila kemukakan dari mana asal-usulnya amalan tersebut berserta sandaran dalil-dalilnya yang sahih. Kerana isu qunut subuh adalah isu yang diperselisihkan oleh para ulama semenjak dahulu dan telah ma’ruf (diketahui umum), selain mazhab Asy-Syafi’i memang terdapat mazhab yang lain dari jajaran mazhab ahlus sunnah yang empat yang memandang perkara tersebut sebagai bid’ah dan tidak disunnahkan. Manakala dengan amalan bacaan tahlil (atau disebut juga sebagai tahlilan dan kirim arwah – pen.), tidak ada mana-mana mazhab dari mazhab yang empat yang menganjurkannya, dan tidak pula terdapat anjurannya dari Al-Qur’an dan As-Sunnah sepengetahuan penulis, tidak pula diketahui asal-muassal sumber kaifiyatnya. Demikian pula dengan majlis bacaan Yasin, surah yasin boleh dibaca pada apa-apa malam pun, tanpa terikat kepada malam-malam khusus sama ada malam Juma’at atau malam-malam yang lainnya. Tiada penetapan kekhususannya, dan tiada pula tegahan. Dan tiada pula anjuran agar ia dibacakan secara jama’i, dan tidak pula dianjurkan mengadakan majlis-majlis khas dengan nama “majlis Yasinan”. Wallahu a’lam.

Sebenarnya secara umumnya, persoalan yang diutarakan oleh Dato’ Dr. Mashitah tersebut adalah merujuk kepada perbezaan pendapat yang telah lama berlaku, jauh sebelum datangnya era istilah Wahhabi diperkenalkan yang seharusnya kita berlapang dada padanya dengan mengembalikannya kepada Al-Quran dan As-Sunnah di atas manhaj yang benar. Jika kita berusaha untuk bersusah-payah menela’ah, insyaAllah kita pasti akan mampu bertemu dan memahaminya dengan lebih baik tanpa perlu ribut-ribut.

Wallahu a’lam

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest

Comments

  1. Anonymous
    November 11, 2009 at 10:57 am

    Kerana kejahilan perkara ini menjadi isu. Beginilah sikap para mubtadi dan penentang sunnah. Tolol dan keras kepala, enggan memahami quran dan hadis. mereka membutakan mata, memkakkan telinga

  2. A traveler looking for the right path
    November 11, 2009 at 7:20 pm

    Benarlah bahawa jika kita kembali kepada Al Quran dan sunnah RasulNya s.a.w. kita akan selamat, insyaAllah!

  3. Awami
    November 12, 2009 at 2:45 pm

    Syabas atas tulisan saudara. Saya akan muhasabah diri dan akan naik atas mimbar masjid untuk umumkan yang wirid beramai-ramai selepas salam itu salah sebab Nabi s.a.w. tak buat. Semoga kita jadi ahli sunnah tulen. Saya pun tak mahu guna internet lagi sebab Nabi s.a.w. tak gunakan internet.

  4. Akhir Zaman
    November 12, 2009 at 2:55 pm

    Kesemua yg kita amalkan sekarang merupakan bid'ah yg nyata. Bukankah semua perkara yg tidak pernah Nabi s.a.w lakukan itu merupakan bid'ah dan semua perkara bid'ah itu sesat. Maka mengapa kita sering mengamalkan bid'ah? Kita sering makan menggunakan sudu, memakai cermin mata, menggunakan microfon, menonton televisyen, menggunakan komputer malah menaiki kereta juga tidak pernah Nabi s.a.w lakukan. Hapuskanlah semua bid'ah yg menyesatkan ini dan jadilah pengamal Islam seumpama Nabi s.a.w, tanpa Mazhab dan tanpa ijmak para ulama'. InsyaAllah!

  5. Nawawi Bin Subandi
    November 12, 2009 at 3:02 pm

    Untuk memahami maksud bid'ah, sila merujuk ke link saya yang lalu ini:

    http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2008/01/035-memahami-pengertian-bidah.html

  6. awang
    November 13, 2009 at 7:05 pm

    Saudara saya amat mengagumi hujah saudara dalam isu tersebut..semua hujjah anda bernas dan itulah yang kami pelajari untuk menegakkan sunnah…yang sedihnya kenapa saudara sandarkan pegangan ulama wahabi dengan pendapat dari dr. mashitah..sedangkan mereka itu lah pejuang sunnah rasulallah,sejarah mereka selama ini berkisar tentang menegakkan sunnah yang tulin..dr. masitah tu tahu betul2 kah pegangan wahabi yang sebenarnya atau cakap ikut suka mulut sahaja,sedangkan apa yg di pegang oleh golongan wahabi ialah zikir slps solat itu sunnah cuma sunnah diperhalusi spt yang saudara katakan iaitu sunat zikir individu..smuanya 100% yang spt saudara katakan langsung tidak bercanggah…saudara mempunyai ilmu dan ilmu itu tidakkan berguna kalau kita menyokong pendapat sesorang sedangkan kesahihannya belum jelas..nampak sangat dr mashitah itu kurang arif tentang isu wahabi sehinggakan sanggup berbicara seolah tahu segalanya,…wahabi itu adalah gelaran orang terhadap mereka sedangkan merekalah pejuang sunnah rasulullah..kita kalau inginkan ilmu berbicaralah dengan ilmu dan iman bukan nafsu atau sentimen..isu wahabi tidak berqunut selepas solat subuh itu bukan isu baru itu adalah pegangan dan pendapat imam Ahmad bin Hambal juga ulama qibar dan anak murid imam Syafie…kenapa harus diketengahkan isu2 sebegini dengan cara yang tidak betul,sebarkanlah ilmu Allah itu dengan keikhlasan dan berdalilkan hadis2 yang sohih dan elakkakanlah daripada menimbulkan kekeliruan agar kita selamat diakhirat kelak dan tidak tergolong antara umat yang memperlekehkan sunnah tanpa disedari kerana tidak tahu apa sebenarnya itu sunnah Rasulallah.. wallahu'alam

  7. awang
    November 13, 2009 at 7:09 pm

    nak komen sikit dgn ulasan si akhir zaman tu..dia tu belajar agama kat mana ek..orang ada ilmu takkan cakap mcm tu..berhati2 tindakan anda menggambarkan diri anda yang sebenar..mcm pengamal ajaran sesat pulak dia tu…

  8. Thufail Huffaz
    November 14, 2009 at 1:09 pm

    Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

  9. Nawawi
    November 14, 2009 at 1:21 pm

    BACA JUGA ARTIKEL:

    Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat: Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi'e, BOLEH BACA DI SINI:

    http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2009/11/166-berzikir-dengan-suara-perlahan-atau.html

  10. lloni
    January 2, 2010 at 10:52 pm

    nak tanya owner of this blog… bahawa wahabi itu ialah pejuang yg menegakan sunnah rasululah saw. bagaimana pula dgn golongan ahlulbait…adakah mereka itu kaki tuang sunnah dan adakah mereka itu tidak fakeh agama..walhal mereka itu berguru dgn guru dan guru sampai kepd Rasulullah saw. Bagaimana tareqat yg dibawa oleh mereka? Kenapa golongan wahabi anti sangat ahlulbait?

Comments are closed.