Tidak Ada Solat Sunnah Qabliyah Juma’at Sebaik Azan Dikumandangkan

Abu Numair
www.ilmusunnah.com

datang-awal-utk-mendengar-khuthbah-jumaat_Artikel ini menjelaskan bahawa tidak ada lagi solat sunnah sebaik azan pada hari Juma’at  dikumandangkan (yakni pada masuknya waktu Zuhur), kecuali solat sunnah tahiyyatul masjid bagi yang belum sempat melaksanakannya.

Diriwayatkan daripada As-Saa’ib bin Yazid, beliau berkata:

وَكَانَ التَّأْذِينُ يَوْمَ الجُمُعَةِ حِينَ يَجْلِسُ الإِمَامُ يَعْنِي عَلَى المِنْبَرِ

“Bahawa azan pada hari Juma’at itu dilaungkan sebaik imam duduk, yakni di atas mimbar.” (Shahih Al-Bukhari, no. 913)

Diriwayatkan dari As-Saa’ib bin Yazid, beliau berkata:

إِنَّ الأَذَانَ يَوْمَ الجُمُعَةِ كَانَ أَوَّلُهُ حِينَ يَجْلِسُ الإِمَامُ، يَوْمَ الجُمُعَةِ عَلَى المِنْبَرِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَبِي بَكْرٍ، وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، فَلَمَّا كَانَ فِي خِلاَفَةِ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَكَثُرُوا، أَمَرَ عُثْمَانُ يَوْمَ الجُمُعَةِ بِالأَذَانِ الثَّالِثِ، فَأُذِّنَ بِهِ عَلَى الزَّوْرَاءِ، فَثَبَتَ الأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ

“Sesungguhnya azan pada hari Juma’at pada awalnya adalah sebaik imam duduk di atas mimbar pada hari Juma’at, iaitu pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, Abu Bakr, dan ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma. Namun pada masa kekhalifahan ‘Utsman bin ‘Affan radhiyallahu ‘anhu, ketika jumlah umat Islam (atau jama’ah masjid) semakin ramai, ‘Utsman memerintahkan agar mengumandangkan azan ketiga (sebagai tambahan) pada hari Juma’at. Beliau memerintahkan agar azan dikumandangkan dari atas Az-Zaura’ (nama pasar – pent.), lalu ketetapan (amalan) tersebut terus berlangsung begitu.” (Shahih Al-Bukhari, 916)

Dalam riwayat yang lain dari As-Saa’ib bin Yazid, beliau berkata:

كَانَ بِلَالٌ يُؤَذِّنُ إِذَا جَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَإِذَا نَزَلَ أَقَامَ، ثُمَّ كَانَ كَذَلِكَ فِي زَمَنِ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

“Bahawa bilal mengumandangkan azan hari Juma’at adalah ketika sebaik Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam duduk di atas mimbar. Ketika Rasulullah turun dari mimbar, beliau pun iqamat. Demikianlah yang berlangsung di zaman Abu Bakr dan ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma.” (Sunan An-Nasaa’i, no. 1394. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Hadis-hadis ini semuanya menunjukkan bahawa azan solat Juma’at itu dikumandangkan sebaik Imam telah tiba dan duduk di atas mimbar. Sebaik azan tamat, khuthbah pun langsung dimulakan tanpa didahulukan dengan sebarang solat sunnah atau rawatib antara dua azan (yakni antara azan dengan iqamat, kerana telah sahih dari hadis bahawa iqamat juga turut disebut sebagai azan).

Manakala di zaman ‘Utsman radhiyallahu ‘anhu, apabila jumlah umat Islam semakin bertambah, maka ‘Utsman mengambil inisiatif melaksanakan azan tambahan (yakni azan kedua (tidak termasuk iqamat) berbanding hanya satu azan sebelumnya) dan ia dikumandangkan lebih awal dari waktunya di pasar-pasar bagi menyerukan agar orang ramai bersiap untuk ke masjid. Ini adalah sebagaimana azan pertama ketika hampir menjelangnya Subuh.

Azan kedua pula dilaksanakan sebaik beliau naik ke mimbar, iaitu sebaik masuk waktu. Manakala yang dimaksudkan dengan azan ketiga, itu adalah iqamat untuk solat sebaik selesai khuthbah.

Ini kerana pada zaman ‘Utsman, Madinah menjadi sebuah kota yang begitu pesat berkembang, jumlah umat Islam bertambah ramai, rumah-rumah bertebaran sampai ke segenap tempat sehingga ada yang jauh dari masjid, namun tempat untuk solat Juma’at telah ditetapkan pada satu masjid utama saja. Berbeza dengan keadaan umat Islam pada hari ini, banyak sekali masjid dan seruan azan boleh didengar dengan mudah. Atas faktor tersebut, ‘Utsman pun mengambil inisiatifnya.

