Yang Berhak Diibadahi Hanya Allah Yang Satu

Abu Numair
www.ilmusunnah.com 

Para Nabi terdahulu (antaranya Nuh, Hud, Soleh, dan Syu’aib) menyerukan:

يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ

“Wahai kaumku ibadahilah Allah (sahaja) yang tidak ada bagi kalian ilah (yang berhak diibadahi) selain-Nya.” [lihat: Surah Al-A’raaf, 7: 59, 65, 73, 85. Huud, 11: 50, 61, 84. Al-Mu’minun, 23: 23, 32]

Kata Al-Hafiz Ibnu Katsir, “Seluruh para rasul itu menyerukan agar beribadah hanya kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.”

Ini sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala berfirman:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنَا فَاعْبُدُونِ

“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan padanya: “Bahawa sesungguhnya tiada ilah (yang berhak diibadahi) melainkan Aku.” Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-Ku.” [Surah Al-Anbiya’, 21: 25]

Ini kerana kesesatan kaum nabi terdahulu termasuk kaum kafir Quraisy di zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, di samping mereka beribadah kepada Allah, mereka turut beribadah kepada selain Allah. Dan termasuk bentuk peribadatan kepada selain Allah adalah dengan berdoa (memohon) kepada selain Allah, memanjatkan pengharapan kepada makhluk, berdoa kepada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, menjadikan berhala-berhala sebagai perantara (wasilah) kepada Allah, menanamkan rasa takut kepada selain Allah, tawakkal kepada azimat atau tangkal-tangkal, dan memohon perlindungan kepada selain Allah seperti kepada para nabi yang telah wafat, kepada berhala-berhala, kuburan orang soleh, dan tangkal-tangkal.

Allah merakamkan dalam Al-Qur’an tentang kaum kafir Quraisy yang apabila diseru agar beribadah hanya kepada Allah sahaja dengan meninggalkan peribadatan kepada selain-Nya, mereka pun mengatakan sebagaimana dikhabarkan:

أَجَعَلَ الْآلِهَةَ إِلَهًا وَاحِدًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عُجَابٌ

“Apakah dia menjadikan yang berhak diibadahi itu HANYA SATU SAHAJA? Sungguh ini benar-benar suatu yang sangat menghairankan.” [Surah Shaad, 38: 5]

Wallahu a’lam.

Recommend to friends
  • gplus
  • pinterest