Namun sebaik masuk ke fasa pemerintahan ‘Ali, azan tambahan tersebut pun ditinggalkan dan kembali sebagaimana keadaan sebelumnya.

Berikut dinukilkan sebahagian dari fatwa-fatwa dan perkataan para ulama terdahulu yang menunjukkan tidak adanya amalan solat sunnah qabliyah Juma’at.

Al-Imam Asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) berkata:

وَلَا يُؤَذَّنُ لِلْجُمُعَةِ حتى تَزُولَ الشَّمْسُ وإذا أُذِّنَ لها قبل الزَّوَالِ أُعِيدَ الْأَذَانُ لها بَعْدَ الزَّوَالِ فَإِنْ أَذَّنَ لها مُؤَذِّنٌ قبل الزَّوَالِ وَآخَرُ بَعْدَ الزَّوَالِ أَجْزَأَ الْأَذَانُ الذي بَعْدَ الزَّوَالِ ولم يُعَدْالْأَذَانُ الذي قبل الزَّوَالِ وَأُحِبُّ أَنْ يَكُونَ الْأَذَانُ يوم الْجُمُعَةِ حين يَدْخُلُ الْإِمَامُ الْمَسْجِدَ وَيَجْلِسُ على مَوْضِعِهِ الذي يَخْطُبُ عليه خَشَبٌ أو جَرِيدٌ أو مِنْبَرٌ أو شَيْءٌ مَرْفُوعٌ له أو الْأَرْضُ فإذا فَعَلَ أَخَذَ الْمُؤَذِّنُ في الْأَذَانِ فإذا فَرَغَ قام فَخَطَبَ لَا يَزِيدُ عليه

“Tidaklah dilaungkan azan untuk Juma’at sampailah zawal (tergelincir) matahari (yakni sebaik masuk waktu zuhur). Apabila ada azan dilaungkan sebelum zawal (yakni sebelum masuk waktu – seperti di zaman ‘Utsman), maka hendaklah diulangi azan sebaik zawal (yakni sebaik masuk waktu zuhur)…

… Aku menyukai jika azan hari Juma’at tersebut dikumandangkan sebaik imam masuk ke dalam masjid sebaik dia duduk di tempat dia berkhuthbah yang terbuat dari kayu atau pelepah kurma atau mimbar, atau sesuatu yang tinggi atau di atas tanah. Apabila imam telah berbuat demikian, maka tukang azan pun melaungkan azannya, lalu sebaik selesai azan, imam pun langsung berdiri menyampaikan khutbahnya. Tidak ditambah padanya.” (Al-Umm, 1/195)

Al-Imam Abu Syamah rahimahullah (665H) menegaskan:

الصلاة المسنونة أنها منقوله عن رسول الله قولا وفعلا والصلاة قبل الجمعة لم يأت منها شيء عن النبي يدل على أنه سنة ولا يجوز القياس في شرعية الصلوات

“Sesungguhnya solat-solat sunnah adalah solat yang dinukil (atau diambil) dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui perkataan atau amalan, namun solat sunnah sebelum Juma’at (yakni yang dikenal sebagai solat sunnah qabliyah Juma’at) tidak pernah datang tentangnya walau satu riwayat pun dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang membuktikan bahawa ia merupakan suatu yang sunnah, dan tidak dibolehkan qiyas dalam pensyari’atan solat-solat.”

Kata beliau lagi:

أن النبي كان يخرج من بيته يوم الجمعة فيصعد منبره ثم يؤذن المؤذن فإذا فرغ أخذ النبي في خطبته ولو كان للجمعة سنة قبلها لأمرهم بعد الآذان بصلاة السنة وفعلها هو صلى الله عليه و سلم ولم يكن في زمن النبي صلى اللهعليه وسلم غير هذا الآذان الذي بين يدي الخطيب

“Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila keluar dari rumahnya pada hari Juma’at, maka beliau terus naik ke mimbar lalu tukang azan pun mengumandangkan azan. Setelah azan selesai dikumandangkan, maka beliau pun terus menyampaikan khutbahnya.

Sekiranya pada solat Juma’at tersebut wujud solat sunnah sebelumnya (yakni sunnah qabliyah), sudah tentu sebaik saja azan selesai dikumandangkan beliau pun akan memerintahkan para sahabat mendirikan solat sunnah tersebut, dan beliau pun tentu akan melaksanakannya. Pada hakikatnya, pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah dikenal solat sunnah pada hari Juma’at yang didirikan setelah azan dikumandangkan yang didirikan di hadapan khathib.” (Al-Baa’its ‘ala Inkar Al-Bida’ oleh Abu Syamah, m/s 96-97 – Daar Al-Huda, Qahirah)

Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

أَمَّا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّهُ لَمْ يَكُنْ يُصَلِّي قَبْلَ الْجُمُعَةِ بَعْدَ الْأَذَانِ شَيْئًا وَلَا نَقَلَ هَذَا عَنْهُ أَحَدٌ فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يُؤَذَّنُ عَلَى عَهْدِهِ إلَّا إذَا قَعَدَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَيُؤَذِّنُ بِلَالٌ ثُمَّ يَخْطُبُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْخُطْبَتَيْنِ ثُمَّ يُقِيمُ بِلَالٌ فَيُصَلِّي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَمَا كَانَ يُمْكِنُ أَنْ يُصَلِّيَ بَعْدَ الْأَذَانِ لَا هُوَ وَلَا أَحَدٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ الَّذِينَ يُصَلُّونَ مَعَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا نَقَلَ عَنْهُ أَحَدٌ أَنَّهُ صَلَّى فِي بَيْتِهِ قَبْلَ الْخُرُوجِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

“Adapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah melaksanakan solat qabliyah Juma’at atau apa-apa solat pun sebaik selesai azan Juma’at. Tidak pernah dinukil tentang ini dari beliau walau dari seorang pun sahabat. Sesungguhnya di zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak pernah dikumandangkan azan melainkan setelah beliau mengambil tempat di atas mimbar. Sebaik Bilal selesai mengumandangkan azan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun langsung berkhuthbah dengan dua khuthbah. Setelah selesai khuthbah Bilal pun iqamah, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun bersolat bersama para jama’ah. Mungkinkah beliau solat setelah azan? Tidak, dan tidak pula seorang pun dari kaum muslimin (yakni dari kalangan sahabat) yang solat bersama beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Dan tidak dinukil dari seorang pun yang mengatakan bahawa beliau solat di rumahnya sebelum keluar pada hari Juma’at.” (Majmu’ Al-Fatawa, 24/188)jangan-tinggal-solat-jumaat

Al-Hafiz Abu Zur’ah Al-‘Iraqi rahimahullah (Wafat: 826H) berkata:

أَنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ لَمْ يَكُنْ يُصَلِّي قَبْلَ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا إذْ لَوْ وَقَعَ ذَلِكَ مِنْهُ لَضُبِطَ كَمَا ضُبِطَتْ صَلَاتُهُ بَعْدَهَا وَكَمَا ضُبِطَتْ صَلَاتُهُ قَبْلَ الظُّهْرِ

“Bahawasanya beliau (yakni Nabi) ‘alaihi ash-Sholatu was-Salaam tidak mendirikan sebarang solat apa pun sebelum solat Juma’at. Seandainya yang sedemikian berlaku sudah tentu ia akan dinukil secara pasti daripada beliau sebagaimana dinukilnya secara pasti bahawa beliau mendirikan solat sunnah setelahnya (yakni ba’diyah Jumu’ah), dan sebagaimana telah dinukil secara pasti bahawa beliau mendirikan solat sunat sebelum Zuhur (qabliyah Zuhur).” (Tharh Tatsriib fii Syar At-Taqriib, m/s. 41 – Daar Ihya’ At-Turaats Al-‘Arabi)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

وأما سنة الجمعة التي قبلها فلم يثبت فيها شيء

“Adapun (solat) sunnah Juma’at yang dilaksanakan sebelumnya maka ianya tidaklah tsabit padanya suatu hadis pun.” (Fathul Bari, 2/410)

Al-Imam Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) mengatakan:

وكان إذا فرغ بلال من الأذان أخذ النبي صلى الله عليه وسلم في الخطبة، ولم يقم أحد يركع ركعتين البتة، ولم يكن الأذان إلا واحدا، وهذا يدل على أن الجمعة كالعيد لا سنة لها قبلها، وهذا أصح قولي العلماء، وعليه تدل السنة، فإن النبي صلى الله عليه وسلم كان يخرج من بيته، فإذا رقي المنبر أخذ بلال في أذان الجمعة، فإذا أكمله أخذ النبي صلى الله عليه وسلم في الخطبة من غير فصل، وهذا كان رأي عين، فمتى كانوا يصلون السنة؟

“Jika Bilal telah mengumandangkan azan (pada hari Juma’at), Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun langsung berkhutbah dan tidak ada seorang pun berdiri melaksanakan solat dua raka’at pada waktu tersebut. Dan tidaklah dikumandangkan azan Juma’at melainkan hanya sekali sahaja. Ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa solat Juma’at itu seperti solat ‘ied di mana kedua-duanya sama-sama tidak memiliki solat sunnah qabliyah. Inilah yang aashah (yang paling tepat) di antara pendapat para ulama.

Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dahulu apabila keluar dari rumah beliau, beliau pun langsung naik mimbar dan Bilal pun mengumandangkan azan. Sebaik azan telah selesai dikumandangkan, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun langsung berkhuthbah tanpa ada fasa waktu (untuk melaksanakan solat qabliyah pada waktu tersebut). Inilah situasi yang dilihat mata pada ketika itu. Jadi, di manakah (waktu) untuk melaksanakan solat sunnah (qabliyah Juma’at) pada ketika itu?” (Zaadul Ma’ad, 1/432)

Penyusun kitab Shahih Fiqh As-Sunnah mengatakan:

“Tidak ada solat sunnah qabliyah sebelum solat Juma’at. Jika azan telah dikumandangkan, maka tidak boleh seorang pun bangkit mengerjakan solat.

[Kecuali seseorang yang datang setelah azan dikumandangkan, maka dia boleh menunaikan solat sunnah tahiyatul masjid, kemudian duduk. Ataupun jika dia lupa untuk solat tahiyatul masjid sebelum itu, maka dia boleh bangun untuk melaksanakannya – nota kaki penyusun]

Inilah yang aashah (paling tepat) dari pendapat para ulama. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Asy-Syafi’i dan kebanyakan dari para pengikutnya (kecuali imam An-Nawawi), dan inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Ahmad.

Inilah yang selari lagi bertepatan dengan sunnah. Kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam keluar dari rumahnya pada hari Juma’at (menuju ke masjid), dan setelah beliau naik ke mimbar bilal pun langsung mengumandangkan azan Juma’at. Setelah azan selesai, Nabi pun langsung berkhutbah tanpa ada jarak atau waktu pemisah (bagi melaksanakan qabliyah Juma’at antara azan dan iqamatnya – pent.). Keadaan ini disaksikan dengan jelas, jadi bilakah masanya mereka melaksanakan solat sunnah (qabliyah Juma’at)? Dengan itu, siapa yang menyangka bahawa mereka semua (yakni para sahabat) berdiri untuk melaksanakan solat dua raka’at (qabliyah Juma’at) sebaik Bilal selesai mengumandangkan azan, maka dia adalah orang yang jahil terhadap sunnah.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis Ibnu ‘Umar, beliau berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ المَغْرِبِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ العِشَاءِ، وَسَجْدَتَيْنِ بَعْدَ الجُمُعَةِ

“Aku solat bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dua raka’at sebelum Zuhur, dua raka’at setelah Zuhur, dua raka’at setelah maghrib, dua raka’at setelah ‘Isya’, dan dua raka’at setelah Juma’at.”

Ini adalah nash yang sharih (sangat jelas) bahawa solat Juma’at di sisi para sahabat berbeza dari solat Zuhur dengan sendirinya. Kerana tidak disebutkan pada solat Juma’at memiliki solat sunnah, kecuali setelahnya, maka dapat diketahui bahawa tidak ada solat sunnah qabliyah Juma’at. Wallaahu a’lam.” (Shahih Fiqh As-Sunnah, 1/578 – Maktabah At-Taufiqiyah, Cairo)

Ada pun pendapat sebahagian ulama yang antaranya adalah Al-Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) yang menyatakan adanya solat sunnah qabliyah Juma’at, maka pendapat tersebut telah dibahas dan dibantah antaranya oleh Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah dalam Syarah beliau (Fathul Bari) pada bab Idza Ra’a Al-Imam Rajulan Jaa’a wa huwa yahthubu Amarahu an yushalli Rak’atayn dan bab Ash-Sholatu Ba’da Al-Jumu’ah wa Qoblaha. Dan turut dibahas dan dibantah oleh para ulama yang lainnya. Wallaahu a’lam.

Memperbanyakkan Solat Sunnah Sebelum Masuk Zuhur Pada Hari Juma’at

Adapun melaksanakan solat-solat sunat secara mutlak sebelum Juma’at (yakni sebelum azan), maka ia disunnahkan berdasarkan beberapa hadis dan atsar para sahabat yang antaranya sebagaimana berikut.

Dalil pertama: Dari hadis Salmaan Al-Faarisi, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الجُمُعَةِ، وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ، أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ، ثُمَّ يَخْرُجُ فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ، ثُمَّ يُصَلِّي مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ، إِلَّا غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الجُمُعَةِ الأُخْرَى

“Tidaklah seorang lelaki itu mandi pada hari Juma’at dan bersuci apa yang mampu dia sucikan, meminyakkan rambut dengan minyaknya, atau menyapu minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju ke masjid) dan dia tidak memisahkan antara dua orang (yang telah duduk di saf), kemudian dia bersolat bersesuaian dengan tuntutan (atau kemampuan)nya, kemudian dia diam apabila imam berkata-kata (berkhutbah), melainkan akan diampunkan baginya (dosa-dosa) antara Juma’at tersebut dengan Juma’at berikutnya.” (Shahih Al-Bukhari, no. 883)

Sebagaimana telah dikemukakan sebelumnya bahawa azan Juma’at di zaman Rasulullah dikumandangkan sebaik masuknya waktu zuhur dan sebaik azan selesai, maka Rasulullah pun langsung berkhuthbah. Maka dari sini menunjukkan tidak ada tempoh waktu sedikit pun untuk solat sunnah qabliyah sebaik azan dikumandangkan selesai, kerana tuntutan hadis menjelaskan supaya mendengar imam berkhuthbah dan menghentikan segala solat-solat sunnah sebelumnya, kecuali bagi solat sunnah tahiyyatul masjid untuk mereka yang baru saja sampai ke masjid dan masih belum melaksanakannya, maka dia boleh melaksanakannya. [lihat penjelasan solat sunnah tahiyyatul masjid di » Klik]

Maka berdasarkan hadis Salmaan Al-Faarisi ini, menunjukkan bahawa para sahabat berusaha untuk pergi awal ke masjid dalam keadaan berseri-seri. Kemudian mereka memperbanyakkan solat-solat sunnah secara umum (yakni solat sunnah muthlaq) sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sampailah azan dikumandangkan, dan sebaik azan berkumandang mereka pun berhenti untuk mendengar khuthbah. Solat-solat sunnah muthlaq yang dilaksanakan oleh para sahabat berbeza-beza jumlah raka’atnya, semuanya bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Dalil kedua: Dari hadis Ayyub, daripada Naafi’, beliau berkata:

كَانَ ابْنُ عُمَرَ يُطِيلُ الصَّلَاةَ قَبْلَ الْجُمُعَةِ، وَيُصَلِّي بَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ، وَيُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ

“Dahulu Ibnu ‘Umar memanjangkan solat sunnah sebelum Al-Jumu’ah (yakni sebelum masuknya waktu Zuhur di hari Juma’at), dan beliau melakukan solat sunnah setelah Juma’at sebanyak dua raka’at di rumahnya. Kemudian beliau mengkhabarkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga turut melakukan seperti ini.” (Sunan Abi Dawud, no. 1128. Shahih Ibnu Hibban, no. 2476)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menjelaskan:

وأما قوله كان يطيل الصلاة قبل الجمعة فإن كان المراد بعد دخول الوقت فلا يصح أن يكون مرفوعا لأنه صلى الله عليه و سلم كان يخرج إذا زالت الشمس فيشتغل بالخطبة ثم بصلاة الجمعة وإن كان المراد قبل دخول الوقت فذلك مطلق نافلة لا صلاة راتبة فلا حجة فيه لسنة الجمعة التي قبلها بل هو تنفل مطلق وقد ورد الترغيب فيه كما تقدم فى حديث سلمان وغيره حيث قال فيه ثم صلى ما كتب له وورد في سنة الجمعة التي قبلها أحاديث أخرى ضعيفة

“Adapun perkataan beliau, “Dahulu beliau memanjangkan solat sunnah sebelum Al-Jumu’ah…” Jika dimaksudkan dengan setelah masuk waktu solat (yakni setelah dikumandangkan azan), maka tidak benar jika ianya merujuk kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kerana beliau keluar dari rumah sebaik zawal (tergelincirnya matahari, yakni sebaik masuk waktu) lalu beliau langsung berkhuthbah dan melaksanakan solat Juma’at sebaik selesai khuthbah.

Jika yang dimaksudkan sebelum masuk waktu, maka solat tersebut adalah solat sunnah muthlaq, bukan solat sunnah rawatib. Dari itu, hadis riwayat Abu Dawud dan Ibnu Hibban tersebut tidak memiliki dalil yang menunjukkan adanya solat sunnat rawatib (atau qabliyah) Juma’at, sebaliknya ia adalah dalil yang menunjukkan beliau hanya melaksanakan solat sunnah muthlaq. Lebih-lebih lagi tercantum di dalam hadis Salmaan, beliau berkata:

“…kemudian dia bersolat bersesuaian dengan tuntutan (atau kemampuan)nya.”

Dan telah datang beberapa hadis tentang solat sunnah qabliyah Juma’at, namun hadis-hadisnya adalah dha’if (tidak sahih).” (Fathul Bari, 2/426)

Hal yang sama turut dikemukakan oleh guru beliau (Abu Fahdl Al-‘Iraqi anaknya Abu Zur’ah Al-‘Iraqi) dalam Tharh At-Tatsriib bahawa yang dimaksudkan solat sebelum Jumu’ah adalah solat sunnah sebelum zawal. Beliau juga turut menegaskan:

أَنَّ الظَّاهِرَ أَنَّ الْمُرَادَ بِالْمَرْفُوعِ مِنْهُ صَلَاةُ رَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا فِي بَيْتِهِ عَلَى وَفْقِ حَدِيثِهِ الْمُتَّفَقِ عَلَيْهِ فِي الصَّحِيحَيْنِ فَأَمَّا إطَالَةُ الصَّلَاةِ قَبْلَهَا فَلَمْ يُنْقَلْ عَنْهُ فِعْلُهُ لِأَنَّهُ كَانَ يَخْرُجُ إلَى صَلَاةِ الْجُمُعَةِ فَيُؤَذَّنُ بَيْنَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَخْطُبُ

“Bahawa zahir yang dikehendaki dengan solat dua raka’at yang marfu’ dari Nabi itu adalah setelah Jumu’ah di rumah beliau berdasarkan hadis yang telah disepakati di dua kitab Shahih. Adapun memanjangkan solat sebelumnya, maka ia tidaklah dinukil dari beliau kerana sebaik beliau keluar dari rumah untuk solat Jumu’ah, lalu azan pun dilaungkan di sisinya, kemudian beliau pun langsung berkhuthbah.” (Tharh Tatsriib fii Syar At-Taqriib, m/s. 42 – Daar Ihya’ At-Turaats Al-‘Arabi)

Al-Imam Abu Syamah menjelaskan:

قال أبو بكر بن المنذر روينا عن ابن عمر رضى الله عنهما أنه كان يصلي قبل الجمعة اثنتي عشرة ركعة وعن عباس رضى الله عنهما أنه كان يصلي ثماني ركعات وهذا دليل على أن ذلك كان منهم من باب التطوع من قبل أنفسهم من غير توقيف من النبي صلى الله عليه و سلم وكذلك اختلف العدد المروي عنهم وباب التطوع مفتوح ولعل ذلك كان يقع منهم أو معظمه قبل الآذان ودخول وقت الجمعة لأنهم كانوا يبكرون ويصلون حتى يخرج الإمام وقد فعلوا مثل ذلك في صلاة العيد وقد علم قطعا أن صلاة العيد لا سنة لها وكانوا يصلون بعد

“Abu Bakr bin Al-Munzir berkata: “Kami telah meriwayatkan daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau biasa melaksanakan solat sunnah sebelum Juma’at sebanyak 12 raka’at, dan daripada Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma bahawa beliau biasa melaksanakan solat sunnah (sebelum Juma’at) sebanyak 8 rakaat.”

Ini adalah dalil bahawa solat sunnah yang dilaksanakan oleh mereka (yakni para sahabat) adalah semata-mata solat sunnah (muthlaq) menurut pandangan mereka sendiri dan bukan berdasarkan kepada perbuatan (atau contoh) dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Demikian pula dengan jumlah raka’at yang diriwayatkan daripada mereka, jumlahnya berbeza-beza. Dan ini adalah semata-mata tathawwu’ yang bebas tanpa dikaitkan dengan qabliyah Juma’at, yang didirikan sebelum azan dan sebelum masuknya waktu Juma’at.

Ini kerana mereka datang ke masjid pada pagi hari dan mereka melaksanakan solat-solat sunnah sampailah imam keluar.” (Al-Baa’its ‘ala Inkar Al-Bida’ oleh Abu Syamah, m/s 97 – Daar Al-Huda, Qahirah)

Hadis ketiga: Dari hadis Tsa’labah bin Malik, beliau mengkhabarkah:

أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ. فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ، وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ، وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ قَالَ ثَعْلَبَةُ: وَجَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ. فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُ، وَقَامَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ  يَخْطُبُ، أَنْصَتْنَا، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ

“Sesungguhnya mereka (yakni para sahabat Nabi) pada zaman ‘Umar Al-Khaththab solat sunnah pada hari Juma’at sampailah ‘Umar keluar (untuk khuthbah dan mengimami solat). Apabila ‘Umar keluar dan duduk di atas mimbar, azan pun dilaungkan oleh tukang azan.”

Tsa’labah (bin Malik) berkata, “Kami duduk dan kami masih bercakap-cakap (ketika azan berkumandang). Apabila tukang azan telah diam (yakni selesai mengumandangkan azan), ‘Umar bin Al-Khaththab pun berdiri untuk berkhuthbah, maka kami pun diam dan tidak ada seorang pun di antara kami yang berbicara.” (Al-Muwaththa’ oleh Imam Malik, no. 343. As-Sunan Ash-Shaghir oleh Al-Baihaqi, no. 628)

Dalam riwayat yang lain, beliau berkata:

أَدْرَكْتُ عُمَرَ، وَعُثْمَانَ، فَكَانَ الْإِمَامُ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، تَرَكْنَا الصَّلَاةَفَإِذَا تَكَلَّمَ، تَرَكْنَا الْكَلَامَ

“Aku mendapati zaman ‘Umar dan ‘Utsman, bahawa apabila imam telah keluar pada hari Juma’at, kami pun meninggalkan solat-solat kami, dan jika imam telah mula berucap, kami pun meninggalkan bercakap-cakap.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 5173, 5296)

Syubhat dan Pencerahan

1, Salah Faham Terhadap Judul Bab Dalam Shahih Al-Bukhari.

Al-Imam Al-Bukhari rahimahullaah (Wafat: 256H) membuat bab dalam Shahihnya:

بَابُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الجُمُعَةِ وَقَبْلَهَا

“Bab solat setelah al-jumu’ah dan sebelumnya.”

Sekelompok ahli ilmu memahami bahawa melalui judul bab ini menunjukkan Al-Imam Al-Bukhari mahu mengisyaratkan adanya ketetapan kesunnahan solat qabliyah Jumu’ah.

Namun salah faham ini dijawab oleh para ulama lainnya yang antaranya Al-Imam Abu Syamah rahimahullah (Wafat: 665H), bahawa sebenarnya Al-Bukhari hanya bertujuan untuk menyatakan solat rawatib Jumu’ah itu hanya disyari’atkan setelahnya, bukan sebelumnya. Dan ini bersesuaian dengan hadis yang dikemukakan oleh Al-Bukhari bagi bab ini. Hadisnya adalah:

Dari hadis Naafi’, daripada Ibn ‘Umar, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ، وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ، وَبَعْدَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ، وَبَعْدَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ، وَكَانَ لاَ يُصَلِّي بَعْدَ الجُمُعَةِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ

“Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau solat (rawatib) sebelum Zuhur sebanyak dua raka’at dan setelahnya juga dua raka’at, solat setelah Maghrib dua raka’at di rumahnya, dan setelah ‘Isya’ juga dua raka’at. Beliau tidak solat setelah Jumu’ah sampailah selesai (berganjak atau beredar), lalu beliau solat dua raka’at.” (Shahih Al-Bukhari, no. 937)

Dari hadis ini nampaklah apa yang dimaksudkan oleh Al-Imam al-Bukhari rahimahullah, iaitu pada menyatakan bahawa solat rawatib Jumu’ah itu hanya disyari’atkan setelahnya, bukan sebelumnya.

Pada hadis yang dikemukakan ini juga terdapat jawaban dan bantahan bagi mereka yang mengqiyaskan solat qabliyah Jumu’ah dengan qabliyah solat Zuhur. Ternyata Ibn ‘Umar membezakan antara dua solat ini, seraya menyebutkannya secara berasingan dan menjelaskan bahawa masing-masing memiliki rawatibnya tersendiri, di mana bagi fardhu Zuhur ada sebelum (qabliyah) dan sesudahnya (ba’diyah). Manakala bagi Jumu’ah, hanya ada setelahnya (yakni ba’diyah sahaja, tanpa ada qabliyah).

Penyebutan bab oleh Al-Bukhari juga sama sebagaimana penyebutan pada bab menyatakan solat ‘Ied. Al-Bukhari berkata:

بَابُ الصَّلاَةِ قَبْلَ العِيدِ وَبَعْدَهَا

“Bab solat sebelum ‘Ied dan setelahnya.”

Dan telah diketahui bahawa solat ‘Ied tidak memiliki qabliyah mahupun ba’diyah sama sekali.

2, Salah Faham Terhadap Hadis Antara Dua Azan Ada Solat.

Dari hadis ‘Abdullah bin Mughaffal Al-Muzani, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Salam bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ»، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: «لِمَنْ شَاءَ»

“Di antara setiap dua azan ada solat, di antara setiap dua azan ada solat. Lalu beliau bersabda pada ucapan yang ketiga: “bagi sesiapa yang menghendaki.”.” (Shahih Al-Bukhari, no. 627. Muslim, no. 838)

Hadis ini bersifat umum pada setiap solat fardhu, namun tidak berlaku bagi solat Juma’at, kerana solat Juma’at bersifat khusus dan berbeza dari solat-solat fardhu yang lainnya kerana di antara azan dan iqamatnya adalah khuthbah.

Al-Imam Ahmad bin Abi Bakr bin Isma’il Al-Kinaani (Wafat: 840H) menyebutkan:

ومن أحسن ما يستدل به ما ثبت في الصحيحين من حديث عبد الله بن مغفل عن النبي صلى الله عليه وسلم بين كل أذانين صلاة وهذا متعذرا في صلاته صلى الله عليه وسلم لأنه كان بين الأذان والإقامة الخطبة فلا صلاة حينئذ بينهما نعم بعد أن جدد عثمان الأذان على الزوار يمكن أن يصلي سنة الجمعة قبل خروج الإمام للخطبة

“Dan di antara yang terbaik yang turut menjadi dalil adalah apa yang tsabit pada dua kitab Shahih daripada ‘Abdullah bin Mughaffal daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

“Di antara setiap dua azan ada solat.”

Sedangkan ini adalah mustahil berlaku pada solat (Nabi) Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kerana bahawasanya beliau berkhutbah di antara azan dan iqamat, maka tidak ada solat pada masa yang sama di antara keduanya (yakni tiada solat antara azan dan iqamat Jumu’ah).

Benar, bahawa setelah itu ‘Utsman telah mengadakan azan di atas Az-Zaura’ (sebagai azan pertama), yang mana ini memungkinkan solat sunnah Jumu’ah dapat dilaksanakan sebelum keluarnya imam untuk berkhutbah.” (Mishbaah Az-zujajah, fii Zawa’id Ibn Majah, 1/136 – Daar Al-‘Arabiyah. Lihat pula Tharh Tatsriib fii Syar At-Taqriib, m/s. 42-43 – Daar Ihya’ At-Turaats Al-‘Arabi)

Azan di zaman ‘Utsman yang dimaksudkan ini adalah azan pertama yang dikumandangkan di pasar, dan ianya dikumandangkan sebelum masuknya zawal (yakni sebelum masuk waktu zuhur).

3, Terdapat riwayat dari sebahagian salaf yang menunjukkan mereka solat qabliyah Jumu’ah.

Sekelompok ahli ilmu yang menetapkan adanya solat sunnah sebelum Jumu’ah mengatakan hal tersebut telah diriwayatkan dari sebahagian salaf seperti sahabat Nabi ‘Abdullah bin Mas’oud, Ibnu ‘Umar, dan yang lainnya.

Berikut dinukilkan perkatan Al-Hafiz Al-‘Iraqi rahimahullah (Wafat: 826H), beliau berkata:

أَنَّهُ عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ فِي زَمَنِهِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غَيْرُ أَذَانٍ وَاحِدٍ فِي أَوَّلِ الْوَقْتِ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَذَلِكَ الْأَذَانُ يَعْقُبُهُ الْخُطْبَةُ ثُمَّ الصَّلَاةُ فَلَا يُمْكِنُ مَعَ ذَلِكَ أَنْ يَفْعَلَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَا أَحَدٌ مِنْأَصْحَابِهِوَبِالْجُمْلَةِ فَالْمَسْأَلَةُ مُشْكِلَةٌ وَبَوَّبَ ابْنُ أَبِي شَيْبَةَ فِي مُصَنَّفِهِ عَلَى الصَّلَاةِ قَبْلَ الْجُمُعَةِ وَأَوْرَدَ فِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الْجُمُعَةِ أَرْبَعًا .

وَعَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ يَهْجُرُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فَيُطِيلُ الصَّلَاةَ قَبْلَ أَنْ يَخْرُجَ الْإِمَامُ وَعَنْ عُمَرَ بْنِ عَبْدِ الْعَزِيزِ صَلَّى قَبْلَ الْجُمُعَةِ عَشْرَ رَكَعَاتٍ .

وَعَنْ إبْرَاهِيمَ النَّخَعِيّ كَانُوا يُصَلُّونَ قَبْلَهَا أَرْبَعًا .

وَعَنْ أَبِي مِجْلَزٍ أَنَّهُ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِهِ رَكْعَتَيْنِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ .

وَعَنْ طَاوُسٍ أَنَّهُ كَانَ لَا يَأْتِي الْمَسْجِدَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يُصَلِّيَ فِي بَيْتِهِ رَكْعَتَيْنِ وَلَيْسَ فِي شَيْءٍ مِنْهَا دَلِيلٌ عَلَى سُنَّةِ الْجُمُعَةِ فَلَعَلَّ ذَلِكَ قَبْلَ الزَّوَالِ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ .

“Bahawa beliau (yakni Nabi) Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidaklah pada zamannya di hari Juma’at dilaungkan azan melainkan dengan azan yang satu yang dikumandangkan di awal waktu di ketika beliau sudah di atas mimbar, dan demikian selesai azan beliau pun langsung khuthbah, lalu kemudian solat. Tidak mungkin bersama keadaan yang demikian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaksanakan solat, dan tidaklah pula seorang pun dari sahabat beliau.

Namun sejumlah permasalahan yang menjadi kemusykilan adalah pada apa yang dikemukakan oleh Ibn Abi Syaibah di Kitab Mushannaf beliau tentang solat sebelum Jumu’ah, dan beliau meriwayatkan di dalamnya beberapa riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas’oud bahawa beliau solat empat raka’at sebelum Jumu’ah.

Dari Ibn ‘Umar bahawa beliau diam pada hari Juma’at lalu memanjangkan solat  sebelum keluarnya imam. Dan dari ‘Umar bin ‘Abdil ‘Aziz bahawa beliau solat sebelum Jumu’ah dua belas raka’at. Dan dari Ibrahim An-Nakha’i, beliau solat sebelumnya empat raka’at. Dan dari Abi Mijlaz bahawa beliau solat di rumahnya dua raka’at pada hari Juma’at. Dari Thawus bahawa tidaklah beliau mendatangi masjid pada hari Juma’at sampailah beliau solat di rumahnya dua raka’at.

Dan tidaklah ada pada perkara ini sedikit pun dalil yang menunjukkan adanya sunnah al-Jumu’ah (yakni qabliyah Jumu’ah sebaik azan dikumandangkan – pent.), kerana dapat ditarik kemungkinan pada yang demikian (yakni amalan solat-solat sunnah sebelum jumu’ah tersebut – pent.) adalah sebelum zawal (yakni bukannya setelah azan – pent.), wallaahu a’lam.” (Tharh At-Tatsriib, 3/294-295)

Hal yang sama turut dikemukakan oleh Al-Imam Abu Syamah rahimahullah sebagaimana telah disebutkan di atas.

Wallaahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest